13 Julai 2011

Zionis mengebom dua lokasi di Gaza

Laporan asal jam 11:22 malam, Palestin/Mekah
Jam 10:22 malam, Mesir

GAZA - Pesawat tempur zionis telah menyasarkan serangannya malam ini ke atas beberapa sasaran berlainan tempat di Semenanjung Gaza(media lain menyebut Genting Gaza, Jalur Gaza, Tebing Gaza). Sehingga laporan diterbitkan, tiada sebarang luka parah dimaklumkan.

Menurut pemberita Safa, serangan pertama, pesawat zionis melepaskan tembakan peluru ke atas sebuah terowong bawah tanah yang terletak di kawasan Abu Shushah di sebelah timur sempadan Rafah. Serangan tersebut mengakibatkan terowong berkenaan serta beberapa buah lagi terowong bawah tanah yang berdekatan musnah.

Sebagaimana dinyatakan, pengeboman ke atas terowong bawah ini berlaku secara mengejut tanpa ada sebarang peringatan seperti sebelum ini.

Pesawat tempur zionis melancarkan serangan kedua ke atas sebuah bengkel milik keluarga Daghmash di timur Hayyu Shujaieyah, bandar Gaza. Akibatnya, sejurus letupan merebak pula kebakaran di kawasan berkenaan.

Serangan kedua ini secara khususnya membuatkan kanak-kanak dan wanita dilanda rasa panik dan ketakutan ekoran letupan dari serangan zionis yang terlalu kuat.

Zionis serang balas

Safa menyebut bahawa dua serangan yang dilancarkan zionis malam ini berikutan dari 4 serangan roket Palestin yang menyerang sejak semalam ke kawasan majlis daerah penempatan zionis, iaitu kawasan-kawasan jajahan rejim zionis yang berkedudukan setentang dengan Gaza.
_______________________________________________
Baca lagi:

Cedera dalam pengeboman zionis di Gaza

_______________________________________________

Serangan roket yang terkini gugur di barat Naqab berkedudukan dalam tanah jajahan 1948 dilaporkan sebelum tengahari siang tadi. Sumber 13/07/2011, web berita Safa.ps

Bot nelayan rosak ditembak tentera laut zionis

Laporan jam 06:22 petang, waktu Palestin/Mekah
Jam 05:22 petang, waktu Mesir

GAZA - Tembakan bertubi-tubi dari bot tentera laut zionis ke arah bot serta sampan nelayan Palestin pada tengahari tadi telah mengakibatkan beberapa buah sampan terjejas teruk, malah kelengkapan alat memburu ikan juga rosak. Berikutan kejadian itu, aktiviti menangkap ikan selesai hari ini.

Gambar: Bot Oliva yang digunakan relawan CPS menjalankan misinya di laut Gaza.

Nizar Ayash selaku kapten nelayan berkata, bot tentera zionis menghujani tembakan terhadap bot-bot nelayan. Tambah beliau, tentera laut zionis turut melepaskan tembakan di udara ketika berada berdekatan dengan bot *Oliva yang dinaiki 4 relawan asing bertujuan melindungi para nelayan serta mendokumentasi pelanggaran zionis terhadap nelayan Palestin.
________________________________________________
Baca lagi:

*Oliva - Bot yang dinaiki krew relawan Civil Peace Service Gaza(CPS Gaza). Misi CPS adalah melindungi nelayan Gaza dari gangguan tentera laut zionis serta mendokumentasi sebarang pencabulan hak asasi manusia di perairan Gaza[perincian].




Bot CPS dihala penyembur air tengahari tadi.

Sumber: youtube.com

________________________________________________

Tambahan lagi, tentera laut zionis juga melepaskan semburan air ke atas bot Oliva.

Logo CPS

Bot Oliva dan para nelayan cuba melepasi jarak 3 batu nautika yang ditetapkan oleh zionis untuk zon memburu ikan turut termasuk dalam sekatan yang dikenakan ke atas Gaza hampir 5 tahun.

Kata Ayash, aktiviti memburu ikan hari ini telah selesai tanpa mendapat sebarang hasil sepertimana berakhirnya musim sardin(merujuk kepada bulan April dan Mei) bagi tempoh tahun kelima berturut-turut.

Beliau menjelaskan bahawa rejim zionis mengetatkan kekangannya terhadap nelayan demi untuk menjaga sekatan laut yang berada dalam kawalannya.

CPS Gaza diserang water-cannon

Menurut laporan dari web Civil Peace Service Gaza(CPS Gaza), bot tentera zionis menyerang bot CPS yang dinaiki 4 relawan dengan penyembur air(water-cannon) hari ini pada jam 12:05 tengahari, waktu tempatan(Palestin).

Peta: Lingkaran merah adalah jarak sekatan laut yang dikenakan ke atas Gaza waktu ini. Nelayan Palestin di Gaza hanya dibenarkan memburu ikan sejauh 3 batu nautika.

Seorang relawan Britain, Ruqaya Al-Samarrai berkata, "ketika tentera zionis melepaskan semburan air, kedudukan kami tidak kurang dari 2 batu nautika dari persisiran pantai Gaza. Kami melihat mereka melepaskan semburan air ke beberapa buah bot nelayan, lantas kami bergegas ke situ. Apabila kami tiba, penyembur air zionis berpaling ke arah kami dan meninggalkan bot nelayan. Lebih 10 minit kami dihala dengan penyembur air sewaktu menuju ke persisiran pantai, namun kami terlepas keluar dari luar pantai sejauh 1 batu nautika."

CPS menyebut, zionis mendakwa bahawa membenarkan nelayan memburu ikan dalam jarak 3 batu nautika tetapi ketika dalam jarak 1.5 batu nautika, nelayan telah diganggu dan menjadi sasaran tentera laut zionis.

Berjaya gagalkan pelayaran 'flotila 2'

Baru-baru ini, hasil dari tekanan politik dan keselamatan, rejim zionis berjaya menggagalkan misi 'flotila 2' yang tekad memecahkan sekatan laut. Sedemikian itu, bot-bot dan kapal 'flotila 2' terperangkap di pelabuhan-pelabuhan Greece.

Rejim zionis telah memutuskan Gaza dari berhubung dengan dunia luar melalui sekatan laut sejak penaklukan tahun 1967. Sehingga kini tidak ada kapal-kapal besar berjaya menembusi masuk ke pelabuhan Gaza kecuali hanya beberapa buah bot kecil.

Kawalan ketat ini dijaga rapi seperti termaktub dalam perjanjian Oslo yang memberikan kebebasan kepada nelayan Gaza memburu ikan sejauh 20 batu nautika. Bagaimanapun, sebaik sahaja intifadhah meletus, jarak tersebut dikurangkan kepada 8 batu nautika, kemudian permulaan sekatan dan selepas Gaza dilanda perang akhir 2008 - awal 2009, jarak tersebut dikecilkan sehingga 3 batu nautika sahaja. Sumber 13/07/2011, web berita Safa.ps dan media cpsgaza.org

Penjajah tangkap 11 Palestin bawah umur

Laporan jam 03:45 petang, waktu Palestin/Mekah
Jam 02:45 petang, Mesir

BAITULMAQDIS - Polis penjajah menangkap 11 remaja Palestin bawah umur di Silwan, BaitulMaqdis atas dakwaan melontar batu dan botol kaca berisi minyak petrol ke bangunan tapak penempatan haram zionis 'Bet Yuntan'.

Peta, google map: Kedudukan daerah Silwan di selatan Masjid Al-Aqsa. Biarpun Silwan berada dalam kawasan BaitulMaqdis Timur(Palestin), namun penjajah bebas keluar masuk dan menggerakkan operasi ketenteraannya.

Sepasukan polis dari unit khas menyerbu masuk ke rumah-rumah remaja Palestin yang masih bawah umur dalam lingkungan dari 14 hingga 17 tahun.

Jurucakap polis penjajah berkata, beberapa hari lagi surat dakwaan akan dikemukakan kepada remaja bawah umur ini untuk hukuman.

Gambar(arkib Safa): Tidak mengenal usia, penjajah turut menangkap Palestin bawah umur.

Safa melaporkan, golongan kanak-kanak dan remaja Palestin bawah umur sentiasa dan selalu menjadi sasaran pihak berkuasa penjajah. Sumber 13/07/2011, web berita Safa.ps

Cedera dalam pengeboman zionis di Gaza

Laporan jam 01:42 pagi, waktu Palestin/Mekah
Jam 12:42 pagi, waktu Mesir
(kemaskini jam 02:41 pagi, waktu Mesir)

GAZA - Seorang wanita Palestin tercedera lewat malam tadi berikutan terkena serpihan peluru yang ditembak oleh pesawat tempur zionis ke arah sasarannya berhampiran stesen pelincir di jalan Yafa, Hayyu Tufah, timur bandar Gaza.

Jurucakap Jawatankuasa Tertinggi Bantuan Cemas di Gaza, Adham Abu Salmiah mengesahkan kejadian berkenaan dan wanita Palestin yang cedera telah dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

Menurut pemberita Safa, pengeboman dari pesawat zionis mengakibatkan saliran paip utama terjejas dan air melimpah keluar ekoran mengalami kebocoran.

Serang lagi sekali

Setelah dua jam berlalu, pesawat tempur zionis mengebom semula di lokasi yang sama di Hayyu Tufah. Saksi berkata, satu letupan besar natijah dari pengeboman di lokasi yang menjadi sasaran.

3 serangan roket

Jelas Safa, pengeboman zionis di Gaza sebaik sahaja 3 serangan roket Palestin gugur di salah sebuah penempatan zionis, Sdot Negev serta mengakibatkan sebuah rumah warga haram terjejas dan satu lagi serangan roket gugur di kawasan lapang Sha'ar Hanegev lewat malam tadi, 12/07/2011. Kedua-dua lokasi sasaran serangan roket terletak di barat Naqab(selatan tanah jajahan 1948).

Sewaktu laporan ini diterbitkan, tiada lagi mana-mana kumpulan sayap senjata Palestin mengakui melancarkan serangan roket. Bagaimanapun, media Israel, Haaretz dan Ynet terus menuduh ia adalah roket Qassam merujuk kepada sayap tentera gerakan HAMAS meskipun serangan roket baru-baru ini diakui oleh kumpulan salafi, jamaah 'Tauhid Wal-Jihad' yang menolak tempoh tenang(gencatan senjata seketika) sepertimana yang disepakati 13 sayap tentera, antaranya Al-QASSAM(sayap tentera HAMAS), SARAYA AL-QUDS(sayap tentera JIHAD ISLAMI), ALWIYAH NASEER SALAHUDDIN, KATAIB AL-WATANIAH dan lain-lain lagi.

Walaubagaimanapun, 13 sayap tentera ini memberi petunjuk bahawa akan menyerang balas jika rejim zionis bertindak sedemkian. Sumber 13/07/2011, web berita Safa.ps dan arkib maklumat