2 cedera akibat ditembak zionis di utara dan Gaza Tengah
13 Disember 2011
Jam 10:07 pagi, waktu Mesir
GAZA - Dua kejadian tembakan zionis yang berasingan di utara Semenanjung Gaza dan Gaza Tengah telah mencederakan dua orang penduduk Palestin.
Menurut jurucakpa Jawatankuasa Tertinggi Bantuan Cemas di Gaza, Adham Abu Salmiah berkata, seorang budak bawah umur, berusia 14 tahun telah mengalami kecederaan di bahagian bahunya akibat terkena tembakan tentera zionis ketika mangsa sedang mengutip kepingan besi berhampiran Kampung Badawi, utara Bet Lahiya, utara Semenanjung Gaza.
Sewaktu ditemuramah pemberita, Adham menyebut kecederaan yang dialami budak berkenaan adalah cedera ringan dan mangsa telah dirawat di hospital Kamal Udwan sebelum beredar pulang ke rumah.
Jelas beliau, seorang lagi penduduk berusia 48 tahun dari Mukhayyam El-Buraij, Gaza Tengah mengalami kecederaan yang disifatkan pertengahan. Kejadian itu berlaku sewaktu tentera rejim zionis menceroboh secara mengejut di sebelah timur Hayyu Shujaieyah, Gaza Tengah sambil melepaskan tembakan rambang.
Mangsa telahpun dibawa ke hospital Shuhada' Al-Aqsa, bandar Der Al-Balah untuk menerima rawatan.
Zionis ceroboh Gaza Tengah
Menurut sumber, tentera rejim zionis yang diiringi jentera-jentera perang telah melakukan pencerobohan secara terbatas di Gaza Tengah pada pagi Selasa, hari ini.
Saksi kejadian menceritakan, tiga buah jentolak dan empat buah kereta kebal yang dilihat keluar dari pintu gerbang Al-Sarhi telah menceroboh secara mengejut di sebelah timur Mukhayyam El-Maghazi, Hayyu Shujaieyah di Gaza Tengah. Di samping itu, tembakan bertubi-tubi dilepaskan dari arah menara-menara kawalan tentera zionis ke arah rumah-rumah penduduk dan kawasan lapang.
Jelas saksi lagi, jentolak-jentolak zionis yang menceroboh mengadakan operasi meratakan tanah dan mengesan secara meluas di tanah-tanah pertanian Palestin di kawasan berkenaan. Sumber 13/12/2011, web berita Safa.ps, web berita Paltimes.net dan berita AL-JAZEERAH
0 comments:
Catat Ulasan