Penjajah tangkap 5 Palestin di Tebing Barat
05 Februari 2012
Jam 08:53 pagi, waktu Mesir
KHALIL - Tentera penjajah menangkap 5 penduduk Palestin awal pagi ini(Ahad, 05/02/2012) selepas menyerbu rumah-rumah mereka di beberapa tempat di Tebing Barat.
Menurut sumber berita dari web berita Israel "YEDIOTH AHRONOTH"(YNET) versi hebrew, tentera Israel telah menangkap 5 penduduk Palestin atas dakwaan mereka dikehendaki oleh pihak keamanan Israel.
Jelas YNET, salah seorang penduduk Palestin yang ditangkap berasal dari kampung Mikhmas berhampiran Ramallah dan tiga lagi ditangkap berhampiran bandar Bethlehem. Kesemua yang ditangkap dibawa ke badan keamanan yang dikhususkan untuk menyoal siasat.
Pemberita SAFA menjelaskan seorang lagi penduduk yang ditangkap penjajah adalah pemuda berusia 20 tahun, Shadi Warasanah.
Sumber keselamatan berkata kepada agensi berita SAFA, pemuda terbabit ditangkap dari rumahnya di daerah As-Syuyukh setelahmana tentera penjajah menyerbu rumah mangsa. Kemudian, mangsa dibawa ke arah yang tidak dimaklumkan.
Kejadian lain yang dilaporkan awal pagi ini, peronda-peronda penjajah merempuh masuk ke daerah-daerah Sa'ir, Yata, Dura dan Ad-Zahiriyah. Sementara itu, peronda penjajah yang lain merempuh masuk pula ke beberapa kawasan perumahan Palestin di bandar Khalil yang berlanjutan selama beberapa jam.
Dari sudut lain, SAFA yang dihubungi memaklumkan bahawa dua relawan asing telah dimasukkan ke hospital kerajaan di Khalil untuk rawatan ekoran dipukul tentera penjajah di kawasan Zief Sharq, daerah Yata, Khalil. Sumber 05/02/2012, web berita Safa.ps