04 Mei 2011

Kami gagal bawa pulang Shalit - Ketua SHABAK

Laporan jam 05.50 petang, Palestin/Mekah
Jam 04.40 petang, Mesir

UMMUL FAHM - Ketua Perkhidmatan Keselamatan Dalaman Umum Israel atau SHABAK, Yuval Diskin(gambar) berkata, agensinya dan dia secara peribadi telah gagal membawa pulang seorang tentera zionis yang ditawan gerakan HAMAS, Gilad Shalit ke pangkuan keluarganya.

Memetik kata Diskin petang Rabu dari web berita 'Haaretz' versi hebrew, "saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini yang membuatkan saya merasa teramat sedih."

Tambah Diskin, "risikan kami juga gagal mendapatkan maklumat tempat Shalit ditawan, pihak yang bertanggungjawab tidak boleh dituding kepada mana-mana pegawai perkhidmatan ini kerana saya yang tidak berjaya membawa pulang shalit ke rumahnya, sama ada melalui operasi ketenteraan atau rundingan."

Ketua SHABAK menyatakan bahawa sejak Shalit berada dalam tawanan HAMAS, agensinya bekerja bertungkus-lumus siang dan malam, tambahan pula, beberapa unit khas telah ditubuhkan malah berbagai-bagai cara dikhtiarkan semata-mata untuk mendapatkan semula Shalit.

Diskin bersiap sedia menyerahkan jawatan Ketua SHABAK kepada penggantinya, Yoram Cohen pada waktu akan datang.

Gilad Shalit seorang tentera zionis ditawan pada 25 Jun 2006 hasil kerjasama beberapa buah kumpulan pejuang Palestin di Gaza. Sehingga kini, Shalit masih berada dalam tawanan pejuang Palestin dan rundingan penukaran tawanan Shalit dengan tahanan-tahanan Palestin dari penjara zionis telah digagalkan oleh pemerintah rejim zionis, menurut HAMAS. Sumber 04/05/2011, web berita safa.ps

Haniyeh hubungi Abbas, Meshaal, Shalah

Laporan jam 03.53 petang, Palestin/Mekah
Jam 02.53 petang, Mesir

GAZA - Ketua Kerajaan Palestin di Semenanjung Gaza, Ismail Haniyeh(gambar) telah menghubungi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas, Ketua Biro Politik gerakan HAMAS, Khaled Meshaal dan Setiausaha Agung gerakan JIHAD ISLAMI, Ramadhan Abdullah Shalah yang berada di Kaherah.

Beliau mengucapkan tahniah kepada pemimpin-pemimpin tersebut sempena majlis menandatangani persetujuan hubungan baik pulih dalaman Palestin di Kaherah hari ini.

Ismail Haniyeh menyatakan, beliau bersedia mengerahkan segala usaha dan tenaga demi melaksanakan persetujuan secara nyata sama ada di Tebing Barat atau Semenanjung Gaza.

Lapor berita Al-Jazeerah, selepas ucapan Khaled Meshaal, beliau dan Mahmoud Abbas mengadakan pertemuan tertutup bagi membincangkan hasil yang dipersetujui. Sumber 04/05/2011, web berita safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Hijau dan kuning seiringan bersama di Gaza

Laporan jam 12.57 petang, waktu Palestin/Mekah
(kemaskini 01.30 petang, Mesir)

GAZA - Pemimpin-pemimpin kumpulan pembebasan dan ahli parlimen serta beratus-ratus penduduk Palestin keluar ke medan Jundi Majhul di bandar Gaza dengan penuh kegembiraan hasil dari persetujuan baik pulih.

Mereka yang berada di medan itu melaungkan slogan-slogan kesatuan sambil mendesak agar melaksanakan apa yang disepakati serta berpegang teguh dan tidak kembali lagi kepada perpecahan.

Gambar(Safa): Bendera hijau dan kuning seiring bersama di Gaza.

Penyokong-penyokong gerakan HAMAS dan FATAH mengibarkan bendera Palestin dan bendera gerakan masing-masing serta sepanduk-sepanduk yang memuji persepakatan baik pulih. Turut kelihatan, pemimpin-pemimpin HAMAS berdiri bersebelahan pemimpin FATAH dalam suasana yang menyentuh perasaan.

Sementara itu, penduduk Palestin turut berkumpul di Ramallah, Tebing Barat sambil membawa bendera Palestin.

Jelas sumber, penduduk Palestin amat mengharapkan kepada perlaksanaan persetujuan ini secara nyata tidak berlegar-legar di atas kertas.

Lapor Safa, majlis menandatangani persetujuan baik pulih hubungan ini bermula pada jam 12.30 petang waktu Mesir di bangunan pejabat perisikan Mesir di Kaherah. Turut hadir, Robert Sierre, utusan PBB, Setiausaha Agung Liga Arab, Amru Moussa, pemimpin-pemimpin Arab dan Negara Islam serta duta-duta luar.

Ketua perisikan Mesir, Murad Mawafi memberikan ucapan penghargan yang mengalu-alukan malah memuji persetujuan baik pulih hubungan dalaman Palestin yang mengakhiri babak perpecahan Palestin. Sumber 04/05/2011, berita Al-Jazeerah dan web berita safa.ps