Kami gagal bawa pulang Shalit - Ketua SHABAK
04 Mei 2011
UMMUL FAHM - Ketua Perkhidmatan Keselamatan Dalaman Umum Israel atau SHABAK, Yuval Diskin(gambar) berkata, agensinya dan dia secara peribadi telah gagal membawa pulang seorang tentera zionis yang ditawan gerakan HAMAS, Gilad Shalit ke pangkuan keluarganya.
Memetik kata Diskin petang Rabu dari web berita 'Haaretz' versi hebrew, "saya bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini yang membuatkan saya merasa teramat sedih."
Tambah Diskin, "risikan kami juga gagal mendapatkan maklumat tempat Shalit ditawan, pihak yang bertanggungjawab tidak boleh dituding kepada mana-mana pegawai perkhidmatan ini kerana saya yang tidak berjaya membawa pulang shalit ke rumahnya, sama ada melalui operasi ketenteraan atau rundingan."
Ketua SHABAK menyatakan bahawa sejak Shalit berada dalam tawanan HAMAS, agensinya bekerja bertungkus-lumus siang dan malam, tambahan pula, beberapa unit khas telah ditubuhkan malah berbagai-bagai cara dikhtiarkan semata-mata untuk mendapatkan semula Shalit.
Diskin bersiap sedia menyerahkan jawatan Ketua SHABAK kepada penggantinya, Yoram Cohen pada waktu akan datang.
Gilad Shalit seorang tentera zionis ditawan pada 25 Jun 2006 hasil kerjasama beberapa buah kumpulan pejuang Palestin di Gaza. Sehingga kini, Shalit masih berada dalam tawanan pejuang Palestin dan rundingan penukaran tawanan Shalit dengan tahanan-tahanan Palestin dari penjara zionis telah digagalkan oleh pemerintah rejim zionis, menurut HAMAS. Sumber 04/05/2011, web berita safa.ps