15 Ogos 2011

Rejim tangkap isteri tahanan berserta anaknya sewaktu mahu melawat

Laporan jam 04:35 petang, waktu Palestin/Mekah
Jam 03:45 petang, waktu Mesir

KHALIL - Tentera rejim penjajah menangkap Saha Abu Menshar, isteri kepada seorang tahanan Palestin, Tareq Anuar Adeis beserta anak yang masih dalam susuan berusia satu tahun setengah sewaktu dalam perjalanan melawat suaminya di penjara Ofer. Saha yang berasal dari Khalil ditangkap atas alasan cubaan menyeludup telefon bimbit.

Berhubung kejadian, Kelab Tahanan Palestin mengecam penangkapan tentera rejim ke atas Saha Abu Menshar. Tambahan pula, Saha dan anaknya telah dibawa ke penjara Hasharon di sebelah utara dan penjajah cuba memisahkan Saha dari anaknya.

Sedemikian itu, peguam Kelab Tahanan Palestin telah mengemukakan perlepasan serta menetapkan waktu sidang perbicaraan di Ofer pada hari Selasa. Hal ini telah dibawa ke mahkamah bagi memutuskan kes perlepasan.

Kelab Tahanan juga meminta Badan-badan Hak Asasi agar berusaha mendedahkan penindasan dan pelampauan rejim penjajah terhadap tahanan-tahanan Palestin serta ahli keluarga mereka.

Berita lain yang dilaporkan pada waktu tengahari tadi bahawa seorang nelayan Palestin tercedera akibat terkena tembakan dari bot laju tentera laut zionis di utara Semenanjung Gaza.

Jawatankuasa Tertinggi Bantuan Cemas Gaza menyatakan, mangsa yang terkena tembakan zionis berusia 42 tahun dan telahpun dibawa ke hospital As-Shifa' bagi rawatan selanjutnya. Keadaannya dilaporkan stabil. Sumber 15/08/2011, web berita Maannews.net dan web berita Safa.ps

Penjajah bebaskan seorang tahanan, tangkap 2 pemuda

Laporan jam 09:54 pagi, waktu Palestin/Mekah
Jam 08:54 pagi, waktu Mesir

GAZA - Kementerian Pembebasan Tahanan di Gaza menyatakan bahawa pihak berkuasa penjajah akan membebaskan seorang tahanan Palestin, Ahmad Ismail Husin Abu Al-Ka's, 47 yang berasal dari Gaza Tengah pada hari ini. Mangsa akan dibebaskan setelah menjalani tempoh tahanan hampir 20 tahun.

Gambar(arkib Safa): Ahmad Ismail Husin Abu Al-Ka's.

Pengerusi media di kementerian berkenaan, Riadh Al-Ashqar menjelaskan Ahmad Ismail berasal dari Gaza Tengah merupakan tahanan veteran yang ditahan rejim penjajah semenjak 30 Januari 1992.

Sebagaimana dijelaskan, mangsa meringkuk dalam tahanan hampir 20 tahun ekoran tuduhan yang dikenakan bahawa mangsa adalah anggota sayap tentera HAMAS(KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM) dan terlibat dalam operasi menentang penjajahan sewaktu intifadhah pertama meledak.

Penjajah tangkap 2 pemuda

Sementara itu, 2 pemuda Palestin ditangkap dalam rempuhan tentera penjajah awal pagi tadi(Isnin) ke daerah Taqou' yang terletak di tenggara wilayah Bet Lehem, Tebing Barat.

Sumber tempatan di daerah berkenaan berkata, tentera penjajah menangkap 2 pemuda, Ahmad Kayed Khalaf Jibril, 30 dan Murad Sami Za'al Jibril, 22 setelahmana menggeledah rumah kedua-dua pemuda berkenaan.

Sebelum kedua-duanya dibawa ke arah yang tidak diketahui, tentera penjajah menggeledah lagi beberapa buah rumah penduduk Palestin yang lain di daerah yang sama. Dikatakan, rumah-rumah yang digeledah mempunyai hubungan terdekat dengan kedua-dua pemuda tersebut.

Tentera rejim mendakwa bahawa kedua-dua pemuda yang ditangkap dikehendaki oleh badan keselamatan. Sedemikian itu, kedua-duanya telah dipindahkan ke jabatan tertentu dalam perkhidmatan SHABAK untuk siasatan.

Dalam kejadian lain, tentera rejim mengadakan sekatan di beberapa buah daerah dalam wilayah Khalil, selatan Tebing Barat.

Sekatan tersebut meliputi jalan masuk ke daerah Bayt Kahel, daerah As-Samou', daerah Izna dan sekatan di jambatan Halhoul. Sumber 15/08/2011, web berita Safa.ps