3 nelayan Palestin cedera diserang bot laju zionis
27 Mei 2011
Jam 11.19 malam(26/05/2011), Mesir
GAZA - 3 nelayan Palestin cedera malam tadi(26/05/2011) setelah diserang bot-bot laju rejim zionis ketika sedang memburu ikan di perairan laut Khan Yunus, selatan Semenanjung Gaza.
Berhubung kejadian, pejabat penerangan bomba dalam laporannya menjelaskan bahawa skuad penyelamat laut berjaya menunda keluar bot nelayan Palestin dari lokasi kejadian selepas dilanggar bot laju zionis dari bahagian belakang.
Tambah laporan itu, 3 orang nelayan dari 7 nelayan yang berada di atas bot berkenaan mengalami kecederaan, dikatakan tulang patah. Berikutan serangan itu, bot nelayan turut mengalami kerosakan di bahagian enjin.
Ketua skuad penyelamat, kapten Yahya Taayah berkata, sewaktu usaha menunda keluar dari lokasi menuju ke pelabuhan nelayan Gaza, skuad penyelamat menghadapi kesulitan.
Beliau menyatakan, kejadian ini bukanlah kali pertama nelayan Gaza menjadi sasaran, bahkan ia adalah ekoran dari cengkaman rejim zionis ke atas Gaza yang sengaja mahu menyempitkan sumber rezeki nelayan-nelayan.
Sementara itu, pemberita Safa melaporkan bahawa pergerakan tentera zionis tidak sebagaimana biasa di terminal Karem Abu Salem menuju ke sebelah timur bandar Rafah, selatan Semenanjung gaza. Keadaan ini telah dilihat sejak 3 hari yang lalu, menurut Safa.
Jelas lagi, pesawat-pesawat rejim zionis turut berterbangan rendah di ruang udara kawasan berkenaan. Sumber 27/05/2011, web berita safa.ps