![]() |
| Ayub Jaradat |
SEMENANJUNG GAZA - Seorang kanak-kanak Palestin berusia 10 tahun dikenali Muhammad Ayub Jaradat mengalami kecederaan ringan di bahagian pahanya akibat terkena serpihan tembakan peluru misil pesawat zionis ketikamana menyasarkan terowong bawah tanah di sebelah timur sempadan Rafah, selatan Semenanjung Gaza. Demikian menurut jurucakap Kementerian Kesihatan di Gaza, Dr. Asyraf Al-Qudrah.
Memetik laporan berita Palestin, serangan-serangan ini berlaku selepas lewat tengah malam waktu BaitulMaqdis, iaitu jam pertama pada awal pagi Isnin. Manakala, catatan masa mengikut waktu Kaherah:
_________________________________
11:39 malam, waktu Kaherah - pesawat tempur zionis mengebom sekitar sempadan Rafah.
11:21 malam, waktu Kaherah - pesawat tempur zionis mengebom sebuah lokasi latihan ketenteraan AL-QASSAM di bandar Gaza.
10:00 malam, waktu Kaherah - trak-trak tentera zionis menurunkan beberapa jentera perang di lokasi 'kamera cctv' kawalan zionis yang berada di sebelah timur Jahr El-Deik.
_________________________________
Serangan udara zionis tidak terhenti begitu sahaja malah disusuli lagi dua serangan udara ke atas lokasi tentera KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM (sayap tentera gerakan HAMAS), salah satunya di Hayyu At-tufah timur bandar Gaza dan sebuah lagi berhampiran Sekolah Amerika di utara Semenanjung Gaza.
Kata penyampai berita SAFA, helikopter jenis APACHE melepaskan satu tembakan peluru misil ke atas lokasi رعد di Hayyu At-Tufah. Api kelihatan marak menyambar lokasi berkenaan, namun, dua lokasi yang diserang tidak mengakibatkan sebarang kecederaan.
Tiga beranak cedera
Sebentar selepas itu, pesawat tempur F-16 melancarkan pula dua tembakan peluru misil ke atas sebuah kawasan lapang berhampiran berek polis marin di daerah tengah Semenanjung Gaza, Mukhayyam Al-Nusairat. Kejadian ini mengakibatkan seorang kanak-kanak lain serta ibu dan ayahnya cedera disebabkan serpihan letupan misil gugur di atas rumah mereka.
Dr. Asyraf Al-Qudrah menyatakan, pasukan perubatan telah membawa mangsa satu keluarga ke hospital Syuhada Al-Aqsa untuk merawat luka yang disifatkan sederhana.
Seorang penduduk tempatan yang dihubungi menjelaskan, selepas beberapa kali zionis melancarkan serangan udara di Gaza, ruang udara kerap dilintasi pesawat-pesawat tempur yang berbagai jenis; F-16, pesawat pengintip tanpa juruterbang dan helikopter perang. Pun begitu, meskipun lintasan kerap, pejuang Palestin berjaya melancarkan satu serangan roket jenis 'grad' ke arah penempatan zionis.
Ancaman Netanyahu serang Gaza
Serangan-serangan udara ini berlaku selepas Perdana Menteri zionis (Israel/penjajah), Benjamin Netanyahu pada hari Ahad, 09/09/2012 mengancam operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza bagi membalas serangan-serangan roket. Pada pagi Ahad, beberapa buah serangan roket telah gugur di lokasi-lokasi penempatan zionis yang berada setentang dari sempadan Semenanjung Gaza.
Berhubung serangan, jurucakap tentera zionis dalam kenyataan yang disiarkan akhbar berita YEDIOTH AHRONOTH (YNET) versi hebrew telah mengumumkan Angkatan Tentera Udara Israel telah mengebom 4 sasaran di Semenanjung Gaza. Dakwa lagi, pengeboman berkenaan tertumpu ke atas pusat pembuatan senjata dan terowong bawah tanah yang digunakan oleh pengganas-pengganas, menurut laporan YNET. Sumber 10/09/2012, web berita Paltimes dan web berita Safa
