Pejuang hadang pencerobohan zionis
29 Mac 2012
GAZA - Sebilangan jentera perang rejim zionis telah menceroboh beberapa penjuru di Hayyu Nahdhah dari garisan sempadan sebelah timur bandar Rafah(selatan Semenanjung Gaza) malam ini. Pada waktu yang sama, helikopter perang jenis APACHE melepaskan tembakan senjata berat ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza(sudah tidak beroperasi) dan kawasan Hayyu Al-Shaukah di sebelah timur Rafah.
Pencerobohan dan serangan ini selepas beberapa jam jentera perang zionis yang terdiri dari beberapa buah buldozer dan kereta kebal menceroboh secara terbatas pada waktu Asar petang tadi di Hayyu Al-Fukhara, bandar Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza. Sambil menceroboh, zionis turut melepaskan tembakan dan meratakan tanah-tanah.
kejadian ini tidak mengakibatkan sebarang kecederaan dikalangan penduduk Palestin, bagaimanapun pejuang-pejuang Palestin telah menghadang jentera zionis yang menceroboh dengan tembakan peluru mortar 'hawn'.
Kejadian yang sama, menara-menara kawalan tentera zionis di Kissufim juga melepaskan bertubi-tubi tembakan ke arah kediaman penduduk Palestin yang terletak di sebelah timur daerah Al-Qararah.
Ceroboh waktu Asar
Kejadian pada waktu Asar petang tadi, menurut pemberita SAFA, sebanyak lima buah buldozer dan empat buah kereta kebal dilihat keluar dari pintu gerbang Sharab Asal dan menceroboh puluhan meter ke dalam tanah Gaza di sebelah timur bandar Khan Younis. Dijelaskan, helikopter perang mengiringi kereta-kereta kebal dan buldozer sambil melepaskan tembakan ke arah rumah-rumah dan tanah pertanian penduduk Palestin.
Berhubung hal ini, seringkali boleh dikatakan kawasan-kawasan di sebelah timur dan selatan Semenanjung Gaza diceroboh jentera perang zionis. Di samping itu, zionis meratakan tanah-tanah, melepaskan tembakan ke arah kediaman awam dan melaksanakan operasi mengesan. Sewaktu laporan ini diterbitkan, rejim zionis telah mengundurkan jentera-jentera perangnya dari sempadan sebelah timur Semenanjung Gaza. Sumber 29/03/2012, web berita Paltimes.net dan web berita Safa.ps