8 Palestin ditangkap hari ini
04 Julai 2011
Jam 08:31 pagi, Mesir
TEBING BARAT - Tentera rejim penjajah menangkap 8 penduduk Palestin dari beberapa wilayah yang berbeza awal pagi ini di Tebing Barat.
Sedemikian itu, tentera rejim mendakwa penangkapan ke atas 8 penduduk Palestin adalah 'dikehendaki' oleh pihak keselamatan penjajah. Kesemua mereka telah dibawa ke bahagian berkenaan dalam agensi keselamatan SHABAK atau ISA untuk siasatan.
Berhubung satu kes penangkapan di wilayah Bet Lehem, selatan Tebing Barat, Safa memperincikan bahawa tentera penjajah merempuh masuk ke sebuah rumah di daerah Husan di sebelah barat Bet Lehem serta menangkap dua orang remaja dari satu keluarga, Ayub Ahmad Za'ul, 15 dan abangnya Saad, 17.
Di Mukhayyam Deheisha, tentera penjajah menyerahkan waran yang meminta seorang kanak-kanak, Karem Nasri Abdurrabbuh melapor diri kepada badan perisikan penjajah.
Jun lalu, 50 Palestin ditangkap
Safa turut menyingkap laporan kes penangkapan ke atas penduduk Palestin pada bulan Jun yang lalu bahawa tentera penjajah telah menangkap seramai 50 penduduk Palestin di wilayah Khalil, selatan Tebing Barat.
Pengarah Kelab Tahanan di Khalil, Amjad An-Najjar menyebut dalam kenyataan media hari ini dari kalangan yang menjadi mangsa penangkapan adalah 7 orang kanak-kanak dan lebih dari sepuluh orang pelajar. Mengikut laporan, 16 penduduk Palestin yang ditangkap mengidap beberapa jenis penyakit.
Berbalik kepada kenyataan An-Najjar, sebahagian besar dari penduduk Palestin yang ditangkap adalah berdasarkan tohmahan yang direka-reka oleh tentera penjajah dan warga haram zionis. Kemudian, sebahagian besar kes yang dihadapi tahanan Palestin dibicarakan ke mahkamah tentera zionis di Ofer. Natijahnya, mereka dikenakan hukuman yang zalim serta diarahkan membayar denda sehingga mencapai jumlah sebanyak *ILS65,000.00 pada bulan Jun di Khalil sahaja. Sumber 04/07/2011, web berita Safa.ps
*Israel Shekel(ILS): matawang Israel. Jumlah tersebut menyamai RM57,544.54.