Karikatur: Damai dan Jaga imej ...
23 November 2010
Gambaran dari karikatur di atas menzahirkan suatu maksud yang tersirat apabila mahukan perdamaian, maka perlu juga kepada pengorbanan. Sukar untuk menaksir tetapi selama berbelas tahun siri rundingan dan perjanjian damai berlangsung, apa hak yang Palestin perolehi sehingga saat ini?
Tanah, sempadan, Negara berdaulat, politik bebas, dan seumpamanya masih dalam kekangan jajahan rejim zionis malah diberi tunjuk ajar oleh Amerika Syarikat cara-cara untuk berdamai. Ketika rentak perdamaian merentas jalannya, pemetaan sempadan untuk penubuhan Negara Palestin berdaulat masih belum wujud. Mana mungkin Palestin dapat menetapkan sempadannya tanpa persetujuan rejim zionis, namun zionis kurang cenderung kerana yang penting bagi mereka adalah keamanan untuk mereka lakukan pelbagai kegiatan pengyahudian, pencerobohan, rampasan tanah, roboh rumah, cabul Al-Aqsa dan banyak lagi kegiatan jenayah yang dilakukan dengan perlindungan dari 'janji damai'. Bagi Palestin khususnya kumpulan perunding, mahu tidak mahu, hanya jalan rundingan damai yang relevan kononnya lebih efektif. Sambil itu, penasihat politik Presiden Palestin di Ramallah mencela gerakan pejuang Palestin yang bersenjata adalah tindakan yang 'silap'.
Mana lebih mulia, pertahankan tanahair dengan rundingan yang tak berkesudahan atau korbankan titisan darah untuk membebaskan tanah dari penjajahan?
Penjajahan moden ke atas Negara umat Islam dengan alasan 'memerangi keganasan'. Tidak cukup dengan Afghanistan, Iraq dan separuh dari Pakistan, kini Sudan menjadi tumpuan untuk dipecah belah.