25 Julai 2010

Sesak nafas ketika upacara pengebumian di Beit Umar

KHALIL - Beberapa penduduk Palestin mengalami sesak nafas dalam upacara pengebumian di tanah perkuburan Beit Umar apabila tentera penjajah bertindak melepaskan bom gas ke atas mereka.

Sumber dari agensi berita menjelaskan bahawa sepasukan tentera Israel merempuh ke tanah perkuburan tersebut dan melontar bom gas sehingga mendorong para pengiring jenazah meninggalkan jenazah dan tidak dapat menyempurnakan upacara pengebumian pada waktu itu.

Bagaimanapun, setelah tentera penjajah berundur pergi, para pengiring jenazah kembali menyempurnakan semula upacara pengkebumian.

Tanah perkuburan tersebut terletak berhampiran dengan pos kawalan(check-point) tentera Israel di bandar kecil Beit Umar, utara bandar Khalil. Sumber 25/07/2010, web berita safa.ps

Gaza memerlukan lebih 63 ribu buah unit perumahan

GAZA - Menteri Kerja Raya dan Perumahan di Gaza, Yusof Mahmud Al-Mansi berkata, 'Semenanjung Gaza memerlukan lebih 63 ribu buah unit perumahan masa ini..lebih-lebih lagi selepas perang ke atas Gaza pada tahun 2008-2009'.

Al-Mansi dalam kenyataannya menjelaskan, kementeriannya telah menyusun beberapa rancangan projek pembinaan perumahan bagi mencegah berlakunya kelembapan dalam sektor perumahan di Gaza, namun dengan penutupan sempadan-sempadan Gaza, projek tersebut tidak dapat dilaksanakan.

Beliau menyatakan, usaha-usaha pembinaan di Gaza terhenti dan apa yang disebarkan dalam media massa mengenai pelonggaran sekatan hanyalah penipuan semata-mata Israel kepada dunia. Jelas beliau, Israel telah menghalang kemasukan bahan-bahan asas binaan ke Gaza.

Menteri Kerja Raya dan Perumahan Gaza merayu kepada masyarakat antarabangsa perlunya mengenakan tekanan kepada penjajah demi membebaskan Gaza dari sekatan dan membenarkan kemasukan bahan-bahan asas binaan bagi memulakan membina unit-unit perumahan khususnya kepada mereka yang ditimpa bencana akibat perang tahun lalu.

Ketika perang ke atas Gaza tahun lalu, penjajah telah membedil beribu-ribu buah rumah penduduk Gaza. Di antaranya, rumah-rumah yang dibedil musnah teruk dan ada yang rosak sebahagian. Akibat dari itu, beribu-ribu penduduk mendapatkan perlindungan di khemah-khemah dan rumah keluarga serta jiran tetangga. Hanya sebahagian kecil dari mereka yang berkemampuan menyewa rumah-rumah yang sedia ada. Sumber 25/07/2010, web berita safa.ps