الإنتفاضة الفلسطينية الثالثة Third Palestinian Intifada
Revolusi Timur Tengah

Mungkin resapan revolusi Arab di Timur Tengah khususnya Mesir(مصر) mampu membantu Palestin? Sempena Nakbah(detik malang) tahun ke-63, Palestin masih seperti ketikamana dijanjikan sebuah 'Negara', namun tanah-tanah Palestin yang dirompak tersergam dengan binaan rumah perompak dan perampas. Tidak melampau jika menyebut ini adalah simbol keganasan moden rejim zionis. Waktu ini, penjajah sedang menari kegirangan kerana dapat berdiri teguh setelah melanyakkan Palestin dan memperdayakan dunia.


Laporan menarik:

Photobucket

Perjalanan Fahima(wanita Israel) mencari Islam

Barat runtuh dengan keruntuhan Israel - Aznar

Pembebasan tahanan Palestin peringkat kedua

Catatan 'ما بعد الثورة 25 يناير':


24 Jun 2012

- Pengerusi Suruhanjaya Tertinggi Pilihanraya, hakim Farouq Sultan mengumumkan Dr. Muhammad Morsy memperolehi pungutan suara sebanyak 13,230,131 yang dinisbahkan kepada 51.7%, manakala Ahmad Shafiq pula mendapat pungutan suara sebanyak 12,347,380 nisbah kepada 48.3%.


Dengan demikian, Dr. Morsy dipilih sebagai Presiden baru Mesir selepas revolusi 25 Januari.


29 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar.

- Dr. Muhammad Morsy menyampaikan ucapan rasmi kepada rakyat Mesir di Dataran Tahrir(Tahrir Square) sempena himpunan juta yang dinamakan 'Penyerahan Kuasa'. Di hadapan himpunan, Dr. Muhammad Morsy turut mengangkat sumpah.


30 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy mengangkat sumpah di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah yang terdiri daripada 18 orang hakim besar. Secara rasminya, Dr. Muhammad Morsy ditabalkan jawatan Presiden Republik Arab Mesir selepas memperolehi kemenangan dalam pemilihan(pilihanraya) Presiden peringkat ulangan.

- Presiden menyampaikan ucapan di Universiti Kaherah. Beliau turut mengangkat sumpah di hadapan para hadirin yang dijemput khas.

Tentangan dan serang balas, 20 Jun 2012:


- [Kemaskini] Pejuang menghentam lagi lokasi-lokasi Israel

- Dua cedera, pesawat zionis mengebom Bayt Lahiya

- [Kemaskini] Empat cedera dua buah lokasi AL-QASSAM dibom F-16

- Anak syahid, ayah dan beberapa orang lagi cedera

- Kebakaran, tiga dilanda histeria dalam pengeboman pejuang Palestin

- [Kemaskini] Syahid, dua cedera sasaran serangan udara zionis di Rafah

- Cedera, zionis lancar lagi serangan di Gaza

- 4 tentera zionis cedera akibat serangan roket di Ashkelon

Jaminan Amerika secara lisan adakan semula usaha perdamaian

30 April 2010

Menurut sumber diplomasi dari wakil Liga Arab menjelaskan 'perjumpaan panitia inisiatif perdamaian Arab' yang diketuai Qatar akan berlangsung esok hari.

Sebagaimana dinyatakan, perjumpaan tersebut akan membincangkan jaminan yang diberikan oleh Amerika secara lisan kepada pihak Palestin bagi mengadakan rundingan damai secara tidak langsung dengan Israel.

Wakil tersebut yang enggan dikenali berkata, Saeb Arekat selaku ketua perundingan dalam PLO(Pertubuhan Pembebasan Palestin) yang mengetuai delegasi Palestin ketika perjumpaan Arab. Dijelaskan, dalam pertemuan berkenaan, Arekat akan mengemukakan laporan mengenai idea George Mitchell, utusan Amerika di Timur Tengah berhubung rundingan damai secara tidak langsung dengan Israel.

Sepertimana yang telah disampaikan oleh Mahmoud Abbas(Presiden Palestin yang telah tamat tempoh menurut HAMAS) kepada Amru Mousa beberapa maklumat mengenai jawab balas Amerika, begitu juga Amerika mengemukakan kepada Liga Arab mengenai pendiriannya yang disandarkan dengan jaminan secara lisan kepada pihak Palestin, menurut sumber.

Tambah sumber itu lagi, 'kita akan lihat sama ada jaminan-jaminan itu bertepatan dengan tuntutan Arab supaya Israel berganjak dari pendiriannya ketika sebelum Januari awal tahun ini, iaitu membekukan projek pembinaan 1,600 buah unit perumahan di Timur Al-Quds.

Maka, pendirian Arab telah jelas iaitu rundingan damai secara langsung dengan Israel akan diadakan semula bergantung kepada pembekuan projek penempatan Israel. Sumber 30/04/2010, suratkhabar Misril-Youm(Mesir)

Read more...

Klip 3D terjemahan melayu

28 April 2010

Klip video 3D selama 3 minit ini dibangunkan oleh sebuah kumpulan pejuang bagi menuntut pembebasan para tahanan Palestin yang berada dalam penjara Israel.


Asal klip ini dari sebuah laman web Al-Qassam dalam versi bahasa arab. Atas permintaan dari pengunjung blog, klip dalam terjemahan bahasa melayu telah dihasilkan untuk memudahkan para pengunjung memahami mesej-mesej di dalam klip tersebut.

Watak-watak di dalam klip video 3D ini:

1) Gilad Shalit, seorang tentera Israel yang berada dalam tawanan pejuang Palestin di Gaza
2) Noam Shalit, ayah kepada Gilad Shalit
3) Ehud Olmert, bekas Perdana Menteri Israel, parti Kadima
4) Tsipi Livni, bekas Menteri Luar Israel yang merupakan pengerusi parti Kadima
5) Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel sekarang, parti Likud
6) Kerajaan Israel; termasuk Jabatan Pertahanan
7) KATAIB IZZUDDIN AL-QASSAM(sayap tentera HAMAS)

Baca lagi:

Read more...

Seorang pemuda Palestin terbunuh, dan 4 lagi terkorban akibat letupan terowong bawah tanah

GAZA - Menurut sumber, seorang pemuda Palestin Ahmad Sulaiman Salim, 19 syahid setelah mengalami luka parah akibat tembakan dari tentera penjajah. Kejadian tersebut berlaku ketika berlangsungnya satu perarakan aman di timur Gaza, pada waktu zohor tadi.

Wakil agensi berkata, Salim mengalami luka parah pada tahap kritikal ketika menyertai perarakan aman bagi mengkritik tindakan penjajah yang membina zon asing di sekeliling Semenanjung Gaza. Mangsa(Salim) dibawa ke hospital Darul Syifa' dan meninggal dunia pada waktu asar tadi.

Ketika perarakan itu, pihak tentera penjajah melepaskan tembakan yang mengakibatkan beberapa lagi penduduk Palestin dan aktivis asing juga mengalami luka parah yang disifatkan kritikal.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri di Gaza menuduh pihak Mesir bertanggungjawab dengan kematian 4 penduduk Palestin dan beberapa lagi parah akibat keruntuhan terowong bawah tanah. Dinyatakan, kejadian itu berpunca dari tindakan pihak keamanan Mesir yang melepaskan gas beracun ke dalam terowong bawah tanah yang terletak di barat pintu Salahuddin. Sumber 28/04/2010, web berita safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Read more...

HAMAS dakwa Ramallah tangkap anggotanya, Israel tangkap 10 Palestin

Sumber melaporkan, semalam, gerakan HAMAS telah mendakwa Pihak Keselamatan Palestin di Tebing Barat menangkap seorang pemimpin HAMAS dan 11 anggota HAMAS yang lain.

Penangkapan tersebut melibatkan anggota HAMAS Nablus, Tulkram, dan Ramallah.

Dalam keterangan akhbar, wakil HAMAS berkata, "Pihak Keselamatan Palestin menangkap Abdullah Akkar, seorang pemimpin HAMAS(juga pemimpin KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM) yang diburu lebih kurang setahun setengah. Beliau ditangkap dalam sebuah rumah di Kota Kecil di Timur Al-Quds."

Sementara itu, sumber turut melaporkan tentera penjajah(Israel) telah menangkap 10 penduduk Palestin di Tebing Barat malam yang lalu. Sumber 28/04/2010, suratkhabar Shourouk(Mesir) dan berita Al-Jazeerah(Qatar)

Read more...

369 korban akibat sekatan

27 April 2010

GAZA - Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan jumlah penduduk Palestin di Gaza yang terkorban akibat sekatan Israel telah meningkat ke angka 369. Mangsa terbaru, Latifah Naseer Al-Hour, 19 penduduk dari Al-Maghazi yang terletak di pertengahan Gaza.

Menurut sumber, Latifah menghidap barah limfa dan tidak dapat menjalankan rawatan di luar kerana sempadan Rafah yang ditutup.

Dalam kenyataan bertulis, Kementerian Kesihatan merayu kepada jiran tetangganya Republik Mesir agar segera membuka sempadan secara berterusan bagi memudahkan urusan keluar masuk pesakit, khususnya yang berada di bilik bantuan cemas(ICU) sedang menanti dengan penuh sabar untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza.

Kementerian itu juga meminta Mesir memberi sokongan kepada penduduk Gaza dan pesakit yang terkepung akibat sekatan Israel. Malah meminta Mesir agar segera bertindak menekan Israel bagi menghentikan kegiatan jahat yang sedang berlaku siang dan malam, tambahan pula juga didengari pihak antarabangsa.

Semenjak 4 tahun, Israel mengenakan sekatan yang ketat ke atas Semenanjung Gaza. Dalam masa yang sama Mesir juga membantah pembukaan sempadan Rafah ketika Gaza berada di bawah pemerintahan HAMAS melainkan setelah mengikut persepakatan sempadan tahun 2005. Sumber 27/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

Rundingan alternatif persemukaan secara aman

Sumber (Al-Jazeerah)

Palestin-Israel

'antara rundingan secara langsung dan tidak langsung'

Read more...

Nasib Shalit sperti Arad

26 April 2010

Semalam, KATAIB IZZUDDIN AL-QASSAM, sayap tentera HAMAS menyampaikan sebuah mesej bergambar(video) kepada masyarakat Israel yang bertujuan mendesak bagi mengadakan dokumen tukar tawanan, bagi menjamin pembebasan Gilad Shalit yang ditawan pejuang Palestin semenjak Jun 2007.

Gambar: Antara babak tayangan 3D dalam video yang disiarkan oleh Al-Qassam. Babak ini mengisarkan tentang bapa Gilad shalit yang semakin meningkat tua memegang iklan berwajah anaknya.

Al-Qassam yang menyiarkan video melalui web rasminya turut memberi peringatan bahawa nasib Shalit juga akan menjadi seperti juruterbang tentera Israel, Ron Arad yang hilang dan terbunuh di selatan Lubnan.

untuk melihat video, sila klik di sini

Walaubagaimanapun, di akhir video tersebut, Al-Qassam menunjukkan adanya harapan kepada Israel jika mahu melihat Gilad dibebaskan. Sumber 26/04/2010, suratkhabar Shourouk(Mesir)

Read more...

Penjajah meletupkan sebuah rumah, seorang pejuang Al-Qassam syahid

KHALIL - Awal pagi tadi(Isnin), tentera penjajah bertindak meletupkan sebuah rumah di Bet 'Awa, barat bandar Khalil di Tebing Barat setelah diketahui seorang pejuang Kataib Izzuddin Al-Qassam(sayap tentera HAMAS) berlindung di dalamnya.

Wartawan agensi menjelaskan unit khas tentera penjajah disokong berpuluh buahkereta kebal dan jentera perang lain mengepung sebuah kawasan dan sasarannya adalah sebuah rumah.

Sameh Al-Sayuthi, jurucakap datuk bandar Bet 'Awa berkata, 'beberapa unit pasukan dari tentera penjajah, buldozer Israel telah mengepung itu sejak beberapa jam sebelum subuh malah dinyatakan penjajah menggunakan pembesar suara bagi memaksa Ali Ismail As-sayuthi, pejuang Al-Qassam keluar dan menyerah diri'.

Sebagaimana dinyatakan, pertempuran sengit berlaku dengan tembakan roket dan bom ke atas rumah berkenaan. Dalam masa yang sama helikopter Israel mengawasi dari udara.

As-Sayuthi syahid dalam serangan tentera penjajah.

Sumber turut memperolehi maklumat dari penduduk kampung bahawa operasi tentera penjajah itu adalah untuk menangkap As-Sayuthi.

Menurut sumber, tentera penjejah menjejaki Ali As-Sayuthi sejak 7 tahun dan dituduh melancarkan beberapa operasi serangan ke atas tentera penjajah di barat daya Khalil.

Berikutan itu, pihak berkuasa penjajah mengenakan kawalan keselamatan di kawasan terbabit, sementara itu dilihat berpuluh buah jentera perang Israel di kawasan Al-Koum, Der Samt dan Bet 'Awa. Malah tentera penjajah juga mengepung bandar kecil Bet 'Awa secara menyeluruh. Sumber 26/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

Palestin bertempur dengan penjajah di Al-Quds

25 April 2010

Sebuah pertempuran telah meletus antara pemuda-pemuda Palestin dengan tentera penjajah di Silwan, yang terletak di bandar Al-Quds berikutan menghadang sebuah perarakan yang diadakan oleh golongan pelampau Yahudi.

Gambar: Pemuda Palestin mempertahankan Al-Quds.

Tentera penjajah menggunakan bom pemedih mata dan sound bom bagi menyuraikan kumpulan penunjuk perasaan dari kalangan pemuda Palestin. Akibatnya, beberapa pemuda Palestin mengalami luka parah.

Mufti Al-Quds, Syeikh Husin berkata kepada agensi berita Al-Jazeerah bahawa penjajah bertanggungjawab dengan kejadian yang berlaku kerana membenarkan 'golongan pelampau mengadakan provokasi ketika berarak'. Beliau menyifatkan, perarakan itu adalah bentuk tentangan yang jelas.

Jelas Syeikh Husin, polis Israel bertindak melindungi perarakan pelampau Yahudi yang membawa sepanduk dengan seruan supaya menguasai tanah-tanah Palestin, khususnya di kawasan 'الوادي المقدس'.

Berikutan tentangan balas dari Palestin, beliau menyatakan tindakan tersebut adalah normal kerana untk mempertahankan tanahnya.

Syeikh Husin turut bertegas bahawa penduduk Palestin memikul tanggungjawab yang besar bagi mempertahankan Al-Quds, bagaimanapun beliau berkata, dengan tanggungjawab sedemikian tidak bermakna hanya penduduk Palestin sahaja yang mesti menjaga Palestin.

"Tanggungjawab mempertahankan Al-Quds bukanlah hanya terletak kepada penduduk Palestin sahaja", kata beliau kepada mana-mana kerajaan Negara Islam.

Di tempat lain pula, beberapa penduduk Palestin mengalami kecederaan setelah tentera penjajah bertindak menyuraikan perarakan yang diadakan oleh penduduk Palestin, turut disertai aktivis keamanan luar di barat Bet Lehem.

Berikutan itu, anggota Majlis Legislatif Palestin, Hanan Ashrawy menyatakan pihak yang merancang menguasai Silwan adalah pihak Israel berhaluan kanan, iaitu golongan pelampau dari Kerajaan Israel yang ada sekarang. Beliau turut menyifatkan, hal yang sedang berlaku ini adalah perancangan yang tersusun dan teramat bahaya.

Jelasnya, tentangan dan ancaman Israel ini seiring dengan kunjungan George Mitchell, utusan Amerika Syarikat(US) di Timur Tengah ke sini untuk mendapatkan janji dari Israel agar tidak mengadakan tentangan yang begitu sengit kepada Palestin.

Hanan berkata, 'tekanan dari tentangan itu mengancam semua usaha bagi mendapatkan persefahaman'. Sumber 25/04/2010, web berita Al-Jazeerah

Read more...

Penduduk Yahudi rempuh masuk ke Syeikh Jarrah sambil cerca Nabi Muhammad SAW

24 April 2010

AL-QUDS - Pertembungan sengit meletus antara penduduk Palestin dengan Yahudi yang merempuh masuk ke perumahan Syeikh Jarrah, petang tadi.

Saksi kejadian memberitahu kepada agensi bahawa polis Israel mengepung seluruh perumahan itu serta melarang sebarang keluar masuk dari Syeikh Jarrah. Berikutan kejadian, itu penduduk Palestin mengambil langah berjaga-jaga dan berwaspada.

Kebelakangan ini, penduduk Israel kerap mengadakan rempuhan ke kawasan penempatan penduduk asal, Palestin. Tujuan itu dimaklumkan, adalah untuk menguasai rumah-rumah Palestin serta diubah menjadi milik Yahudi. Matlamat lebih besar, Israel mahu menguasai keseluruhan bandar Al-Quds. Sumber 24/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

Le4Gaza bantu LifeLine4Gaza

Laporan: Nurulhusna bt Ahmad Sani


TANTA, 24 APRIL - 'Silence Is Not An Action' bukannya satu retorik tetapi merupakan gesaan supaya membantu mereka yang sentiasa ditindas, khususnya penduduk Gaza yang dipaksa menghadapi sekatan Israel. Sehingga kini, berita tempatan dan antarabangsa melaporkan sekatan Israel ke atas Gaza telah menjangkau 1000 hari. Ternyata, sekatan ini ibarat penjara kepada 1.5 juta penduduk Palestin di Semenanjung Gaza.

PERUBATAN Cawangan Tanta(PCT) 2009/2010 mengambil inisiatif dengan mempromosikan kutipan amal berikutan sebuah konvoi 'Lifeline4Gaza' yang akan berlepas ke Semenanjung Gaza melalui jalan laut tidak lama lagi, menurut makluman.

Pengarah Le4Gaza Tanta, Nurulhuda bt. Ahmad Sani yang ditemui wartawan MAP, menjelaskan secara asasnya, usaha ini untuk menyahut seruan jihad dan beramal dengan segala kemampuan yang ada demi membantu Palestin. Malah, usaha ini juga bertujuan untuk menyedarkan semua pihak.

Jelas beliau lagi, 'isu Palestin yang sekian lama bergolak mempunyai kaitan yang amat rapat dengan kita; satu ummah, satu akidah. Dan ia bukannya isu kemanusiaan semata-mata. Selain itu, dari sudut fizikalnya, kempen ini juga secara khusus untuk menambah dana kepada kumpulan-kumpulan NGO antarabangsa yang akan berlayar ke sana'.

"Sekalipun target kutipan amal hanya RM10 juta jika dibandingkan dengan jumlah rakyat Malaysia sekarang ini, namun usaha sekerdil ini(Le4Gaza) tetap dijalankan juga untuk sama-sama membantu gabungan NGO bagi merealisasikan target itu", "sebenarnya dengan kutipan ini juga untuk membangkitkan sensitiviti ahli-ahli PERUBATAN Cawangan Tanta terhadap kesengsaraan saudara kita di Gaza", ujar NurulHuda.


Blog rasmi Le4Gaza

Peluang untuk menyumbang

Sementara itu, wartawan MAP turut menemui Pengerusi PCT 2009/2010, Azhan b. Hamdan yang juga turut melibatkan diri dalam Le4Gaza Tanta.

"Kempen Le4Gaza ini dibuat atas dasar persaudaraan dan kesedaran yang perlu kita semua rasai. Sehubungan dengan kempen LifeLine4Gaza yang dilaksanakan di Malaysia, kami merasakan inilah peluang terbaik untuk pelajar-pelajar perubatan dan pengajian Islam di Mesir, khususnya di Tanta untuk kita sama-sama menyumbang tujuan membangunkan kembali Palestin", Jelas Azhan.

Beliau berharap semua ahli PCT menyahut seruan LE 100 seorang untuk Gaza. Walaupun kita sibuk dengan peperiksaan, jangan sesekali kita lupa sahabat, rakan dan saudara kita di sana.


Kutipan dan jualan amal telah bermula

Berhubung tindakan dan sambutan kempen kutipan dana khas untuk penduduk Gaza, saudari Nurulhuda menyatakan, projek kutipan telah bermula.

Pihak beliau telahpun berkempen dari rumah ke rumah dengan membawa tabung dana.

NurulHuda menyatakan sambutan amat memberangsangkan. Selain kutipan dana, projek ini juga menjalankan jualan amal yang dijadualkan berlangsung selama 3 hari setiap akhir minggu, 2 hari jualan telahpun berjalan dengan kutipan yang diperolehi kini sebanyak LE 1400.

Mengulas dari segi sumbangan idea dan tenaga, NurulHuda berkata, 'respon ahli PERUBATAN Cawangan Tanta sangat baik dan ada juga persatuan pelajar lain turut sama ingin menyumbangkan tenaga mereka dalam projek ini tidak kira daripada mana-mana aliran pengajian. Perkara ini dilihat amat positif dalam usaha penyatuan umat Islam di peringkat Mesir.'


Harapan Le4Gaza

Pengarah Le4Gaza, NurulHuda bt. Ahmad Sani menyatakan harapannya kepada wartawan, 'projek seperti ini mesti berjalan setiap masa kerana isu Palestin bukan isu yang bermusim. Silence is not an action, maka kita semua perlu melakukan sesuatu. Untuk melakukan sesuatu dengan baik memerlukan kepada kesedaran'.


Sedar tentang sejarah

Beliau turut menyatakan, seandainya umat Islam sedar tentang sejarah Palestin dan kepentingan negara tersebut, lantas mampu membina peribadi yang lebih matang dalam menentukan prioriti ketika berbelanja mahupun berpersatuan terutamanya di kalangan mahasiswa dan mahasiswi Mesir.

Melihat dengan lebih jauh lagi, beliau bercita-cita mahu menyaksikan di kalangan bangsa kita sendiri yang membebaskan Palestin dari cengkaman Israel sebagaimana yang telah ditunjukkan Salahuddin Al-Ayubi yang berbangsa Kurdish. Sejarah mencatatkan segalanya.

Justeru, "usaha Le4Gaza seperti ini cuba menyuntik semangat dan ruh ithar dari sumbangan dan tanggungjawab kita kepada mereka yang memerlukan", ujar beliau di akhir pertemuan.
________________________________

Baca lagi:

> Israel tidak benar masuk bahan binaan ke Gaza
> Khadri harap sempadan Rafah dibuka kepada bantuan kemanusiaan
> Qatar berusaha bebaskan Gaza dari sekatan
> 1000 hari sekatan ke atas Gaza


Fakta: Setelah HAMAS menguasai Gaza pada tahun 2007, Israel terus mengenakan sekatan ke atas Gaza. Sempadan yang menghubungkan antara Israel-Gaza(Erez, Nehal Auz, Kissufim, Karni dan Karem Abu Salem) hanya dibuka mengikut masa tertentu. Pengkhususan di sempadan-sempadan tersebut hanyalah untuk kemasukan barang dagangan, makanan, binaan, bekalan solar dan seumpamanya ke Gaza. Bagaimanapun, kemasukan ini dalam kuantiti yang terhad.

Adapun sempadan Rafah Gaza-Mesir tertakluk di bawah perjanjian sempadan 2005 antara empat pihak, iaitu Mesir, Eropah, Israel dan Kerajaan Palestin Ramallah. Sempadan Rafah Gaza-Mesir hanya dikhususkan untuk keluar masuk, seperti pesakit yang memerlukan rawatan dan bantuan kemanusiaan, iaitu ubat-ubatan tetapi terhad dan perlu mendapatkan persetujuan dari Mesir. [MAP]

Read more...

Projek metro dan keretapi Israel di Al-Quds

Berikut adalah klip berita dan salinan rakaman video mengenai rancangan Israel bagi mendirikan projek keretapi dan metro bawah tanah di Al-Quds, Palestin.



Sumber klip 21/04/2010, berita Al-Jazeerah

NABLUS - Seorang anggota Gerakan FATAH yang bertanggungjawab bagi isu Al-Quds, Hatem Abd Kadir(gambar) telah mendedahkan perancangan baru Israel membina laluan metro (keretapi bawah tanah. Contoh: sebagaimana yang terdapat di Mesir) bawah tanah yang menghubungkan antara garisan pembahagi bandar Al-Quds; dari arah barat dan timur.

Abd Kadir berkata, syarikat yang membangunkan projek ini dari Amerika, iaitu 'Marshal Engineering'. Sebagaimana makluman, peringkat permulaan projek tersebut adalah 'merekabentuk' terowong bawah tanah dan membuat lakaran gerabak metro. [baca lagi]



Jambatan baru projek keretapi Israel di bandar Al-Quds.
Sumber klip 13/01/2010, youtube.com




Projek baru Israel, pembinaan rel keretapi ringan bertujuan membahagikan Al-Quds, Palestin. Malah menimbulkan kebimbangan kepada penduduk Palestin di Timur Al-Quds.
Sumber klip 27/04/2009, Rusia Today

Read more...

155 pulang ke Gaza semalam

23 April 2010

RAFAH - Badan pengurusan sempadan dan perlintas, Kerajaan Palestin Gaza mengumumkan 155 penduduk Palestin telah pulang semula ke Gaza semalam melalui sempadan Rafah Mesir-Gaza.

Badan tersebut menyatakan, 'sebahagian besar penduduk Palestin yang pulang ke Gaza setelah selesai menjalani rawatan di hospital-hospital Mesir'.

Tambahan lagi, sejumlah yang pulang ke Gaza adalah yang terperangkap sebelum ini dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah.

Pihak berkuasa Mesir menutup sempadan Rafah itu semenjak HAMAS menguasai Semenanjung Gaza pada Jun 2007. Mesir juga membantah permintaan membukanya melainkan setelah mengikut perjanjian sempadan tahun 2005. Bagaimanapun, pembukaan sempadan tersebut secara berkecuali kepada pesakit dan yang memerlukan bantuan kemanusiaan. Sumber 23/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

Lagi 7 Palestin ditangkap, 6 penunjuk perasaan ditangkap, penjajah sedia roboh Masjid Sohwah Islamiah

Menurut sumber berita Al-Jazeerah, tentera penjajah menangkap 7 penduduk Palestin di Tebing Barat.

Semalam(khamis), sumber Palestin menyatakan sepasukan tentera penjajah memberkas 6 aktivis asing yang turut menyertai satu perarakan aman yang diadakan di bandar Bet Jala, Bet Lehem. Perarakan itu adalah usaha mengutuk tindakan penjajah yang meratakan tanah Palestin bagi mendirikan tembok pemisah.

Sementara itu, sumber lain melaporkan, tentera penjajah bersiap sedia merobohkan masjid Sohwah Islamiah yang terletak di bandar Raht dalam garisan hijau dengan dakwaan masjid itu dibina tanpa mendapat kelulusan.

Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri Israel telah menyiapkan satu batalion unit polis yang terdiri dari 1000 anggota, di samping 2 buah helikopter yang mengawal dari udara dan berpuluh buah jentera lain bagi melindungi buldozer Israel ketika merobohkan masjid itu. Sumber 23/04/2010, berita Al-Jazeerah, web berita islamtoday.net(22/04/2010) dan suratkhabar Al-Ahram(Mesir)

Read more...

Sketsa: Lapangan terbang yang terselamat dari kesan gunung berapi di Iceland

22 April 2010

Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza yang tidak lagi beroperasi

Satu-satunya Lapangan Terbang Antarabangsa di dunia yang tidak terkesan berikutan letupan gunung berapi di Iceland baru-baru ini.

Ketika berita-berita antarabangsa melaporkan, beratus-ratus buah lapangan terbang di Negara-negara Eropah terpaksa ditutup sementara waktu, dan banyak penerbangan yang terpaksa di tangguhkan, tetapi lapangan terbang yang dimaksudkan ini tetap gah. Itulah Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza yang terletak di selatan Gaza.

Bagaimanapun, Lapangan Terbang Antarabangsa ini telah ditutup 10 tahun yang lalu. Semasa perang Gaza 2008 dan beberapa waktu di tahun 2010, Lapangan Terbang tersebut kerap menerima kehadiran peluru-peluru Israel. - MAP

Read more...

Damai tetapi tak aman

Tak sepatutnya berlaku, tetapi memang sedang dan telah berlaku. Ketika Gaza dipaksa menyembah syarat-syarat sebagai jalan pembebasannya, kewujudan pihak Arab leka melayani karenah perut zionis dan Amerika. Lebih memalukan, jika ada dikalangan pemimpin umat Islam yang manis berbicara di hadapan 2 buah perut itu, kononnya mereka bertemu untuk menyatakan pendirian berhubung double-standard dan diskriminasi hipokrasi demokratik, namun tidakkah ada cara lain untuk menyatakan ketegasan kepada pihak yang membela puak pelampau yang kerap kali bermaharaja-lela di tanah Palestin. Sewajarnya kita gunakan cara kita. Sumber karikatur 22/04/2010, web berita Al-Jazeerah

Mereka sering berbicara tentang perdamaian tetapi mereka tak berusaha untuk menyekat pihak yang suka menimbulkan tak aman kepada perdamaian, malah 'bersemuka secara aman' tetap menjadi alternatif merebut hak. Sumber karikatur 22/04/2010, web berita Al-Jazeerah
Ucapan dan kenyataan rasmi pemimpin utama Amerika Syarikat, malah di'support' menterinya yang tetap mempertahankan kenakalan anak kecil walaupun ternyata anak kecil itu terlalu buas dan sukar dikawal. Adakah memadai mengherdik anak kecil itu supaya dia menghentikan kenakalannya? Kenapa tidak kurung, tidak kawal dan jangan beri langsung gula-gula kepadanya selagimana dia terus buas dan bertindak ganas? Amat dikesali, kita pulak yang dok memanjakan dia lagi.
Sumber karikatur 22/04/2010, web berita Al-Jazeerah

Read more...

Penjajah tangkap 24 Palestin

TEBING BARAT - Menurut sumber dari agensi berita, sepasukan tentera penjajah telah menangkap 24 penduduk Palestin awal pagi tadi. Penangkapan tersebut melibatkan beberapa kawasan di Tebing Barat.

Web berita 'Yediot Ahronot' Israel melaporkan, 'tentera Israel menangkap 5 penduduk Palestin berdekatan bandar kecil di Bet Lehem yang berada di selatan Tebing Barat, dalam masa yang sama 5 lagi ditangkap di Qalqiliah, utara Tebing Barat. Sebagaimana dilaporkan mereka yang ditangkap telah dibawa ke jabatan siasatan.

Sementara itu, seorang tentera Israel mengalami luka ringan ketika operasi menggeledah. Lebih dari itu, tentera Israel melontar bom tangan ke arah sekumpulan penduduk Palestin sebelum mereka ditangkap Israel.

Tentera penjajah melancarkan operasi ini setiap hari. Pada malam semalam, tentera penjajah menceroboh dan mengadakan pemeriksaan di beberapa buah kawasan di Tebing Barat. Operasi tersebut sebagaimana yang dilaporkan adalah untuk mencari 'mereka' yang dikehendaki. Sumber 22/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

Metro Israel hubung pembahagi garisan Al-Quds

Laporan ini diterbitkan semalam

NABLUS - Seorang anggota Gerakan FATAH yang bertanggungjawab bagi isu Al-Quds, Hatem Abd Kadir
(gambar) telah mendedahkan perancangan baru Israel membina laluan metro (keretapi bawah tanah. Contoh: sebagaimana yang terdapat di Mesir) bawah tanah yang menghubungkan antara garisan pembahagi bandar Al-Quds; dari arah barat dan timur.

Abd Kadir berkata, syarikat yang membangunkan projek ini dari Amerika, iaitu 'Marshal Engineering'. Sebagaimana makluman, peringkat permulaan projek tersebut adalah 'merekabentuk' terowong bawah tanah dan membuat lakaran gerabak metro.

Dalam kenyataannya kepada agensi berita, beliau menyatakan Israel telah memulakan projek pengorekan(gali/gerudi) bagi mendirikan rancangan ini, ekoran dari projek pengorekan yang telah dijalankan di kawasan bab al-Khalil berdekatan Masjid Al-Aqsa untuk membina infrastruktur rancangannya. Beliau turut melahirkan rasa bimbang dengan projek pengorekan yang merupakan sebahagian dari rancangan terowong bawah tanah.

Wakil Fatah itu menunjukkan perancangan yang Israel laksanakan ini bermotif politik, iaitu Israel berusaha menghubungkan antara garisan yang menghubungkan bandar Al-Quds dengan menyatukannya dari terowong yang berada di bawah tanah malah juga akan menghubungkan dari atas.

Rancangan Israel ini menimbulkan kesan yang bahaya dengan pembinaan terowong bawah tanah dan gerabak metro ke atas tempat-tempat sejarah lama(arkeologi). Abd Kadir menjelaskan terowong bawah tanah ini turut merintangi kawasan kota lama yang berhampiran dengan tembok Al-Quds dan tanah perkuburan Armenia serta kawasan Nabi Daud AS untu
k sampai ke tembok buraq(ratapan). Tambahan pula, tembok buraq juga adalah salah satu dari kawasan Masjid Al-Aqsa, maka dengan rancangan tersebut akan memberikan kesan kepada struktur binaan di sekeliling tembok Masjid Al-Aqsa.

Peta: Pemandangan bandar Al-Quds dari ruang udara. Garisan biru adalah laluan metro menuju ke tembok buraq(ratapan).

Menurut beliau, tujuan di sebalik perancangan ini sebagai jentera pengangkut untuk membawa sebilangan besar penduduk Israel dari barat Al-Quds menuju ke pertengahan Masjid Al-Aqsa(الحرم القدسي الشريف). Selain itu, rancangan sedemikian juga permulaan strategi Israel merempuh Al-Aqsa. Sesudah projek tersebut selesai dengan sempurna, maka metro dapat memasuki di bawah Masjid Al-Aqsa.

Beliau berkata, Israel tidak mengumumkan rancangan ini tetapi kami dapat mengesannya. Jelasnya, projek yang didirikan ini merupakan jalan tengah untuk menyerang Al-Aqsa dengan mudah dalam masa yang pantas serta mengejutkan. Desas-desus turut mengatakan dari rancangan ini, penduduk Israel dalam jumlah ribuan mampu merempuh Masjid Al-Aqsa hanya dalam beberapa detik waktu sahaja.

Beliau berharap kepada Negara-negara Islam, Negara-negara Arab dan antabarangsa agar dapat menyatakan apa yang dilakukan Israel ini melanggar undang-undang dan beliau juga mendesak supaya menilai keterlibatan syarikat Amerika dalam rancangan ini sebagaimana kes yang telah didakwa ke atas sebuah syarikat Perancis yang mendapat tender membangunkan gerabak metro bawah tanah, bagaimanapun projek itu berjaya dibekukan dan syarikat berkenaan telah menarik diri dari projek tersebut.
Sumber 21/04/2010, web berita Al-Jazeerah

Read more...

Obama ungkap hubungan US dengan Israel teguh, HAMAS kecam ucapan Obama

21 April 2010

Sempena sambutan penubuhan Israel tahun ke-62, Presiden Amerika Syarikat(US), Barack Obama mengesahkan hubungan dua buah Negara itu tetap stabil. Malah Obama turut yakin bahawa hubungan itu akan bertambah teguh pada masa akan datang.

Gambar: Ketika Israel menyambut perayaan penubuhannya, Palestin '48 turut mengadakan peringatan Nakbah.

Menurut Obama dalam satu keterangan akhbar yang dikeluarkan White House semalam, bahawa Obama sedang membuat penilaian bagi menyambung usaha dengan Israel agar perdamaian dan keamananan di rantau Timur Tengah dapat dicapai malahan penyelasaian konflik serantau dengan asas penubuhan dua Negara(Palestin-Israel).

Obama berkata sedemikian walaupun hubungan US dengan Kerajaan Benjamin Netanyahu tegang.

Presiden US turut mengakui Negara US adalah Negara pertama yang mengiktiraf penubuhan Israel. Beliau menegaskan, Israel adalah sekutu rapat dan terpenting bagi US di Timur Tengah. Dalam keterangan itu, Obama mengucapkan tahniah kepada Presiden Israel, Perdana Menteri Israel dan seluruh penduduk Israel.

"kita meraikan sekali lagi pencapaian besar yang diperolehi oleh penduduk Israel malah mempunyai hubungan persahabatan yang intim dan teguh dengan penduduk US", ujar Obama sebagaimana laporan dari agensi berita Perancis.

Sementara itu, web berita safa.ps juga menukilkan semalam bahawa Obama berkata, 'tanah Palestin merupakan tanahair yang bersejarah kepada Yahudi'.

HAMAS kecam ucapan Obama

Rentetan dari kenyataan Obama, HAMAS mengecam keras.

Salah Bardawil, salah seorang pemimpin HAMAS menegaskan bahawa tanah Palestin yang bersejarah itu adalah untuk masyarakat Palestin. Setiap aspek yang ada di situ menyaksikan ia adalah tanah yang menjadi hak Arab Islam.

Tambah beliau lagi, 'tiada sesiapapun yang boleh membuat ketetapan sama ada dari sudut politik ataupun kelompok yang berada di White House untuk memberi perjanjian kepada Israel dengan memadam sejarah ini dengan penanya yang cacat'.

"perkara sebegini, adanya tipu helah yang menentang masyarakat Palestin dan juga menentang sesiapa sahaja yang menjadi wakil perundingan yang sia-sia", ujar Bardawil.

Jelas beliau lagi, 'perkara yang sedang berlaku ini adalah tamparan yang besar, bukan sahaja kepada perunding Palestin tetapi juga terkena kepada perunding Arab dan juga inisiatif Arab'.

Bardawil berharap kepada masyarakat Arab dan umat Islam agar menjadikan ia peringatan dengan maksud di sebalik pengumuman yang telah dinyatakan sebelum ini oleh bekas Presiden Amerika, George Bush adalah perang salib bagi merampas Al-Quds iaitu tanah yang telah Allah berkati di sekelilingnya dari hati umat Islam.

Mesir ucap tahniah kepada Israel

Berhubung perayaan yang disambut Israel, Mesir melalui Presidennya juga mengutuskan surat tahniah kepada Presiden Israel, Simon Perez.

Presiden Housni Mubarak dalam suratnya itu berkata, 'saya mahu mengambil peluang ini adalah untuk menyeru sekali lagi kepada pihak kamu(Israel) supaya kembalikan rundingan damai di Timur Tengah ini dalam landasannya bagi mengakhiri keguguran darah dan usaha pelampauan'.

Gesaan Netanyahu

Dari pihak Israel pula, Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel membuat pengumuman bahawa perdamaian tidak mungkin dapat diwujudkan di Timur Tengah kecuali dengan rundingan antara Palestin - Israel untuk mendapatkan persetujuan dan bukannya pelaksanaan dari perancangan yang baru untuk menerangkan tentang Negara Palestin yang dinantikan, menurut agensi berita Perancis.

Sebagaimana desas-desus dan perkhabaran berita pada masa lalu mengenai pentadbiran US yang nekad mengemukakan rancangan damai Amerika yang baru sebagai jalan keluar dari konflik yang telah tercetus.

Netanyahu berkata lagi dalam rancangan televisyen Amerika 'ABC' pada awal malam semalam, 'pelbagai pihak yang duduk di meja rundingan mesti mencetuskan idea perdamaian. Dengan itu dapat mengurus dan berusaha menyelesaikan perselisihan sesama mereka'.

Tambah Netanyahu, 'tidak mungkin menetapkan apa-apa kedudukan bagi rundingan damai sebelum kita yang memulakannya..saya akan memulakannya dengan seberapa segera'. Sumber 21/04/2010, suratkhabar Misril-Youm, berita Al-Jazeerah dan web berita Al-Jazeerah

Read more...

3 anggota kami ditangkap - HAMAS

TEBING BARAT - HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية) dalam keterangan akhbar yang disampaikan kepada agensi berita membuat tuduhan terhadap Pihak Keselamatan Palestin di Tebing Barat kerana telah menangkap 3 anggotanya.

Gambar: Sepasukan Keselamatan Palestin yang di'rekrut' Jeneral Keith Dayton, Amerika.

Sumber menjelaskan, Pihak Keselamatan Palestin di Tebing Barat menangkap semula seorang pejuang Al-Qassam, Wael Al-Bitar yang dibebaskan seminggu yang lalu dari penjara Keselamatan Negara di Ariha.

Sebagaimana sumber menyatakan, Wael ditahan selama setahun 6 bulan di dalam penjara Keselamatan Negara. Dinyatakan lagi, pada tahun 2008, tentera penjajah(zionis) merobohkan rumahnya selepas mengetahui ada seorang komander Al-Qassam di dalamnya. Komander tersebut Shihabuddin An-Natsyah telah syahid.

HAMAS menjelaskan lagi, Pihak Keselamatan turut menangkap Ala' Al-Kouni setelah menggeledah rumahnya di bandar Nablus. Dan seorang lagi, Tareq Masaad berasal dari sebuah kampung(فقوعة قضاء) di Jenin. Tareq juga telah dibebaskan sebelum ini tetapi ditangkap semula.

Sementara itu, ketika operasi penggeledahan di Jenin, Pihak Keselamatan Palestin menangkap seorang wanita yang merupakan ibu kepada pejuang, Abdullah Al-Akr selama 5 jam. Selepas itu, wanita tersebut dibebaskan semula. Rumah Abdullah Al-Akr yang terletak di bandar Nablus juga digeledah beberapa kali, malah Pihak Keselamatan juga menggeledah rumah saudaranya di bandar Jenin. Abdullah yang juga merupakan bekas tahanan, dan diusir dari tanah Palestin semenjak setahun 6 bulan yang lalu. Sumber 21/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

2 polis Israel cedera ringan akibat terkena lontaran baru

20 April 2010

AL-QUDS - Radio penjajah melaporkan 2 polis Israel mengalami kecederaan pada petang selasa setelah terkena lontaran batu di Hayyu Silwan, timur bandar Al-Quds.

Menurut siaran radio tersebut, pasukan perubatan Israel bergegas ke tempat kejadian.

Berikutan kejadian itu, sepasukan tentera penjajah menangkap 3 penduduk Palestin di Hayyu Silwan kerana dikatakan terlibat melontar batu. Sumber 20/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

Pengeboman sengit di selatan Deir Balah

DEIR BALAH - Sekumpulan tentera Israel yang berpengkalan sementara berdekatan pos kawalan Kissufim telah mengebom kawasan Abu Safiah, timur Deir Balah dengan 15 tembakan artileri pada petang selasa.

Agensi berita menjelaskan seiring pengeboman itu, tentera penjajah turut melepaskan tembakan bertubi-tubi di kawasan terbabit. Dalam masa yang sama, pesawat tempur penjajah mengawal dari ruang udara.

Berikutan serangan yang dahsyat, Dr.Muawiyah Husnain, Pengerusi bantuan cemas di Kementerian Kesihatan Gaza menafikan sebarang kecederaan dari kalangan penduduk Palestin dalam serang Israel berdasarkan usaha mencari dan mengesan mangsa yang dilakukan oleh sebuah panitia tertinggi unit bantuan dan kecemasan dengan pemusatan maklumat dari bulan sabit di kawasan terbabit kerana bimbang wujudnya kecederaan atau luka parah dikalangan penduduk.

Dalam kejadian serangan Israel, dua buah kumpulan Palestin; SARAYA AL-QUDS(sayap tentera JIHAD ISLAMI) dan KATAIB SYUHADA AL-AQSA(sayap tentera FATAH) dalam kenyataan yang berasingan mengakui mereka terlibat dalam pertempuran di timur Deir Balah.

SARAYA AL-QUDS mengesahkan sebuah unit dari kumpulannya telah mengesan satu unit tentera Israel menyelinap masuk di pertengahan Kissufim, maka tentera Israel dihujani tembakan. Dalam kejadian itu, tidak ada sebarang luka parah di pihak kumpulan pejuang Palestin.

Dari pihak KATAIB SYUHADA AL-AQSA pula menjelaskan pertempuran itu meletus selepas helikopter Israel melepaskan satu serangan peluru ke arah sebuah kumpulannya yang sedang bersedia untuk melancarkan serangan roket jenis 'AQSA' ke kawasan penempatan Israel. Sumber(22:28) 20/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

Kami takkan mohon maaf kerana menguasai Yafa, Safad(Zefat) dan Khalil - Israel

BET LEHEM - Pada saat ketika Israel memulakan sambutan kemerdekaan tahun ke-62, Palestin juga memberi respon dengan mengadakan perarakan bagi mengingati 'Nakbah Palestin' di beberapa buah perkampungan Palestin.

Catatan sejarah menukilkan, Israel mendirikan Negaranya di atas tanah Palestin dengan cara menghalau dan mengusir penduduk Palestin.

Sumber dari Israel menyatakan, perayaan tersebut berlangsung selama dua hari. Perayaan itu yang diadakan pada tahun ini membawa mesej 'kejayaan yang telah dicapai Israel' sempena memperingati 150 tahun kelahiran seorang tokoh Israel yang menjadi inspirasi kebangkitan zionis.

Speaker parlimen Knesset Israel, gambar: Reuven Rivlin(dari parti Likud) ketika menyampaikan ucapan pada malam yang lalu berkata, 'sepertimana kami membangunkan penempatan di Al-Quds, selamanya kami tak akan mohon maaf kerana menguasai Yafa, Safed(Zefat), Katamon atau Khalil'.

Upacara pembukaan perayaan ini dilakukan dengan penerbangan akrobatik dari pasukan udara Israel di ruang udara Al-Quds sambil ditonton dari perkarangan pejabat kementerian Israel.

Kemudian upacara selanjutnya diadakan di taman perkarangan kementerian Israel dengan persembahan nyanyian muzik khas. Persembahan lagu nyanyian itu adalah pilihan dari Presiden Israel, Simon Perez, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan Ketua Turus Angkatan Tentera Israel, Ghabi Ashkenazi mengikut lagu yang diminati secara khusus untuk perayaan kemerdekaan itu.

Respon Palestin

Sementara itu, penduduk Palestin turut mengadakan perarakan di kampung 'Miska' yang berada di pertengahan Palestin. Perarakan tersebut diadakan oleh sebuah lajnah Palestin(لجنة حقوق المهجرين) yang turut disertai sebuah lajnah lain(لجنة المتابعة العليا لفلسطينيي 48).

Kedua-dua lajnah tersebut dalam keterangan akhbar meminta supaya perarakan ini diadakan secara meluas yang berlangsung selepas zohor tadi.

Peta: Kedudukan Safed di utara tanah Palestin(Israel mendakwa kepunyaan Israel).


Berikutan itu, sejak awal pagi tadi, berpuluh-puluh ribu penduduk Palestin bergegas menuju ke perkampungan-perkampungan Palestin yang telah hancur musnah.

Selain itu, penduduk Palestin yang berada di kawasan-kawasan mukhayyam pelarian sama ada di Tebing Barat atau yang berselerak di luar tanah Palestin juga akan mengadakan peringatan 'Nakbah Palestin' ke-62. Sumber 20/04/2010, web berita maannews.net

Read more...

Notis roboh rumah

KHALIL - Bahagian Perkhidmatan Awam yang merupakan agensi kerajaan penjajah telah menyerahkan notis pemberitahuan bagi merobohkan 3 buah rumah dan kolam air di Kota Kecil Halhoul yang berada di utara bandar Khalil.

Berhubung dengan kes itu, Datuk Bandar Halhoul, Dr.Ziad Abu Yusof berkata, 'sepasukan tentera penjajah telah menceroboh masuk ke kawasan Romouz di selatan Kota Kecil serta menyerahkan notis pemberitahuan kepada penduduk Palestin; Ahmad Audh, Mohammad, dan Dhirar Zuma'irah mengenai rumah mereka yang akan dirobohkan'.

Sementara itu, seorang lagi penduduk Palestin, Mohammad Abu Yusuf juga menerima notis pemberitahuan bagi memecahkan kolam air yang dimilikinya kerana kedudukan kolam tersebut berdekatan dengan zon 'C' yang berada di bawah penguasaan penjajah walaupun pada hakikatnya kawasan terbabit masih berada di zon 'A' yang berada di bawah kawalan Pihak Berkuasa Palestin. Sumber 20/04/2010, web berita maannews.net

Read more...

US tetap beri sokongan kepada Israel

19 April 2010

Menteri Luar Amerika Syarikat(US), Hillary Clinton berkata, 'US tidak akan meragui sokongannya kepada Israel malah akan melindungi Israel'.

Kenyataan tersebut mengakui bahawa hubungan US dengan Israel tidak terkesan berikutan pendirian Kerajaan Israel yang diketuai Benjamin Netanyahu mengenai penempatan Israel.

Menurut Clinton dalam kenyataannya semalam yang bermulanya perayaan mengingati penubuhan Israel tahun ke-62, bahawa secara peribadinya Clinton memberi komitmen yang mendalam kepada Israel. Begitu juga, Presiden Barack Obama.

Clinton mengungkapkan perayaan sebegini adalah peluang bagi memperingati pencapaian Israel berhubung apa yang menimpanya malah Israel berjaya menyatukan bangsanya. Clinton juga menyebut, masa yang diambil oleh bekas Presiden Amerika, Harry Thruman pada tahun 1948 membuat pengiktirafan penubuhan Israel hanyalah 11 minit selepas Israel mengumumkan penubuhan Negaranya.

__________________________________________

Fakta: Wakil tertinggi British beredar meninggalkan Al-Quds dan pulang ke Britain pada 14/05/1948 sebagai permulaan mengiktiraf Negara Israel pada hari berikutnya. Tetapi, Yahudi tidak menunggu tarikh 15/05/1948, bahkan David Ben Gurion dengan seberapa segera terus mengumumkan penubuhan Negara Israel selepas jam 4(selepas zohor) di Tel-Aviv setelah wakil British bertindak sedemikian.

Selepas 11 minit Negara Israel diumumkan, Harry Thruman yang menjadi Presiden Amerika waktu itu mengiktiraf penubuhan Israel. Rujukan: Dr. Tareq Suweidan, 'Palestin..gambaran sejarah', m/s 274
__________________________________________


Dalam kenyataannya, Clinton menyatakan pada hari ini Israel berhadapan dengan ancaman yang cukup besar dalam sejarahnya. Lantaran itu, pentadbiran US yakin amat perlu perdamaian secara menyeluruh dapat dicapai di Timur Tengah.

Sementara itu, Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel dalam kenyataannya pula berkata, Israel sentiasa menghulurkan tangan kepada jirannya demi perdamaian.

"Kajian dan pengalaman mengakui perdamaian tidak akan tercapai melainkan apabila Israel dibiarkan mempersiapkan kekuatannya", menurut Netanyahu ketika memberikan ucapan sempena perayaan tersebut. Sumber 19/04/2010, berita Al-Jazeerah dan web berita Al-Jazeerah

Read more...

Pejuang Alwiyah serang unit khas Israel

GAZA - ALWIYAH NASEER SALAHUDDIN, sebuah kumpulan pejuang Palestin yang merupakan sayap tentera kepada sebuah gerakan pertahanan rakyat mengumumkan bahawa satu unit dari kumpulannya yang berada di sempadan utara Gaza telah bertempur dengan satu unit khas tentera Israel yang menyelinap masuk di utara Gaza.

ALWIYAH dalam keterangan yang disampaikan kepada agensi berita menjelaskan, 'unit pejuang dari kumpulannya telah mengesan unit khas tentera Israel(infantry) yang cuba menyelinap masuk ke sebuah kawasan Zendah pada jam 1.10 pagi, dengan serta-merta pejuang ALWIYAH menyerang unit khas Israel dengan tembakan machine-gun dan beberapa jenis senjata ringan.

Dalam keterangan itu, pejuang ALWIYAH turut menyebut mesej yang ditujukan kepada penjajah.

"Kami ingin menyatakan kepada musuh kami zionis bahawa pejuang-pejuang kami sentiasa bersedia setiap masa dan waktu, malah dengan apa jenis senjata sekalipun beserta iman dan percaya kemenangan kepada mereka yang sabar, kami akan menghadang sebarang tentangan dan pencerobohan dari pihak tentera yang sentiasa kalah..insyaAllah", petikan dari keterangan ALWIYAH.

Tambah ALWIYAH lagi, 'Komander zionis dan tenteranya perlu tahu Gaza tidak mudah menjadi mangsa tetapi Gaza akan menjadi kubur kepada tentera kamu(zionis) dan tempat pelupusan jentera perang kamu..insyaAllah'. Sumber 19/04/2010, web berita safa.ps

Read more...

Pembersihan etnik di Palestin

18 April 2010

PALESTIN YANG DIJAJAH - Catatan dalam sejarah moden mengukir dasar politik Israel yang mengenakan pembersihan etnik ke atas penduduk Palestin secara besar-besaran. Sumber Karikatur 18/04/2010, web berita islamtoday.net

Read more...

Sempadan Karem Abu Salem dibuka, Karni ditutup

GAZA - Pihak Berkuasa Penjajah(Israel) menetapkan sempadan(perlintasan) Karem Abu Salem dibuka bagi membenarkan kemasukan bantuan makanan dan bekalan tenaga ke Gaza.

Gambar: Petunjuk sempadan(perlintasan) Mintar 'Karni' berwarna merah yang tetap ditutup.

Pengerusi Panitia Kemasukan(eksport) barang ke Gaza, Ir. Raed Abu Futtuh berkata, 'penjajah telah memutuskan pembukaan sempadan Karem Abu Salem yang terletak di tenggara Semenanjung Gaza supaya dibuka bagi membenarkan kemasukan 66-76 buah trak yang membawa muatan bantuan bagi sektor perdagangan dan pertanian, manakala sebuah dari trak tersebut untuk syarikat telekomunikasi dan sebuah lagi kepada Jabatan Tenaga.'

Bagaimanapun, sempadan Mintar 'Karni' yang berada di timur Gaza tetap ditutup. Sumber 18/04/2010, web berita maannews.net

Read more...
widgeo.net

anjung pavilion

Free counter and web stats Politics Top Blogs Politics Blogs - Blog Top Sites
Journalist Blogs - Blog Catalog Blog Directory

 Subscribe in a reader

download juice, the cross-platform podcast receiver

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates .com 2008

Kembali ke ATAS