09 November 2011

Al-Aruri: Baki dari tahanan wanita Palestin akan dibebaskan 15 hari lagi

Laporan jam 11:40 pagi, waktu Palestin(BaitulMaqdis)
Jam 10:40 pagi, waktu Mesir

Salah seorang dari pemimpin gerakan HAMAS, Saleh Al-Aruri(gambar) mendedahkan bahawa kes 10 lagi tahanan wanita Palestin yang berbaki dalam penjara penjajah hampir selesai. Demikian itu, senarai kesepuluh nama tahanan wanita ini turut termasuk dalam perjanjian(dokumen) penukaran tahanan-tawanan 'Wafa El-Ahrar atau Tebus Bebas' sebagai pembebasan seorang tentera penjajah, Gilad Shalit.

Kenyataan khas dari Al-Aruri yang telah diringkaskan kepada web berita RESALAH hari ini mengesahkan pembebasan 10 lagi tahanan wanita Palestin akan diselesaikan dalam jangka masa paling lama dua minggu(15 hari) lagi berikutan perbincangan mengenai perjanjian ini hampir menemui penyelesaiannya.

Pemimpin HAMAS menjelaskan, pihak Mesir mengerahkan sekeras-keras usahanya agar dapat dibebaskan kesemua tahanan wanita Palestin malahan sebagai jaminan untuk menjayakan pembebasan peringkat pertama dari perjanjian penukaran ini.

Sebagaimana disebutkan, perjanjian penukaran pada peringkat pertama merangkumi pembebasan 450 tahanan Palestin, dan termasuk kesemua tahanan dari kalangan wanita. Sumber 09/11/2011, web berita RESALAH.NET

Serangan F-16 zionis jejaskan milikan Palestin

Laporan jam 06:48 pagi, waktu Palestin(Semenanjung Gaza)
Jam 06:48 pagi, waktu Mesir

KHAN YOUNIS - Pesawat tempur rejim zionis melancarkan dua serangan peluru misil ke atas sebuah rumah kaca untuk tanaman pertanian(greenhouse) di sebelah utara bandar Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza awal pagi ini.

Pemberita SAFA dan WAFA melaporkan bahawa pesawat rejim telah menyasarkan 3 serangan peluru misil ke atas lokasi terbabit yang berhampiran kilang simen Abu Taha di kawasan Al-Matahin, utara bandar Khan Younis.

Dalam laporan berasingan, WAFA menyebut bahawa serangan dari pesawat F-16 zionis mengakibatkan seorang penduduk Palestin tercedera. Manakala berhubung kerosakan, kedua-dua sumber ini melaporkan serangan zionis menyebabkan milikan Palestin terjejas teruk.

Tambahan dari WAFA, tidak lama selepas serangan pertama, pesawat tempur zionis yang lain pula menyerang kawasan Al-Matahin di utara Khan Younis mengakibatkan milikan lain pula terjejas.

Sumber dari SAFA menukilkan dari siaran radio Israel mendakwa, serangan-serangan dari pesawat tempur zionis mengenai sasarannya dengan tepat. Dakwa radio itu lagi, serangan dari pesawat tempur sebagai serang balas ke atas serangan roket dan peluru mortar yang gugur di sebelah barat Naqab(Negev/tanah jajahan 1948) pada waktu lalu. Bagaimanapun, tiada kerosakan harta benda atau kecederaan menimpa warga Israel. Sumber 09/11/2011, web berita Safa.ps dan Wafa.ps