Presiden Palestin telah membatalkan rundingan secara tidak langsung dengan Israel setelah kementerian dalam Israel mengumumkan akan tetap meneruskan pembinaan 1,600 unit kediaman baru.
Mahmoud Abbas menyampaikan keputusan pembatalan tersebut kepada Amr Moussa, Pengerusi Liga Arab. Moussa kemudiannya telah membuat beberapa panggilan untuk mengadakan sidang akhbar berikutan mesyuarat tergempar di ibu pejabat Liga Arab di Kaherah kelmarin.
"Presiden Palestin telah memutuskan tidak akan menyertai rundingan tersebut. Rakyat Palestin sendiri tidak bersedia untuk berunding dalam keadaan seperti ini", kata beliau.
Selasa lalu kementerian dalam Israel di bawah parti kebangsaan Ultra - Orthodox Shas Nasionalis, telah mengumumkan bahawa mereka akan tetap membina 1,600 unit rumah kediaman di Ramat Shlomo, penempatan untuk yahudi yang kuat beragama yang terletak di sekitar kawasan Tebing Barat.
US mengecam
Pengumuman tersebut telah memarakkan lagi kemarahan rakyat Palestin dan mendapat kutukan daripada senator kanan Amerika Syarikat, Joe Biden semasa mengadakan lawatan ke Israel.
Biden mengecam buat kesekian kalinya bahawa tindakan Israel tersebut diibaratkan seperti 'menguburkan' segala kepercayaan yang diperlukan untuk membuat rundingan damai.
Dalam kenyataannya kepada pemberita al-Jazeera di Tebing Barat, Biden menjelaskan mengapa dia mengutuk tindakan tersebut.
"Penduduk Palestin dan rakyat Israel telah bersetuju mengadakan rundingan, mudah-mudahan ia membawa kepada satu kata putus yang diharapkan bersama. Memang pada mulanya saya hanya nampak hal-hal yang negatif sahaja dalam perhubungan antara kami. Tetapi bila saya sendiri bertemu dan bercakap dengan mereka semua seperti kawan lama saya iaitu Mahmoud Abbas dan Fayyad termasuklah Netanyahu, ternyata mereka semua bagaikan kawan. Jika kamu sendiri bercakap dengan mereka secara individu, kamu akan tahu yang mereka sebenarnya tidaklah terlalu 'jauh' antara satu sama lain. Inilah sepatutnya masa untuk kita bina kepercayaan antara satu sama lain kerana saya sangat yakin tiap 'parti' ada keinginan untuk berubah. Malah, semua orang tahu Palestin perlukan negara yang merdeka sepertimana Israel juga perlukan negara yang merdeka lagi selamat. Tapi bila ini semua akan berhasil jika yang ada hanyalah perjanjian demi perjanjian yang tidak mencapai matlamatnya."
Israel kemudiannya meminta maaf secara rasmi kerana telah memalukan Biden dengan keputusan mereka yang dianggap 'tidak kena pada waktunya'.
Sementara itu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dikhabarkan tidak sedar bila pengumuman tersebut dibuat.
Eli Yishai, Menteri Dalam Negeri Israel dari parti Shas, berkata, "terus terang hal ini tiada niat untuk membangkitkan kemarahan mana-mana pihak apalagi untuk menyinggung perasaan senator kanan Amerika itu."
Tetapi dia mengakui bahawa pengumuman tersebut sepatutnya dibuat pada waktu yang tepat. Bukan seperti yang telah berlaku sekarang. Sumber 11/03/2010, web berita al-Jazeerah(versi english)