22 Mac 2010

Seorang tentera Israel mati ditembak kawan sendiri

Jurucakap tentera Israel berkata, salah seorang tenteranya terbunuh akibat terkena tembakan dari tentera Israel yang lain. Jelas jurucakap tersebut, ketika kejadian, sekumpulan Palestin bersenjata berada di kawasan pos kawalan yang terletak di sempadan antara Israel-Gaza.

Agensi berita, United Press yang dimaklumkan berhubung kejadian tersebut melaporkan seorang tentera Israel terbunuh ketika melepaskan tembakan ke arah sekumpulan Palestin bersenjata yang cuba melepasi pagar keselamatan(Israel) berdekatan pos kawalan tentera Kissufim.

Sumber menyatakan, ketika itu sepasukan tentera Israel sedang mengawasi sekumpulan Palestin bersenjata yang berusaha melepasi pagar keselamatan. Dalam masa yang sama, tentera Israel turut melepaskan tembakan ke arah mereka, ketika itulah salah seorang tentera Israel terkena tembakan dari kawannya sendiri.

Penduduk menyaksikan helikopter Israel berlegar-legar di ruang udara kawasan terbabit, malah turut kedengaran siren ambulan Israel yang tiba di kawasan berkenaan. Bagaimanapun tiada sebarang laporan mengenai serangan di pihak Palestin.

Di sudut yang lain, polis Israel mengumumkan penangkapan 3 penduduk Palestin yang dikatakan cuba melepasi pagar keselamatan dari Gaza setelah melancarkan 2 serangan roket ke bandar Sderot.

Menurut web berita Yediot Ahronout(Israel), sebaik sahaja dikesan tindakan Palestin tersebut dengan serta-merta bantuan ketenteraan tiba sehinggalah operasi tersebut selesai dengan penangkapan 3 Palestin. Sumber 22/03/2010, web berita al-Jazeerah

Serangan ke atas Gaza berterusan

Menurut sumber, awal pagi tadi, sebuah pesawat tempur Israel melancarkan serangan udara ke atas sebuah kawasan di Rafah Gaza yang mensasarkan terowong bawah tanah.

Saksi kejadian yang menghubungi agensi berita berkata, sebuah pesawat tempur Israel model F-16 mengebom kawasan terbabit tepat pada jam 1.00 pagi tadi. Serangan tersebut mengakibatkan kerugian harta benda.

Dari pihak perubatan Gaza, Dr.Muawiyah Husnain, Ketua Am kecemasan dan bantuan di hospital Gaza menyatakan tiada sebarang luka parah atau cedera dalam serangan Israel itu.

Dr.Husnain turut memaklumkan bahawa sepasukan tentera penjajah yang mengawal di kawasan Kissufim melancarkan peluru berpandu ke arah sebuah kawasan terbuka di bandar kecil Beit Lahiya yang berkedudukan di utara Gaza. Bagaimanapun, tiada kehilangan nyawa dilaporkan.

Jelasnya, tentera penjajah terus melancarkan serangan dan mengebom kawasan terowong bawah tanah sejak beberapa hari yang lalu.

Sebagaimana yang didakwa, serangan Israel adalah tindak balas dari serangan roket yang dilancarkan dari Gaza ke Israel. Sumber 22/03/2010, web berita maannews.net