27 September 2010

Tentera rejim zionis belasah seorang remaja Palestin

KHALIL - Seorang remaja Palestin telah ditangkap oleh tentera rejim zionis hari ini. Menurut sumber, remaja Palestin itu sebaik ditangkap turut dibelasah dengan teruk berhampiran rumahnya di Hayyu Ra's, kawasan perumahan selatan di bandar Khalil, Tebing Barat.

Sumber tempatan yang menyampaikan maklumat kepada agensi berita 'Safa' berkata, tentera rejim zionis telah menangkap seorang remaja Palestin, So'el Rabhi Abu Quweidar, 13, kemudian beberapa orang tentera rejim zionis memukulnya dengan teruk.

Saksi menyatakan, dia melihat, darah meleleh turun dari mulut remaja itu ketika ditangkap dan dibawa ke tempat yang tidak diketahui. Sumber 27/09/2010, web berita safa.ps

Tangkap 5 Palestin, 7 HAMAS

NABLUS - Seramai 5 penduduk Palestin dari kampung Talfit di Wilayah Nablus, utara Tebing Barat telah ditangkap tentera rejim zionis awal pagi tadi.

Sumber tempat menjelaskan, sepasukan tentera rejim zionis yang merempuh masuk ke kampung Talfit pada malam semalam turut menggeledah beberapa buah rumah serta merosakkan perkakasan. Menjelang beberapa jam sebelum subuh, rejim zionis berundur keluar dari kampung berkenaan setelah menangkap penduduk Palestin, Hasan Farj, Aisar Shahin, Ayub Muslim, Yunus Mahmoud, dan Rasma Shahin.

Sehingga kini, lebih 7000 penduduk Palestin meringkuk dalam penjara zionis setelahmana operasi penangkapan dilancarkan tanpa henti di Tebing Barat.

7 HAMAS ditangkap

Sementara itu, gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية) dalam keterangan yang disampaikan kepada aegnsi 'Safa' hari ini, mendakwa Pihak Keselamatan Palestin di Tebing Barat telah menaangkap 7 anggotanya di beberapa buah wilayah; Khalil, Nablus, Qalqiliah dan Bet Lehem. Sumber 27/09/2010, web berita safa.ps

Ceroboh dan operasi 'mengesan' di Gaza

KHAN YUNUS - Sumber melaporkan, jentera perang rejim zionis telah menceroboh ke dalam kawasan tanah penduduk Palestin pagi tadi di kawasan Al-Qararah dan menuju ke kawasan Al-Farahain, timur bandar Khan Yunus, selatan Semenanjung Gaza.

Jelas wartawan agensi berita 'Safa' yang menukilkan dari saksi kejadian berkata, sebanyak empat buah kereta kebal dan dua buah jentolak zionis menceroboh sejauh 250 meter ke dalam kawasan tanah penduduk Gaza yang berhadapan dengan garisan sempadan.

Ketika menceroboh, jentolak zionis meratakan tanah pertanian dari garisan sempadan dengan jarak yang lebih meluas, bermula dari pintu gerbang As-Suraij, tenggara bandar Khan Yunus melewati Al-Farahain di daerah Bani Suheila. Sambil itu, tentera rejim zionis turut menjalankan operasi mengesan di kawasan terbabit.

Tembak ke arah rumah penduduk

Kejadian lain yang dilaporkan, saksi berkata, tentera rejim zionis yang berpengkalan di pos tentera Abu sofiah melepaskan tembakan secara rambang ke arah beberapa buah penduduk Gaza di Mukhayyam Al-Maghazi, pertengahan Semenanjung Gaza.

Sumber menyebut, tiada laporan mengenai luka parah atau kecederaan yang diterima dari pihak hospital.

Sejak dari akhir perang yang lepas, tentera rejim zionis memberi peringatan kepada penduduk Palestin di Gaza agar tidak mendekati 300 meter dari garisan sempadan. Kawasan tersebut dikatakan sebagai zon tentera, malah sesiapa yang melanggar peringatan itu akan diancam. Sumber 27/09/2010, web berita safa.ps