GAZA - Tiga serangan zionis ke atas beberapa buah lokasi sasaran di Gaza mengakibatkan 3 penduduk Palestin mengalami luka parah, manakala 3 lagi dilaporkan hilang. Sementara itu, pasukan bomba dan skuad penyelamat bergegas ke lokasi berkenaan untuk menyelamat mangsa serangan.
Serangan pertama yang dilaporkan pada jam 10.41 malam, waktu Palestin, pesawat tempur zionis jenis F-16 mengebom sebuah kawasan lapang dengan satu serangan misil di daerah Khuza'ah, timur bandar Khan Yunus.
Menurut saksi, serangan ini mensasarkan kawasan pertanian berhampiran jalan masuk ke daerah tersebut. Beberapa minggu yang lalu, kawasan ini turut dibom dalam serangan yang serupa.
Al-Jazeerah menukilkan dari wakil agensi berita Perancis lokasi yang dibom ini adalah bekas pengkalan tentera KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM, sayap tentera HAMAS.
Walaupun serangan ke kawasan ini tidak mengakibatkan sebarang luka parah tetapi penduduk mengalami trauma disebabkan cermin rumah-rumah yang berdekatan dengan lokasi serangan pecah.
Serangan yang kedua dilaporkan paling dahsyat, pesawat zionis mensasarkan sebuah terowong bawah tanah yang terletak di Hayyu Salam, timur Rafah yang bersempadan dengan tanah Mesir. Menurut maklumat awal yang diperolehi menerusi sumber perubatan yang turut dilaporkan berita Al-Jazeerah dan web berita maannews bahawa sekitar 2-3 penduduk Palestin yang bekerja di terowong berkenaan luka parah, manakala 3 lagi terperangkap di dalam keruntuhan terowong. Sehingga kini, bomba dan skuad penyelamat menjalankan operasi mencari mangsa.
Lokasi yang diserang mengalami kebakaran besar. Seorang mangsa yang disifatkan luka pertengahan telah dibawa ke hospital Abu Yusof An-Najjar di Rafah, dan 2 lagi dibawa ke hospital Naseer, Khan Yunus berikutan luka teruk akibat terbakar.
Dalam serangan yang ketiga, jam 11.14 malam, waktu Palestin, pesawat zionis mensasarkan lagi serangannya ke atas sebuah lagi terowong bawah tanah berdekatan Mukhayyam Yubna, barat Rafah, selatan Semenanjung Gaza. Tiada laporan mengenai kecederaan mahupun luka parah.
Setelah serangan ketiga, agensi Safa melaporkan pada jam 11.28 malam, waktu Palestin, bahawa pesawat F-16 zionis masih meninjau di ruang udara Semenanjung Gaza dalam kadar terendah.
Sementara itu, berita Al-Jazeerah turut melaporkan serangan ini kemungkinan kaitan dari serangan roket yang gugur di Naqab pagi tadi. Sumber 04/09/2010, web berita safa.ps, berita al-Jazeerah dan web berita maannews.net
Berita lain:
Afghanistan
1. Sumber berita Al-Jazeerah melaporkan satu serangan berani mati yang dilancarkan oleh pejuang TALIBAN telah membunuh seorang tentera Amerika di selatan Afghanistan. Kejadian tersebut disahkan oleh tentera NATO. Sumber 04/09/2010, berita Al-Jazeerah.
2. Dalam kejadian yang lain, Al-Jazeerah melaporkan sumber dari pejuang TALIBAN menyatakan pihaknya telah menjatuhkan helikopter tentera NATO di timur Afghanistan. Sumber 04/09/2010, berita Al-Jazeerah.
London
1. Beribu-ribu umat Islam di London mengadakan demontrasi sempena mengingati Al-Quds(hari Al-Quds sedunia). Sumber 04/09/2010, berita Al-Jazeerah.
Ireland
1. Tony Blair, Utusan Damai Kuartet Timur Tengah ketika mahu menghadiri upacara menandatangani bukunya di Ireland telah dikejutkan dengan lontaran kasut serta telur. Dinyatakan, lebih 200 para penunjuk perasaan tidak berpuas hati terhadap Blair berikutan isu Palestin dan perang Iraq. Mereka menyifatkan Blair sebagai jenayah perang dan penipu. Sumber 04/09/2010, berita Al-Jazeerah.



Berpuluh tentera rejim dikerah



