Laporan jam 06:00 petang, waktu BaitulMaqdis
Jam 05:00 petang, waktu Mesir
NABLUS - Pertempuran yang meletus pada petang tadi (Sabtu, 19/05/2012) di daerah Asira Al-Qibliya, selatan Nablus di Tebing Barat menyebabkan dua penduduk Palestin cedera ditembak tentera penjajah.
Berhubung pertempuran, kata saksi kejadian kepada agensi berita SAFA, salah seorang penduduk yang dikenali Namr Sobhi telah mengalami kecederaan di bahagian paha dan seorang lagi, Ahmad Muslih cedera di bahagian mata ekoran terkena tembakan peluru getah. Kedua-dua mangsa ini telah dibawa ke hospital Rafidia untuk rawatan lanjut.
![]() |
| Asira Al-Qibliya(no.5 hijau), Burin(no.26 hijau) dan penempatan haram Israel, Yit'shar(no.55 biru) berada dalam wilayah Nablus. |
Menurut saksi-saksi kejadian yang lain, kecederaan yang dialami dua orang penduduk berkenaan disifatkan parah. Bagaimanapun, sehingga sekarang, SAFA belum mendapatkan pengesahan dari sumber perubatan.
Situasi yang meledakkan pertempuran itu selepas sekumpulan warga haram Israel merempuh masuk ke daerah berkenaan. Menukil dari PALTIMES, warga haram berkenaan mencantas pokok-pokok zaitun.
Jelas saksi kejadian, penduduk Palestin di Asira Al-Qibliya menghadang rempuhan dari sekumpulan warga haram Israel yang cuba memukul orang-orang kampung Palestin. Berikutan itu, pertempuran terus meledak dengan campur tangan tentera penjajah, menurut saksi.
Sumber menceritakan bahawa tentera penjajah memberikan perlindungan kepada warga haram Israel dengan melepaskan tembakan bom-bom gas dan peluru getah ke arah penduduk Palestin.
Warga haram cantas, bakar pokok zaitun
Kejadian di wilayah yang sama, selatan Nablus, sekumpulan warga haram Israel telah mencatas pokok-pokok zaitun di kampung Burin pada waktu Asar petang tadi.
Kata wakil isu penempatan di utara Tebing Barat, Ghassan Daglas, "warga Yahudi dari penempatan Yit'shar(no.55 biru) telah menceroboh tanah-tanah penduduk Palestin di kampung Burin, kemudian mereka mencantas 24 batang pokok zaitun milik seorang penduduk, Shadi Az-Zein."
Berhubung kejadian ini, Daglas telah menerangkan bahawa kejadian seumpama ini kerap berlaku, warga Yahudi sengaja menceroboh tanah-tanah penduduk Palestin di Tebing Barat bertujuan untuk menguasai tanah-tanah Palestin. Menurut beliau, kerap kali serangan-serangan ke tanah-tanah Palestin, warga Yahudi dilindungi(iringi) tentera penjajah. Sumber 19/05/2012, web berita Paltimes.net dan web berita Safa.ps

Tiada ulasan:
Catat Ulasan