24 September 2010

Al-Quds diselubungi saat genting

AL-QUDS, - Saat-saat genting menyelubungi bandar Al-Quds setelah sehari dilandar ribut pertempuran sengit yang berakhir pada pertengahan malam tadi. Berpuluh penduduk asal Al-Quds mengalami luka parah dan cedera dalam pertempuran dengan tentera rejim zionis.

Pengerusi Pusat Media Al-Quds, Muhammad Sadiq berkata kepada agensi berita 'Safa', jumlah penduduk Palestin yang parah dan cedera akibat tembakan peluru getah rejim zionis mencecah 25 orang. Tambahan lagi, berpuluh-puluh Palestin yang lain mengalami sesak nafas akibat gas beracun.

Sumber menyatakan, tentera rejim zionis melepaskan tembakan gas beracun ke dalam rumah as-syahid Samir Sarhan, lantas mengakibatkan beberapa penduduk Palestin yang melawat keluarga Samir turut mengalami sesak nafas.

Sementara itu, pasukan perubatan berhadapan dengan kesukaran untuk tiba di lokasi pertempuran kerana keadaan yang teramat sengit. Tentera rejim zionis menghalang ambulan mara ke Silwan, Isawiyah, Hayyu Thur, Hayyu Rasul Amud dan beberapa kawasan di Kota Lama.

Gambar(AFP): Lokasi pertempuran di sebelah pemuda Palestin, Isawiyah, Al-Quds.

Ketika pertempuran, pemuda-pemuda Palestin bertindak melontar batu dan botol berisikan minyak. Dalam masa yang sama, kelihatan berpuluh-puluh dari anggota penembat tepat rejim zionis bertebaran di puncak atas flat-flat rumah.

Sadiq yang menukilkan laporan dari beberapa saksi kejadian turut mengesahkan bahawa 2 anggota tentera rejim zionis tercedera ketika pertempuran meletus di Silwan, seorang darinya cedera di bahagian kepala dan seorang lagi polis rejim zionis cedera di bahagian kaki. Bagaimanapun, radio Israel hanya mengakui seorang anggota polis rejim zionis yang mengalami cedera ringan.

Sumber melaporkan, helikopter dan pesawat pengintip zionis turut meninjau di lokasi berlakunya pertempuran. Ketika itu, kelihatan tentera-tentera rejim dan polis zionis dikerahkan di persimpangan jalan utama di seluruh tempat di bahagian timur bandar Al-Quds.

Rejim zionis umum kawalan ketat

Semalam, Pihak Berkuasa rejim zionis mengumumkan bahawa pihaknya akan mengenakan kawalan ketat ke atas setiap penduduk Palestin yang mahu memasuki Masjid Al-Aqsa untuk solat Jumaat. Kawalan tersebut berikutan pertempuran sengit yang meletus di bandar Al-Quds sejak dua hari yang lalu.

Radio Israel melaporkan, rejim zionis tidak membenarkan golongan lelaki Palestin memasuki Majid Al-Aqsa melainkan yang berumur 50 tahun ke atas dan memegang pengenalan diri berwarna biru. Dan bagi wanita tidak dikenakan apa-apa kawalan.

Komander rejim zionis di Al-Quds, Mejar Jeneral Aharon Franko memutuskan pihak polis yang disokong pasukan bantuan agar mengambil sikap berjaga-jaga ketika dikerahkan mengawal di timur bandar Al-Quds, termasuklah pelusuk dalam Kota Lama dan di sekeliling kawasan Masjid Al-Aqsa.

Pertempuran sengit yang meletus sejak hari rabu lalu berterusan sehingga pertengahan malam semalam. Pertempuran sengit meletus antara rejim zionis dengan ratusan pemuda Palestin yang memprotes kematian seorang pemuda Palestin, Samir Sarhan akibat ditembak pendatang haram Israel di Hayyu Silwan, selatan Masjid Al-Aqsa. Sumber 24/09/2010, web berita safa.ps

Tiada ulasan:

Catat Ulasan