24 Februari 2012

Jumaat selamatkan Al-Aqsa dan rakyat Syria


Klip ucapan Perdana Menteri Palestin dipetik dari AL-JAZEERAH MUBASHEER

KAHERAH, 24 Februari - Persidangan tindakan Jumaat selamatkan Al-Aqsa dan rakyat Syria telah diadakan sebaik sahaja selesai solat Jumaat hari ini di Masjid Al-Azhar Sharif, Kaherah.

Sedemikian itu, beberapa tetamu telah dijemput bagi menyampaikan ucapan, terutamanya Perdana Menteri Palestin di Gaza, Ismail Haniyeh.

Ribuan yang turut serta dalam persidangan yang disifatkan sejarah ekoran seorang ahli politik Palestin dapat berucap di atas mimbar Masjid Al-Azhar.




Unit khas penjajah rempuh masuk ke halaman Al-Aqsa

Laporan jam 06:03 malam, waktu Palestin
Jam 06:03 malam, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Sejumlah besar anggota unit khas penjajah dan turut disertai warga haram zionis telah merempuh masuk ke halaman Masjid Al-Aqsa selepas umat Islam selesai menunaikan solat Jumaat.

Baca lagi:
> Pelampau rempuh masuk ke halaman Al-Aqsa


Rempuhan itu disusuli dengan pukulan cota ke atas para jemaah yang solat di Masjid Al-Aqsa malahan tentera penjajah melepaskan bom bunyi serta gas pemedih mata mengakibatkan sebilangan mangsa cedera. Kebanyakannya mengalami sesak nafas. Tambahan pula, tentera penjajah menutup pintu-pintu sekitar Masjid Al-Aqsa.

Yayasan Waqaf Al-Aqsa berkata, beberapa anggota unit khas penjajah juga merempuh naik ke bumbung di bahagian belakang Masjid. Jelasnya, ini adalah kali pertama operasi sebegini dijalankan. Sewaktu laporan ini diterbitkan, tentera penjajah masih memburu para jemaah di daalam halaman Masjid Al-Aqsa.

Sumber perubatan pula berkata kepada agensi berita PALTIMES, jumlah mangsa yang cedera seramai lima orang akibat dipukul dengan cota. Menurut pengawal Al-Aqsa, tentera penjajah memukul seorang wanita berusia dengan bahagian belakang senapangnya dan seorang pemuda dilaporkan cedera teruk apabila kepalanya hampir pecah akibat tindakan keras tentera penjajah berhampiran Bab Hittah, manakala 30 orang lagi sesak nafas.

Berikutan pertempuran yang meletus, Pengarah Kelab Tahanan, Naseer Qaus menjelaskan jumlah penduduk Palestin yang ditangkap semasa berlaku pertempuran seramai 11 orang, empat darinya dalam kawasan halaman Masjid Al-Aqsa dan tujuh lagi dari kawasan perumahan Bab Hittah.

Dari sudut lain, Yayasan Al-Aqsa mengecam jenayah yang dilakukan penjajah. Keterangan rasmi dari Yayasan menyatakan apa yang berlaku hari ini di Masjid Al-Aqsa mengesahkan peringatan yang selalu disebut-sebut bahawa rancangan penjajah yang menggiatkan serangan di Masjid Al-Aqsa amat perlu kepada tindakan segera dari umat Islam, Arab juga Palestin sendiri bagi menyelamatkan Al-Aqsa. Sumber 24/02/2012, web berita Paltimes.net

[Kemaskini] Dua pejuang cedera zionis lancar tiga serangan

Laporan jam 01:06 pagi, waktu Palestin
Jam 01:06 pagi, waktu Mesir
Jam 07:06 pagi, waktu Malaysia

GAZA - Pesawat pengintip rejim zionis telah mengebom sekumpulan pejuang Palestin yang berada di sekitar kawasan jualan kereta(السوق السيارات), selatan bandar Gaza awal pagi ini(Jumaat, 24/02/2012).

Penyampai berita SAFA berkata, pesawat pengintip zionis melepaskan satu serangan peluru misil ke arah sekumpulan pejuang, lantas mengakibatkan dua orang pejuang cedera, salah seorang darinya hanya menerima rawatan di lokasi kejadian dan seorang lagi pejuang yang cedera telahpun dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

Jurucakap tentera rejim zionis mendakwa sekumpulan pejuang yang menjadi sasaran pesawat pengintip itu sedang cuba untuk melancarkan serangan roket ke daerah-daerah Israel(tanah jajahan 1948).

Tambahan lagi dari SAFA, tidak lama selepas serangan ini, pesawat tempur zionis melancarkan dua lagi serangan ke atas dua buah lokasi tentera KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM, sayap tentera gerakan HAMAS. Salah sebuah yang menjadi sasaran lokasi yang berdekatan dengan masjid at-taqwa di Hayyu Syeikh Ridhuan, bandar Gaza. Manakala sebuah lagi lokasi yang diserang zionis berhampiran hospital بلسم di daerah Bayt Lahiya, utara Semenanjung Gaza.

Penyampai berita SAFA menyatakan dua serangan zionis ini tidak mengakibatkan sebarang kecederaan di kalangan penduduk Palestin, namun hanya kerosakan harta benda yang menimpa ke atas beberapa buah rumah dan kenderaan. Sumber 24/02/2012, web berita Safa.ps