الإنتفاضة الفلسطينية الثالثة Third Palestinian Intifada
Revolusi Timur Tengah

Mungkin resapan revolusi Arab di Timur Tengah khususnya Mesir(مصر) mampu membantu Palestin? Sempena Nakbah(detik malang) tahun ke-63, Palestin masih seperti ketikamana dijanjikan sebuah 'Negara', namun tanah-tanah Palestin yang dirompak tersergam dengan binaan rumah perompak dan perampas. Tidak melampau jika menyebut ini adalah simbol keganasan moden rejim zionis. Waktu ini, penjajah sedang menari kegirangan kerana dapat berdiri teguh setelah melanyakkan Palestin dan memperdayakan dunia.


Laporan menarik:

Photobucket

Perjalanan Fahima(wanita Israel) mencari Islam

Barat runtuh dengan keruntuhan Israel - Aznar

Pembebasan tahanan Palestin peringkat kedua

Catatan 'ما بعد الثورة 25 يناير':


24 Jun 2012

- Pengerusi Suruhanjaya Tertinggi Pilihanraya, hakim Farouq Sultan mengumumkan Dr. Muhammad Morsy memperolehi pungutan suara sebanyak 13,230,131 yang dinisbahkan kepada 51.7%, manakala Ahmad Shafiq pula mendapat pungutan suara sebanyak 12,347,380 nisbah kepada 48.3%.


Dengan demikian, Dr. Morsy dipilih sebagai Presiden baru Mesir selepas revolusi 25 Januari.


29 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar.

- Dr. Muhammad Morsy menyampaikan ucapan rasmi kepada rakyat Mesir di Dataran Tahrir(Tahrir Square) sempena himpunan juta yang dinamakan 'Penyerahan Kuasa'. Di hadapan himpunan, Dr. Muhammad Morsy turut mengangkat sumpah.


30 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy mengangkat sumpah di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah yang terdiri daripada 18 orang hakim besar. Secara rasminya, Dr. Muhammad Morsy ditabalkan jawatan Presiden Republik Arab Mesir selepas memperolehi kemenangan dalam pemilihan(pilihanraya) Presiden peringkat ulangan.

- Presiden menyampaikan ucapan di Universiti Kaherah. Beliau turut mengangkat sumpah di hadapan para hadirin yang dijemput khas.

Tentangan dan serang balas, 20 Jun 2012:


- [Kemaskini] Pejuang menghentam lagi lokasi-lokasi Israel

- Dua cedera, pesawat zionis mengebom Bayt Lahiya

- [Kemaskini] Empat cedera dua buah lokasi AL-QASSAM dibom F-16

- Anak syahid, ayah dan beberapa orang lagi cedera

- Kebakaran, tiga dilanda histeria dalam pengeboman pejuang Palestin

- [Kemaskini] Syahid, dua cedera sasaran serangan udara zionis di Rafah

- Cedera, zionis lancar lagi serangan di Gaza

- 4 tentera zionis cedera akibat serangan roket di Ashkelon

Memaparkan catatan dengan label Gaza. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Gaza. Papar semua catatan

Dua cedera zionis serang Gaza

01 September 2012


Laporan jam 12:29 pagi, waktu BaitulMaqdis

GAZA - Pesawat tempur rejim zionis (Israel/penjajah) telah menyerang dua buah pengkalan pejuang Palestin di kawasan المقوسي yang terletak di sebelah utara bandar Gaza awal pagi Sabtu, 01/09/2012. Sebuah dari pengkalan terbabit milik KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM (sayap tentera gerakan HAMAS) dan sebuah lagi milik pejuang ALWIYAH NASEER SALAHUDDIN (sayap tentera kepada LIJAN MUQAWAMAH).

Kata penyampai berita agensi SAFA, pesawat tempur zionis melepaskan dua peluru misil ke atas dua pengkalan berkenaan, lantas mengakibatkan dentuman letupan yang amat kuat di bandar Gaza.

Menurut agensi berita PALTIMES, sebaik sahaja berlaku kejadian, pasukan penyelamat dan bomba bergegas ke lokasi sasaran serta meneliti kawasan berkenaan, lalu menemui dua orang penduduk yang cedera akibat dari serangan zionis.

Jurucakap Kementerian Kesihatan, Ashraf Al-Qudraf mengesahkan dua orang penduduk mengalami kecederaan sederhana di bahagian kepala dan dada. Kedua-dua mangsa telah dibawa ke hospital As-Shifa' untuk rawatan lanjut.

Berdasarkan sumber perubatan, dua orang mangsa terbabit, Imad Shahadah Zaqut, 45 dan Ahmad Haitham Zamlat, 24 mengalami kecederaan setelahmana terkena serpihan pengeboman zionis yang menyasarkan pengkalan pejuang Palestin berdekatan rumah mereka. Rumah-rumah mereka turut terjejas teruk.

Gaza diserang selepas ancaman Dichter

Avi Dichter
Sebelum serangan ini berlaku, Menteri Pertahanan Dalam Negeri (Home Front Defense Minister) zionis, Avi Dichter berkata pada waktu tengahari Jumaat, 31/08/2012, 'Israel terpaksa mengambil tindakan keras susulan serangan roket yang tidak henti-henti dari Semenanjung Gaza ke selatan Israel (tanah jajahan 1948)'.

Menukil dari web berita WALLA Israel edisi hebrew semasa Dichter mengunjungi sebuah rumah warga haram di Sderot yang terkena serangan roket pada pagi Jumaat semalam, kata Dichter, "Israel terpaksa mengubah strategi yang lebih keras menentang pelancar-pelancar roket dari Gaza," tambahan pula, "kami tidak boleh membalas serangan roket dari Gaza dengan hanya sekali serangan kemudian membalas lagi pada waktu lain sepertimana serangan-serangan roket yang berlaku, namun Israel akan menetapkan strategi yang sempurna sehinggalah mereka tidak mampu lagi melancarkan serangan roket."

Semasa Avi Dichter memberikan kenyataan ini, menurut PALTIMES, sebuah kumpulan salafi yang diberi nama 'MAJLIS SYURA MUJAHIDIN PELINDUNG BAITULMAQDIS' mengumumkan pihaknya melancarkan dua serangan roket ke penempatan haram di Sderot.

Sumber-sumber media Israel pada pagi semalam melaporkan bahawa sebuah rumah warga zionis di Sderot terkena serangan roket yang mengakibatkan bucu rumah terbabit mengalami kerosakan, di samping itu, seorang wanita zionis mengalami histeria. Manakala satu lagi serangan roket gugur di kawasan lapang bersebelahan rumah tersebut. Sumber 01/09/2012, web berita Safa dan Paltimes

Read more...

5 cedera, dua serangan udara di Semenanjung Gaza

17 Jun 2012

Laporan jam 11:34 malam, waktu Kaherah(Mesir)

SEMENANJUNG GAZA - Lima orang awam Palestin mengalami kecederaan, antara ringan dan sederhana selepas pesawat tempur rejim zionis melancarkan dua serangan udara menjelang lewat tengah malam Ahad, 17/06/2012 yang menyasarkan dua tempat di Semenanjung Gaza.

Catatan masa yang disediakan oleh SAFA:

(10:07 malam, waktu Kaherah) 
- kedengaran letupan kuat di Gaza.
(10:07 malam, waktu Kaherah) 
- pesawat tempur zionis mengebom sebuah lokasi tentera 'BADAR' milik KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM dari arah barat daya bandar Gaza.
(10:34 malam, waktu Kaherah) 
- kelihatan pesawat-pesawat tempur zionis berkeliaran di ruang udara sebelah barat Khan Younis.
(10:37 malam, waktu Kaherah) 
- pesawat tempur zionis mengebom sebuah sasaran di sebelah barat Rafah.

Berhubung kecederaan, agensi berita SAFA dan PALTIMES melaporkan, pesawat tempur zionis mengebom sebuah kilang besi milik keluarga Abdul 'Al yang terletak berhampiran Masjid Hamzah Bin Abdul Mutalib di sebelah utara bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza. Serangan ini mengakibatkan lima orang awam Palestin cedera.

Jelas Adham Abu Salmiah, jurucakap Jawatankuasa Tertinggi Bantuan Cemas di Gaza, seramai lima awam Palestin cedera dan di antara mangsa, seorang wanita dan anaknya.

Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital Abu Yusuh An-Najjar untuk rawatan lanjut.

Serangan yang membabitkan kecederaan setelah jarak masa yang tidak berbeza jauh dari serangan udara yang dilancarkan oleh pesawat tempur zionis ke atas lokasi tentera 'BADAR' milik KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM, sayap tentera gerakan HAMAS di Hayyu Al-Zaitun, dari arah barat daya bandar Gaza.

Mengenai serangan, sumber keamanan mengesahkan bahawa ruang udara Semenanjung Gaza kerap dilintasi pesawat-pesawat tempur zionis yang berterbangan rendah.

Kaitan berita, 17/06/2012:
2. [Kemaskini] Pejuang hadang pencerobohan terbatas di Deir Al-Balah

Selain itu, kejadian lain yang berlaku hari ini di Semenanjung Gaza, sepasukan besar dari tentera zionis yang disokong jentera-jentera perang telah menceroboh ke Gaza Tengah pada pagi tadi. Tembakan bertubi-tubi yang dilepaskan rejim zionis ke arah rumah-rumah dan tanah pertanian mengakibatkan dua orang petani Palestin cedera dan laporan lain menyebut pejuang Palestin menghadang pencerobohan dan di sebelah petang pula, pejuang Palestin mengebom skuad infantri zionis. Berhubung serangan malam ini, pada pagi tadi, media massa Israel menuduh HAMAS merencanakan serangan roket jenis 'grad' ke selatan tanah jajahan 1948 pada malam Jumaat lepas, lantas tuduhan ini dinafikan oleh gerakan HAMAS yang menyindir ianya berkait dengan kempen pilihanraya ulangan peringkat Presiden Mesir. Sumber 17/06/2012, web berita Paltimes.net dan web berita Safa.ps

Read more...

[Kemaskini] Dua pejuang cedera zionis lancar tiga serangan

24 Februari 2012

Laporan jam 01:06 pagi, waktu Palestin
Jam 01:06 pagi, waktu Mesir
Jam 07:06 pagi, waktu Malaysia

GAZA - Pesawat pengintip rejim zionis telah mengebom sekumpulan pejuang Palestin yang berada di sekitar kawasan jualan kereta(السوق السيارات), selatan bandar Gaza awal pagi ini(Jumaat, 24/02/2012).

Penyampai berita SAFA berkata, pesawat pengintip zionis melepaskan satu serangan peluru misil ke arah sekumpulan pejuang, lantas mengakibatkan dua orang pejuang cedera, salah seorang darinya hanya menerima rawatan di lokasi kejadian dan seorang lagi pejuang yang cedera telahpun dibawa ke hospital untuk rawatan susulan.

Jurucakap tentera rejim zionis mendakwa sekumpulan pejuang yang menjadi sasaran pesawat pengintip itu sedang cuba untuk melancarkan serangan roket ke daerah-daerah Israel(tanah jajahan 1948).

Tambahan lagi dari SAFA, tidak lama selepas serangan ini, pesawat tempur zionis melancarkan dua lagi serangan ke atas dua buah lokasi tentera KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM, sayap tentera gerakan HAMAS. Salah sebuah yang menjadi sasaran lokasi yang berdekatan dengan masjid at-taqwa di Hayyu Syeikh Ridhuan, bandar Gaza. Manakala sebuah lagi lokasi yang diserang zionis berhampiran hospital بلسم di daerah Bayt Lahiya, utara Semenanjung Gaza.

Penyampai berita SAFA menyatakan dua serangan zionis ini tidak mengakibatkan sebarang kecederaan di kalangan penduduk Palestin, namun hanya kerosakan harta benda yang menimpa ke atas beberapa buah rumah dan kenderaan. Sumber 24/02/2012, web berita Safa.ps

Read more...

Empat cedera zionis serang bandar Gaza dan Gaza Tengah

16 Februari 2012

Laporan jam 07:19 pagi, waktu Palestin
Jam 07:19 pagi, waktu Mesir

GAZA - Dua serangan udara yang dilancarkan oleh pesawat tempur zionis awal pagi tadi ke atas dua lokasi latihan pejuang Palestin di bandar Gaza dan Gaza Tengah mengakibatkan empat penduduk cedera.

Menurut pemberita agensi SAFA, pesawat rejim zionis mengebom lokasi latihan 'رعد' milik KATAIB SYAHID IZZUDIN AL-QASSAM(sayap tentera gerakan HAMAS) di Hayyu At-Tuffah sebelah timur bandar Gaza, lantas mengakibatkan empat penduduk cedera. Kesemua mangsa telahpun dibawa ke hospital As-Shifa untuk rawatan dan salah seorang yang cedera adalah dari kalangan anggota bomba.

SAFA menjelaskan, pengeboman terbabit menyebabkan berlakunya ledakan kebakaran besar yang menjejaskan beberapa buah rumah penduduk awam serta balai polis yang berdekatan dengan lokasi sasaran. Sebilangan anggota polis dan banduan terselamat dari kejadian ekoran sebahagian besar bangunan balai polis runtuh.

Manakala serangan kedua, pesawat tempur zionis meledakkan tiga serangan peluru misil ke atas pusat latihan 'شهدأ الوسطى' milik SARAYA AL-QUDS(sayap tentera gerakan JIHAD ISLAMI) yang terletak di kawasan Nuseirat, Gaza Tengah. Jelas lagi, serangan yang kedua tidak mengakibatkan sebarang kecederaan di kalangan penduduk.

3 roket ke Naqab, zionis bedil bot nelayan

Kejadian lain yang dilaporkan semalam(08:03 malam, waktu Palestin/Mesir) menukil dari web berita Israel versi hebrew 'YEDIOTH AHRONOTH'(YNET), sebanyak tiga serangan roket gugur pada malam semalam di sekitar Majlis Perbandaran penempatan Ashkol, Naqab(Negev).

YNET menerusi web beritanya menerangkan roket yang gugur di lokasi berkenaan sebelah timur Semenanjung Gaza tidak mengakibatkan kecederaan mahupun menjejaskan harta benda.

Pada waktu yang sama, penyampai berita SAFA di bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza berkata, bot-bot laju tentera laut zionis membedil bot-bot nelayan Palestin dengan tembakan senjata berat di tengah laut Rafah. Berhubung kejadian, tiada sebarang laporan mengenai kecederaan. Sumber 16/02/2012, web berita Safa.ps dan 15/02/2012, web berita Safa.ps

Read more...

Ketua-ketua bahagian gerakan FATAH tiba di Gaza

06 Januari 2012

Laporan jam 11:23 pagi, waktu Palestin
Jam 11:23 pagi, waktu Mesir

GAZA - Beberapa dari ketua-ketua bahagian gerakan FATAH(حركة التحرير الوطني الفلسطيني) tiba di Semenanjung Gaza selepas waktu Jumaat hari ini untuk bertemu dengan sanak saudara mereka serta mengadakan siri-siri kunjungan dan pertemuan dengan kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin(media lain menyebut kumpulan pemisah Palestin). Demikian itu, bagi mengukuhkan suasana baik pulih dalaman Palestin(damai Palestin).

Salah seorang dari pemimpin FATAH, Faisal Abu Shahla menjelaskan dalam kenyataan rasminya kepada SAFA, semua yang datang terdiri dari ketua-ketua tertinggi gerakan FATAH yang dikenali, Ruhi Futuh, Sakhar Basiso, Muhammad Al-Madani, dan Ismail Jabbar. Mereka akan tiba di Gaza selepas waktu Jumaat, menurut Shahla.
__________________________________________

*Gerakan FATAH sebahagian dari rencah utama politik Palestin dan ia adalah kumpulan pembebasan terbesar di dalam Munaẓẓamat at-Taḥrīr al-Filasṭīniyyah(PLO). sebuah buku yang ditulis oleh Dr. Tareq Mohammed Al-Suwaidan berjudul 'فلسطين..التاريخ المصور' menyebut gerakan FATAH diasaskan pada tahun 1958-1959 di Kuwait. Sumber dari wikipedia pula menulis FATAH mengumumkan pelancaran gerakan FATAH pada tahun 01 Januari 1965 iaitu pada waktu meletusnya hari revolusi Palestin dan pada ketika itu belum muncul lagi kumpulan pembebasan yang lain seperti HAMAS, JIHAD ISLAMI, dan lain-lain lagi.
__________________________________________

Sebagaimana dinyatakan, anggota lajnah pusat gerakan FATAH, Nabil Sha'at yang tiba pada lima hari yang lalu masih meneruskan lagi kunjungannya di Semenanjung Gaza. Beliau dimaklumkan turut mengadakan pertemuan dengan pemimpin-pemimpin kumpulan pembebasan Palestin dan anggota kemasyarakatan. Pada waktu yang sama, beliau bertemu dengan ketua-ketua bahagian gerakan FATAH di Gaza bagi membincangkan permasalahan dalaman gerakan. Di samping itu, pada beberapa hari yang lalu, Presiden FATAH, Mahmoud Abbas memberikan peringatan kepada semua ahli gerakan FATAH agar bersedia menghadapi pilihanraya akan datang. Sumber 06/01/2012, web berita Safa.ps

Read more...

Sha'at jumpa Az-Zahar di Gaza

03 Januari 2012

Laporan jam 05:59 malam, waktu Palestin(Semenanjung Gaza)
Jam 05:59 malam, waktu Mesir

GAZA - Nabil Sha'at, ahli jawatankuasa pusat gerakan FATAH telah berjumpa dengan anggota biro politik HAMAS, Dr.Mahmud Az-Zahar pada petang Selasa, 03/01/2011 di kediaman Dr.Mahmud yang terletak di sebelah barat bandar Gaza.

Dalam perjumpaan tersebut, Nabil dan Dr.Mahmud membincangkan usaha baik pulih dalaman Palestin, perlaksanaan dari pertemuan-pertemuan yang masih berterusan serta mekanisme tugas dari setiap panitia-panitia yang dibentuk hasil dialog Palestin di Kaherah sebelum ini.

Gambar(SAFA): Dr.Mahmud Az-Zahar, tengah dan kiri gambar, Nabil Sha'at.

Kenyataan khas dari Dr.Mahmud kepada agensi berita SAFA menyifatkan kunjungan Nabil ini adalah kunjungan khusus untuk menilai pendirian-pendirian serta keputusan yang tercapai, malah turut mengungkapkan kebimbangan ekoran dari penghalang-penghalang yang merintangi persepakatan yang telah diputuskan serta memberikan kesan kepada jalan perlaksanaan.

Menjawab persoalan berhubung realiti sebenar perlaksanaan agenda-agenda persetujuan baik pulih Palestin, kata beliau, "inilah satu-satunya rintangan dan bimbang apabila keadaan di Tebing Barat tidak diselesaikan dengan cara yang baik serta boleh diterima, saya meyakini bahawa ia akan menggagalkan kesemua keputusan yang telah tercapai sewaktu menyetujuinya atas kertas."

Kata Sha'at sewaktu ditemuramah wartawan, "Isu tahanan politik, panggilan lapor diri sama ada di Gaza mahupun Tebing Barat dan mengenai jalan perlaksanaan dari persetujuan meskipun kesemua itu menjadi faktor yang mengancam usaha baik pulih, inilah yang diperbincangkan dalam perjumpaan," beliau mengungkapkan, "usaha baik pulih(damai) adalah strategi kami yang tidak boleh diundurkan."

Nabil Sha'at tiba di Semenanjung Gaza pada hari Ahad lalu turut mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua bahagian gerakan FATAH di Gaza semalam membincangkan tentang perkara-perkara dalaman organisasi FATAH serta mendengar permintaan mereka dan menyelesaikan permasalahan dalaman gerakan yang masih tergantung. Sumber 03/01/2011, web berita Safa.ps dan web berita Paltimes.net

Read more...

Syahid, lima cedera ditembak meriam zionis

30 Disember 2011

Laporan jam 09:08 pagi, waktu Palestin
Jam 09:08 pagi, waktu Mesir

GAZA - Tembakan peluru meriam yang dilepaskan kereta kebal rejim zionis di kawasan Jahr El-Deik mengakibatkan seorang pemuda syahid, manakala beberapa lagi penduduk Palestin mengalami kecederaan. Kejadian itu berlaku di sebelah tenggara bandar Gaza.

Sumber dari berita AL-JAZEERAH dan web berita MAAN menukil dari sumber perubatan, berkata, pemuda yang syahid, Mukmin Abu Daf berusia 22 tahun berasal dari Hayyu Tufah merupakan salah seorang anggota Ansar As-Sunnah, iaitu salah sebuah unit dari kumpulan Salafiy. Menurut sumber lagi, seorang lagi pejuang Palestin cedera dalam pengeboman meriam. Manakala, tiga lagi yang cedera adalah petani yang sedang bercucuk tanam di tanah pertanian mereka.

Mangsa-mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital Shifa' yang terletak di bandar Gaza untuk menerima rawatan. Demikian itu, kecederaan dialami salah seorang mangsa disifatkan kritikal.

Mutakhir ini, keadaan di Gaza bertambah tegang ekoran beberapa serangan bersiri dari udara malahan diikuti serangan dari meriam berhampiran sempadan. Tambahan lagi, pihak tentera rejim zionis seringkali mengancam untuk melancarkan serangan yang lebih dahsyat seumpama Operation Cast Lead atau lebih dari itu. Serangan zionis di Gaza beberapa hari yang lalu juga mengakibatkan syahid dan kecederaan, di samping menjejaskan harta benda dan milikan Palestin.
__________________________________________
Baca lagi:

1. Wakil Keamanan Israel: Kemungkinan operasi ketenteraan di Gaza tidak mendesak
2. F-16 zionis serang utara dan Gaza Tengah
3. Syahid, 3 cedera dalam serangan udara di Gaza
4. Cedera dalam serangan kedua zionis
5. Serangan zionis dikaitkan dengan kegiatan 'pengganas'

__________________________________________

Jelas sumber, Jahr El-Deik merupakan kawasan pertanian berhampiran dengan garisan sempadan, bahkan juga dekat dengan lokasi tentera rejim zionis. Sumber 30/12/2011, berita AL-JAZEERAH dan web berita Maannews.net

Read more...

Serangan zionis dikaitkan dengan kegiatan 'pengganas'

28 Disember 2011

Laporan jam 02:08 pagi, waktu Makkah Al-Mukarramah
Jam 01:08 pagi, waktu Mesir

Dua serangan udara zionis ke atas dua lokasi yang berlainan di Semenanjung Gaza pada Selasa malam, 27/12/2011 telah mengakibatkan seorang penduduk syahid dan sebelas lagi cedera.

Gambar: Kesan serangan pertama zionis di Gaza.

Berhubung serangan pertama, sumber dari media massa Israel, mangsa yang syahid, Abdullah Al-Talbani, 22 adalah anggota pejuang SARAYA AL-QUDS. Lantas, kenyataan ini dinafikan oleh SARAYA AL-QUDS.

Gambar(MEDIA PERANG SARAYA): Sekumpulan pejuang SARAYA AL-QUDS.

Dalam laporan yang ringkas, tentera rejim zionis berkata serangan terbabit menyasarkan sekumpulan yang terlibat dengan aktiviti keganasan baru-baru ini di Gaza, iaitu merancang operasi melancarkan serangan roket ke daerah-daerah Israel(jajahan 1948).


Tanpa memperincikan sebab-sebab serangan, jurucakap tentera rejim zionis menyatakan bahawa tentera telah menyerang sekumpulan pembuat kerosakan(jolokan kepada Palestin) yang terjebak dalam kegiatan keganasan, tentera akan sentiasa menghadang dengan penuh kekerasan terhadap mana-mana pihak yang bertindak ganas menentang Israel sambil menegaskan HAMAS yang bertanggungjawab di atas semua ini.

Serangan kedua pula, siaran televisyen Israel menukil dari sumber tentera bahawa serangan terbabit menyasarkan sekumpulan Palestin yang dipercayai menyeludup senjata dari Sinai ke dalam Semenanjung Gaza.

Serangan terbabit hanya diakui penganalisis tentera zionis, katanya, "ya memang dari semasa ke semasa, tentera akan menyasarkan mana kumpulan dan pergerakan yang menyeludup senjata dari Sinai ke Gaza."

Namun, menurut agensi berita ASSOCIATED PRESS(AP) menukil dari sumber perubatan, serangan kedua zionis menumpukan sebuah jip(kereta pacuan empat roda) polis Kerajaan Palestin Gaza yang mengakibatkan lima anggota polis cedera(gambar bawah).
____________________________________________________
Serangan zionis pada Selasa malam, 27/12/2011 di Gaza:

Cedera dalam serangan kedua zionis
Syahid, 3 cedera dalam serangan udara di Gaza

____________________________________________________

Jelasnya, alasan-alasan ini menjadi kaitan serangan dilancarkan tanpa dinyatakan alasan sebenar. Tambahan pula, kedua-dua serangan tidak didahului dengan serangan-serangan roket yang boleh dijadikan alasan rejim zionis untuk melancarkan serangan di Gaza. Walaubagaimanapun, serangan ini seiring hari memperingati perang Gaza tahun ketiga bertujuan untuk memainkan sentimen provokasi tindak balas pejuang-pejuang Palestin.

Berhubung perkembangan dari pejuang-pejuang Palestin, pemberita Al-JAZEERAH menjawab, pihaknya masih menanti kenyataan-kenyataan rasmi pejuang. Sumber 28/12/2011, berita AL-JAZEERAH, web berita AL-JAZEERAH dan web berita Palestin

Read more...

Cedera dalam serangan kedua zionis

27 Disember 2011

Laporan jam 09:43 malam, waktu Palestin(Semenanjung Gaza)
Jam 09:43 malam, waktu Mesir

GAZA - Pesawat tempur rejim zionis telah mengebom sebuah kereta penumpang jenis jip pacuan empat roda warna biru di jalan Al-Jala', pertengahan bandar Gaza.

Serangan udara zionis sebentar tadi adalah serangan kedua yang dilancarkan oleh pesawat rejim zionis malam ini dalam masa tiga jam. Saksi kejadian berkata, serangan terbabit dilancarkan oleh pesawat pengintip tanpa juruterbang/pemandu.

Berhubung kejadian, sumber perubatan berkata, serangan terbabit telah mengakibatkan lapan penduduk cedera serta menjejaskan aliran elektrik di kawasan berkenaan.

Perincian yang cedera, lima orang yang berada dalam jip dan tiga lagi yang sedang berjalan, dua darinya disifatkan kritikal. Kesemua mangsa yang cedera dibawa ke hospital Shifa', bandar Gaza.

Sewaktu laporan diterbitkan, pesawat-pesawat pengintip masih berlegar-legar di ruang udara Gaza.

Tentera zionis tembak rumah Palestin

Kejadian lain dilaporkan pada jam 07:54 malam(waktu Semenanjung Gaza/Mesir), tentera-tentera rejim zionis yang berada dalam pengkalan di Kissufim, timur Qararah(selatan Semenanjung Gaza) telah melepaskan tembakan mesingan ke arah rumah-rumah penduduk Palestin yang berada setentang dengan garisan sempadan tanah jajahan 1948.

Menurut saksi kepada agensi berita SAFA, sejak beberapa hari yang lalu, rumah-rumah mereka sering menjadi sasaran tembakan yang dikatakan hampir setiap hari, khususnya pada waktu malam. Berhubung kejadian, tiada laporan mengenai kecederaan dari kalangan penduduk. Sumber 27/12/2011, web berita Safa.ps dan web berita Paltimes.net

Serangan lain malam ini:

Syahid, 3 cedera dalam serangan udara di Gaza

Read more...

Syahid, 3 cedera dalam serangan udara di Gaza

Laporan jam 06:53 malam, waktu Palestin
Waktu 06:53 malam, waktu Mesir

GAZA - Serangan udara zionis malam ini yang menyasarkan sebuah kenderaan tayar tiga 'Tuk-Tuk' sewaktu melewati di pusingan jalan Abu Sharkh, jalan As-Saftawy, Mukhayyam Jabaliya, utara bandar Gaza telah mengakibatkan seorang penduduk syahid, manakala tiga lagi cedera.

Sumber perubatan berkata, pemuda yang syahid berasal dari bandar Gaza, Abdullah Al-Talbani, 22 dibawa ke hospital Kamal Udhwan dalam keadaan rentung. Mangsa-mangsa yang cedera turut dibawa ke hospital yang sama.

Berhubung kejadian, saksi menceritakan bahawa sewaktu kejadian, pesawat-pesawat tempur zionis sedang berlegar-legar dari setiap pelusuk ruang udara Semenanjung Gaza. Sedemikian itu, laporan dari web berita Israel 'YEDIOTH AHRONOTH'(YNET) menukil dari tentera rejim zionis, serangan yang dilancarkan ini hasil gandingan kerjasama dengan agensi keselamatan, SHABAK(Sherut haBitachon haKlali/ istilah english: Israel Security Agency[ISA] or the Shin Bet).

Sementara itu, sayap tentera kepada gerakan JIHAD ISLAMI, SARAYA AL-QUDS menafikan si syahid salah seorang dari anggota pejuangnya. Sumber 27/12/2011, web berita Safa.ps dan web berita Paltimes.net

Kesan serangan udara zionis di utara bandar Gaza








Read more...

Zionis tangkap nelayan dan rampas perahu

18 Disember 2011

Laporan jam 04:11 petang, waktu Palestin(Semenanjung Gaza)
Jam 04:11 petang, waktu Mesir

GAZA - "Tentera laut rejim zionis mengekori nelayan Palestin di laut Gaza pada waktu tengahari tadi, kemudian beberapa dari mereka telah ditangkap," demikian kata dari sumber tempatan kepada agensi berita SAFA.

Jelas sumber lagi, nelayan yang ditangkap dikenali, Imad Siyam dan anaknya. Malah perahu sampan mereka juga dirampas oleh tentera laut zionis dan dibawa ke pelabuhan Ashdod(pelabuhan Israel dalam tanah jajahan 1948).

Mutakhir ini, operasi tentera laut zionis memburu para nelayan Palestin di laut Gaza meningkat secara mendadak. Tambahan pula, pelampung besar sebagai penanda had jarak 3 batu nautika dari pantai Gaza juga telah diletakkan bagi menghalang nelayan-nelayan memburu ikan melebihi jarak yang lebih jauh.

Lakaran batas sempadan laut Gaza yang direntas oleh rejim zionis. Terkini, hanya jarak 3 batu nautika sahaja dibenarkan kepada para nelayan Palestin di Gaza untuk menjalankan aktiviti memburu ikan.

Pengerusi Persatuan Nelayan Gaza, Muhammad Subhi Al-Hissi berkata, tentera laut zionis telah meletakkan pelampung-pelampung besar sebagai tanda-tanda isyarat sempadan laut di kedudukan 3 batu nautika dari pantai Gaza. Pelampung-pelampung berkenaan turut dilengkapi isyarat lampu dan alatan yang dipercayai untuk merekod dan mengawasi.

Al-Hissi menjelaskan bahawa tentera laut zionis menyampaikan memo-memo peringatan yang telah diedar kepada para nelayan jangan melepasi isyarat yang telah dihadkan, dan sesiapa yang melangkau dari isyarat tersebut, maka dirinya terdedah kepada tembakan, penangkapan serta peralatan memburu ikan dirampas.

Seperti yang disebutkan, kerajaan rejim zionis telah mengenakan sekatan laut di persisiran laut Semenanjung Gaza mengikut jarak yang berubah-ubah. Mula dari jarak yang dibenarkan memburu ikan sejauh 20 batu nautika yang dipersetujui dalam beberapa bentuk perjanjian damai, kemudian berkurangan kepada 6 batu nautika, seterusnya yang terkini hanya 3 batu nautika. Sumber 18/12/2011, web berita Safa.ps

Read more...

Seorang lagi pejuang syahid dan cedera dalam serangan zionis di timur Rafah

30 Oktober 2011

Laporan jam 02:12 petang, waktu Palestin(Semenanjung Gaza)
Jam 02:12 petang, waktu Mesir

RAFAH - Serangan terbaru rejim zionis yang dilaporkan pada petang tadi tertumpu di sebuah kawasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Gaza(tidak beroperasi) mengakibatkan seorang pejuang Palestin syahid dan seorang lagi mengalami kecederaan yang kritikal.

Gambar(MEDIA PERANG): Seorang dari pejuang KATAIB AL-MUQAWAMAH AL-WATANIAH yang syahid dalam serangan zionis.

Situasi serangan, menurut sumber dari agensi berita SAFA bahawa pesawat pengintip zionis tanpa pemandu melepaskan satu serangan peluru misil ke atas sekumpulan pejuang Palestin, lantas mengakibatkan seorang syahid dan seorang lagi mengalami kecederaan kritikal. Sedemikian itu, krew ambulan membawa mangsa yang syahid ke hospital Abu Yusuf An-Najjar di bandar Rafah, kemudian mangsa yang cedera dibawa ke hospital Eropah Gaza berikutan luka yang kritikal.

Menukil dari MEDIA PERANG SARAYA AL-QUDS, pejuang yang syahid dikenali Ahmad Ali Jargun, kordinator Unit Pertahanan kepada KATAIB AL-MUQAWAMAH AL-WATANIAH, sayap tentera JABHAH DEMOKRATIAH LI TAHRIR FALESTIN dan pejuang yang kritikal hanya dikenali komander KATAIB AL-MUQAWAMAH AL-WATANIAH.

Berikutan serangan zionis di hujung sebelah selatan Semenanjung Gaza ini, jumlah penduduk Palestin yang syahid sejak tengahari semalam meningkat kepada 10 syuhadak. Manakala seramai 7 penduduk Palestin mengalami kecederaan, di antaranya seorang remaja perempuan berusia 15 tahun.

Tambahan dari berita AL-JAZEERAH, serangan dari pesawat pengintip zionis tanpa pemandu yang mengakibatkan seorang syahid dan seorang cedera jelas melanggar gencatan senjata yang telah tercapai antara sayap-sayap tentera Palestin dengan Israel pada pagi tadi, dengan perantaraan pihak Mesir.

Sumber Palestin berkata, sayap-sayap tentera Palestin tidak mahu mengikut adakan gencatan(tenang) dengan Israel, dan Israel yang meminta pihak Mesir menjadi perantaraan agar tercapai gencatan senjata. Maka, pihak Mesir turut meminta bantuan Kerajaan Palestin di Semenanjung Gaza supaya gencatan tercapai antara sayap-sayap tentera dengan Israel. Sumber 30/10/2011, web berita Safa.ps dan MEDIA PERANG SARAYA AL-QUDS

Read more...

Kami tak seludup roket penangkis pesawat dari Libya - HAMAS

28 Oktober 2011

Gerakan HAMAS(حركة المقاومة الاسلامية) menafikan laporan yang tersiar dalam sebuah akhbar berita Israel 'HAARETZ' semalam berhubung roket penangkis pesawat yang diseludup dari gudang senjata tentera kebangsaan Libya ke Semenanjung Gaza. HAMAS berkata, berita berkenaan digembar-gemburkan oleh rejim zionis(Israel) bagi memperbesar-besarkan kekuatan pejuang Palestin sekaligus mewajarkan serangan yang kerap kali menyasarkan pejuang-pejuang Palestin dan penduduk Palestin.

Salah seorang dari pemimpin HAMAS, Dr.Salah Bardawil menyatakan berita sebegini bukanlah perkara yang baru, memang selalu diwar-warkan oleh musuh. Jelas beliau, sebalik dari berita ini hanyalah untuk memperbesar-besarkan kekuatan ketenteraan HAMAS yang tidak memiliki walaupun 10% dari kekuatan logistik ketenteraan tentera Israel.

Bardawil mengungkapkan bahawa berita ini bohong dan ianya bermotifkan politik profil tinggi. Malahan, Israel mengambil peluang mewajarkan serangan yang berulang-kali di Semenanjung Gaza serta menutup jenayah yang dilakukannya, dan yang terkini serangan Israel di Gaza awal pagi Khamis baru-baru ini.
____________________________________________
Baca lagi:

Gaza Tengah dan sebelah Selatan diserang zionis

____________________________________________

Semalam, laporan dari akhbar HAARETZ Israel mendakwa pihak keamanan Israel diselubungi kesangsian dan bertambah bimbang ekoran penyeludupan roket penangkis pesawat dari gudang senjata tentera Libya ke Semenanjung Gaza sepertimana peluru roket buatan rusia yang telah dikembangkan keupayaannya.

Dakwa HAARETZ lagi, pihak keamanan Israel amat merasa bimbang dengan peluru roket yang dibekalkan oleh Rusia kepada tentera Libya tiba ke Semenanjung Gaza, lantas boleh menimbulkan ancaman ke atas pesawat-pesawat Israel yang menyerang Gaza. Sumber 28/10/2011, suratkhabar Al-Huriyyah Wal-Adalah[Mesir]

Read more...

Gaza Tengah dan sebelah Selatan diserang zionis

27 Oktober 2011

Laporan jam 05:19 pagi, waktu Palestin(Semenanjung Gaza)
Jam 05:19 pagi, waktu Mesir

GAZA - Pesawat tempur zionis telah menyerang beberapa sasarannya awal pagi Khamis(27/10/2011) di Gaza Tengah dan Selatan Gaza tanpa mengakibatkan sebarang kecederaan.

Serangan di Gaza Tengah

Pemberita agensi SAFA berkata, pesawat tempur zionis mengebom sebuah rumah tanpa penghuni yang terletak berhampiran kawasan pelupusan sampah di kawasan Abu Al-Ajain timur Der Balah dengan satu serangan roket. Setelah serangan terbabit, sebuah lokasi tentera KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM(sayap tentera gerakan HAMAS) di kawasan yang telah dibebaskan 'Tel Qatif' sebelah barat bandar Der Balah pula dibom dengan satu serangan peluru misil.

Serangan di selatan Gaza

Di sebelah selatan pula, pesawat tempur zionis melancarkan 3 serangan peluru misil ke atas sebuah rumah tanpa penghuni yang terletak bertentangan dengan pintu gerbang 'بوابة أصداء الغربية' di Khan Younis.

Tambahan lagi, bot-bot laju tentera laut zionis turut melepaskan beberapa kali das tembakan mesingan ke atas bot nelayan Palestin di persisiran laut Gaza di Khan Younis.

Zionis mengakui

Sementara itu, SAFA menukil dari siaran radio zionis melalui jurucakap tentera zionis, katanya, "Kesemua keempat-empat sasaran yang telah diserang oleh pesawat tempur Israel di Gaza Tengah dan Selatan Gaza telah mengenai dengan tepat."

Jurucakap tentera zionis mendakwa serangan udara berkenaan adalah bagi membalas 3 serangan roket grad yang dilancarkan oleh pejuang Palestin malam semalam. Sumber menjelaskan, serangan roket grad gugur di kawasan sekitar bandar Ashdod dan daerah Bani Ayeish(tanah jajahan 1948) semalam, lantas mengakibatkan beberapa orang warga zionis ditimpa kepanikan.

Siaran radio zionis menerangkan, Badan Perisikan Israel berkeyakinan penuh bahawa HAMAS tidak berhasrat menghangatkan kembali keadaan.

Sebuah akhbar berita elektronik Israel versi hebrew 'HAARETZ' dalam edisinya hari ini mendakwa bahawa akhir-akhir ini, HAMAS berjaya memperolehi peluru roket buatan Rusia yang telah diseludup dari gudang simpanan senjata bekas pemimpin Libya, pimpinan Muammar Ghaddafi.

Tambah HAARETZ lagi, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, hasil dari inisiatif bantuan Iran juga telah berjaya diseludup roket pelancar dari atas bahu(Shoulder-fired missile). Sumber 27/10/2011, web berita Safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Read more...

1,713,505 bilangan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza

10 Oktober 2011

Laporan jam 05:03 petang, waktu Palestin(Semenanjung Gaza)
Jam 05:03 petang, waktu Mesir

GAZA - Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara di Semenanjung Gaza mengumumkan bahawa sehingga tarikh 30 September 2011, jumlah taburan bilangan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza mencapai angka 1,713,505 orang penduduk.

Sebagaimana dijelaskan, bilangan penduduk di bahagian utara Semenanjung Gaza berjumlah 278,497 orang. 141,520 jumlah darinya adalah dari kalangan lelaki dan jumlah perempuan seramai 136,977.

Gambar(arkib): Peta Semenanjung Gaza.

Jumlah penduduk di Gaza pula mencapai 650,222 orang, iaitu 330,191 lelaki dan 320,331 perempuan. Sementara itu, jumlah penduduk di Gaza Tengah seramai 240,146 orang. Perincian di Gaza Tengah, lelaki berjumlah 120,931 , manakala perempuan berjumlah 119,215.

Penduduk Palestin di Khan Yunis(selatan Semenanjung Gaza) berjumlah 331,906, iaitu lelaki seramai 168,508 orang dan perempuan berjumlah 163,398. Tambahan lagi, di Rafah juga sebelah selatan Semenanjung Gaza, bilangan penduduk berjumlah 212,434. Golongan lelaki berjumlah 106,364, manakala perempuan berjumlah 106,070.

Kategori peringkat umur

Bancian yang dibuat menunjukkan bilangan penduduk mengikut peringkat umur bawah 14 tahun seramai 666,613 orang, lelaki 341,934 dan perempuan 324,679. Demikian itu, bilangan penduduk dari peringkat umur antara 14 hingga 29 tahun seramai 569,866 orang. Perincian bilangan 289,151 orang darinya adalah lelaki dan perempuan mempunyai bilangan 280,715 orang.

Manakala, kategori peringkat umur antara 30 hingga 40 tahun pula seramai 262,705 orang penduduk. Lelaki berjumlah 132,883 dan perempuan 129,822 orang. Bancian ke atas peringkat umur 45 tahun dan ke atas mendapati golongan ini seramai 214,321 orang. Penduduk di kalangan lelaki berjumlah 103,543 orang dan 110,788 pula dari kalangan perempuan. Sumber 10/10/2011, web berita Safa.ps

Read more...

Kereta dibom, pejuang AL-QUDS syahid

07 September 2011

Laporan jam 08:39 malam, waktu Palestin/Mekah
Jam 07:39 malam, waktu Mesir
Jam 01:39 pagi(08/09/2011), waktu Malaysia

GAZA - Seorang pejuang dari sayap tentera gerakan JIHAD ISLAMI, SARAYA AL-QUDS telah syahid apabila kereta model Subaru yang dipandunya menjadi sasaran pengeboman rejim zionis. Sumber menyebut, kejadian ini berlaku di sebelah barat bandar Der Balah, Gaza Tengah.

Menurut pemberita Safa, pesawat tempur rejim zionis melancarkan sekurang-kurangnya satu serangan peluru ke atas kereta berkenaan di barat Der Balah, lantas mengakibatkan mangsa yang berada dalam kereta berkenaan syahid.

Berhubung kejadian, jurucakap Jawatankuasa Tertinggi Bantuan Cemas di Gaza, Adham Abu Salmiah berkata kepada agensi berita Safa bahawa kereta yang dibom oleh pesawat tempur zionis mengakibatkan seorang penduduk syahid. Bagaimanapun identiti dirinya tidak dikenali ekoran tubuhnya berubah menjadi sekujur mayat rentung.

Sedemikian itu, SARAYA AL-QUDS mengumumkan mangsa yang syahid dalam serangan zionis adalah salah seorang dari pejuangnya, iaitu Rimah Al-Husni. Sumber 07/09/2011, web berita Safa.ps

Read more...

Pejuang ALWIYAH syahid, awam cedera di Khan Yunis

06 September 2011

Laporan jam 07:30 malam, waktu Palestin/Mekah
Jam 06:30 petang, waktu Mesir
Jam 12:30 pagi(waktu Malaysia, 07/09/2011)

GAZA - Seorang pejuang dari unit pertahanan sayap tentera ALWIYAH NASEER SALAHUDDIN, Khaled Ahmad Samhud, 23 telah syahid dalam satu serangan dari pesawat pengintip zionis tanpa pemandu di kawasan 'الزنة', sebelah timur Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.

Selain itu, seorang warga tua serta dua anaknya turut tercedera ekoran terkena tembakan tentera zionis yang menceroboh timur Khan Yunis. Menurut sumber, pencerobohan zionis disokong oleh beberapa buah jentera perang, termasuk helikopter dan pesawat pengintip tanpa pemandu.

Berhubung kejadian, pemberita Safa berkata, jentolak zionis melancarkan operasi meratakan tanah secara meluas, sementara itu, kereta kebal dan helikopter melepaskan tembakan tidak putus-putus di kawasan yang diceroboh.

Sayap tentera Palestin, ALWIYAH berkata, pejuangnya terlibat dalam pertempuran berbalas tembakan dengan skuad tentera zionis yang menceroboh, kemudian ALWIYAH melepaskan peluru mortar 'hawn' serta menembak tepat ke atas sebilangan tentera zionis di lokasi terbabit.

Demikian itu, sumber media zionis pula berkata, 2 peluru mortar gugur di Naqab. Bagaimanapun tidak menjejaskan nyawa dan harta benda.

Ceroboh terbatas

Sebelum itu, Safa menjelaskan bahawa pada petang tadi, sekumpulan tentera zionis yang menceroboh secara terbatas di timur daerah Qararah, sebelah utara bandar Khan Yunis telah meranapkan tanah-tanah pertanian penduduk Palestin. Di samping itu, pencerobohan diiringi tembakan dari helikopter Apache dan menara-menara kawalan tentera.

Pemberita Safa memperincikan, 4 buah jentolak dan 5 buah kereta kebal menceroboh secara terbatas di samping sokongan jentera udara. Berikutan itu, jentera perang zionis melepaskan tembakan tidak terputus-putus ke arah rumah-rumah penduduk. Sumber 06/09/2011, web berita Safa.ps

Read more...

Gaza Tengah dibom balas serangan roket

Laporan jam 12:15 pagi, waktu Palestin/Mekah
Jam 11:15 malam(05/09/2011), waktu Mesir
Jam 05:15 pagi(06/09/2011), waktu Malaysia

GAZA - Pesawat tempur zionis mengebom sebuah sasarannya di Gaza Tengah awal pagi tadi.

Menurut pemberita 'Safa' dan 'Maan' Palestin, pesawat zionis telah mengebom sebuah rumah tidak berpenghuni yang berada di sebelah utara Syarikat Bekalan Elektrik, sebelah barat Mukhayyam Nuseirat, wilayah Tengah Gaza.

Tambahan dari pemberita, serangan terbabit tidak mengakibatkan sebarang luka parah, bagaimanapun menggemparkan penduduk di kalangan wanita dan kanak-kanak ekoran sebelum serangan pesawat tempur meluncur rendah di ruang udara Gaza. Malahan, beberapa bom cahaya turut dilepaskan di kawasan tersebut.

Berikutan serangan ke atas sebuah rumah, pasukan bomba berhempas-pulas memadamkan api yang marak di lokasi serangan.

Menurut radio penjajah yang mendakwa, pesawat tempur dari Angkatan Tentera Udara Israel(IAF) telah menyerang sebuah bengkel pembuatan logistik peperangan di Gaza Tengah.

Sedemikian itu, jurucakap tentera zionis menjelaskan bahawa serangan ini bagi membalas peluru roket yang dilancarkan oleh Palestin ke sebuah penempatan zionis petang semalam.

Roket gugur

Sumber dari Safa(09:36 malam, 05/09/2011) menukil dari sebuah web berita versi hebrew 'Yedioth Ahronoth'(Ynet) berkata, satu peluru roket telah gugur di sebuah kawasan di Majlis Penempatan Sha'ar Henegev, sebelah barat Naqab(tanah jajahan 1948).

Menurut Ynet, sejurus serangan roket, sepasukan dari pihak polis Israel dan pasukan bomba bergegas ke lokasi yang diserang roket.

Tembak rumah-rumah Palestin

Sebagaimana yang dilaporkan pada awal pagi 04/09/2011, tentera-tentera rejim zionis yang berada di dalam menara kawalan di sebelah timur daerah Khuza'ah telah melepaskan tembakan mesingan ke arah rumah-rumah penduduk Palestin yang berhampiran garisan sempadan dengan tanah jajahan 1948.

Menurut saksi kejadian, tentera zionis menghujani tembakan ke arah rumah-rumah Palestin sejak beberapa jam di awal pagi. Berikutan kejadian, tiada laporan mengenai sebarang kecederaan di kalangan penduduk. Sumber 04-06/09/2011, web berita Safa.ps dan web berita Maannews.net

Read more...

2 pejuang AL-QUDS syahid

25 Ogos 2011

Laporan jam 06:44 malam, waktu Palestin/Mekah
Jam 05:44 petang, waktu Mesir
Jam 11:44 malam, waktu Malaysia

GAZA - Dua pejuang dari sayap tentera gerakan JIHAD ISLAMI, SARAYA AL-QUDS telah syahid apabila motosikal yang ditunggangi mereka dibom pesawat pengintip semasa azan maghrib tadi. Pada waktu kejadian, motosikal berkenaan melalui di kawasan As-Sudaniah, sebelah barat laut bandar Gaza.

Jurucakap Jawatankuasa Tertinggi Bantuan Cemas di Gaza, Adham Abu Salmiah berkata, dua pejuang yang syahid; Salim Khaled Al-Erabid dan 'Ala' Adnan AbulKhair, kedua-dua jasad mangsa serangan dibawa ke hospital As-Syahid Kamal Udhwan dalam keadaan rentung.

Sedemikian itu, SARAYA AL-QUDS mengumumkan bahawa kedua-dua yang syahid adalah anggotanya dari unit 'informasi perang', pada waktu itu, kedua-duanya sedang menjalankan misi rakaman gerakan pejuang di medan.

Temui 3 mayat dalam terowong

Kejadian lain yang dilaporkan, pasukan bomba dan penyelamat telah berjaya menemui 3 mayat yang syahid dari sebuah terowong bawah tanah petang tadi. Pada awal pagi tadi, terowong berkenaan yang berada di garisan sempadan antara tanah Gaza dan Mesir menjadi sasaran serangan pesawat zionis.

8 syahid, lebih 40 cedera

Tambah Al-Jazeerah, angka penduduk Gaza yang syahid dalam masa 24 jam semasa tentangan sengit zionis di Gaza meningkat kepada 8 mangsa, manakala yang tercedera melebihi 40 mangsa.

Kerajaan Palestin di Gaza berusaha untuk menenangkan keadaan, namun rejim zionis masih meningkatkan serangan. Menurut pemberita Al-Jazeerah, serangan-serangan roket dari pejuang juga tidak bermakna untuk meluaskan tentangan, akan tetapi bagi membalas tentangan dari zionis. Sumber 25/08/2011, web berita Safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Read more...

AL-QUDS mengebom 3 penempatan dan sebuah pos tentera

Laporan jam 05:20 petang, waktu Palestin/Mekah
Jam 04:20 petang, waktu Mesir
Jam 10:20 malam, waktu Malaysia

GAZA - Sayap tentera gerakan JIHAD ISLAMI, SARAYA AL-QUDS telah mengumumkan bahawa pihaknya telah mengebom penempatan zionis; Ofakim, Magen, Nirim petang tadi.

Gambar(Safa): Roket kawalan jauh '107'.

AL-QUDS dalam kenyataan rasmi yang dilampirkan dalam web rasmi berkata, pejuang SARAYA dari unit pelancar roket telah berjaya mengebom penempatan Ofakim dengan satu serangan roket jenis 'grad', dan dua buah lagi penempatan lagi, Megan dan Nirim diserangn dengan 3 serangan roket kawalan jauh jenis '107'.

Sementara itu, AL-QUDS turut mengebom sebuah pos kawalan tentera zionis 'Erez' dengan dua peluru mortar 'hawn'.

Kenyataan tersebut menyatakan pengeboman ini adalah serang balas ke atas jenayah zionis yang membunuh komander SARAYA AL-QUDS, Ismail Al-Asmar sambil mengesahkan sayap tentera ini berpegang dengan pilihan jihad dan penentangan sehinggalah keseluruhan tanah-tanah Palestin dibebaskan. Sumber 25/08/2011, web berita Safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Read more...
widgeo.net

anjung pavilion

Free counter and web stats Politics Top Blogs Politics Blogs - Blog Top Sites
Journalist Blogs - Blog Catalog Blog Directory

 Subscribe in a reader

download juice, the cross-platform podcast receiver

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates .com 2008

Kembali ke ATAS