23 Januari 2012

Skuad khas penjajah culik dua ahli parlimen Palestin

Laporan jam 01:58 petang, waktu Palestin
Jam 01:58 petang, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Selepas tengahari tadi, skuad khas tentera rejim penjajah menyerbu bangunan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa yang terletak di Hayyu Syeikh Jarrah, bandar BaitulMaqdis(Al-Quds) dan menculik dua ahli parlimen BaitulMaqdis(mewakili gerakan HAMAS), Muhammad Tutah dan bekas Menteri Hal-Ehwal BaitulMaqdis, Khaled Abu Arfah.

Dua ahli parlimen Palestin, sebelah kanan dan kiri yang diculik penjajah tengahari tadi dari bangunan Palang Merah Antarabangsa. Gambar potret pula adalah ahli parlimen, Ahmad Atwan yang telah dihalau keluar dari BaitulMaqdis. Ahmad diusir ke Ramallah.

Skuad khas penjajah turut merampas hak milik peribadi kedua-dua ahli parlimen dan mendakwa operasi penangkapan ini adalah selaras dengan keputusan mahkamah Israel.

Menurut saksi kejadian, seramai lebih 40 anggota skuad khas dan tentera penjajah merempuh masuk ke bangunan Palang Merah secara membabi-buta.

Sewaktu serbuan, tentera penjajah tidak membenarkan mana-mana penduduk dan krew media mendekati khemah mogok ahli parlimen berkenaan.

Pada dua minggu yang lalu, ahli parlimen Muhammad Tutah dan Abu Arfah menerima panggilan dari perisikan Israel yang memberi tempoh selama 48 jam agar beredar keluar dari khemah dan tinggalkan segera bandar BaitulMaqdis.

Sebelum ini, pihak berkuasa penjajah telah menghalau ahli parlimen BaitulMaqdis, Ahmad Atwan ke Ramallah dengan kekerasan. Ahmad Atwan juga diculik tentera penjajah dari bangunan Palang Merah yang menjadi tempat perlindungan Muhammad Tutah dan Khaled Abu Arfah, manakala seorang lagi ahli parlimen BaitulMaqdis, Abu Teir juga dihalau keluar dari BaitulMaqdis setahun yang lalu. Sumber 23/01/2012, web berita Safa.ps, web berita Paltimes.net dan berita Al-Jazeerah

Meriam zionis cederakan seorang penduduk

Laporan jam 01:45 petang, waktu Palestin
Jam 01:45 petang, waktu Mesir

GAZA - Tentera rejim zionis melepaskan sejumlah das tembakan meriam pada tengahari ini(23/01/20123) ke arah beberapa buah rumah Palestin di Bayt Hanoun di utara Semenanjung Gaza.

Berikutan itu, sumber perubatan menjelaskan tembakan meriam mengakibatkan seorang penduduk Palestin cedera dan mangsa telahpun dibawa ke hospital Kamal Udhwan, Bayt Lahiya.

Sumber melaporkan bahawa kawasan-kawasan yang bersempadanan di sebelah utara seringkali menjadi sasaran tembakan dari tentera rejim zionis. Sumber 23/01/2012, web berita Paltimes.net

Penjajah culik 9 Palestin di Tebing Barat

Laporan jam 08:20 pagi, waktu Palestin
Jam 08:20 pagi, waktu Mesir

TEBING BARAT - Tentera penjajah telah menculik sembilan penduduk Palestin dalam beberapa operasi serbuan dan geledah pagi ini(Isnin, 23/01/2012) di beberapa kawasan yang berlainan di Tebing Barat.

Radio penjajah versi hebrew menghebahkan bahawa tentera penjajah telah menyerbu masuk ke beberapa buah daerah dan perkampungan Palestin di Tebing Barat.

Enam penduduk Palestin yang diculik oleh tentera penjajah dari kampung 'Anabta, Tulkarm, dua lagi dari kampung Mirka, Jenin, dan seorang lagi penduduk Palestin yang diculik dari daerah Husan, barat Bethlehem.

Kesemua mereka yang ditangkap telah dibawa ke pusat-pusat tahanan untuk disoal siasat. Sumber 23/01/2012, web berita Paltimes.net