31 Julai 2011

Al-Risheq: hubungi untuk temukan HAMAS dan FATAH

Laporan jam 08:12 malam, waktu Palestin/Mekah
Jam 07:12 malam, waktu Mesir

DAMSHIK - Seorang dari anggota Biro Politik HAMAS, Izzat AlRisheq(gambar, seperti termaktub dalam facebook) telah mendedahkan gerakan HAMAS dan FATAH telah beberapa kali menghubungi antara satu sama lain pada waktu ini bagi mengadakan pertemuan dalam terdekat.

Pertemuan tersebut demi untuk memantau dan meneliti perkembangan dokumen-dokumen baik pulih hubungan dalaman Palestin yang telah ditandatangani di Kaherah.

Menukil kenyataan Al-Risheq dari 'Pusat Media Palestin' hari ini, kata beliau, "pertemuan kedua-dua pihak ini akan memfokuskan perbincangan berhubung dokumen PLO serta struktur pimpinan, dokumen badan keselamatan dan tahanan politik, dokumen pilihanraya, dan begitu juga dokumen penyelesaian faktor-faktor perpecahan."

Berhubung dokumen pembentukan kerajaan sementara, beliau berkata, "sehingga sekarang ini, tidak ada perkembangan terbaru dalam dokumen bentuk kerajaan," tambah beliau, hal sedemikian disebabkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas masih nekad mencalonkan satu-satunya pilihan bagi mengetuai kerajaan iaitu Salam Fayyad. Tambah Al-Risheq, "perkara inilah yang menggagalkan perlaksanaan hasil dari persepakatan Kaherah antara dua gerakan ini."

Susulan itu, kata beliau, "tidak dapat dipastikan lagi hingga saat ini berhubung jadual pertemuan ini, sama ada tempat dan masanya."

Seperti yang dinyatakan, delegasi gerakan HAMAS yang telah berkunjung ke Beirut pada 25 dan 26 Julai 2011(Isnin dan Selasa) mendedahkan mengenai pertemuan-pertemuan terdekat ini antara kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin di Kaherah untuk menyempurnakan usaha baik pulih hubungan dalaman Palestin, namun mereka mempamerkan tindakan berjaga-jaga ekoran wujudnya suasana yang membantutkan usaha baik pulih sebelum tercapainya pengumuman negara Palestin pada September ini. Sumber 31/07/2011, web berita Safa.ps dan hamasinfo

[Karikatur] Zionis ancam batalkan Perjanjian Oslo

Sumber karikatur, web berita Al-Jazeerah

"Pilihan pertama, kedua dan ketiga .. kita akan terus di meja rundingan, jika gagal, kita akan beralih ke PBB pada September akan datang untuk mengadu permasalahan dan bagi menuntut hak kita, iaitu mendapatkan pengiktirafan 'Palestin' sebuah negara merdeka ," kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Negara Palestin merdeka sebagaimana yang dituntut oleh Palestin adalah mengikut garis sempadan tahun 1967 yang meliputi Tebing Barat dan Semenanjung Gaza(media lain menyebut Tebing Gaza, Genting Gaza, Jalur Gaza). Sehingga kini, menurut Presiden Abbas, 122 buah negara telah menyatakan bersedia mengiktiraf Negara Palestin, namun Amerika Syarikat(AS) dan Negara Eropah, antaranya Britain tidak bersedia memberi pengiktirafan tersebut. AS dan negara-negara Eropah yang berkenaan terus menekan Palestin agar tidak bertindak sebelah pihak tanpa mendapat restu dari rejim penjajah untuk menubuhkan negara Palestin. Malahan AS juga mengancam untuk tidak memperuntukkan lagi pembiayaan kepada PBB, pada masa yang sama Pemerintah Palestin di Ramallah bergelumang dengan krisis ekonomi/kewangan sehingga menjejaskan pembayaran gaji kepada para pekerja ekoran bantuan kewangan luar yang terbantut.

Keadaan ini terus ditekan oleh rejim zionis supaya Palestin tidak bertindak sebelah pihak sambil menyeru untuk adakan semula rundingan damai, namun tanpa syarat. Bagaimanapun, Palestin memberi jawab balas supaya hentikan terlebih dahulu pembinaan perumahan dan penempatan warga zionis di Tebing Barat dan di Baitul Maqdis Timur. Melihat kepada nekad Palestin, rejim zionis mengancam lagi dengan pembatalan perjanjian damai Oslo. Pun begitu, wujud suara-suara lain yang meminta agar mengutamakan prioriti, iaitu melaksanakan terlebih dahulu perjanjian baik pulih hubungan dalaman Palestin, antara gerakan HAMAS dan FATAH sebelum menuntut penubuhan sebuah negara merdeka kerana melihat penting kepada paduan kekuatan dalaman.

Peta Palestin

Tanah-tanah yang berbaki kepada Palestin