07 Ogos 2010

Radig tiba di Kaherah

KAHERAH - Rombongan misi konvoi Ramadhan di Gaza(Radig) yang dijadualkan akan memasuki Semenanjung Gaza melalui sempadan Rafah Mesir pada 9 Ogos ini telah tiba di Kaherah pada waktu tengahari tadi.

Ketua delegasi, Encik Azmi Abdul Hamid atau cikgu Azmi mengulas beberapa persoalan ketika ditemui wartawan MAP pada jam 1.15 petang, Mesir/Palestin.

Mengenai misi kemanusiaan, sebagaimana yang telah dilaporkan oleh sumber harakahdaily, cikgu Azmi menyebut kesan dari itu adalah untuk perpaduan dan membuktikan sokongan rakyat Malaysia terhadap penduduk Palestin di Gaza. Lebih dari itu, kesan lain adalah kepada Israel iaitu sebagai usaha untuk menamatkan sekatan Israel ke atas Gaza.

Mengulas misi untuk jangka masa yang panjang, cikgu Azmi menyebut beberapa perancangan iaitu program masjid berkembar antara Malaysia dengan Gaza, institusi pendidikan berkembar dan pembinaan sebuah hospital kanak-kanak di Gaza, menurut beliau.

Berhubung dengan kebenaran untuk memasuki Gaza melalui sempadan Rafah Mesir, cikgu Azmi turut menyebut bahawa pihaknya telah mengusahakan tindakan yang sewajarnya, iaitu:

1) Pihak Radig telah meminta kebenaran dari Kementerian Luar Mesir. Kesan dari itu, pihak Kementerian tersebut memberi jawab balas secara lisan. Namun pihak Radig menyatakan jawab balas itu adalah positif.
2) Memaklumkan tentang misi kemanusiaan Radig kepada Pertubuhan Bulan Sabit Merah Mesir.
3) Meminta kebenaran dari kedutaan besar Mesir ke Malaysia di Kuala Lumpur dan telah mendapat jawab balas secara bertulis.
4) Turut memaklumkan kepada pejabat OIC di Kaherah dan Gaza.
5) Mengutus surat kepada pejabat PBB di Geneva. Secara langsung memaklumkan kepada Setiausaha Agung PBB, Ban Ki Moon. Malah turut memaklumkan kepada pejabat PBB di Kuala Lumpur.
6) Radig memaklumkan kepada Sekretariat Asia dan mendapat sokongan untuk misi kemanusiaan ini.
7) Radig juga memaklumkan kepada pertubuhan Free Gaza Movement dan turut mendapat sokongan.
8) Radig juga telah memaklumkan kepada Wisma Putra, Malaysia dan Kedutaan Besar Malaysia Kaherah.

Menyentuh pengalaman mengendalikan proses ini, cikgu Azmi menyatakan bahawa ia adalah satu pengalaman yang unik kerana mengajar untuk menyusun sebuah usaha penggembelengan di beberapa peringkat sehinggalah peringkat antarabangsa.

Ketika membuka pendaftaran untuk penyertaan sukarelawan ke Gaza, cikgu Azmi berkata, sokongan rakyat amat menggalakkan. Berikutan itu, 700 permohonan dari rakyat Malaysia telah dikemukakan untuk menyertai rombongan ini tetapi hanya 45 orang sahaja yang boleh mengikuti rombongan Radig ke Gaza.

Wartawan MAP turut menemui beberapa pihak media, antaranya astro awani, Ashwad Ismail, wartawan dari TV Selangor dan lain-lain lagi.

Sebelum pihak rombongan Radig berangkat ke tempat penginapan sementara, cikgu Azmi mengajak seluruh masyarakat dunia untuk mendesak agar dikembalikan hak-hak Palestin.- MAP

Pautan lain:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan