01 Ogos 2011

Tangkap dan serbu lagi rumah Palestin

Laporan jam 03:23 petang, waktu Palestin/Mekah
Jam 02:23 petang, waktu Mesir

TEBING BARAT - Rejim penjajah terus menindas Palestin hari ini. Terkini, seorang warga Palestin berusia ditangkap ketika melawat anaknya di penjara zionis, diikuti serbuan dan lagi kes penangkapan bertambah setelahmana tragedi serbuan awal pagi tadi mengakibatkan 2 pemuda Palestin syahid.

Perincian berita, Safa melaporkan Jabatan Pentadbiran Penjara Ramon menangkap seorang warga Palestin yang berusia 65 tahun, Musa Muhammad Abdul Hafiz Al-Mishna Halayeqah sewaktu menziarahi anaknya, Naif yang meringkuk dalam penjara penjajah di selatan tanah Palestin yang dijajah.

Sumber dari keluarga Halayeqah berkata, tentera rejim menangkap mangsa dan membawanya ke arah yang tidak diketahui, sementara Naif dipindahkan ke bilik kurungan yang berasingan dari tahanan-tahanan Palestin yang lain.

Pemuda bertempur dengan penjajah

Sementara itu, pertempuran meletus antara pemuda-pemuda Palestin dengan tentera rejim penjajah pagi tadi di daerah Al-Shuyukh, timur wilayah Khalil, Tebing Barat.

Kata saksi kepada agensi berita Safa, pertempuran meletus sebaik sahaja kereta peronda tentera rejim menyerbu masuk ke kawasan perumahan daerah ini, kemudian pemuda bertempur dengan tentera penjajah yang melepaskan tembakan peluru getah serta bom gas di pertengahan kawasan perumahan.

Sehingga berita ini diterbitkan, pertempuran yang meletus tidak mengakibatkan sebarang luka parah di kalangan pemuda Palestin.

Pada pagi Ahad semalam, tentera rejim menggeledah beberapa buah rumah penduduk Palestin di daerah yang sama, malah sebuah kandang kambing yang dimiliki keluarga 'Iyaidah diperiksa. Kemudian, tentera rejim menangkap salah seorang dari ahli keluarga 'Iyaidah.

Kejadian ini turut berlaku pada beberapa hari yang lalu di daerah yang sama.

Tangkap pemuda, geledah lagi rumah

Dari wilayah Bet Lehem, Safa melaporkan tentera rejim penjajah menangkap seorang pemuda yang mendiami di daerah Husan selepas rumahnya diserbu masuk awal pagi tadi.

Sumber-sumber tempatan dari daerah berkenaan berkata, "tentera rejim yang menyerbu ke daerah awal pagi telah menangkap Muhammad Saleh Zaki Za'lul, 18 dan membawanya ke arah yang tidak diketahui."

Jelas Safa, pada waktu sahur, sekumpulan dari tentera rejim yang lain menggeledah beberapa buah rumah penduduk Palestin, antara yang dikenali milik keluarga Ahmad yusof Atallah di Jabal Khalif, bandar Bet Lehem.

Saksi menjelaskan bahawa beberapa buah jentera perang tentera rejim menyerbu ke kawasan perumahan penduduk dan beberapa batang jalan telah menimbulkan ketakutan kepada penduduk. Sumber 01/08/2011, web berita Safa.ps

Penjajah serbu rumah Palestin di Al-Quds dan Nablus

Laporan jam 11:15 pagi, waktu Palestin/Mekah
Jam 10:15 pagi, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Tentera rejim penjajah telah menyerbu beberapa buah rumah Palestin sewaktu merempuh masuk ke daerah 'Isawiya, pertengahan bandar BaitulMaqdis(Al-Quds) dan daerah Bayt Iba yang terletak di barat bandar Nablus, Tebing Barat.

Kedudukan 'Isawiya, rujuk Palestineremembered.com.

Rempuhan di 'Isawiya

Sumber tempatan menyebut bahawa sepasukan tentera rejim telah merempuh masuk ke daerah 'Isawiya pagi ini dan menggeledah sebuah rumah milik Walid Ilyan. Jelas sumber, rempuhan tersebut disertai tembakan bom gas beracun secara membabi-buta ke atas rumah-rumah penduduk Palestin.

Tambahan lagi, tentera rejim turut menyerbu beberapa buah rumah keluarga kanak-kanak dan remaja Palestin yang dikenakan tahanan berkurung dalam rumah.

Berikutan rempuhan ini, daerah 'Isawiyah diselubungi suasana tegang dan berjaga-jaga melihat kepada operasi rempuhan yang berlaku pada awal bulan Ramadhan yang mulia.

Rempuhan di Bayt Iba

Sementara itu, sumber dari agensi berita Safa melaporkan lagi tentang rempuhan yang dilaksanakan oleh tentera rejim pagi ini di daerah Bayt Iba, Nablus. Modus operandi yang sama, rumah-rumah penduduk Palestin diserbu dan berlaku penangkapan di kalangan penduduk Palestin.

Saksi kejadian berkata kepada Safa, beberapa anggota dari unit peronda rejim penjajah telah merempuh masuk ke daerah ini awal pagi tadi serta menyerbu beberapa buah rumah. Sebelum beredar pergi, dua pemuda Palestin yang bersaudara dari keluarga Naamus telah ditangkap.

Peta Bayt Iba, rujuk Palestineremembered.com.

Tambah saksi, unit peronda rejim kelihatan berada di daerah tersebut sehingga jam awal pagi tadi, kemudian merempuh dan menyerbu beberapa buah rumah penduduk Palestin.

Menurut perjanjian Oslo(Oslo II), Bayt Iba, sebuah daerah Nablus terletak di kawasan yang dilabelkan zon A iaitu di bawah kawalan Pemerintah Palestin Ramallah. Sumber 01/08/2011, web berita Safa.ps

2 syahid awal Ramadhan di Qalandya

Laporan jam 05:33 pagi, waktu Palestin/Mekah
Jam 04:33 pagi, waktu Mesir

RAMALLAH - Tragedi awal Ramadhan, 2 pemuda Palestin syahid, cedera dan beberapa lagi telah ditangkap sewaktu rempuhan tentera rejim penjajah awal pagi ini di Mukhayyam Qalandya yang berhampiran dengan bandar Ramallah, Tebing barat. Rempuhan tersebut bertujuan mencari seorang pemuda, lalu dihadang penduduk Palestin.

Penyampai berita Safa menukil dari sumber perubatan bahawa 2 orang pemuda yang syahid, Mu'tasim Isa Udwan,22 dan Ali Khalifah menemui syahid setelah terkena tembakan rambang tentera penjajah. Kejadian tersebut sewaktu penduduk Palestin menghadang tentera rejim yang menggeledah rumah-rumah serta merosakkan perkakasan rumah.

Peta Mukhayyam Qalandya, rujuk Palestineremembered.com.

Sumber dan saksi kejadian menyatakan, mangsa yang syahid, Udwan terkena tembakan di bahagian kepala meninggal dunia serta-merta dan seorang lagi pemuda yang syahid, Ali Khalifah terkena tembakan di perut. Ali bekerja di badan perisikan tentera Palestin menghembuskan nafas terakhir sebaik sahaja tiba di hospital Ramallah.

Tambahan saksi lagi, tentera rejim menangkap dua pemuda Palestin, Wajih Al-Khatib dan Anas Munasarah dalam operasi rempuhan selama beberapa jam. Manakala seorang lagi pemuda, Makmun Iwad mengalami kecederaan di bahagian belakangnya akibat tembakan rambang rejim. Sumber 01/08/2011, web berita Safa.ps dan web berita Maannews.net