Kemaskini jam 04:00 pagi, waktu Kaherah(Mesir)
SEMENANJUNG GAZA, 10 Julai - Tiga letupan kuat telah menggegarkan bandar Khan Younis awal pagi ini, Selasa.
Menurut penyelaras media MAP - Mini Pavilion - di Semenanjung Gaza, letupan kuat yang didengari berlaku di bandar Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza pada jam 12:40 pagi(waktu Mesir).
"Letupan amat kuat, rasa seperti dekat dengan kawasan rumah..sebentar tadi saya hubungi kawan yang tinggal di sebelah timur bandar Khan Younis, dia juga dengar .. memang letupan terlalu kuat," demikian laporan ringkas dari Semenanjung Gaza.
Kemudian, pada jam 12:46 pagi(waktu Mesir), kedengaran satu lagi letupan kuat yang menggegarkan di kawasan yang sama.
Selang beberapa masa, pesawat tempur zionis kembali mengebom dengan melepaskan serangan peluru misil ketiga ke lokasi yang sama.
'AL-AHRAR' jadi sasaran
Berhubung letupan ini, agensi berita SAFA Palestin memaklumkan bahawa sebuah lokasi tentera milik KATAIB AL-AHRAR telah dibom oleh pesawat tempur zionis(Israel/penjajah).
Penyelaras media MAP menerangkan lokasi terbabit terletak di bahagian barat bandar Khan Younis.
Tidak lama selepas serangan udara, menara-menara kawalan tentera zionis yang berada di lokasi Malkah timur Hayyu Al-Zaitun, bandar Gaza pula melepaskan bertubi-tubi tembakan mesingan ke arah rumah-rumah penduduk Palestin dan tanah-tanah pertanian mereka.
Pejuang hadang kemaraan zionis
Dalam kejadian berasingan, pejuang-pejuang Palestin telah menghadang kemaraan skuad khas tentera zionis di kawasan Sureij pertengahan antara Abbasan dengan Qararah, lantas mengakibatkan pertempuran senjata yang sengit diikuti serangan udara yang dilepaskan oleh helikopter zionis . Sementara itu, pada waktu yang sama, jentera-jentera perang zionis dilihat bergerak di sepanjang sempadan tanah jajahan 1948 dengan tanah Semenanjung Gaza.
Sehingga laporan berita ini diterbitkan, tiada makluman sebarang kecederaan. Sumber 10/07/2012, Penyelaras media MAP di Semenanjung Gaza dan web berita Safa.ps