20 Julai 2012

Rayuan pelarian Palestin mafia Asad kepung Al-Yarmouk


Laporan jam 06:09 petang, waktu Kaherah (Mesir)

DAMSHIK, 20 Julai - Pelarian Palestin di Mukhayyam Al-Yarmouk, Damshik merayu kepada PBB(UN), Badan Hak Asasi Manusia dan Pemerintah Palestin(PLO) supaya selamatkan mereka dari mafia(tali barut) rejim Asad yang mengepung mukhayyam tersebut sejak beberapa hari yang lalu.

Mukhayyam Al-Yarmouk di Damshik, Syria
Salah seorang pelarian Palestin, Umar Abdul Raziq yang menetap dalam kawasan mukhayyam berkenaan ketika dihubungi berkata, sebilangan besar mafia Asad yang lengkap bersenjata dan penembak tepat(sniper) mengepung mukhayyam ini sejak lima hari yang lalu, dan tidak ada sesiapa pun dibenarkan keluar atau masuk ke dalam mukhayyam.

Berikutan itu, Abdul Raziq menyatakan bahawa rumah-rumah Palestin telah mengalami kekurangan bekalan makanan, ubat, dan susu kanak-kanak sejak mukhayyam ini dikepung. Abdul Raziq turut memberi peringatan jika hal ini berterusan, maka akan merubah kepada krisis kemanusiaan.

Selain itu, kereta-kereta ambulan juga telah berhenti operasi disebabkan kehabisan minyak. Jelas lagi, penembak-penembak tepat berada di atas puncak-puncak bangunan dan melepaskan tembakan ke atas setiap pergerakan dalam mukhayyam.

Sebilangan besar yang cedera telah dibawa ke hospital tetapi peralatan perubatan amat terhad.

Seorang pemuda Palestin, Ala' Sabih telah syahid pagi Jumaat hari ini setelah cedera akibat terkena tembakan meriam yang dilepaskan oleh mafia Asad di dalam kawasan Mukhayyam Al-Yarmouk. Sumber 20/07/2012, web berita Paltimes.net

Penunjuk perasaan zionis maut bakar diri

Laporan jam 05:14 petang, waktu BaitulMaqdis
Jam 04:14 petang, waktu Kaherah (Mesir)

Silman bakar diri
BAITULMAQDIS, 20 Julai - Pusat Perubatan(hospital) Sheba di Tel Hashomer telah mengumumkan kematian seorang demonstran warga zionis, Moshe Silman berusia 57 tahun yang membakar dirinya dalam demontrasi menuntut keadilan sosial di bandar Tel-Aviv pada Sabtu lepas.

Menurut siaran berita 7 Israel, Pusat Perubatan Sheba mengumumkan berita kematian tersebut pada tengahari Jumaat hari ini setelah enam hari berturut-turut pasukan perubatan berhempas-pulas menyelamatkan nyawanya ekoran 90% tubuhnya dijilat api. Namun, usaha sedemikian menemui jalan buntu.

Demontrasi yang lalu di Tel-Aviv, Silman membakar dirinya bagi membantah kos sara hidup yang tinggi dalam tanah jajahan 1948. Sekurang-kurangnya empat lagi warga zionis yang lain cuba membakar diri mereka ketika demontrasi tersebut.
Petikan klip berita dari web berita ynet Israel

Setelah Silman membakar dirinya, keluar lagi warga-warga zionis mengadakan tunjuk perasaan di beberapa buah bandar jajahan yang turut sama menunjukkan persepsi seperti Silman membantah dasar kerajaan zionis dan juga sebagai simpati terhadap Silman. Sumber 20/07/2012, web berita Paltimes.net