03 Julai 2012

Zionis hubungi CIA bincang rakam dengar perbualan Morsi di istana Presiden


Laporan jam 09:19 pagi, waktu BaitulMaqdis
Jam 08:19 pagi, waktu Kaherah(Mesir)

Bekal laporan-laporan lengkap mengenai gerakan-gerakan Islam di negara Arab dan pemimpin gerakan

MOSSAD
Sejak diumumkan kemenangan Dr. Muhammad Morsi Isa Al-Ayyat yang menjawat Presiden Republik Arab Mesir, dan diikuti ucapan-ucapan beliau yang membuatkan rakyat Mesir berdiri teguh di belakangnya, Israel sentiasa dihantui rasa teramat bimbang berhubung masa depannya ketikamana Mesir di bawah pemerintahan Dr. Morsi.

Laporan-laporan berita zionis(tanpa dinyatakan mana-mana agensi) mendedahkan bahawa MOSSAD(Badan Perisikan dan Operasi Khas Israel) telah merancang strategi alternatif bagi menceroboh politik dalaman Mesir dengan mengenal pasti haluan dasar politik Presiden yang baru. Menurut laporan berkenaan, MOSSAD telah mula menghubungi badan-badan perisikan luar sebagai usaha merungkai kekuatan-kekuatan peribadi Presiden Mesir.

CIA
Demikian sebagaimana yang disebutkan laporan-laporan berkenaan, MOSSAD telah pun menghubungi badan-badan perisikan yang terkehadapan di dunia dan kedudukan berpotensi memiliki laporan-laporan lengkap mengenai gerakan-gerakan Islam di negara Arab serta maklumat berhubung individu-individu kepimpinan dalam gerakan Islam. Antara badan perisikan berkenaan seperti perisikan dari Jerman, iaitu Federal Office for the Protection of the Constitution atau dalam bahasa Jerman 'Bundesamt für Verfassungsschutz'(BFV), manakala Presiden agensi ini adalah Heinz Fromm yang pernah menjadi pihak tengah bagi menyempurnakan rundingan tukar tahanan-tawanan antara HAMAS dengan rejim zionis bagi membebaskan Gilad Shalit.
BFV Jerman

Laporan-laporan akhbar zionis menyatakan lagi bahawa MOSSAD juga telah menghubungi Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) supaya membekalkannya dengan laporan-laporan mengenai pemimpin-pemimpin Ikhwan Muslimin di Mesir serta hala tuju politik mereka, khususnya laporan risikan mengenai Presiden Muhammad Morsi. Tambahan lagi, ketua-ketua agensi dalam MOSSAD meminta CIA membekalkan peralatan yang boleh merakam dengar dan merisik setiap apa yang berlaku di istana Presiden di Mesir. Sumber 03/07/2012, web berita Paltimes.net

Shura Mesir bincang perpaduan Palestin


Majlis Shura Mesir

KAHERAH, 03 Julai - Majlis Shura Mesir(Shura Council) telah berbincang dengan delegasi Kementerian Luar Palestin mengenai kedudukan terkini usaha baik pulih dalaman Palestin(perpaduan) antara gerakan HAMAS dan FATAH serta tindakan Mesir bagi melepaskan Semenanjung Gaza dari sekatan Israel.

Demikian itu dalam laporan agensi PALTIMES semalam, 02/07/2012, semasa pertemuan, Speaker Majlis Shura, Ahmad Fahmi berkata kepada wakil Kementerian Luar Palestin, Khalil Abu Lailah bahawa negaranya menyokong penuh isu permasalahan Palestin malah Palestin berhak menubuhkan sebuah negara merdeka dengan menjadikan BaitulMaqdis(Al-Quds) ibunegaranya.

Speaker Shura Mesir mengharapkan hubungan Mesir - Palestin terjalin lebih baik sebagaimana yang sedia ada, berikutan itu, permasalahan Palestin yang terungkap dalam sanubari rakyat Mesir adalah permasalahan utama umat Islam.

Kata Speaker, ucapan Presiden Muhamad Morsi di Universiti Kaherah berhubung perpaduan Palestin(hubungan dalaman Palestin) adalah kesan dari sikap turun-temurun dalam masyarakat Mesir. Jelas lagi, Mesir tidak akan berganjak dari peranannya yang bersifat kepimpinan bagi melindungi Palestin dan membantu agar harapan dan impian mereka dicapai.

Dari sudut lain, Abu Lailah mengucapkan tahniah kepada rakyat Mesir ekoran kemenangan Dr. Morsi dalam pemilihan(pilihanraya) Presiden sambil mengharapkan petunjuk(taufik) memimpin beliau mencapai perpaduan tanahair merangkumi semua lapisan masyarakat Mesir sehinggalah dapat mengembalikan kedudukan Mesir di mata negara Arab dan umat Islam.