21 Oktober 2010

'Lifeline 5' berjaya tiba di Gaza


Sumber klip berita, youtube.com

GAZA - Ketibaan konvoi 'lifeline 5' di Semenanjung Gaza pada petang tadi(khamis) yang melintasi sempadan Rafah, Republik Arab Mesir disambut besar-besaran dan juga secara rasmi.


Liputan dari pemberita Al-Jazeerah, Tameer Mashal jelas menunjukkan sebaik konvoi tiba di Gaza, laungan takbir 'Allah Maha Besar' kedengaran kuat dari para sukarelawan konvoi. Di samping itu, sujud syukur tanda gembira yang tidak terhingga dan ada sukarelawan wanita menangis kerana dapat bertemu dengan penduduk Palestin di Gaza yang terkepung dengan sekatan zalim zionis.

Pemberita Al-Jazeerah menjelaskan lagi bahawa konvoi dapat merentasi sempadan Rafah dengan mudah dan senang berikutan pihak penganjur konvoi mengikut persetujuan dengan Pihak Berkuasa Mesir.

Jurucakap konvoi, Zaher Birawi berkata, Pihak Berkuasa Mesir telah membenarkan 342 sukarelawan memasuki Gaza. Sebahagiannya ada yang datang dengan menaiki kapal dari pelabuhan Latakia dan sebahagian besar yang lain menaiki kapal terbang Syria.

Beliau menyebut para sukarelawan yang terlibat datang dari 30 buah Negara, 12 darinya Negara Arab dan selebihnya adalah dari Negara-negara barat yang jauh.

"Tujuan mereka hanyalah satu iaitu untuk membantu membebaskan Palestin dari kezaliman," jelas Birawi.

Jurucakap konvoi mengungkapkan ketibaan sukarelawan-sukarelawan lifeline ke Gaza petang ini menandakan pembetulan kesilapan yang telah dilakukan pihak Mesir kepada kami pada permulaan perjalanan konvoi. Demikian itu, konvoi akan berada di Gaza selama tiga hari dan akan beredar keluar pada pagi ahad akan datang.

Beliau turut menyatakan, para sukarelawan bertekad untuk mengadakan tinjauan dan melawat tempat-tempat yang musnah serta bertemu dengan sebahagian keluarga mangsa-mangsa perang Israel.

Kapal besar Greek yang membawa kenderaan konvoi lifeline 5 berlepas dari pelabuhan Latakia, Syria malam semalam dan tiba di pelabuhan El-Arish selepas waktu tengahari tadi.

Mengulas antara persetujuan Pihak Berkuasa Mesir bagi membenarkan konvoi ke Gaza, seramai 17 sukarelawan termasuk bekas ahli parlimen Britain, George Galloway tidak dibenarkan masuk ke Gaza. Pihak Berkuasa Mesir menganggap sukarelawan-sukarelawan tersebut individu-individu yang tidak dialu-alukan Mesir.

Konvoi 'amal'

Ketika penduduk Gaza meraikan kegembiraan dengan sukarelawan konvoi lifeline 5 yang telah berjaya memasuki Gaza, sebuah lagi konvoi bantuan kemanusiaan dari Britain sedang bersiap sedia memasuki Libya.

Konvoi 'طريق الأمل' yang disertai 70 aktivis Britain dengan 29 buah kenderaan yang membawa muatan makanan, bekalan perubatan dan alat-alat pembelajaran datang dari Tunisia menuju ke Semenanjung Gaza dan akan merentasi Libya dan tanah Mesir. Sumber 21/10/2010, berita Al-Jazeerah, web berita safa.ps dan web berita Al-Jazeerah

Rakaman-rakaman gambar konvoi lifeline 5 yang berjaya memasuki Gaza.
Dipetik dari web berita safa.ps
















Pejuang ALWIYAH serang unit khas zionis

RAFAH - Kumpulan pejuang, ALWIYAH NASEER SALAHUDDIN(sayap tentera لجان المقاومة الفلسطينية) mengumumkan pihaknya mensasarkan serangan terhadap tentera rejim zionis berhampiran pintu gerbang 'المطبق', timur Rafah yang terletak di selatan Semenanjung Gaza.

Gambar(safa): Pejuang ALWIYAH NASEER SALAHUDDIN.

Dalam salinan kenyataan rasmi kumpulan pejuang itu kepada agensi berita 'Safa', ALWIYAH berkata, pejuangnya telah melepaskan 3 serangan roket 'hawn', 82 milimeter pagi ini ke atas sebuah unit khas tentera rejim zionis yang menceroboh. Jelas ALWIYAH, pejuangnya berjaya melaksanakan misi itu dan dapat pulang ke pos kawalan dengan selamat.

ALWIYAH menyatakan lagi, operasi pagi ini adalah bagi menghadang serangan rejim zionis serta membalas ancaman zionis yang berniat melancarkan perang terbaru ke atas Semenanjung Gaza.

"Pejuang-pejuang kami sentiasa bersedia di lokasi-lokasi utama bagi mempertahankan kesucian tanah-tanah kami," jelas ALWIYAH.

Kumpulan pejuang ini turut menegaskan bahawa pilihan jihad dan penentangan adalah satu-satunya jalan untuk membebaskan keseluruhan tanah Palestin yang dirompak. Sumber 21/10/2010, web berita safa.ps

Pesawat pengintip gugur, jentolak zionis terbalik

GAZA - Kejadian yang tidak disangka pagi ini(Khamis), sebuah pesawat pengintip rejim zionis gugur dalam kawasan tanah penduduk Palestin di Hayyu Syuja'iah. Kedudukan kawasan tersebut bertentangan dengan garisan sempadan di sebelah timur bandar Gaza.

Menurut saksi dan sumber keselamatan menjelaskan kepada agensi berita 'Safa' bahawa pesawat pengintip zionis gugur dalam kawasan Palestin yang jaraknya 200 meter dari garisan sempadan. Berikutan itu, jentera perang rejim zionis berkejaran ke lokasi gugurnya pesawat.

Dua sumber berkenaan menyebut, dua buah kereta kebal zionis terus pantas menceroboh ke lokasi berkenaan untuk mengambil pesawat pengintip yang gugur dan berderai. Ketika jentera perang zionis berundur dari lokasi yang diceroboh, tidak semena-mena jentolak zionis terbalik. Kemudian, jentolak yang lain bingkas menundanya masuk ke dalam garisan sempadan.

Jelas sumber, operasi pencerobohan pagi ini tidak kedengaran bunyi tembakan. Namun dalam masa yang sama dinyatakan bahawa beberapa buah helikopter zionis meninjau dan membuat liputan kejadian itu dari ruang udara. Sejurus operasi zionis selesai, jentera perang rejim zionis beredar meninggalkan kawasan berkenaan. Sumber 21/10/2010, web berita safa.ps