18 September 2010

Tawaran Amerika selamatkan rundingan

Laporan khas Al-Jazeerah melaporkan dari sumber Palestin yang tidak disebutkan namanya bahawa Menteri Luar Amerika Syarikat(US), Hillary Clinton telah mengemukakan tawaran untuk mengelakkan rundingan damai musnah berkecai antara Palestin dengan Israel pada 26 September 2010, iaitu tempoh berakhirnya pembekuan ke atas projek binaan penempatan-penempatan haram Israel.

Gambar(AFP): Hillary Clinton berbaju oren bersebelahan dengan Saeb Arekat, Badan Perunding Palestin bagi Pertubuhan Pembebasan Palestin(PLO) sewaktu pertemuan akhir dengan Netanyahu dan Abbas di Al-Quds.

Sumber itu berkata, tawaran berkenaan telah dikemukakan Clinton ketika pertemuan akhir dalam rundingan damai di Al-Quds(Baitul-Maqdis) bersama Mahmoud Abbas, Presiden Palestin(telah tamat tempoh menurut HAMAS) dan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu itu "tidak jelas dan seolah-olah memang memihak kepada Israel".

Jelasnya lagi, tawaran pertama iaitu pembekuan bina penempatan haram Israel tetap berterusan, namun dalam masa yang sama sebahagian dari penempatan-penempatan haram yang lain disifatkan "perkembangan biasa" terus dibina.

Tawaran kedua, menurut sumber yang sama, tempoh pembekuan bina penempatan haram dilanjutkan selama 3 bulan lagi. Namun, pihak Palestin akan mengawasi di lokasi berkenaan bagi memerangi kegiatan 'pengganas' serta memeliharan keamanan Israel.

Bagi tawaran ketiga, maka ditetapkan pembekuan bina penempatan haram selesai pada waktunya setelahmana dipersetujui pemetaan sempadan Negara Palestin yang menegah kewujudan sebarang pembinaan penempatan haram Israel. Cadangan ini disyorkan oleh Israel dan US tetapi tidak diterima Pemerintah Palestin Ramallah.

Sumber tersebut tidak menyatakan sama ada Pemerintah Palestin Ramallah bersetuju atau tidak dengan salah satu tawaran yang dikemukakan. Juga, sama ada Palestin meminta atau tidak untuk menemukan jalan penyelesaian yang lain atau had masa tambahan bagi membincangkan terlebih dahulu dengan pihak Mesir berserta Jordan.

Perkembangan lain

Sumber yang sama mendedahkan kepada Al-Jazeerah malah turut dilaporkan akhbar yang lain, "Al-Quds Arabi" London bahawa adanya usaha dari Arab yang menekan Mahmoud Abbas agar tidak berpaling dari rundingan damai meskipun apa jua keadaan. Malah menjelaskan lagi keinginan Mesir dan Jordan yang menggesa meneruskan rundingan, menurut sumber tersebut.

Selain itu, dinyatakan Mahmoud Abbas hampir-hampir dengan pilihannya yang selalu disebut-sebut iaitu melepaskan jawatan, tetapi hal ini dibantah Jawatankuasa Pusat FATAH(حركة التحرير الوطني الفلسطيني) yang menganggap perletakan jawatan tersebut mahu melepaskan diri dari realiti keadaan yang berlaku.

Sepertimana yang dinyatakan oleh para penganalisis dan pemerhati, isu permasalahan penyambungan semula kerja dan projek pembinaan penempatan haram Israel di Tebing Barat adalah sebesar-besar penghalang yang akan meruntuhkan rundingan damai secara langsung. Rundingan tersebut diadakan semula antara Palestin Ramallah dengan Israel pada 2 September yang lalu di Washington. Sumber 18/09/2010, web berita Al-Jazeerah dan web berita Al-Quds Arabi London

Tiada ulasan:

Catat Ulasan