16 Jun 2011

Penjajah tangkap anggota bomba Palestin

Laporan jam 11:34 malam, Palestin/Mekah
Jam 10:34 malam, Mesir

NABLUS - Sepasukan tentera rejim penjajah menangkap salah seorang anggota bomba Palestin ketika sedang bergegas ke lokasi kemalangan jalan raya di kampung Huwwara, selatan bandar Nablus, Tebing Barat.

Salinan kenyataan dari pejabat perhubungan awam kepada agensi berita Safa, berkata, setelah tentera penjajah menghalang anggota-anggota bomba ke tempat kejadian, beberapa anggota bomba telah diserang tentera penjajah dan menangkap pemandu trak penyelamat pusat pertahanan awam Burin, Sarjan Mus'ab Abdul Qadir Ad-Dhamidi, 30.

Tambahan lagi, tentera penjajah memindahkan Ad-Dhamidi ke pusat tahanan Ariel bawah seliaan polis Israel berhampiran Sulfit. Sumber 16/06/2011, web berita Safa.ps

Roket gugur di Eshkol

Laporan jam 09:56 malam, Palestin/Mekah
Jam 08:56 malam, Mesir

GAZA - Sumber-sumber dari media massa Israel melaporkan bahawa satu serangan roket gugur malam ini di kawasan Majlis Daerah Penempatan zionis 'Eshkol' yang terletak di selatan tanah jajahan 1948, iaitu sebelah timur Semenanjung Gaza(media lain menyebut Jalur Gaza, Genting Gaza).

Kedudukan Majlis Daerah Eshkol, tanah jajahan 1948 berada dalam ruangan peta warna hijau muda.

Dari web berita Israel 'Haaretz' versi hebrew menjelaskan serangan roket itu tidak menjejaskan harta benda atau kehilangan nyawa berikutan gugur di kawasan tidak berpenghuni.

Sebuah lagi sumber Israel dari web berita 'Yedioth Ahronoth' versi english melaporkan beberapa detik sebelum jam 09:30 malam(waktu Palestin), siren kecemasan serangan roket berbunyi di Majlis Daerah Eshkol(penempatan zionis). Selepas itu, kedengaran letupan di sebuah kawasan.

Selama pemerhatian ke atas laporan berita Israel berhubung serangan roket yang gugur di penempatan-penempatan yang bersempadan dengan Gaza, kerap-kali media Israel memberi julukan nama roket adalah roket Qassam(Al-Qassam, merujuk kepada sayap tentera HAMAS).

Awasi udara Gaza

Menurut pemberita Safa, setelah beberapa minit dari laporan serangan roket yang gugur di Eshkol, pesawat-pesawat pengintip tanpa pemandu zionis dilihat berterbangan rendah di timur Rafah, selatan Gaza. Diikuti pula, menara-menara kawalan tentera zionis melepaskan bom cahaya di kawasan-kawasan timur Gaza.

Safa menukil dari saksi kejadian, menara-menara kawalan yang berada di penjuru kawasan Hayyu El-Farahain, timur Khan Yunus turut melepaskan tembakan mesin gan ke arah kawasan sekitar ladang-ladang pertanian.

Sehingga laporan ini diterbitkan, tidak ada mana-mana lagi sayap-sayap tentera pejuang Palestin di Gaza mengakui melepaskan serangan roket ke Eshkol. Sumber 16/06/2011, web berita Safa.ps dan web berita ynet