03 April 2010

Gerakan dan kumpulan pembebasan Palestin bincang peningkatan serangan zionis

GAZA - Perjumpaan antara kumpulan dan gerakan pembebasan Palestin yang mewakili majoriti terbesar telah berlangsung semalam di Gaza.

Sumber melaporkan perjumpaan tersebut adalah bagi membincangkan kedudukan terkini yang berlaku dalam arena politik Palestin berikutan ancaman dari pemimpin zionis yang mahu melancarkan perang terbaru di Semenanjung Gaza.

Salah seorang pemimpin HAMAS, Aiman Taha berkata, "Gerakan HAMAS telah menjemput lima gerakan pembebasan Palestin yang terbesar untuk berbincang mengenai serangan Israel yang tidak henti malah dalam perbincangan itu juga untuk mencari persepakatan dan pendirian bersama."

Bagaimanapun, gerakan FATAH yang juga dijemput untuk perjumpaan tetapi tidak hadir bahkan tidak memaklumkan bantahan jemputan yang telah disampaikan kepada gerakan itu.

Perjumpaan ini disertai wakil-wakil dari HAMAS, JIHAD ISLAMI, Pertahanan Rakyat dan Barisan demokrasi bagi pembebasan Palestin. Sumber 03/04/2010, web berita islamtoday.net

Abu Ali Mustafa serang sebuah pos kawalan Israel

GAZA - Sebuah kumpulan pejuang KATAIB AS-SYAHID ABU ALI MUSTAFA(sayap tentera gerakan Pertahanan Rakyat bagi Pembebasan Palestin) mengakui bertanggungjawab menyerang sebuah pos kawalan tentera Israel, Nehal Auz yang terletak di timur Gaza.

Serangan yang menggunakan roket jenis C5K tepat mengenai sasaran di pos kawalan terbabit. Dinyatakan, waktu kejadian pada asar tadi.

Keterangan kumpulan pejuang tersebut yang disampaikan kepada agensi berita berkata, pengeboman ini adalah sebagai balas pencerobohan yang berterusan dari pihak penjajah dan jenayah terhadap penduduk Palestin termasuk penempatan Israel yang dibina secara terus-menerus di atas tanah Palestin.

Kumpulan pejuang tersebut menjelaskan bahawa pihaknya akan sentiasa membalas setiap serangan berikutan jenayah penjajah ke atas Palestin. Sumber 03/04/2010, web berita maan.net

Anggota kongres Amerika tinjau keadaan kemanusiaan di Gaza

Blog Ellison

ARISH - Sumber keamanan Mesir telah memaklumkan bahawa seorang anggota kongres Amerika Syarikat akan pergi Gaza melalui sempadan Rafah Mesir-Gaza yang diiringi sebuah delegasi diplomasi Amerika dari kedutaan Amerika ke Kaherah.

Jelas sumber lagi, anggota kongres Amerika yang dikenali Keith Maurice Ellison, ahli parlimen Amerika yang beragama Islam telah melintasi sempadan Mesir ke Gaza pagi tadi.

Sebagaimana dinyatakan, lawatan Ellison ke Gaza selama beberapa hari adalah bagi meninjau keadaan persekitaran malah keadaan kemanusiaan yang membimbangkan kerana penduduk Gaza hidup di bawah sekatan Israel semenjak 4 tahun yang lalu.

Sumber turut menyatakan, kemungkinan besar lawatan kongres Amerika turut membawa mesej yang berkaitan dengan perantaraan berhubung isu tahanan seorang tentera Israel di Gaza, iaitu Gil'ad Shalit. Dijelaskan, mesej tersebut akan disampaikan kepada Kerajaan Palestin di Gaza yang ditadbir HAMAS.

Susulan dari lawatan ke Gaza, delegasi diplomasi juga akan meninjau garisan sempadan antara Gaza-Mesir. Sumber 03/04/2010, web berita maan.net dan web berita Al-quds Arabi(London). Ellison, rujuk wikipedia

Pihak Keselamatan Palestin Tebing Barat tangkap 11 anggota HAMAS, SB HAMAS berkas ejen Israel

BET LEHEM - Gerakan HAMAS berkata pihak keselamatan Palestin di Tebing Barat telah menangkap 11 anggotanya di wilayah Tebing Barat.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh HAMAS pada hari ini menyatakan operasi penangkapan itu melibatkan beberapa buah tempat; Ramallah, Qalqiliah, Tulkram, Jenin dan Khalil.

Sebahagian besar dari jumlah anggota HAMAS yang ditangkap adalah di rumah mereka, manakala yang lain ditangkap setelah dipanggil pergi ke pejabat keselamatan.

Sementara itu, sumber dari akhbar Mesir(Shourouk) melaporkan, polis(special branch) dalam kerajaan Palestin(HAMAS) di Gaza telah berjaya memberkas seorang penduduk yang dipercayai menjadi ejen kepada Israel.

Sebelum diberkas, individu terbabit dipanggil ke pejabat polis berikutan terlibat dengan salah laku moral dan keselamatan. Bagaimanapun, setelah siasatan, individu terbabit mengaku terlibat dalam kes rogol selain itu juga mengakui bekerjasama dengan penjajah(Israel) di pertengahan Gaza. Sumber 03/04/2010, web berita maan.net dan suratkhabar Shourouk(Mesir)