الإنتفاضة الفلسطينية الثالثة Third Palestinian Intifada
Revolusi Timur Tengah

Mungkin resapan revolusi Arab di Timur Tengah khususnya Mesir(مصر) mampu membantu Palestin? Sempena Nakbah(detik malang) tahun ke-63, Palestin masih seperti ketikamana dijanjikan sebuah 'Negara', namun tanah-tanah Palestin yang dirompak tersergam dengan binaan rumah perompak dan perampas. Tidak melampau jika menyebut ini adalah simbol keganasan moden rejim zionis. Waktu ini, penjajah sedang menari kegirangan kerana dapat berdiri teguh setelah melanyakkan Palestin dan memperdayakan dunia.


Laporan menarik:

Photobucket

Perjalanan Fahima(wanita Israel) mencari Islam

Barat runtuh dengan keruntuhan Israel - Aznar

Pembebasan tahanan Palestin peringkat kedua

Catatan 'ما بعد الثورة 25 يناير':


24 Jun 2012

- Pengerusi Suruhanjaya Tertinggi Pilihanraya, hakim Farouq Sultan mengumumkan Dr. Muhammad Morsy memperolehi pungutan suara sebanyak 13,230,131 yang dinisbahkan kepada 51.7%, manakala Ahmad Shafiq pula mendapat pungutan suara sebanyak 12,347,380 nisbah kepada 48.3%.


Dengan demikian, Dr. Morsy dipilih sebagai Presiden baru Mesir selepas revolusi 25 Januari.


29 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar.

- Dr. Muhammad Morsy menyampaikan ucapan rasmi kepada rakyat Mesir di Dataran Tahrir(Tahrir Square) sempena himpunan juta yang dinamakan 'Penyerahan Kuasa'. Di hadapan himpunan, Dr. Muhammad Morsy turut mengangkat sumpah.


30 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy mengangkat sumpah di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah yang terdiri daripada 18 orang hakim besar. Secara rasminya, Dr. Muhammad Morsy ditabalkan jawatan Presiden Republik Arab Mesir selepas memperolehi kemenangan dalam pemilihan(pilihanraya) Presiden peringkat ulangan.

- Presiden menyampaikan ucapan di Universiti Kaherah. Beliau turut mengangkat sumpah di hadapan para hadirin yang dijemput khas.

Tentangan dan serang balas, 20 Jun 2012:


- [Kemaskini] Pejuang menghentam lagi lokasi-lokasi Israel

- Dua cedera, pesawat zionis mengebom Bayt Lahiya

- [Kemaskini] Empat cedera dua buah lokasi AL-QASSAM dibom F-16

- Anak syahid, ayah dan beberapa orang lagi cedera

- Kebakaran, tiga dilanda histeria dalam pengeboman pejuang Palestin

- [Kemaskini] Syahid, dua cedera sasaran serangan udara zionis di Rafah

- Cedera, zionis lancar lagi serangan di Gaza

- 4 tentera zionis cedera akibat serangan roket di Ashkelon

Memaparkan catatan dengan label BaitulMaqdis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label BaitulMaqdis. Papar semua catatan

Notis roboh puluhan rumah Palestin untuk kepentingan Yahudi

21 September 2012

BAITULMAQDIS, 21 September - Pihak berkuasa penjajah (Israel/zionis) telah menurunkan jentera binaan berat pada petang semalam di jalan masuk Wadi Helwah di Silwan, bandar Al-Quds (BaitulMaqdis). Demikian itu, penyampai berita agensi SAFA melaporkan situasi ini permulaan untuk membina jambatan menghubungi dataran Tembok Al-Buraq (istilah Yahudi selepas penjajahan: dinding ratapan) kepada warga Yahudi.

Tembok Al-Buraq, bulatan merah
Tambahan lagi, situasi yang dilaporkan SAFA setelahmana notis amaran diserahkan kepada penduduk Palestin di selatan bandar Al-Quds bagi meroboh 88 buah rumah semata-mata untuk membina jambatan yang berukuran 100 meter panjang.

Jelas penyampai berita SAFA melalui pembinaan jambatan ini, penjajah berusaha menghubungkan Wadi Helwah dengan daerah Silwan bertujuan memudahkan laluan kepada warga Yahudi untuk tiba ke Tembok Al-Buraq dengan mendakwa pembinaan ini adalah termasuk dalam projek membangunkan zon yang dinamakan arkeologi 'Daud'.

Situasi ini menjelaskan lagi tindakan penjajah yang terus menerus merampas tanah dan meroboh rumah-rumah penduduk asal BaitulMaqdis untuk mendirikan kawasan-kawasan baru penempatan warga haram Yahudi serta mengubah ciri-ciri asal yang berhubung dengan keagamaan dan kebudayaan, kemudian mendirikan kuil yang didakwa wujud (الهيكل المزعوم).

Tembok pemisah halang 10 ribu penduduk asal

Dari sudut lain, sepertimana yang dilaporkan pihak berkuasa penjajah pada tengahari hari Rabu telah menutup sekatan Ras Khamis dan menggantikan dengan mendirikan tembok pemisah. Lantaran itu telah memisahkan penduduk asal BaitulMaqdis yang tidak kurang 10 ribu bilangannya di kawasan berkenaan dan menghalang laluan mereka.

Read more...

Gantz ancam operasi ketenteraan di Gaza

24 Julai 2012


Laporan jam 04:39 petang, waktu BaitulMaqdis
Jam 03:49 petang, waktu Kaherah (Mesir)

Benny Gantz
BAITULMAQDIS (AL-QUDS) - Ketua Turus Angkatan Tentera Zionis (penjajah/Israel), Rav Aluf Benjamin Benny Gantz mengeluarkan ancaman operasi ketenteraan di Semenanjung Gaza. Berikutan itu, kata Gantz, keadaan tidak akan stabil melainkan sentiasa mengenakan tekanan ke atas Semenanjung Gaza dan gerakan HAMAS.

Semasa Panitia Hubungan Luar dan Keamanan Israel bersidang pada waktu tengahari Selasa, hari ini, Gantz yang ikut serta perjumpaan ini berkata, 'walaupun suasana yang agak tenang menyelubungi zon selatan(Semenanjung Gaza) waktu ini, tetapi pada penghujung nanti, tentera Israel tetap terpaksa melancarkan operasi ketenteraan di sana'.

Gantz memberi peringatan berhubung ketidakstabilan di rantau ini boleh menjerumuskan ke dalam keadaan yang tidak diinginkan oleh sesiapapun.

Berhubung konflik Syria, kata Gantz, "maklumat yang terkini menunjukkan bahawa pemerintahan asad masih lagi mengawal senjata kimia dan Asad terus meningkatkan kawalan ke atas senjata ini," dakwa Ketua Turus Tentera Zionis mengenai hal sedemikian, "kemungkinan Asad akan menggunakan senjata kimia ke atas orang awam bahkan mungkin ia dipindahkan kepada HIZBULLAH." Sumber 24/07/2012, web berita Paltimes.net dan web berita Safa.ps

Read more...

Penunjuk perasaan zionis maut bakar diri

20 Julai 2012

Laporan jam 05:14 petang, waktu BaitulMaqdis
Jam 04:14 petang, waktu Kaherah (Mesir)

Silman bakar diri
BAITULMAQDIS, 20 Julai - Pusat Perubatan(hospital) Sheba di Tel Hashomer telah mengumumkan kematian seorang demonstran warga zionis, Moshe Silman berusia 57 tahun yang membakar dirinya dalam demontrasi menuntut keadilan sosial di bandar Tel-Aviv pada Sabtu lepas.

Menurut siaran berita 7 Israel, Pusat Perubatan Sheba mengumumkan berita kematian tersebut pada tengahari Jumaat hari ini setelah enam hari berturut-turut pasukan perubatan berhempas-pulas menyelamatkan nyawanya ekoran 90% tubuhnya dijilat api. Namun, usaha sedemikian menemui jalan buntu.

Demontrasi yang lalu di Tel-Aviv, Silman membakar dirinya bagi membantah kos sara hidup yang tinggi dalam tanah jajahan 1948. Sekurang-kurangnya empat lagi warga zionis yang lain cuba membakar diri mereka ketika demontrasi tersebut.
Petikan klip berita dari web berita ynet Israel

Setelah Silman membakar dirinya, keluar lagi warga-warga zionis mengadakan tunjuk perasaan di beberapa buah bandar jajahan yang turut sama menunjukkan persepsi seperti Silman membantah dasar kerajaan zionis dan juga sebagai simpati terhadap Silman. Sumber 20/07/2012, web berita Paltimes.net

Read more...

Penjajah tangkap 4 remaja Palestin semalam

28 Mei 2012


Laporan jam 04:47 pagi, waktu BaitulMaqdis
Jam 03:47 pagi, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Tentera penjajah(zionis/Israel) telah menangkap empat remaja Palestin bawah umur di Hayyu Al-Sheikh Jarrah pertengahan bandar BaitulMaqdis semalam dan membawa ke pusat tahanan di jalan Salahuddin untuk soal siasat.

Sumber-sumber tempatan menyebut remaja Palestin bawah umur yang ditangkap, Amir Maher Hajij, 15, Ahmad Ghalib As-Sibag, 15, Najaati Qawwas, 14, dan Firas Maher Hajij, 16.

Sementara itu dalam kejadian lain yang berlaku pada siang semalam, tentera penjajah melepaskan tembakan ke atas seorang penduduk perempuan Palestin, kemudian mangsa ditangkap serta dibawa pergi.

Kata sumber tempatan, tentera penjajah yang berkumpul berhampiran penempatan 'Nahal Najhout' di sebelah barat bandar Dura, Khalil telah menembak seorang penduduk perempuan Palestin, Saerah Salamah Jaber As-Sayuti, 22 kerana dikatakan enggan menurut arahan tentera yang meminta supaya berhenti, kemudian Saerah ditangkap dan dibawa ke tempat yang tidak dimaklumi.

Menurut lagi sumber yang sama, Saerah sedang menghadapi tekanan dan keadaan dirinya tidak diketahui, begitu juga tempat mangsa dibawa pergi. Sumber 28/05/2012, web berita Safa.ps dan 27/05/2012, web berita Paltimes.net

Read more...

Tempur: Penjajah tangkap 6 penduduk BaitulMaqdis

15 Mei 2012


Laporan jam 11:25 pagi, waktu BaitulMaqdis
Jam 10:25 pagi, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Unit gempur dari sebuah unit khas tentera penjajah(Israel) telah menangkap enam penduduk Palestin pada pagi ini(Selasa, 15 Mei 2012) di daerah 'Isawiyah, pertengahan BaitulMaqdis(Al-Quds). Antara yang ditangkap, seorang remaja bawah umur yang dikenali Rami Gharib dan seorang kanak-kanak dalam lingkungan umur tidak cecah 10 tahun. Mereka yang ditangkap telah dibawa ke pusat tahanan dan siasatan 'المسكوبية' di sebelah barat bandar BaitulMaqdis.

Pertempuran sengit

Pada waktu yang sama, jurucakap media Jawatankuasa Penentangan di 'Isawiyah, Raed Abu Rayalah menjelaskan bahawa pertempuran sengit telah meletus dan masih berlanjutan sehingga sekarang di daerah berkenaan. Pertempuran itu membabitkan antara pemuda-pemuda Palestin dengan tentera penjajah yang mengepung daerah 'Isawiyah serta menghalang perjalanan bas penangkutan awam.

Berikutan itu, kekangan dari tentera penjajah telah menyebabkan sesi pengajian di sebahagian besar sekolah-sekolah di 'Isawiyah tertangguh.

Tambahan lagi, pertempuran di 'Isawiyah mengakibatkan beberapa penduduk cedera dan mengalami sesak nafas setelahmana tentera penjajah melepaskan bertubi-tubi bom asap dan gas beracun pemedih mata di kawasan perumahan penduduk Palestin, lantas mendorong pemuda-pemuda Palestin membalas dengan membaling batu dan botol kaca. Sumber 15/05/2012, web berita Paltimes.net

Read more...

Nakbah: Penjajah umum cemas

Laporan jam 08:40 pagi, waktu BaitulMaqdis
Jam 07:40 pagi, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Tentera penjajah(Israel) telah mengumumkan keadaan cemas dari kalangan barisan tentera sebagai jangkaan bagi menghadapi sebarang aktiviti sempena memperingati Nakbah Palestin tahun ke 64 bersamaan 15 Mei 2012.
Sewaktu Palestin diusir keluar dari tanah mereka. Nakbah Palestin 1948 menzahirkan betapa kesengsaraan yang dihadapi Palestin sehingga memberi kesan pada hari ini.
Sumber-sumber dari media Israel menyebut bahawa tentera penjajah  dikerahkan ke beberapa kawasan yang berlainan di seluruh Tebing Barat(West Bank). Begitu juga, pihak polis penjajah memaklumkan pihaknya telah bersiap sedia dalam tanah jajahan 1948(garisan hijau).

Suasana mogok umum telah menyelubungi bandar-bandar dan daerah Arab dalam tanah jajahan 1948. Tambahan pula, kebanyakan yayasan-yayasan pertubuhan kebajikan dan sekolah-sekolah juga mengambil langkah yang sama, malahan pusat-pusat perniagaan termasuk warung-warung niaga juga ditutup. Demikian itu, beberapa siri aktiviti sempena memperingati Nakbah akan diadakan di kampung 'اللجون' yang berhampiran dengan Ummul Fahm.

Kampung اللجون merupakan bekas perkampungan Palestin yang mana penduduknya telah diusir keluar pada satu masa dahulu. Sumber 15/05/2012, web berita Safa.ps

Read more...

[Gambar] Sekitar BaitulMaqdis

08 Mei 2012

Paparan gambar sekitar BaitulMaqdis ini diperolehi daripada sister Mahnoor. Walaupun isu lawatan ke BaitulMaqdis menjadi babak perselisihan pendapat dari kalangan ulama, sama ada mengharuskan ataupun tidak membenarkan lawatan selagi berada bawah jajahan Israel, isu penindasan di BaitulMaqdis tetap menjadi perhatian dan sesekali tidak akan dilupakan sehinggalah tibanya waktu pembebasan Al-Aqsa dan BaitulMaqdis. Kami(komuniti Mini-Pavilion, 'From Palestine With Love') mengucapkan jutaan terima kasih kepada sister Mahnoor yang menyumbang beberapa keping foto buat tatapan pengunjung blog ini.

Batu yang terpancar air selepas diketuk oleh Nabi Musa A.S
menggunakan tongkat baginda bagi mengubat dahaga kaum
baginda pada waktu itu.
Laluan ke Tembok Al-Buraq
Musolla bawah Masjid Al-Aqsa
Bahagian bawah Qubbah As-Sakhrah
Bahagian dalam Qubbah As-Sakhrah
Sebuah dari penempatan haram Israel yang tersergam indah
di atas sebuah tanah yang dirampas
Perkarangan Qubbah As-Sakhrah
Seorang kanak-kanak Palestin
Warga haram Israel di kawasan berhampiran Tembok Al-Buraq
Sekolah di sekitar Masjid Al-Aqsa
Sisa kelongsong bom-bom dan peluru yang menyasarkan penduduk Palestin
Bahagian dalam Masjid Al-Aqsa
Al-Aqsa pada waktu malam
Pemandangan dari hadapan Tembok Al-Buraq.
Israel mendakwanya ia adalah tembok ratapan
Wanita Palestin diajar cara mematahkan provokasi Israel
Selamat datang ke BaitulMaqdis

Read more...

Penjajah rempuh, geledah 'Isawiyah

17 Februari 2012

Laporan jam 12:59 petang, waktu Palestin
Jam 12:59 petang, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Selepas detik tengah malam semalam, tentera penjajah merempuh masuk ke daerah 'Isawiyah yang terletak dari penjuru timur laut BaitulMaqdis(Al-Quds). Menurut saksi, tentera penjajah turut menggeledah beberapa buah rumah penduduk Palestin yang dimulai dari rumah tahanan Palestin yang telah dibebaskan, Sameer Al-'Isawiy.

Menukil dari sumber SAFA dan PALTIMES, sejumlah besar dari tentera penjajah telah dikerahkan ke perumahan-perumahan Palestin di daerah terbabit, lalu mengepung perumahan 'Abid, Abu Rayalah dan Darie. Tentera penjajah yang disokong anjing polis turut dilihat berkumpul berdekatan dengan masjid Al-Arba'ien di pertengahan kampung 'Isawiyah. Di samping itu, penjajah mengadakan operasi pemeriksaan ke dalam rumah-rumah, antaranya rumah milik peguam wanita, Shireen Al-'Isawiy, serta Murad Shartouk dan Sameer Anwar.

Rempuhan ini juga telah mencetuskan beberapa pertempuran di sebahagian besar tempat dari daerah 'Isawiyah. Sepanjang pertempuran yang berlanjutan sehingga jam 1 pagi, tentera penjajah melepaskan tembakan bom gas pemedih mata. Lantas, pemuda-pemuda Palestin membalas dengan lontaran batu-batu serta botol kaca.

Jenin turut dirempuh

Rentetan dari kejadian di atas, tentera rejim penjajah merempuh lagi daerah-daerah di sebelah barat wilayah Jenin, Tebing Barat awal pagi tadi. Tindakan penjajah yang mengadakan sekatan-sekatan di jalan masuk ke daerah berkenaan telah mengundang tercetusnya pertempuran dengan penduduk Palestin. Sumber 17/02/2012, web berita Safa.ps dan Paltimes.net

Read more...

Ceroboh, tangkap Palestin di BaitulMaqdis

30 Januari 2012

Laporan jam 09:57 pagi, waktu Palestin
Jam 09:57 pagi, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Sepasukan pihak berkuasa penjajah menceroboh lagi kampung 'Isawiyah yang terletak dari arah timur laut BaitulMaqdis(Al-Quds). Sehingga kini, nama-nama pemuda Palestin yang ditangkap dalam operasi penjajah di kampung berkenaan belum diketahui.

Saksi kejadian berkata kepada agensi berita SAFA, helikopter penjajah turut meninjau dari ruang udara pada tahap ketinggian yang sederhana ketika operasi ini dijalankan.

SAFA melaporkan, selepas pertengahan malam semalam, tentera penjajah mengepung kawasan perumahan 'Abid, kemudian menggeledah rumah penduduk yang dikenali Ali 'Abid serta mengheret mangsa keluar dari rumahnya. Bagaimanapun ketika kejadian, seorang dari pegawai tentera penjajah memberi arahan supaya lepaskan mangsa kerana dia bukanlah suspek yang dikehendaki.

Tambahan dari saksi, kanak-kanak Palestin di perumahan terbabit diselubungi ketakutan ekoran tembakan bom gas dan bom bunyi(sound bomb) yang dilepaskan oleh pihak berkuasa penjajah tanpa sebarang punca yang wajar.

Penduduk-penduduk kampung berkenaan turut menceritakan bahawa kewujudan sekumpulan unit gempur dari pihak berkuasa penjajah yang akan menyelinap masuk dalam kalangan pemuda-pemuda Palestin sekiranya pertempuran meletus atau ada sebarang usaha untuk menghadang pihak berkuasa penjajah. Sumber 30/01/2012, web berita Safa.ps

Read more...

Skuad khas penjajah culik dua ahli parlimen Palestin

23 Januari 2012

Laporan jam 01:58 petang, waktu Palestin
Jam 01:58 petang, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Selepas tengahari tadi, skuad khas tentera rejim penjajah menyerbu bangunan Pertubuhan Palang Merah Antarabangsa yang terletak di Hayyu Syeikh Jarrah, bandar BaitulMaqdis(Al-Quds) dan menculik dua ahli parlimen BaitulMaqdis(mewakili gerakan HAMAS), Muhammad Tutah dan bekas Menteri Hal-Ehwal BaitulMaqdis, Khaled Abu Arfah.

Dua ahli parlimen Palestin, sebelah kanan dan kiri yang diculik penjajah tengahari tadi dari bangunan Palang Merah Antarabangsa. Gambar potret pula adalah ahli parlimen, Ahmad Atwan yang telah dihalau keluar dari BaitulMaqdis. Ahmad diusir ke Ramallah.

Skuad khas penjajah turut merampas hak milik peribadi kedua-dua ahli parlimen dan mendakwa operasi penangkapan ini adalah selaras dengan keputusan mahkamah Israel.

Menurut saksi kejadian, seramai lebih 40 anggota skuad khas dan tentera penjajah merempuh masuk ke bangunan Palang Merah secara membabi-buta.

Sewaktu serbuan, tentera penjajah tidak membenarkan mana-mana penduduk dan krew media mendekati khemah mogok ahli parlimen berkenaan.

Pada dua minggu yang lalu, ahli parlimen Muhammad Tutah dan Abu Arfah menerima panggilan dari perisikan Israel yang memberi tempoh selama 48 jam agar beredar keluar dari khemah dan tinggalkan segera bandar BaitulMaqdis.

Sebelum ini, pihak berkuasa penjajah telah menghalau ahli parlimen BaitulMaqdis, Ahmad Atwan ke Ramallah dengan kekerasan. Ahmad Atwan juga diculik tentera penjajah dari bangunan Palang Merah yang menjadi tempat perlindungan Muhammad Tutah dan Khaled Abu Arfah, manakala seorang lagi ahli parlimen BaitulMaqdis, Abu Teir juga dihalau keluar dari BaitulMaqdis setahun yang lalu. Sumber 23/01/2012, web berita Safa.ps, web berita Paltimes.net dan berita Al-Jazeerah

Read more...

Remaja perempuan syahid kesan fosforus putih

22 Januari 2012

Laporan jam 09:32 pagi, waktu Palestin
Jam 09:32 pagi, waktu Mesir

GAZA - Seorang remaja perempuan Palestin, Hanin Kamal Abu Jalalah telah syahid awal pagi ini(22/01/2012, Ahad) di hospital Hadassah Israel, BaitulMaqdis kesan daripada fosforus putih(white phosporus) sewaktu perang Gaza tiga tahun yang lalu.

Remaja yang berusia 16 tahun(17 tahun menurut sumber PALTIMES) menetap di Mukhayyam El-Buraij, Gaza Tengah menderita sejak tiga tahun yang lalu ekoran kerosakan pada paru-parunya. Baru-baru ini ketika menjalani rawatan di hospital Hadassah, keadaan mangsa terjejas teruk setelah mengalami koma. Kesakitan yang dihadapi mangsa akibat terhidu posporus putih yang digunakan oleh tentera rejim zionis semasa perang Gaza, akhir 2008 - awal 2009.

Bapa kepada Hanin, Kamal Abu Jalalah dalam kenyataan khasnya kepada agensi berita SAFA menuduh pihak pengurusan hospital Israel bertindak cuai dan melengah-lengahkan merawat anaknya. Tambahan lagi, pihak pengurusan hospital enggan memberikan kepada Kamal salinan x-ray dari fail dokumen perubatan anaknya.

Gambar: Hospital Hadassah

"Setelah hospital El-Makassed enggan mengambil sampel ujian paru-paru Hanin ekoran bimbang berlaku yang lebih membahayakan dirinya, saya terkejut apabila rawatan di hospital Hadassah Ein Karem, pihak perubatan mahu mengambil sampel berkenaan, itupun selepas mereka menenangkan kami bahawa pembedahan yang dijalankan hanyalah biasa dan tidak membahayakan Hanin," Kata Kamal kepada agensi berita PALTIMES.

Tambah Kamal dengan nada sedih, "Mereka dah janji pembedahan tidak akan melebihi 10 minit, namun Hanin berada dalam bilik pembedahan melebihi 3 jam setengah, sebaik sahaja peralatan perubatan dicabut dari tubuh Hanin, mangsa berada dalam keadaan koma malah terlantar di katil selama 18 hari sehinggalah syahid pada pagi ini."

Sebagaimana dimaklumkan, sebentar lagi jenazah remaja perempuan Palestin dari Gaza akan dipindahkan ke hospital Makassed Islamiah sebelum dihantar ke Semenanjung Gaza untuk dikebumikan di sana.

Tambahan lagi dari sumber PALTIMES, bapa remaja perempuan berkenaan mendesak Badan-badan Hak Asasi dan sesiapa yang punyai perasaan agar mendakwa tentera rejim zionis dan pihak hospital Hadassah Ein Karem. Bapa kepada remaja berkenaan turut meminta agar dijalankan siasatan terperinci sambil menyifatkan kedua-dua pihak, tentera dan hospital merupakan pihak yang bertanggungjawab secara langsung berhubung kejadian yang menimpa anaknya(syahid).

Tidak jelik jika menyebutkan, sewaktu perang Gaza, tentera rejim zionis telah mengebom Semenanjung Gaza dengan sebilangan besar peluru beracun. Paling jelas, peluru fosforus putih yang diharamkan oleh pihak antarabangsa telah menimbulkan kesan yang teramat jelas kepada penduduk Palestin di Semenanjung Gaza. Sumber 22/01/2012, web berita Safa.ps
dan web berita Paltimes.net

Read more...

Hak-hak suci tidak dapat dikembalikan melainkan dengan jihad - Haniyeh

12 Januari 2012

Perdana Menteri Palestin, Ismail Haniyeh selaku pemimpin terkemuka gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية) menyatakan bahawa dasar penentangan pejuang Palestin tidak pernah dihentikan sebagaimana yang dibayangi oleh kebanyakan pihak, akan tetapi ianya berada di peringkat kajian dan perancangan(mengatur strategi) untuk mengembalikan kekuatannya sebagaimana yang dirancang. Sedemikian itu, penduduk Palestin telah memahami hak-hak kesucian mereka tidak dapat dikembalikan melainkan dengan jalan jihad.

Beliau mengesahkan hal tersebut dalam kenyataannya berhubung lawatan ke Kaherah yang diterbitkan oleh akhbar 'ELKHALEEJ' Emiriah Arab Bersatu pada hari Rabu(11/01/2012) yang mengesahkan penentangan ini adalah satu-satunya hak masyarakat Palestin untuk kembalikan semula kesucian Islam, terutamanya Masjid Al-Aqsa.

"Satu-satunya jalan bagi mengembalikan semula hak-hak suci di Palestin adalah jihad," ujar beliau.

Perdana Menteri Palestin menegaskan bahawa pada ketika keadaan yang dilalui masyarakat Arab masa ini, BaitulMaqdis(Al-Quds) berada dalam ancaman malapetaka bahaya yang sangat besar dan tidak boleh tidak, pemimpin Arab dan sesiapa sahaja yang berada di sebalik kuasa politik Arab mesti mengerahkan segala keringat mereka agar isu permasalahan Palestin diketengahkan supaya menjadi perhatian dari umat Islam serta Arab. Sumber 11/01/2012, web berita penerangan rasmi HAMAS

Arkib sebahagian dari lawatan Haniyeh ke negara luar
dan sewaktu pulang ke Gaza:



Sewaktu tiba di sempadan Rafah sekembalinya dari lawatan ke negara luar. Beliau dan delegasinya telah mengadakan lawatan rasmi ke empat buah negara, Mesir, Sudan, Turki dan Tunisia.


Klip ini menayangkan selepas beliau memberikan ucapan di hadapan rakyat Tunisia, seorang perempuan warganegara Perancis mengumumkan keislamannya di hadapan Ismail Haniyeh.

Read more...

Culik kanak-kanak, geledah rumah Palestin dan tangkap lagi Palestin

03 Januari 2012

Laporan jam 09:35 malam, waktu Palestin
Jam 09:35 malam, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Sekumpulan unit gempur rejim penjajah telah merempuh masuk ke kampung 'Isawiyah, tenggara bandar BaitulMaqdis serta menculik seorang kanak-kanak Palestin, Muhammad Ali Musa Daud Darbas, 6 tahun. Kejadian ini berlaku pada malam tadi.

Unit gempur terbabit yang disokong dengan bantuan tentera penjajah menceroboh beberapa kawasan dari kampung berkenaan, lalu turut melepaskan tembakan bom gas dan bom bunyi(sound-bomb) ke arah rumah-rumah penduduk Palestin di Hayyu Az-Zuhrah dan di sebidang tanah keluarga Ulyan. Kejadian itu mengakibatkan puluhan penduduk Palestin mengalami sesak nafas.

Kejadian di tempat lain, lapor WAFA, sepasukan tentera rejim penjajah merempuh masuk ke dalam beberapa buah rumah penduduk Palestin di daerah Ya'bad, Jenin, Tebing Barat.

Menurut sumber keamanan, rumah-rumah Palestin di kawasan Al-Muloul(Ya'bad) yang dirempuh masuk telah digeledah sehinggakan peralatan rumah ada yang rosak. Pemilik-pemilik rumah berkenaan dikenali, Talib Khaled Abu Bakar, Sameh Muhammad Abu Bakar dan Ratib Sadiq Abu Bakar.

Sebelum itu, kejadian pada petang Selasa, 03/01/2011, PALTIMES melaporkan tentera rejim penjajah telah menangkap seorang remaja perempuan Palestin yang berasal dari daerah Kafar Qaddum, timur bandar Qalqiliyah di Tebing Barat.

Mangsa, Maha Ghazi Barhoum, 19 ditangkap sewaktu sedang melintasi perlintasan utara Qalqiliyah selepas pulang dari melawat saudaranya, Ala' Barhoum yang ditahan dalam penjara penjajah. Kemudian, mangsa dibawa ke tempat yang tidak diketahui.

Ahli keluarga Maha meminta Kementerian Hal-Ehwal Tahanan, Kelab Tahanan Palestin, dan Yayasan Hak Asasi Manusia serta badan-badan antarabangsa segera campurtangan bagi membebaskan segera Maha.

Demikian itu, berita AL-JAZEERAH menghebahkan hari ini bahawa seramai 14 orang penduduk Palestin dari beberapa wilayah di Tebing Barat telah ditangkap oleh rejim penjajah. Sumber 03/01/2011, web berita Paltimes.net, web berita Wafa.ps dan berita AL-JAZEERAH

Read more...

Lulus bina 130 unit perumahan di Penempatan Gilo

28 Disember 2011

Laporan jam 03:31 petang, waktu Palestin

BAITULMAQDIS - Majlis Perbandaran Penjajah(Israel) di BaitulMaqdis(Al-Quds) telah meluluskan hari ini pembinaan 130 unit perumahan baru di Penempatan Gilo yang berhampiran dengan Bayt Jala, Betlehem(Baitulahm).

Salah seorang anggota Majlis Perbandaran, Bibi Alo dari parti berhaluan kiri 'Meretz' berkata, sememangnya telah dipersetujui Majlis Perbandaran mengizinkan 130 unit buah perumahan baru dibina di Penempatan Gilo. Jelas Bibi, unit perumahan baru ini meliputi tiga buah apartmen 12 tingkat yang terletak berhampirban bandar Betlehem, selatan Tebing Barat.

Sedemikian itu, jurucakap Pemerintah Palestin Ramallah, Nabil Abu Radinah mengecam projek pembinaan penempatan Israel yang terus giat dilaksanakan, dan yang terkini kelulusan bina di Penempatan tersebut.

Kata Abu Radinah kepada agensi berita WAFA, "Lajnah Kuartet Timur Tengah mesti menjalankan tanggungjawabnya dengan mengambil iktibar pembinaan penempatan ini salah dari sisi undang-undang, tambahan pula, pembinaan ini meningkat secara mendadak, mana boleh menyambung semula rundingan damai tetapi penempatan tidak dihentikan."

Berhubung pengumuman ini, Pemerintah Palestin Ramallah mengkritik sikap pihak antarabangsa yang mendiamkan diri.

Pada minggu yang lalu, 18/12/2011, kementerian bahagian pembinaan dan penempatan Israel telah mengumumkan bahawa lebih 1,000 unit perumahan baru akan dibina di Tebing Barat.

Menurut web berita Israel "YEDIOTH AHRONOTH"(YNET), perincian pembinaan projek kediaman yang telah diumumkan meliputi sebanyak 348 unit perumahan di Beitar Illat, 500 unit di Penempatan Har Homa yang terletak di Jabal Abu Ghoneim, selatan bandar BaitulMaqdis dan 180 buah unit lagi akan dibina di kawasan Givat Ze'ev, utara bandar BaitulMaqdis.

Pengumuman tentang projek binaan yang baru ini telah membantutkan proses penyelarasan di antara Palestin dan Israel malah Pemerintah Palestin Ramallah menggesa supaya hentikan projek pembinaan untuk menyambung semula rundingan damai. Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak gesaan serta menganggap ianya adalah syarat lama.

Walaupun Israel dikritik hebat pihak antarabangsa berikutan menggiatkan bina penempatan, namun tidak menghalang bagi meneruskan pembinaan perumahan di tanah-tanah Palestin. Sumber 28/12/2011, web berita Safa.ps dan berita AL-JAZEERAH

Read more...

13 cedera, 3 ditangkap dalam pertempuran di BaitulMaqdis

21 Disember 2011

Laporan jam 08:47 malam, waktu Palestin(BaitulMaqdis)
Jam 07:47 malam, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Pertempuran sengit yang berlaku malam ini di Kota Lama, BaitulMaqdis(Al-Quds) mengakibatkan 13 penduduk Palestin cedera, manakala 3 lagi telah ditangkap.

Menurut saksi kepada PALTIMES, pertempuran ini tercetus selepas warga-warga zionis(warga haram) mengacau perarakan kahwin penduduk Palestin di jalan El-Wad, BaitulMaqdis, kemudian tentera penjajah bertindak memukul pengantin lelaki, Muaz Al-Ajlouni.

Sementara itu, sumber perubatan berkata, seorang remaja Palestin bawah umur, 'Ala' Az-Zaghir, 16 telah dibawa ke hospital Hadasa Ain Karem untuk merawat tulang hidungnya yang patah sewaktu pertempuran meletus di jalan El-Wad. Tambahan lagi, berbelas lagi penduduk Palestin mengalami sesak nafas akibat gas pemedih mata yang ditembak tentera penjajah. Pada waktu ini, sepasukan besar tentera penjajah dan unit khas memasuki kawasan Tembok Buraq dari arah Bab Al-Magharibah. Kawasan berkenaan masih diselubungi suasana tegang.

Ketika dihubungi, pertempuran antara penduduk Palestin dengan tentera penjajah meledak di jalan masuk ke Silwan dari sebelah utara berhampiran motel Baidhun. Tembakan-tembakan peluru getah dan bom pemedih mata serta bom bunyi(sound bomb) dilepaskan oleh tentera penjajah dalam pertempuran, lantas mengakibatkan berlaku kecederaan dan sesak nafas. SAFA melaporkan, beberapa telah ditangkap ekoran kejadian tempur yang berlaku. Sumber 21/12/2011, web berita Paltimes.net dan web berita Safa.ps

Read more...

[Gambar] Ditangkap dengan hujung senjata, bebas juga dengan hujung senjata

19 Disember 2011

TANAH PALESTIN - Perjanjian penukaran tahanan-tawanan antara gerakan HAMAS dengan rejim zionis melalui pihak tengah, Mesir telah berjaya membebaskan seramai 550 orang tahanan Palestin dari penjara penjajah semalam, 18/12/2011.

Menurut sumber, pembebasan ini adalah peringkat kedua(fasa ke-2) setelahmana peringkat pertama telah dilaksanakan pada hampir dua bulan yang lepas. Pada waktu itu, seramai 477 orang tahanan Palestin telah dibebaskan. Sebagaimana lampiran-lampiran yang dikemukakan oleh Jabatan Penjara Israel(rejim zionis/penjajah) bahawa perlaksanaan pembebasan peringkat kedua tidak tersenarai tahanan-tahanan Palestin dari kalangan anggota HAMAS dan JIHAD ISLAMI. Sebahagian besar yang dibebaskan dalam peringkat kedua adalah dari kalangan anggota-anggota dan penyokong gerakan FATAH, JABHAH DEMOKRATIAH dan SHA'BIAH serta beberapa individu-individu bebas(non-partisan).

Sedemikian itu, wakil dari Kerajaan Palestin di Semenanjung Gaza berkata bahawa pemilihan nama dalam peringkat kedua ini adalah ditentukan oleh penjajah dan dikemukakan kepada pihak Mesir. Bagaimanapun, dalam kenyataan media sayap tentera HAMAS, KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM, Abu Ubaidah(jurucakap AL-QASSAM, gambar(tengah)) berkata, pihaknya telah meneliti beberapa perlanggaran penjajah dalam perjanjian penukaran ini. Jelas Abu Ubaidah, hanya enam orang sahaja tahanan wanita Palestin dari sepuluh orang yang dibebaskan dan ini menyalahi perjanjian. Penjajah berkata, dua wanita Palestin yang tidak dibebaskan semalam adalah berasal dari jajahan 1948(garisan hijau dikuasai penjajah secara menyeluruh). Namun, Abu Ubaidah menyebut bahawa pihaknya tidak dapat menerima alasan penjajah dan bertegas mengajukan perkara ini kepada Perisikan Mesir agar baki dari tahanan wanita Palestin juga termasuk di dalam perjanjian penukaran tahanan-tawanan, malah mendesak agar dibebaskan.

Sebelum mengakhiri kenyataan media, kata Abu Ubaidah, perjanjian penukaran ini yang digelar 'tebus-bebas' (وفاء الأحرار) bukanlah yang terakhir bagi membebaskan para tahanan-tahanan Palestin dari kegelapan penjara penjajah.

Berhubung pembebasan ini, salah seorang tahanan Palestin di Gaza berkata, tahanan-tahanan Palestin ini ditangkap dengan hujung senjata, namun terbebas juga dengan hujung senjata, demikian itu isyarat kepada pejuang Palestin dalam operasi 'الوهم المتبدد' yang menawan seorang tentera zionis, Gilad Shalit pada 25 Jun 2006.

Sebahagian dari rakaman gambar
kegirangan rakyat Palestin dari pembebasan ini


1. Sambutan di BaitulMaqdis. Al-Hamuri, salah seorang tahanan Palestin yang dibebaskan berasal dari BaitulMaqdis(Al-Quds).




2. Sambutan terhadapan tahanan Palestin di Gaza telah diadakan secara rasmi. Seramai 41 orang tahanan Palestin yang dibebaskan pulang semula ke Semenanjung Gaza melalui perjanjian penukaran.

Janji As-syahid Syeikh Ahmad Yassin akhirnya ditunaikan.









Sambutan rasmi disambut Dr.Ahmad Bahr, Timbalan Speaker Parlimen Palestin

3. Keriangan sambutan terhadap tahanan-tahanan Palestin di Pusat Pentadbiran Palestin Ramallah, Tebing Barat.


Sebaik sahaja tiba, mereka singgah menjenguk pusara bekas Presiden Palestin, Al-Marhum, Yaseer Arafat.















Sumber gambar, web berita Safa.ps, web berita Wafa.ps, web berita Paltimes.net dan Wafa El-Ahrar

Read more...
widgeo.net

anjung pavilion

Free counter and web stats Politics Top Blogs Politics Blogs - Blog Top Sites
Journalist Blogs - Blog Catalog Blog Directory

 Subscribe in a reader

download juice, the cross-platform podcast receiver

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates .com 2008

Kembali ke ATAS