KAHERAH - Pihak Keamanan Mesir terus menjalankan siasatan ke atas Ketua Umum Badan Keamanan, Kerajaan Palestin Gaza, Muhammad Khamis Dababesh(Abu Ridhwan) kerana disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan yang mengancam keamanan Mesir.
Menurut sumber keamanan Mesir kepada wakil pemberita 'Al-Ahram', pihak keamanan Mesir menahan Abu Ridhwan sebaik sahaja beliau tiba dari Damshik, Syria ke Kaherah di akhir minggu yang lalu.
Jelas sumber itu lagi, setelahmana pengumpulan maklumat dilakukan, didapati Abu Ridhwan terlibat dan menjadi dalang di sebalik penyeludupan sejumlah besar peralatan walkie-talkie yang tercanggih bernilai jutaan pound Mesir.
Sebagaimana diperincikan lagi, hasil pengakuan individu-individu yang terlibat dalam penyeludupan yang telah ditumpaskan oleh Pihak Keamanan Mesir menunjukkan Abu Ridhwan turut terlibat. Sehingga kini, beliau masih disiasat berhubung dengan kes penyeludupan walkie-talkie.
Kes lain yang dijalankan siasatan ke atas Abu Ridhwan kerana disyaki bersangkut-paut dalam pembunuhan yang dilakukan oleh penembak tepat HAMAS ke atas seorang tentera Mesir, Ahmad Sya'ban di sempadan Rafah Mesir pada 6 Januari yang lalu. Berikutan itu, Abu Ridhwan selaku Ketua Umum yang memimpin Pasukan Keamanan Palestin di Gaza dan salah satu tugas pentingnya mengawasi sempadan Gaza-Mesir. Sumber 20/09/2010, surat khabar Al-Ahram(Mesir)
Baca lagi:
_____________________________________________________
Bacaan semasa berhubung petikan berita di atas, kami menilai secara umum bahawa isu ini berkait dengan perjanjian keamanan serantau yang meliputi sempadan-sempadan Timur Tengah yang berkonflik, terutamanya sempadan Gaza, Mesir dan tanah-tanah Palestin yang dirampas Israel yang bersempadan dengan Syria dan Lubnan.
Namun, secara khususnya isu ini, setelah diamati, ia melibatkan keamanan Mesir seperti yang didakwa. Mengapa?
Pertama, Mesir masih dalam keadaan 'dharurat' dan pernah didesak oleh parti-parti politik untuk membuang status 'dharurat' berikutan kekangan-kekangan yang terlalu keras dikenakan ke atas pihak yang cuba mengingkari apa yang dibawa oleh pemerintah. Bila-bila masa sahaja, tidak kira mengenali mana-mana pihak, kesemuanya akan dicekup sekiranya terlibat dalam apa jua aktiviti yang disifatkan menimbulkan ancaman terhadap keamanan Mesir menurut tafsiran pihak pemerintah.
Kedua, sebarang penyeludupan ke seberang sempadan, khususnya Gaza yang dilabelkan Wilayah bergolak dan masih dicengkam sekatan zalim Israel amat bersalahan dengan undang-undang Mesir, menurut laporan-laporan media Mesir yang pro Kerajaan. Namun, kami melihat secara jauh bahawa ia tertakluk di bawah perjanjian sempadan 2005 antara Mesir, Israel, Wakil Eropah dan Palestin Ramallah. Apa jua 'hajat' yang mahu dibawa masuk ke Gaza mesti melalui saluran yang disepakati antara pihak-pihak ini. Tambahan pula, Mesir amat keras dengan sikapnya jika melibatkan isu yang didakwa, iaitu keamanannya dan jaminan Mesir untuk keamanan semua pihak di rantau ini.
Tulisan ini tidak berniat untuk mempertahankan gerakan HAMAS tetapi ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama. Berhubung dengan isu yang dibangkitkan oleh Mesir bahawa penangkapan di atas kerana mengancam keamanan Mesir, dan disebutkan aktiviti tersebut:
1. Seludup walkie-talkie
2. Isu tembak tepat ke atas seorang tentera Mesir
Jika dilihat secara kasar, pada hakikatnya isu seludup walkie-talkie tidak memberi 'mudharat' kepada keamanan Mesir kerana ianya bukan bertujuan untuk digunakan di Mesir tetapi untuk mengawal keselamatan di Gaza. Hitungan nilai jutaan pound Mesir mengisyaratkan, walkie-talkie ini amat diperlukan di Gaza berikutan Wilayah yang bergolak dan bila-bila masa sahaja akan berlaku serangan yang tidak dijangka dari pihak rejim zionis. Maka, sistem perhubungan secara pantas diperlukan.
Permasalahan yang timbul hanyalah 'seludup' walkie-talkie dari Mesir ke Gaza. Bagaimana jika Palestin Gaza membuat pesanan kepada pembekal walkie-talkie dan dihantar melalui muatan kargo barangan yang akan dibawa masuk ke Gaza melalui laluan perlintasan yang menghubungkan Gaza dengan tanah rampasan 1948, Israel?
Sekalipun walkie-talkie tidak disenaraikan secara terang dalam senarai barang-barang yang ditegah ke Gaza oleh Israel, tetapi ia tetap tertakluk bawah keselamatan. Bilamana menyentuh keselamatan, maka ia berkait dengan logistik peperangan. Mustahil, Israel akan membenarkan kemasukan walkie-talkie ke Gaza.
Apabila hanya satu-satunya laluan bagi membawa masuk walkie-talkie ke Gaza , hanyalah Mesir, maka penggunaan walkie-talkie di Gaza bererti ia menjadi perantaraan yang mengancam keamanan Israel. Mungkin Mesir pihak yang akan dipertanggungjawabkan jika penyeludupan ini berjaya.
Isu kedua, gerakan HAMAS telah menjawab dan menyerahkan laporannya berkaitan siasatan yang dilakukan bersendirian setelah Mesir menolak untuk memberi kerjasama, tetapi apakah kesudahannya?
Sewajarnya, untuk 'merawat' cuaca yang sekejap panas, dan sekejap dingin amat perlu kepada kerjasama antara kedua belah pihak, iaitu rundingan. Jika Mesir dikatakan berpengalaman dalam rundingan damai dengan rejim zionis termasuk Amerika Syarikat, malah beberapa hari yang lalu, media pro Kerajaan Mesir menyiarkan potongan gambar yang telah diubah suai, pada asalnya Obama memimpin perjanjian damai, namun sengaja gambar Presiden Mesir diletakkan di barisan utama bagi menggambarkan Mesir yang memimpin usaha damai. Kenapa tidak mampu untuk berunding dengan gerakan HAMAS? Adakah isu ini berfungsi untuk memberi tekanan kepada HAMAS supaya menandatangani dokumen pembaikan Mesir yang telah ditandatangani gerakan FATAH?
0 comments:
Catat Ulasan