Bot nelayan rosak ditembak tentera laut zionis
13 Julai 2011
Jam 05:22 petang, waktu Mesir
GAZA - Tembakan bertubi-tubi dari bot tentera laut zionis ke arah bot serta sampan nelayan Palestin pada tengahari tadi telah mengakibatkan beberapa buah sampan terjejas teruk, malah kelengkapan alat memburu ikan juga rosak. Berikutan kejadian itu, aktiviti menangkap ikan selesai hari ini.
Gambar: Bot Oliva yang digunakan relawan CPS menjalankan misinya di laut Gaza.
Nizar Ayash selaku kapten nelayan berkata, bot tentera zionis menghujani tembakan terhadap bot-bot nelayan. Tambah beliau, tentera laut zionis turut melepaskan tembakan di udara ketika berada berdekatan dengan bot *Oliva yang dinaiki 4 relawan asing bertujuan melindungi para nelayan serta mendokumentasi pelanggaran zionis terhadap nelayan Palestin.
Baca lagi:
*Oliva - Bot yang dinaiki krew relawan Civil Peace Service Gaza(CPS Gaza). Misi CPS adalah melindungi nelayan Gaza dari gangguan tentera laut zionis serta mendokumentasi sebarang pencabulan hak asasi manusia di perairan Gaza[perincian].
Bot CPS dihala penyembur air tengahari tadi.
Sumber: youtube.com
Logo CPS
Bot Oliva dan para nelayan cuba melepasi jarak 3 batu nautika yang ditetapkan oleh zionis untuk zon memburu ikan turut termasuk dalam sekatan yang dikenakan ke atas Gaza hampir 5 tahun.
Kata Ayash, aktiviti memburu ikan hari ini telah selesai tanpa mendapat sebarang hasil sepertimana berakhirnya musim sardin(merujuk kepada bulan April dan Mei) bagi tempoh tahun kelima berturut-turut.
Beliau menjelaskan bahawa rejim zionis mengetatkan kekangannya terhadap nelayan demi untuk menjaga sekatan laut yang berada dalam kawalannya.
CPS Gaza diserang water-cannon
Menurut laporan dari web Civil Peace Service Gaza(CPS Gaza), bot tentera zionis menyerang bot CPS yang dinaiki 4 relawan dengan penyembur air(water-cannon) hari ini pada jam 12:05 tengahari, waktu tempatan(Palestin).
Peta: Lingkaran merah adalah jarak sekatan laut yang dikenakan ke atas Gaza waktu ini. Nelayan Palestin di Gaza hanya dibenarkan memburu ikan sejauh 3 batu nautika.
Seorang relawan Britain, Ruqaya Al-Samarrai berkata, "ketika tentera zionis melepaskan semburan air, kedudukan kami tidak kurang dari 2 batu nautika dari persisiran pantai Gaza. Kami melihat mereka melepaskan semburan air ke beberapa buah bot nelayan, lantas kami bergegas ke situ. Apabila kami tiba, penyembur air zionis berpaling ke arah kami dan meninggalkan bot nelayan. Lebih 10 minit kami dihala dengan penyembur air sewaktu menuju ke persisiran pantai, namun kami terlepas keluar dari luar pantai sejauh 1 batu nautika."
CPS menyebut, zionis mendakwa bahawa membenarkan nelayan memburu ikan dalam jarak 3 batu nautika tetapi ketika dalam jarak 1.5 batu nautika, nelayan telah diganggu dan menjadi sasaran tentera laut zionis.
Berjaya gagalkan pelayaran 'flotila 2'
Baru-baru ini, hasil dari tekanan politik dan keselamatan, rejim zionis berjaya menggagalkan misi 'flotila 2' yang tekad memecahkan sekatan laut. Sedemikian itu, bot-bot dan kapal 'flotila 2' terperangkap di pelabuhan-pelabuhan Greece.
Rejim zionis telah memutuskan Gaza dari berhubung dengan dunia luar melalui sekatan laut sejak penaklukan tahun 1967. Sehingga kini tidak ada kapal-kapal besar berjaya menembusi masuk ke pelabuhan Gaza kecuali hanya beberapa buah bot kecil.
Kawalan ketat ini dijaga rapi seperti termaktub dalam perjanjian Oslo yang memberikan kebebasan kepada nelayan Gaza memburu ikan sejauh 20 batu nautika. Bagaimanapun, sebaik sahaja intifadhah meletus, jarak tersebut dikurangkan kepada 8 batu nautika, kemudian permulaan sekatan dan selepas Gaza dilanda perang akhir 2008 - awal 2009, jarak tersebut dikecilkan sehingga 3 batu nautika sahaja. Sumber 13/07/2011, web berita Safa.ps dan media cpsgaza.org
0 comments:
Catat Ulasan