Al-Rashq : HAMAS jumpa FATAH Selasa akan datang
08 Jun 2011
DAMSHIK - Salah seorang dari pemimpin gerakan HAMAS yang merupakan anggota Biro Politik HAMAS, Ezzat Al-Rashq(gambar kanan) telah mengumumkan bahawa perjumpaan antara HAMAS dan FATAH akan diadakan pada hari Selasa akan datang. Menurut beliau, pertemuan tersebut akan disertai beberapa orang pemimpin kedua-dua gerakan ini.
Dalam kenyataan media hari ini, beliau menjelaskan perjumpaan(pertemuan) antara dua gerakan ini mengkhususkan bagi menilai perkembangan pembentukan Kerajaan Palestin, isu tahanan politik dan perlaksanaan dari persetujuan baik pulih hubungan Palestin(pembaikan).
Gerakan HAMAS dan FATAH telah bersetuju kerajaan Palestin yang bakal dibentuk adalah kerajaan mengikut persepakatan semua pihak yang terdiri dari kalangan teknokrat dan individu bebas(bukan dari kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin). Kerajaan tersebut akan menjalankan peranannya selama 1 tahun sebagai persediaan mengadakan pilihanraya presiden, parlimen(Majlis Legislatif Palestin), dewan rakyat dan proses membangunkan Semenanjung Gaza(media lain menyebut Jalur Gaza, Genting Gaza).
Dari sudut lain, seorang dari anggota Jawatankuasa Pusat gerakan FATAH, Azzam Al-Ahmad membuat jangkaan bahawa akan tercapai persefahaman bagi membentuk Kerajaan sewaktu perjumpaan ini yang bakal berlangsung di ibu negara Mesir, Kaherah.
Gambar: Azzam Al-Ahmad(kanan) semasa sidang akhbar sebelum ini, dan di sebelah kiri, Dr. Musa Abu Marzouq, Timbalan Ketua Biro Politik HAMAS.
Keseluruhan masyarakat Palestin ternanti-nanti pengumuman pembentukan kerajaan baru bagi memenuhi harapan mereka mengakhiri noktah perpecahan dan memulakan langkah untuk mengembalikan perpaduan dan penyatuan sesama mereka.
Kedua-dua gerakan ini sentiasa mengadakan perjumpaan bertujuan untuk membentuk kerajaan perpaduan hasil dari baik pulih hubungan. Pada waktu yang sama, tiga tugas utama dan penting menanti kerajaan yang bakal dibentuk, iaitu mematahkan sekatan serta membangunkan semula Gaza, menggabungkan agensi mahupun badan-badan kerajaan serta menyatukan badan keselamatan di Tebing Barat dengan Semenanjung Gaza. Sumber 08/06/2011, web berita Safa.ps