24 Mac 2010

Di sebalik hubungan US-Israel

Benarkah hubungan Amerika Syarikat(US)-Israel renggang berikutan ketetapan Israel yang tidak mengendahkan seruan US bagi membekukan projek pembinaan perumahan Israel di Al-Quds. Sumber karikatur (al-basheer)

Tentera penjajah ceroboh sekolah di Khalil

Menurut sumber, sepasukan tentera penjajah menceroboh sebuah sekolah menengah Rihiyyah(lelaki) di selatan Khalil.

Dalam pencerobohan itu, tentera penjajah melepaskan gas pemedih mata ke arah para pelajar serta memaksa mereka meninggalkan sekolah.

Saksi kejadian berkata, seorang pelajar mengalami sesak nafas akibat gas pemedih mata dalam waktu yang sama pelajar-pelajar sekolah dipaksa meninggalkan sekolah berikutan tentera penjajah mengancam mereka dengan senjata, sekaligus pelajar-pelajar tidak dapat meneruskan pengajian.

Saksi dari penduduk tempatan turut menafikan berlakunya pertempuran di kawasan sekolah tersebut antara pelajar dengan tentera penjajah.

Sementara itu, penduduk Palestin di Rihiyyah menjelaskan satu kejadian kemalangan yang membabitkan sebuah jip tentera Israel terbalik ketika melakukan rondaan di kawasan terbabit pada jam 5.00 pagi. Tidak diketahui sama ada tentera penjajah mengalami luka parah atau sebaliknya. Sumber 24/03/2010, web berita maannews.net

Israel rancang bina lagi perumahan di Al-Quds

Kunjungan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu ke Amerika Syarikat turut diiringi perancangan pembinaan perumahan Israel yang terus meningkat secara mendadak.

Menurut media massa Israel, Majlis Perbandaran Al-Quds telah memberikan kelulusan(green light) bagi pembinaan 20 buah lagi unit perumahan yang baru. Kawasan yang bakal dibina perumahan tersebut adalah bekas runtuhan hotel Palestin di timur Al-Quds.

Radio Israel dan web berita Yediot Ahronout melaporkan bahawa Majlis Perbandaran Al-Quds telah memberikan persetujuan kepada seorang jutawan Yahudi-Amerika, Irving Moskovitch bagi membina 20 unit perumahan di kawasan runtuhan sebuah hotel Palestin di Hayyu Syeikh Jarrah.

Pengumuman tersebut dibuat ketika pertemuan antara Netanyahu dan Barak Obama, Presiden Amerika Syarikat di White House.

Sebelum ini, pentadbiran Amerika Syarikat mengkritik keras tindakan Israel yang mahu membangunkan 1600 buah tempat tinggal bagi penduduk Israel di bandar Al-Quds. Pengumuman Israel mengenai pembinaan itu ketika kunjungan Joseph Baiden, Naib Presiden Amerika Syarikat ke Israel.

Berhubung dengan pengumuman bagi menambahkan lagi unit perumahan Israel, Majlis Perbandaran Al-Quds turut melancarkan perancangan kemajuan bagi kawasan perumahan di timur Al-Quds.

Perancangan tersebut telah mendapat bantahan dari Palestin kerana beberapa buah rumah Palestin yang lama akan diroboh malah perancangan tersebut adalah bagi meluaskan lagi projek perumahan Yahudi di bandar Al-Quds.

Perancangan kemajuan tersebut meliputi sebuah kawasan yang luas yang membentuk seakan segitiga. Perancangan itu bermula dengan pembinaan 1000 buah unit perumahan yang baru dari tembok Kota Lama.

Majlis Perbandaran Al-Quds Israel berkata, perancangan(proposal) berhubung pembinaan telah dikemukakan kepada Jawatankuasa Perancang bagi pungutan suara. Jelas Majlis tersebut, tindakan itu merupakan langkah pertama sebelum perlaksanaan.

Berhubung dengan perancangan Israel dan langkah meningkatkan lagi pembinaan perumahan Israel di bandar Al-Quds, Hatim Abdul Qadir, anggota FATAH yang mengendalikan portfolio Al-Quds berkata, 'Majlis Perbandaran Al-Quds(Israel) berusaha memberi sogokan kepada penduduk Palestin supaya menerima agar dapat membina beberapa buah rumah yang baru di kawasan Yahudi.

Usaha giat bina perumahan Israel

Pengerusi Majlis Perumahan Israel, Navtali Benet mengakui bahawa pembinaan perumahan Israel akan dibangunkan berlipatkali ganda di Tebing Barat(3 kali ganda) sehingga jumlah bilangan Yahudi di Tebing Barat mencapai sejuta orang.

Benet menjelaskan ketika ditemuramah agensi berita REUTERS, bahawa mereka(Israel) sedang berusaha bagi membatalkan ketetapan pembekuan pembinaan buat sementara waktu.

"Boleh untuk menempatkan sejuta Yahudi di Yahuda dan Samarra", ujar Benet yang menyifatkan Yahuda dan Samarra adalah Tebing Barat yang diduduki 2.5 juta penduduk Palestin masa ini.

Benet yang pernah menjadi pembantu tertinggi kepada Netanyahu sebelum pilihanraya tahun lalu menyatakan 'usaha membekukan pembinaan' adalah satu kesilapan yang amat besar.

Sebagaimana Benet mendakwa, pembekuan tersebut boleh dikatakan seperti 'gila' kerana Yahudi tidak dibenarkan membina rumah di tanah mereka sendiri. Sumber 24/03/2010, berita al-Jazeerah dan web berita al-Jazeerah

Lagi serangan udara Israel di Gaza

Israel terus melancarkan siri serangan udara di Gaza. Menurut sumber, pesawat tempur Israel telah menyerang Beit Lahiya yang terletak di utara Semenanjung Gaza awal pagi tadi.

Sumber Palestin yang memaklumkan kepada agensi berita bahawa sebuah pesawat tempur Israel melepaskan satu serangan peluru berpandu ke arah sekumpulan pejuang Palestin di Beit Lahiya.

Berhubung kejadian tersebut, Dr.Muawiyah Husnain, Pengerusi bantuan dan kecemasan di hospital-hospital Gaza menyatakan 'tiada kecederaan atau luka parah dalam serangan tersebut.'

Dari pihak Israel pula berkata, serangan-serangan Israel ke atas Gaza adalah sebagai tindak balas dari serangan roket ke bandar-bandar kecil yang bertentangan dengan Semenanjung Gaza. Sumber 24/03/2010, berita al-Jazeerah dan web berita maannews.net