01 Ogos 2012

Bot laju zionis hala tembakan ke arah nelayan


Laporan jam 08:39 pagi, waktu BaitulMaqdis
Jam 07:39 pagi, waktu Kaherah(Mesir)

GAZA - Bot-bot laju tentera laut zionis menyasarkan bertubi-tubi tembakan ke arah bot nelayan Palestin yang berada setentang dengan kawasan As-Sudaniah, utara Semenanjung Gaza.

Menurut saksi, kejadian yang berlaku pagi Rabu(01/08/2012), bot zionis melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah bot nelayan Palestin malah turut melepaskan tembakan di udara untuk menakut-nakutkan mereka dan menghalau dari berada di lokasi berkenaan.

Jelas saksi lagi, kejadian terbabit ketikamana para nelayan mahu menjalankan rutin harian memburu ikan dalam jarak 3 batu nautika yang ditetapkan oleh penjajah sebagai zon memburu ikan setelahmana Semenanjung Gaza dikenakan sekatan oleh Israel, tahun ini telah memasuki lima tahun mereka berada dalam sekatan.

Penyampai berita SAFA menyatakan, seiring ancaman bot-bot laju zionis ke atas nelayan, pesawat-pesawat tempur zionis berlegar-legar di ruang udara utara Semenanjung Gaza. 

Tembakan-tembakan mengejut

Pada jam pertama awal pagi Rabu, sempadan-sempadan Semenanjung Gaza dari sebelah timur dan utara dikejutkan dengan tembakan bertubi-tubi dari menara-menara kawalan tentera zionis.

Sebuah lokasi tentera zionis di Kissufim yang terletak dari arah utara sempadan Khan Younis telah melepaskan tembakan mesingan ke arah perumahan-perumahan timur di daerah Al-Qararah.

Agensi SAFA melaporkan, jentera-jentera perang zionis yang berkumpul berhampiran Kissufim juga melepaskan tembakan rambang ke arah rumah-rumah dan tanah pertaniah penduduk Palestin di kawasan Ad-Zawahirah dan Al-Wad tanpa membabitkan sebarang kecederaan.

Dari sudut sempadan sebelah timur Khan Younis, menara kawalan yang dilengkapi mesingan automatik turut melepaskan bedilan-bedilan rambang, pada waktu yang sama, kelihatan pergerakan jentera perang zionis tidak sebagaimana biasa seperti pada hari-hari lain yang bergerak menuju ke selatan, di samping itu, pesawat tempur serta helikopter dan pesawat pengintip tanpa juruterbang kerap meninjau di ruang udara.

Sementara itu, tembakan-tembakan yang sama mengancam penduduk Palestin di daerah Bayt Hanoun, utara Semenanjung Gaza. Sepanjang awal pagi Rabu, helikopter zionis terlalu kerap berterbangan dalam garisan sempadan. Tambahan lagi, tentera zionis mengadakan latihan perang berdekatan kawasan sebelah timur di sempadan bandar Gaza dengan tanah jajahan 1948 dan kedengaran letupan-letupan dalam garisan sempadan. Sumber 01/08/2012, web berita Safa.ps

Tiada ulasan:

Catat Ulasan