Tahanan veteran dibelasah teruk bantah pemeriksaan bogel
29 Jun 2011
Jam 06:53 malam, Mesir
GAZA - Kementerian Pembebasan Tahanan Palestin di Gaza menyatakan skuad khas penguatkuasa penjara zionis telah membelasah teruk seorang tahanan veteran, Nael Bargousi(gambar) ketika mangsa ditempatkan dalam tahanan berasingan di Penjara Ramon, selatan tanah jajahan 1948.
Salinan kenyataan media kementerian yang diterima Safa menyebut bahawa punca Bargousi dibelasah kerana membantah dari pemeriksaan bogel. Setelah itu, unit khas penguatkuasa penjara bertindak membelasah mangsa.
Pengarah unit media kementerian, Riadh Al-Ashqar menjelaskan, bilik tahanan yang ditempatkan Bargousi telah dirempuh masuk unit khas penguatkuasa penjara dua hari lepas. Lalu, mangsa diminta bogel untuk diperiksa, namun mangsa mensyaratkan pemeriksaan tersebut boleh dilakukan di bilik air.
Selepas itu mangsa diperiksa dan kedua-dua tangannya digari, kemudian mangsa diminta menanggalkan pakaian. Bagaimanapun, mangsa tidak dapat berbuat demikian ekoran tangannya digari, lantas mangsa dibelasah dengan rotan dan disepak teruk. Seperti yang dijelaskan, mangsa mula meraung dan bertakbir malah diikuti seorang lagi tahanan, Hilal Jeradat yang berada di bilik tahanan sebelah turut bertakbir.
Berikutan itu, unit khas penguatkuasa penjara zionis meletakkan kedua-dua tahanan dalam satu kurungan. Lalu kedua-duanya dibelasah lagi dengan teruk.
Kenyataan kementerian menukilkan dari peguam, Muhammad As-Shaib yang sempat berjumpa dengan Bargousi menyatakan, selepas mangsa dibelasah teruk, Jabatan Penjara Ramon mengenakan denda ke atas Bargousi iaitu tidak boleh menerima lawatan selama 4 bulan malah dihalang menjalankan kegiatan riadhah selama 2 bulan, dan mangsa dikenakan bayar denda sebanyak *ILS500(bersamaan RM440). Tambahan lagi, mangsa tidak dibenarkan membeli makanan di kantin serta kelengkapan elektronik dari bilik tahanan mangsa dirampas, termasuk kipas angin.
*Israel Shekel: matawang rejim zionis
Kementerian Pembebasan Tahanan Palestin di Gaza meletakkan rejim zionis bertanggungjawab sepenuhnya ke atas nyawa-nyawa tahanan veteran Palestin ekoran Bargousi menjadi sasaran. Dua hari lalu, mangsa telah dipindahkan ke tahanan berasingan kerana membantah pemeriksaan bogel.
Kementerian turut mendesak Badan-badan Hak Asasi Manusia campur tangan bagi melindungi tahanan Palestin dari jenayah zionis yang meningkat secara mendadak selepas kenyataan Netanyahu. Perdana Menteri zionis itu membuat ancaman mengetatkan cengkaman ke atas tahanan dengan menarik balik kemudahan-kemudahan serta menghalang mereka dari menjalankan hak-hak mereka yang telah diperuntukkan sebelum ini.
Seperti yang disebutkan, selepas dua minggu yang lalu, tahanan veteran iaitu Nael Bargousi yang ditangkap zionis pada 4 April 1978 telah genap tahun ke 34 meringkuk dalam penjara zionis. Bargousi juga dianggap tahanan tertua di dunia dan pemimpin terkemuka bagi gerakan tahanan-tahanan.
Mogok hari Ahad
Sementara itu, gerakan tahanan Palestin di penjara zionis mengumumkan melancarkan mogok di seluruh penjara-penjara zionis pada hari Ahad akan datang selama sehari bagi membantah dasar kerajaan penjajah terhadap tahanan.
Tahanan-tahanan di penjara zionis mengeluarkan satu kenyataan yang ditandatangani bersama mewakili 5 buah kumpulan pembebasan Palestin, iaitu tahanan dari gerakan HAMAS, FATAH, JABHAH SHA'BIAH, JIHAD ISLAMI dan JABHAH DEMOKRATIAH. Kenyataan tersebut sebagai mengumumkan mogok bantahan terhadap dasar zionis. Sumber 29/06/2011, web berita Safa.ps