Tangkap dan serbu lagi rumah Palestin
01 Ogos 2011
Jam 02:23 petang, waktu Mesir
TEBING BARAT - Rejim penjajah terus menindas Palestin hari ini. Terkini, seorang warga Palestin berusia ditangkap ketika melawat anaknya di penjara zionis, diikuti serbuan dan lagi kes penangkapan bertambah setelahmana tragedi serbuan awal pagi tadi mengakibatkan 2 pemuda Palestin syahid.
Perincian berita, Safa melaporkan Jabatan Pentadbiran Penjara Ramon menangkap seorang warga Palestin yang berusia 65 tahun, Musa Muhammad Abdul Hafiz Al-Mishna Halayeqah sewaktu menziarahi anaknya, Naif yang meringkuk dalam penjara penjajah di selatan tanah Palestin yang dijajah.
Sumber dari keluarga Halayeqah berkata, tentera rejim menangkap mangsa dan membawanya ke arah yang tidak diketahui, sementara Naif dipindahkan ke bilik kurungan yang berasingan dari tahanan-tahanan Palestin yang lain.
Pemuda bertempur dengan penjajah
Sementara itu, pertempuran meletus antara pemuda-pemuda Palestin dengan tentera rejim penjajah pagi tadi di daerah Al-Shuyukh, timur wilayah Khalil, Tebing Barat.
Kata saksi kepada agensi berita Safa, pertempuran meletus sebaik sahaja kereta peronda tentera rejim menyerbu masuk ke kawasan perumahan daerah ini, kemudian pemuda bertempur dengan tentera penjajah yang melepaskan tembakan peluru getah serta bom gas di pertengahan kawasan perumahan.
Sehingga berita ini diterbitkan, pertempuran yang meletus tidak mengakibatkan sebarang luka parah di kalangan pemuda Palestin.
Pada pagi Ahad semalam, tentera rejim menggeledah beberapa buah rumah penduduk Palestin di daerah yang sama, malah sebuah kandang kambing yang dimiliki keluarga 'Iyaidah diperiksa. Kemudian, tentera rejim menangkap salah seorang dari ahli keluarga 'Iyaidah.
Kejadian ini turut berlaku pada beberapa hari yang lalu di daerah yang sama.
Tangkap pemuda, geledah lagi rumah
Dari wilayah Bet Lehem, Safa melaporkan tentera rejim penjajah menangkap seorang pemuda yang mendiami di daerah Husan selepas rumahnya diserbu masuk awal pagi tadi.
Sumber-sumber tempatan dari daerah berkenaan berkata, "tentera rejim yang menyerbu ke daerah awal pagi telah menangkap Muhammad Saleh Zaki Za'lul, 18 dan membawanya ke arah yang tidak diketahui."
Jelas Safa, pada waktu sahur, sekumpulan dari tentera rejim yang lain menggeledah beberapa buah rumah penduduk Palestin, antara yang dikenali milik keluarga Ahmad yusof Atallah di Jabal Khalif, bandar Bet Lehem.
Saksi menjelaskan bahawa beberapa buah jentera perang tentera rejim menyerbu ke kawasan perumahan penduduk dan beberapa batang jalan telah menimbulkan ketakutan kepada penduduk. Sumber 01/08/2011, web berita Safa.ps
0 comments:
Catat Ulasan