17 Januari 2012

JPOST: Taklimat ringkas sedia serang Gaza

Laporan jam 11:28 pagi, waktu Palestin
Jam 11:28 pagi, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Sejak akhir-akhir ini, pemimpin-pemimpin rejim zionis kerapkali membuat kenyataan berupa ugutan menyerang Gaza dan pemerintahnya.

Menukil web berita Israel 'JERUSALEM POST'(JPOST), barisan turus angkatan tentera rejim zionis telah mengeluarkan taklimat kepada komander perang zon selatan agar bersiap sedia kemungkinan akan melancarkan operasi besar-besaran ke atas Semenanjung Gaza dalam masa beberapa bulan.

Sumber berkenaan menambah, persediaan itu merangkumi menjayakan pelan setiap misi operasi dan menyepadukan unit-unit tentera yang bakal dilibatkan dalam operasi serangan.
___________________________________________
Baca lagi berhubung ancaman zionis:

1. Wakil Keamanan Israel: Kemungkinan operasi ketenteraan di Gaza tidak mendesak
2. Menteri Israel ancam luaskan serangan di Gaza
3. Ynet: Tentera tunggu arahan serbu Gaza

___________________________________________

Menurut sumber ketenteraan, lapor JPOST bahawa Semenanjung Gaza pada hari ini merupakan sebuah benteng yang keadaannya sangat tidak menentu kepada Israel, boleh jadi bila-bila masa sahaja ia boleh meledak meskipun keadaan di sempadan agak tenang. Sumber 17/01/2012, web berita Paltimes.net dan web berita Safa.ps

Penjajah tangkap 5 Palestin

Laporan jam 07:01 pagi, waktu Palestin
Jam 07:01 pagi, waktu Mesir

RAMALLAH - Seramai lima penduduk Palestin dari berlainan kawasan telah ditangkap oleh tentera penjajah awal pagi ini, Selasa 17/01/2012.

Berhubung tangkapan, radio penjajah dalam siarannya menghebahkan bahawa sepasukan tentera telah menangkap penduduk Palestin dari BaitulMaqdis, kampung Abwain dari utara Ramallah dan kampung Jaba' Qadha, Jenin, Tebing Barat.

Jelas sumber berkenaan, kelima-lima penduduk Palestin yang ditangkap telah dibawa ke arah yang tidak diketahui.

Tangkap 2 remaja

Semalam, 16/01/2012, sumber web berita PALTIMES melaporkan tentera penjajah menangkap dua remaja Palestin, Khalil Kayed Hashah, 18 dan Muntasar Ziyad Khaled, 18 di sebuah sekatan tentera penjajah di sebelah barat Jenin.

Menurut sumber keamanan, kedua-dua remaja itu berasal Mukhayyam Balata yang terletak berhampiran kem tentera penjajah 'Salem' di barat Jenin. Sumber 17/01/2012, web berita Safa.ps dan 16/01/2012, web berita Paltimes.net