Tangkap 11 Palestin, Israel dan 4 orang penduduk bawah umur
10 Ogos 2011
Jam 12:03 tengahari, waktu Mesir
BET LEHEM - Sebelum menjelang waktu tengahari tadi, pasukan polis rejim penjajah telah menangkap 11 orang yang terdiri dari Palestin dan Israel ketika menyertai demonstrasi bantah tembok pemisah berhampiran kampung El-Wallajah, utara Bet Lehem, selatan Tebing Barat.
Berhubung situasi kejadian, radio penjajah menyebut sepasukan polis Israel bertindak menyuraikan himpunan demonstrasi dengan menggunakan gas pemedih mata ekoran dari alasan yang mengatakan para demonstran membaling batu kepada polis.
Sumber menyatakan, dalam lingkungan 100 demonstran dari kalangan penduduk Palestin, warga Israel dan relawan asing menyertai perarakan bantahan tembok pemisah.
Semenjak dua tahun yang lalu, kampung El-Wallajah menghadapi tindakan rampasan tanah dari penjajah malah turut disertai operasi meratakan tanah bertujuan untuk mendirikan tembok pemisah yang memisahkan kawasan tersebut dari bandar BaitulMaqdis.
Rempuh ke Silwan
Sementara itu, menukil dari web berita Wafa, sepasukan rejim yang terdiri dari tentera telah menyerbu masuk ke Hayyu El-Bustan di daerah Silwan, selatan Masjid Al-Aqsa. Beberapa buah rumah penduduk Palestin telah digeledah sepanjang operasi dan 4 penduduk Palestin bawah umur(remaja) telah ditangkap.
Dalam operasi itu, tentera rejim telah menangkap 'Ala Naseer Abu Sanad, 15 serta abangnya, Muhammad, 17. Sebelum itu, tentera rejim telah menangkap abang kandung mereka, Said berusia 18 tahun pada dua hari yang lalu. Kini, Said masih berada dalam tahanan.
Seorang lagi remaja yang ditangkap, Ahmad Sami Abu Nab, 15 setelahmana pihak tentera mengepung rumahnya di kawasan Ra's Al-Bustan.
Tentera rejim turut menyerbu masuk ke sebuah perumahan yang paling hampir dengan Masjid Al-Aqsa, Hayyu wadi Helwah di Silwan, dan menangkap seorang remaja berusia 15 tahun, Ahmad Qarain.
Kesemua remaja yang ditangkap telah dibawa ke pusat tahanan dan siasatan 'Al-Maskubiah' yang terletak di sebelah barat BaitulMaqdis. Sumber 10/08/2011, web berita Safa.ps dan web berita Wafa.ps
0 comments:
Catat Ulasan