الإنتفاضة الفلسطينية الثالثة Third Palestinian Intifada
Revolusi Timur Tengah

Mungkin resapan revolusi Arab di Timur Tengah khususnya Mesir(مصر) mampu membantu Palestin? Sempena Nakbah(detik malang) tahun ke-63, Palestin masih seperti ketikamana dijanjikan sebuah 'Negara', namun tanah-tanah Palestin yang dirompak tersergam dengan binaan rumah perompak dan perampas. Tidak melampau jika menyebut ini adalah simbol keganasan moden rejim zionis. Waktu ini, penjajah sedang menari kegirangan kerana dapat berdiri teguh setelah melanyakkan Palestin dan memperdayakan dunia.


Laporan menarik:

Photobucket

Perjalanan Fahima(wanita Israel) mencari Islam

Barat runtuh dengan keruntuhan Israel - Aznar

Pembebasan tahanan Palestin peringkat kedua

Catatan 'ما بعد الثورة 25 يناير':


24 Jun 2012

- Pengerusi Suruhanjaya Tertinggi Pilihanraya, hakim Farouq Sultan mengumumkan Dr. Muhammad Morsy memperolehi pungutan suara sebanyak 13,230,131 yang dinisbahkan kepada 51.7%, manakala Ahmad Shafiq pula mendapat pungutan suara sebanyak 12,347,380 nisbah kepada 48.3%.


Dengan demikian, Dr. Morsy dipilih sebagai Presiden baru Mesir selepas revolusi 25 Januari.


29 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar.

- Dr. Muhammad Morsy menyampaikan ucapan rasmi kepada rakyat Mesir di Dataran Tahrir(Tahrir Square) sempena himpunan juta yang dinamakan 'Penyerahan Kuasa'. Di hadapan himpunan, Dr. Muhammad Morsy turut mengangkat sumpah.


30 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy mengangkat sumpah di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah yang terdiri daripada 18 orang hakim besar. Secara rasminya, Dr. Muhammad Morsy ditabalkan jawatan Presiden Republik Arab Mesir selepas memperolehi kemenangan dalam pemilihan(pilihanraya) Presiden peringkat ulangan.

- Presiden menyampaikan ucapan di Universiti Kaherah. Beliau turut mengangkat sumpah di hadapan para hadirin yang dijemput khas.

Tentangan dan serang balas, 20 Jun 2012:


- [Kemaskini] Pejuang menghentam lagi lokasi-lokasi Israel

- Dua cedera, pesawat zionis mengebom Bayt Lahiya

- [Kemaskini] Empat cedera dua buah lokasi AL-QASSAM dibom F-16

- Anak syahid, ayah dan beberapa orang lagi cedera

- Kebakaran, tiga dilanda histeria dalam pengeboman pejuang Palestin

- [Kemaskini] Syahid, dua cedera sasaran serangan udara zionis di Rafah

- Cedera, zionis lancar lagi serangan di Gaza

- 4 tentera zionis cedera akibat serangan roket di Ashkelon

Memaparkan catatan dengan label freedom Gaza Palestine. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label freedom Gaza Palestine. Papar semua catatan

1,713,505 bilangan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza

10 Oktober 2011

Laporan jam 05:03 petang, waktu Palestin(Semenanjung Gaza)
Jam 05:03 petang, waktu Mesir

GAZA - Kementerian Dalam Negeri dan Keselamatan Negara di Semenanjung Gaza mengumumkan bahawa sehingga tarikh 30 September 2011, jumlah taburan bilangan penduduk Palestin di Semenanjung Gaza mencapai angka 1,713,505 orang penduduk.

Sebagaimana dijelaskan, bilangan penduduk di bahagian utara Semenanjung Gaza berjumlah 278,497 orang. 141,520 jumlah darinya adalah dari kalangan lelaki dan jumlah perempuan seramai 136,977.

Gambar(arkib): Peta Semenanjung Gaza.

Jumlah penduduk di Gaza pula mencapai 650,222 orang, iaitu 330,191 lelaki dan 320,331 perempuan. Sementara itu, jumlah penduduk di Gaza Tengah seramai 240,146 orang. Perincian di Gaza Tengah, lelaki berjumlah 120,931 , manakala perempuan berjumlah 119,215.

Penduduk Palestin di Khan Yunis(selatan Semenanjung Gaza) berjumlah 331,906, iaitu lelaki seramai 168,508 orang dan perempuan berjumlah 163,398. Tambahan lagi, di Rafah juga sebelah selatan Semenanjung Gaza, bilangan penduduk berjumlah 212,434. Golongan lelaki berjumlah 106,364, manakala perempuan berjumlah 106,070.

Kategori peringkat umur

Bancian yang dibuat menunjukkan bilangan penduduk mengikut peringkat umur bawah 14 tahun seramai 666,613 orang, lelaki 341,934 dan perempuan 324,679. Demikian itu, bilangan penduduk dari peringkat umur antara 14 hingga 29 tahun seramai 569,866 orang. Perincian bilangan 289,151 orang darinya adalah lelaki dan perempuan mempunyai bilangan 280,715 orang.

Manakala, kategori peringkat umur antara 30 hingga 40 tahun pula seramai 262,705 orang penduduk. Lelaki berjumlah 132,883 dan perempuan 129,822 orang. Bancian ke atas peringkat umur 45 tahun dan ke atas mendapati golongan ini seramai 214,321 orang. Penduduk di kalangan lelaki berjumlah 103,543 orang dan 110,788 pula dari kalangan perempuan. Sumber 10/10/2011, web berita Safa.ps

Read more...

Netanyahu: Tidak boleh jadikan penempatan halang rundingan

22 Julai 2011

Laporan jam 01:32 pagi, waktu Palestin/Mekah
Jam 12:30 pagi, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Perdana Menteri rejim zionis(Israel), Benjamin Netanyahu(gambar) mengulangi lagi pelawaan kepada Mahmoud Abbas, Presiden Palestin agar kembali ke meja rundingan bersama rejimnya. Dakwa Netanyahu, kerajaannya benar-benar mengimpikan tercapainya persetujuan damai.

Netanyahu menyifatkan bahawa penempatan hanyalah masalah sampingan yang tidak boleh dijadikan batu penghalang kepada rundingan. Menurut kata Netanyahu lagi, masalah itu juga tidak boleh membantutkan rundingan berhubung permasalahan utama.

Jelas Netanyahu bahawa keseluruhan penempatan-penempatan zionis tidak melebihi langsung dari 2% keluasan Tebing Barat, malah penempatan ini tidak akan menggagalkan penubuhan Negara Palestin.

Tambahan lagi, kesemua permasalahan dan isu boleh dibawa berbincang dalam meja rundingan sekiranya rundingan damai diadakan semula. Sambil itu, Netanyahu mendakwa pihaknya bersedia untuk berkompromi semata-mata demi perdamaian.

Hubungan Israel dengan ideologi Islam

Dari sudut lain, Netanyahu berkata ketika diwawancara siaran Al-Arabiah yang disiarkan petang Khamis semalam bahawa tidak menolak kemungkinan boleh bentuk hubungan antara rejim zionis dengan kumpulan-kumpulan ideologi Islam yang menonjol semasa meletusnya revolusi-revolusi Arab, sedemikian itu termasuklah Jamaah Ikhwan Al-Muslimun di Mesir.

Bagaimanapun, Perdana Menteri zionis menjelaskan kesediaannya untuk bertemu dan berdialog dengan mana-mana pihak yang setuju memberi penghormatan ke atas hak kewujudan masyarakat Yahudi dan Negara Israel.

Menyentuh program nuklear Iran, Netanyahu berkata, penyelesaian secara ketenteraan semestinya juga sesuai, di samping hukuman dari sudut ekonomi. Berikutan itu, Iran tidak menghentikan pemprograman nuklearnya melainkan seperti pada tahun 2003 ketikamana Amerika Syarikat mengancam akan melancarkan serangan ketenteraan bagi menentang Iran. Sumber 22/07/2011, web berita Safa.ps

Read more...

Penjajah kekang mogok keluarga tahanan di penjara Ofer

17 April 2011

Laporan asal jam 05.26 petang, Palestin/Mekah
Jam 04.26 petang, Mesir

RAMALLAH - Tentera rejim penjajah telah mengekang satu mogok simpati terhadap para tahanan Palestin di hadapan penjara Ofer Israel yang terletak di barat Ramallah pada waktu tengahari tadi. Mogok yang diadakan oleh para ibu-bapa tahanan turut disertai wakil-wakil rakyat.

Gambar: Pintu masuk penjara Ofer.

Ketika berlangsungnya mogok, tentera rejim menembak gas pemedih mata ke arah para penunjuk perasaan, lalu mengakibatkan seorang pemuda Palestin berumur awal 20an sesak nafas dan tidak sedarkan diri. Dalam kejadian itu, seorang pemuda Palestin yang lain telah ditangkap dan tentera rejim juga cuba menangkap wartawan. Ketika itu juga, berpuluh-puluh lagi ibu-bapa para tahanan, relawan asing dan wartawan dari berbagai-bagai agensi mengalami sesak nafas.

Ahli-ahli parlimen Palestin mewakili gerakan HAMAS dan Palestinian National Initiative yang menyertai mogok membalas dengan menyuarakan tuntutan kepada Pemerintah Palestin Ramallah agar tidak mengendahkan masalah tahanan. Mereka turut mendesak agar Pemerintah Palestin Ramallah berusaha membuat tekanan bagi mendapatkan hak layanan yang baik kepada tahanan-tahanan Palestin dalam penjara.

Seorang ibu yang sertai mogok meminta kedudukan masalah tahanan ini diletakkan dalam agenda kerja kebangsaan. Anaknya, Muhammad Samhan dari Ramallah telah 9 tahun berada dalam penjara setelah dikenakan hukuman penjara sepanjang *hayat.

Gambar(Safa): Para penunjuk perasaan bergelut dengan tentera rejim penjajah berhampiran penjara Ofer.
____________________________________________
Info:

*Hukuman penjara sepanjang hayat - Menurut sumber dari Palestin bahawa hukuman penjara ini bertempoh selama 25 tahun mengikut peruntukan undang-undang Israel. Setelah mencukupi tempoh tersebut, tahanan akan dibebaskan. Tambahan dari sumber menyebut kebanyakan tahanan yang mencukupi tempoh tersebut masih tidak dibebaskan.
____________________________________________

Ibu Muhammad turut mengkritik kerana penduduk Palestin yang hadir mogok bagi menyatakan simpati terhadap tahanan amat sedikit jika dibandingkan dengan kesengsaraan yang dilalui keluarga tahanan ketika mahu melawat anak-anak mereka yang berada dalam penjara. Sepertimana yang telah terjadi, dia menceritakan bahawa tempoh perjalanan untuk melawat anak di penjara Israel di tengah padang pasir Naqab mengambil masa 14 jam.

Sedemikian itu, Dr. Mustafa Barghouti, Presiden parti Palestinian National Initiative menegaskan sewajarnya wakil-wakil Palestin perlu mengambil berat terhadap 6000 tahanan Palestin dalam penjara-penjara Israel, di antaranya 344 kanak-kanak dan remaja, juga wanita dan seorang gadis Palestin berusia 16 tahun berasal dari Awwarta.

Tambah beliau sambil menegaskan lagi, sekurang-kurangnya tindakan yang boleh dilakukan demi tahanan, Pemerintah Palestin tidak sepatutnya mengemukakan apa-apa persetujuan dengan Israel selagimana penjara-penjara tidak dikosongkan dari penduduk Palestin.

Beliau turut mengkritik kerana simpati terhadap para tahanan tidak mendapat sambutan.

Gambar(Safa): Satu sudut para ibu-bapa tahanan, di samping para ibu memegang potret anak mereka yang ditahan dalam penjara Israel.


"Mereka ada hak kerana simpati ini wajar mendapat sambutan yang gemuruh dari penduduk Palestin dan Pemerintahnya..sepatutnya juga, masalah ini mesti menjadi tindakan utama sama ada di peringkat kebangsaan dan antarabangsa agar mereka dibebaskan dengan mengambil dasar kedudukan para tahanan adalah pejuang kebebasan," Kata beliau.

Dr. Mustafa Barghouti menjelaskan bahawa sambutan terhadap masalah ini amat terhad sama ada di peringkat dalaman mahupun antarabangsa. Sumber 17/04/2011, web berita safa.ps

Read more...

Jalan ke arah penubuhan Negara Palestin masih panjang - Rejim penjajah

13 April 2011

Laporan asal jam 01.50 petang, Mesir

AL-QUDS, - Jabatan Perdana Menteri rejim zionis mengatakan bahawa Israel(rejim zionis, rejim penjajah) telah membantu Pemerintah Palestin(Ramallah, Tebing Barat) membaik pulih kedudukan ekonomi dan keamanan di Tebing Barat.

Lapor radio zionis menukil dari kenyataan JPM zionis yang mengulas laporan Pengaman Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) bahawa pemerintah Palestin telah bersedia untuk mengumumkan Negara Palestin sebuah Negara bebas, "jalan untuk mendirikan Negara Palestin masih panjang kerana proses ini bukan terikat dengan masalah persamaan dan pengendalian agensi-agensi Negara sahaja, akan tetapi ia turut berhubung dengan penyelesaian permasalahan yang masih tergantung."

Pautan lain:
(arkib)Permasalahan Penyelesaian Kemuncak

Semalam, laporan PBB mengesahkan bahawa Pemerintah Palestin yang diketuai Presiden Mahmoud Abbas telah menyiapkan persediaan yang besar bagi mentadbir Negara Palestin.

Laporan yang dikeluarkan dari Penyelaras Khas bagi usaha damai PBB di Timur Tengah menyebut, 'pusat operasi PBB di enam buah kawasan yang menjadi agensi-agensi Kerajaan telah memadai untuk menjalankan pentadbiran Kerajaan dengan baik'.

Sebagaimana yang dijadualkan, laporan tersebut akan dipersembahkan pada hari Rabu ketika perjumpaan Badan-badan Jawatankuasa PBB di Brussel yang juga disertai anggota-anggota Negara-negara penyumbang kepada Pemerintah Palestin.

Laporan itu menjelaskan bahawa Pemerintah Palestin dan agensi-agensinya telah bersedia kepada sebuah Negara ketikamana kami turut hampir untuk mencapainya pada september 2011.

Palestin telah mempersiapkan persediaannya bagi menuntut pengiktirafan Negara Palestin dalam Perhimpunan Agung PBB yang dijadualkan berlangsung pada bulan September akan datang. Pengiktiran tersebut merangkumi mana-mana tanah Palestin sebelum perang Julai 1967; di Tebing Barat, Semenanjung Gaza(media lain menyebut Genting Gaza, Jalur Gaza) dan ibu Negaranya iaitu BaitulMaqdis(Al-Quds). Sumber 13/04/2011, web berita safa.ps

Read more...

Relawan Asia 1 harap Mesir lepaskan barang-barang bantuan

05 Januari 2011

Laporan asal jam 04.14 petang, waktu Palestin/Mesir

GAZA - Speaker Majlis Legislatif(perundangan) Palestin, Ahmad Bahr dalam kenyataannya petang tadi menyatakan kepada anggota relawan asia 1 bahawa Kerajaan Palestin di Gaza sentiasa berpegang teguh dengan haknya ke atas tanahair, malah tetap utuh dengan pendirian politik. Sedemikian itu, meskipun

Gambar(Safa): Sidang media Ahmad Bahr di samping anggota relawan yang baru tiba di Gaza.

Ketika sidang media yang diadakan di bangunan Majlis Legislatif di Gaza, Ahmad Bahr dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan anggota relawah asia yang sanggup menempuhi liku perjalanan yang panjang demi dapat tiba di Semenanjung Gaza. Walaupun perjalanan atas nama kemanusiaan, namun ia merupakan tindakan yang berani seumpama mengungkapkan pendirian politik mewakili Negara-negara mereka.

web rasmi asiatogaza
____________________________________
Info konvoi ke Gaza:

1. Seperti yang kami sebut sebelum ini CARAVAN ASIA TO GAZA atau lebih tepat AsiatoGaza merupakan sebuah projek kemanusiaan yang menggabungkan relawan-relawan dari Negara-negara Asia untuk membantu penduduk Palestin di Gaza.
2. Setelah tiba Syria, seramai lebih 100 anggota relawan terbang ke Lapangan Terbang 'Arish, Mesir, dan hanya 8 relawan yang menuju ke pelabuhan El-'Arish, Mesir dengan menaiki kapal Salam.
3. Kapal Salam adalah pengangkutan laut yang membawa barang-barang bantuan konvoi , kemudian memunggah barang-barang bantuan di pelabuhan El-'Arish sebelum dibawa masuk ke Gaza.

4. Maklumat lain, setiap barang-barang bantuan yang akan dibawa masuk ke Gaza adalah melalui persepakatan(penyelarasan) dengan pertubuhan Bulan Sabit Merah. Setiap kos yang melibatkan pengurusan dan sebagainya sehinggalah dibawa masuk ke Gaza adalah di bawah tanggungan pihak yang membawa bantuan.
5. Barang-barang bantuan akan dibawa masuk ke Gaza melalui sempadan(perlintasan) Al-Aujah(tanah jajahan 1948)-Gaza turut melalui penjuru sempadan Mesir. Tidak keterlaluan jika kami sebut, setiap barang bantuan yang akan dibawa masuk ke Gaza juga atas persetujuan dari rejim zionis.
6. Sempadan(perlintasan) Rafah-Gaza hanya dikhususkan untuk laluan keluar masuk pesakit, sambung belajar, delegasi dan seumpamanya. Tidak dikhususkan untuk keluar masuk bantuan kemanusiaan. Jika dibenarkan, hanyalah bersandarkan kepada ketetapan rasmi Negara Mesir atau arahan tertinggi dari pemerintah Mesir.

____________________________________

"Kami atas nama masyarakat Palestin mengucapkan terima kasih kepada relawan asia dengan bantuan perubatan, makanan dan kemanusiaan yang akan dibawa masuk ke Gaza. Sesungguhnya mereka yang mewakili lebih dari 15 buah Negara di asia telah membuktikan kedatangan mereka ini adalah untuk membebaskan Gaza dari sekatan dan membina semula Gaza,"
kata beliau.

Berikutan itu, ahli parlimen tersebut menyatakan sekatan zionis ke atas Gaza masih berterusan.

Jelas beliau lagi, "...datang relawan asia adalah mahu sama-sama menyokong keteguhan kami serta hak-hak suci yang kami miliki, maka kami katakan kepada mereka, sesungguhnya kami sentiasa berpegang teguh di atas hak-hak dan tanah kami sehinggalah Palestin dibebaskan."

Beliau turut berharap agar kunjungan dari relawan-relawan sentiasa diadakan lagi sehinggalah sekatan ke atas Gaza dapat dipatahkan malah dapat membina semula Gaza yang musnah teruk dalam serangan zionis menjelang tahun 2009.

Kesal sikap tidak perikemanusiaan Mesir

Gambar(Safa): "kami tidak tahu waktu bila Mesir akan benarkan barang-barang bantuan dibawa masuk ke Gaza."

Sambil itu, seorang dari anggota relawan, aktivis dari Jepun, kuki Sakuji menyatakan terima kasih ketika ketibaan konvoi disambut besar-besaran tetapi amat menyedihkan Sakuji merasa kesal sikap Mesir ketika mereka berada di atas kapal dan ketikamana tiba di Gaza.

Kuki Sakuji melahirkan rasa amat kesal dengan sikap Mesir yang tidak berperikemanusiaan kerana membenarkan sebilangan besar anggota konvoi memasuki Gaza tetapi sehingga kini tidak membenarkan kemasukan bantuan kemanusiaan, yang meliputi bantuan perubatan, barang mainan kanak-kanak, susu kanak-kanak dan beberapa lagi bantuan kemanusiaan.

"kami tidak tahu waktu bila Mesir akan benarkan barang-barang bantuan dibawa masuk ke Gaza," kata Kuki.

Anggota relawan itu berharap mana-mana individu yang boleh menghulurkan khidmat bagi melepaskan barang-barang tersebut agar berusaha membawa masuk barang-baran bantuan ke Gaza.
________________________________________________
Baca lagi:

1. Tentera laut zionis hadang laluan kapal bantuan 'CARAVAN ASIA TO GAZA'
2. Kapal bantuan CARAVAN ASIA dalam perjalanan ke 'Arish
3. CARAVAN ASIA masuk Gaza

________________________________________________

Cerita di sebalik perjalanan

Mengulas mengenai perjalanan tiba ke Gaza, Kuki Sakuji berkata, "perjalanan laut kami telah diekori helikopter dan kapal-kapal perang zionis, namun hal ini tidak menimbulkan ketakutan bahkan kami merasa kami adalah yang benar."

kami kelapan-lapan relawan dari Negara asia yang berlainan akan mengutuskan mesej kemanusiaan kepada Negara dan masyarakat kami bagi melawan dasar kesombongan hegemoni yang tidak membenarkan barang-barang bantuan kemanusiaan tiba di Gaza, menurut Kuki.

Hasil dari pengalaman sebegini, seorang lagi dari bekas ahli parlimen India, berkata, "Kedatangan kami dari berlainan masyarakat asia di Gaza adalah untuk mematahkan sekatan dan menyatakan gabungan padu dengan masalah yang menimpa Palestin."

Gambar(Safa): Relawan yang menerima penghormatan dari Ahmad Bahr.

Tambah beliau lagi menyatakan yang terus mendokong erat penduduk Palestin yang terkepung di Gaza, "penduduk Gaza telah memahami dengan berdiri teguh sebalik sekatan adalah ini adalah untuk melawan dasar imperialisme zalim dan pembelotan dari Negara-negara barat serta penaklukan zionis." Sumber 05/01/2011, web berita safa.ps

Read more...

Tentera laut zionis hadang laluan kapal bantuan 'CARAVAN ASIA TO GAZA'

02 Januari 2011

Laporan asal jam 01.24 petang, waktu Palestin/Mesir

GAZA - Menurut sumber, tentera laut zionis telah menghadang laluan kapal bantuan 'CARAVAN ASIA TO GAZA 1' yang dalam perjalanan ke pelabuhan El-'Arish, Mesir, pagi tadi.

Menurut web berita pertubuhan yang menguruskan konvoi bahawa tentera laut zionis telah memintas laluan kapal serta menghubungi kapten kapal. Dinyatakan, tentera laut zionis mendesak kapten kapal agar memberikan nama-nama relawan dan maklumat mengenai barang-barang bantuan.

Sementara itu, web agensi berita 'farsnews' Iran versi Arab yang menyatakan hanya lapan relawan sahaja di atas kapal.

Jelas 'farsnews' tentera laut zionis meminta senarai nama relawan yang dijadualkan berlepas ke El-'Arish melalui udara.
_________________________________________________________
Baca lagi:

البحرية الصهيونية تعترض سفينة السلام وتطلب معلوماتٍ عن أعضاء "قافلة آسيا 1
_________________________________________________________

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Pematah Sekatan Penyambut Delegasi di Gaza, Ahmad Yusoff mengesahkan bahawa talian komunikasi dengan jawatankuasa konvoi CARAVAN terputus.

Seperti yang dijadualkan, majoriti besar relawan yang menyertai CARAVAN ASIA TO GAZA akan tiba di Lapangan Terbang El-'Arish tengahari ini.

Ahmad Yusof menjelaskan lagi kepada agensi berita 'Safa' bahawa beliau menjangkakan hanya sebilangan kecil sahaja relawan yang mengiringi kapal membawa bantuan. Tambah beliau, pihaknya belum menerima apa-apa maklumat dari konvoi CARAVAN mengenai nasib mereka.

Semalam, kapal Salam yang membawa barang-barang bantuan konvoi CARAVAN ASIA TO GAZA telah berlepas dari pelabuhan Latakia, Syria dalam pelayarannya menuju ke Gaza melalui pelabuhan El-'Arish di Mesir, kemudian ke Rafah dan seterusnya memasuki Semenanjung Gaza.

Kordinator konvoi CARAVAN ASIA TO GAZA di Syria, Yusof Abbas menjelaskan barang-barang bantuan yang dibawa dalam lingkungan 1000 tan, itu meliputi bantuan makanan, perubatan, kemanusiaan dan selebihnya empat buah ambulan. Sumber 02/01/2011, web berita safa.ps dan pautan ringkas berita Al-Jazeerah

Read more...

SARAYA AL-QUDS bedil tentera zionis

03 Disember 2010

GAZA - Sayap tentera gerakan JIHAD ISLAMI, SARAYA AL-QUDS telah mengumumkan pejuangnya telah membedil perkumpulan tentera rejim zionis berhampiran pos tentera Kissufim yang terletak di timur laut Khan Yunus, selatan Semenanjung Gaza.

SARAYA dalam laporan yang disampaikan kepada agensi berita 'Safa' berkata, pada jam 8.55 malam[waktu Palestin], unit pertahanan SARAYA AL-QUDS telah berupaya melancarkan beberapa serangan peluru mortar ke arah sebuah perkumpulan tentera rejim zionis di tepi menara kawalan tentera Kissufim.

Tambah SARAYA lagi, sebaik sahaja serangan mortar gugur berdekatan tempat zionis berkumpul, tentera rejim terus berundur segera dari lokasi berkenaan.

Di akhir laporan, SARAYA AL-QUDS mengesahkan pihaknya berhak untuk menentang dan menghadang sebarang tentangan dari tentera rejim zionis terhadap penduduk Palestin. Sambil itu, SARAYA berjanji hanya memilih jalan jihad serta penentangan sehinggalah keseluruhan tanah-tanah Palestin yang dijajah dapat dibebaskan semula.

Serangan roket gugur

Sementara itu, radio rejim zionis melaporkan, dua serangan roket mortar telah gugur di kawasan majlis daerah Ushkul, barat Naqab(tanah jajahan 1948) tanpa mengakibatkan sebarang luka parah. Sumber 03/12/2010, web berita safa.ps

Read more...

Israel tangkap ahli parlimen HAMAS

10 November 2010

Awal pagi tadi, sepasukan unit tentera rejim penjajah(zionis) telah menangkap seorang ahli parlimen selaku setiausaha sulit Majlis Legislatif Palestin, Mahmoud Ar-Ramhi yang juga merupakan anggota gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية). Beliau ditangkap ketikamana operasi tentera rejim merempuh rumahnya di bandar Ramallah.

Gambar(al-jazeerah): Mahmoud Ar-Ramhi.

Jelas dari seorang ahli parlimen Legislatif Palestin, Muna Mansour juga dari gerakan HAMAS, beliau(Ar-Ramhi, 48) telah menghubunginya sebaik sahaja rumah Ar-Ramhi dirempuh masuk tentera rejim. Ketika itu, beliau memaklumkan bahwa telah ditangkap rejim zionis. Beberapa detik selepas itu, panggilan dari Ar-Ramhi terputus dan tidak diketahui lokasi Ar-Ramhi di bawa pergi.

Muna menyatakan ketika ditemubual pemberita Al-Jazeerah bahawa rejim zionis menangkap Ar-Ramhi buat kali kali kedua semenjak beliau dipilih menjadi ahli parlimen Legislatif Palestin.

Pada kali pertama penangkapan, Ar-Ramhi ditangkap bersama lebih dari 50 ahli parlimen dan timbalan menteri ekoran operasi pejuang Palestin yang menawan seorang tentera rejim penjajah, Gilad Shalit di Gaza. Sehingga kini, beberapa orang lagi dari ahli parlimen legislatif Palestin masih meringkuk dalam tahanan rejim. Sumber 10/11/10, web berita Al-Jazeerah.net

Read more...

Ceroboh Gaza, pejuang letupkan jentera zionis

GAZA - Rejim zionis terus-menerus menceroboh Semenanjung Gaza. Kejadian pagi ini, pencerobohan zionis secara terhad berlaku di tanah penduduk Gaza di kawasan An-Nadhah, timur bandar Rafah yang terletak di selatan Semenanjung Gaza.[link]

Jelas pemberita 'Safa' bahawa 4 buah jentera perang zionis dan 4 buah jentolak telah menceroboh ke dalam kawasan tanah penduduk Gaza. Bertitik tolak dari sebuah pintu gerbang tentera yang bersempadan dengan Gaza, penceroboh melakukan operasi meratakan tanah dan mengesan di beberapa lokasi berkenaan di Hayyu An-Nahdhah(حي النهضة).

Sumber menjelaskan lagi, jentera perang zionis menghujani tembakan ke arah sebuah menara di Hayyu An-Nahdhah dan kawasan yang berjiran dengannya. Rentetan itu, helikopter tentera zionis juga melepaskan tembakan ke kawasan berkenaan.

Seperti yang dinyatakan, zon yang bersempadanan dari arah timur wilayah itu seringkali menyaksikan pergerakan jentera perang zionis sebelum dan sehingga waktu ini. Pergerakan dan pencerobohan zionis turut seiring dengan tembakan ke arah para peladang(petani) dan rumah-rumah penduduk, malah turut dilakukan operasi meratakan tanah dan membuang tanaman yang telah berbuah. Lebih dari itu, rejim zionis turut menyerodok tanah-tanah yang subur.

Cedera kena tembak

Kejadian lain yang dilaporkan, seorang penduduk yang dikenali tercedera di bahagian kakinya akibat terkena tembakan dari tentera rejim zionis di utara Semenanjung Gaza.

Jurucakap Perkhidmatan Perubatan Ketenteraan, Adham Abu Salmiah berkata, "ketika itu, penduduk yang menjadi mangsa tembakan sedang mengutip kepungan besi dan sisa-sisa runtuhan bangunan akibat serangan penjajah di utara Gaza, lalu tentera rejim zionis telah melepaskan tembakan machine-gun ke arahnya."

Abu Salmiah menambah lagi, mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital Kamal Udhwan. Lukanya dilaporkan ringan.

Zionis tembak rumah-rumah Palestin

Lagi kejadian yang berlaku pagi ini dilaporkan bahawa jentera perang rejim zionis yang berpengkalan di sebuah lokasi ketenteraan 'Kissufim', timur laut bandar Khan Yunus telah melepaskan tembakan senjata berat ke arah rumah-rumah penduduk.

Sumber dari saksi kejadian menjelaskan satu letupan kuat berlaku di lokasi berkenaan malah kelihatan kepulan asap tebal berterbangan. Jelas menunjukkan sebuah dari jentera perang rejim zionis yang berada dalam kawasan pagar pemisah menjadi sasaran letupan itu.

Kata saksi lagi, sebaik sahaja letupan kuat yang berlaku, rejim zionis terus menghujani tembakan secara rambang ke atas beberapa buah rumah dan kawasan lapang di lokasi tersebut. Tambahan lagi, pesawat-pesawat tempur zionis juga berkeliaran dari ruang udara kawasan yang menjadi sasaran tembakan zionis.

Pejuang AL-QUDS letupkan jentolak zionis

Laporan berita pada jam 10.05 pagi, waktu Palestin melampirkan respon balas dari sebuah kumpulan pejuang Palestin.[link]

SARAYA AL-QUDS(sayap tentera gerakan JIHAD ISLAMI) dalam kenyataan rasmi yang disampaikan kepada agensi berita 'Safa' telah menyebut pejuang-pejuangnya berjaya meletupkan peledak ke atas sebuah jentolak tentera zionis. Jelas SARAYA AL-QUDS, operasi itu dilancarkan oleh pejuangnya di selatan menara tentera Al-Ahrash yang terletak di timur Qarara, Khan Yunus, selatan Gaza.

Kenyataan SARAYA AL-QUDS menyebut, ini adalah hak pejuang Palestin bagi menghadang sebarang tentangan zionis yang menyerang penduduk Palestin. Juga turut mengesahkan lagi, pejuangnya memilih usaha 'jihad' dan 'penentangan' sehinggalah keseluruhan tanah Palestin terbebas. Sumber 10/11/2010, web berita safa.ps

Read more...

Bincang ubah Jordan jadi Negara Palestin

08 November 2010

AN-NASIRAH, - Seperti yang dijadualkan, ahli parlimen Belanda berhaluan kanan yang dikenali sebagai penentang Islam, Geert Wilders juga akan turut serta dalam sebuah persidangan Israel yang diadakan pada bulan akan datang. Penyertaan Geert adalah atas undangan dari seorang pelampau zionis, iaitu anggota parlimen Knesset, Aryeh Eldad dari parti National Union.

Gambar(safa): Wilders, kanan dan Eldad di sebelah kiri.

Menurut akhbar 'Haaretz' versi hebrew(Ibrani), persidangan bersama yang diadakan itu bertujuan untuk membincangkan rancangan bagi mengubah Jordan kepada sebuah Negara bangsa kepada masyarakat Palestin. Di samping itu, juga menolak cadangan penyelesaian konflik dengan penubuhan dua buah negara bagi dua bangsa yang menetapkan penubuhan Negara Palestin di tanah-tanah Palestin di Tebing Barat.

Persidangan yang bakal dihadiri anggota-anggota parlimen Knesset dari haluan kanan dan kiri akan membincangkan baik buruk perubahan Jordan kepada sebuah Negara bagi masyarakat Palestin serta melenyapkan asas penyelesaian konflik, dua buah Negara untuk dua bangsa.

Wilders benci Islam

Sebelum ini, ahli parlimen Belanda, Geert Wilders (gambar) yang amat membenci Islam dan muslimin telah menggesa agar melarang pembinaan masjid di Belanda malah menyebarkan sebuah filem(fitna) yang menghina Rasulullah SAW. Tindakan Wilders telah membangkitkan kemarahan umat Islam yang melebihi 1 bilion dari seluruh dunia.
______________________________________________________
Pautan lain:

1. The National Union Israel(wikipedia)
2. Pemimpin Belanda hina al-Quran
3. Klip Youtube(fitna) atau search 'fitna' dalam youtube.com
4. Aryeh Eldad

______________________________________________________

Aryeh Eldad(gambar:wikipedia) telah menjelaskan bahawa persidangan akan datang adalah demi mempersembahkan rancangan dan strategi-strategi bagi menentukan Jordan diubah menjadi Negara Palestin. Demikian itu, cadangan dan rancangan penyelesaian konflik dengan penubuhan dua buah Negara untuk dua bangsa sudah pasti mengancam kewujudan masyarakat Israel dan Negaranya, ungkap anggota Knesset itu.

Berikutan itu, "ahli parlimen Belanda, Geert Wilders telah dijemput ke persidangan terbabit sebagai salah seorang pendokong kuat bagi penubuhan Negara Palestin di Jordan," kata Eldad lagi. Sumber 08/11/2010, web berita safa.ps

Read more...

Zionis bedil Gaza

14 September 2010

GAZA - Sumber melaporkan pada petang ini, artileri rejim zionis telah mengebom kawasan pelupusan sampah yang terletak di tenggara Hayyu Zaitun dengan beberapa tembakan.

Gambar(safa): Seorang penduduk Gaza yang mengalami luka parah akibat serangan zionis telah dibawa ke hospital.

Penyelaras Media Perubatan, Adham Abu Salimah menyatakan kepada agensi berita 'Safa' bahawa seorang penduduk Gaza mengalami luka parah akibat serangan artileri zionis telah dibawa ke hospital Shifak.

Menurut saksi yang juga penduduk di kawasan berkenaan berkata, 'beberapa buah kereta kebal zionis yang berpengkalan sementara di garisan sempadan telah mengebom kawasan pertanian berhampiran tempat pelupusan sampah serta mengakibatkan letupan kuat.'

Saksi lain menjelaskan bahawa pejuang Palestin turut melancarkan serangan roket RPG ke arah kereta kebal. Namun sebentar tadi, beberapa buah pesawat rejim zionis, helikopter Apache dan pesawat tanpa pemandu berlegar-legar di ruang udara kawasan berkenaan. Kereta kebal rejim zionis turut dilaporkan menghujani lokasi berkenaan dengan tembakan machine-gun.

Sehingga kini, pada jam 05.26 petang waktu Mesir, sumber safa melaporkan bilangan penduduk yang parah akibat serangan zionis meningkat kepada 4 orang mangsa. Sumber 14/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Perez bertemu Amru di Itali

04 September 2010

AL-QUDS, - Sumber melaporkan, Presiden rejim zionis(Israel), Simon Perez telah bertemu dengan Amru Moussa, Setiausaha Agung Liga Arab semasa persidangan ekonomi di salah sebuah pusat peranginan di utara Itali.

Semalam, Perez dalam ucapannya menerangkan bahawa rundingan damai secara langsung(bersemuka) antara perundin Palestin dengan Israel yang baru dilancarkan itu adalah permulaan sebuah harapan.

Amru Moussa yang menyambut baik perkembangan terkini Timur Tengah meyakini bahawa rundingan damai antara dua belah pihak berkenaan adalah yang terakhir. Sumber 04/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Rejim zionis permudahkan memiliki senjata

01 September 2010

AN-NASIRAH, - Menteri Dalam Negeri zionis(Israel), Eli Yishai telah mengeluarkan taklimat agar memudahkan pemberian lesen kepada warga Yahudi di Tebing Barat untuk memiliki senjata. Taklimat yang dikeluarkan pada hari ini berikutan operasi 'banjir api' yang dilancarkan oleh pejuang Palestin KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM yang membunuh empat warga Yahudi semalam.

Menurut web berita 'Yediot Ahronot' versi hebrew(Ibrani), keputusan itu dikeluarkan setelahmana pemeriksaan yang dijalankan mendapati lesen pemilikan senjata telah dilucutkan dari salah seorang warga Yahudi yang mati dalam serangan berani pejuang Palestin.

Taklimat dari Yeshai turut meminta kepada pihak berautoriti supaya mengawal keselamatan penempatan Yahudi serta meningkatkan penggunaan senjata dan membekalkan teropong binokular kepada warga yahudi yang boleh melihat pada waktu malam. Hal tersebut, bertujuan untuk menjaga keselamatan dan penyelenggaraan penempatan Yahudi di Tebing Barat. Sumber 01/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Karikatur: Rundingan damai esok

Rundingan damai

Menjelang rundingan damai yang akan berlangsung pada 02 September 2010 di Washington. Perunding Palestin Ramallah akan bertemu dengan pesaingnya dari kumpulan perundingan rejim zionis.

Sumber karikatur, web berita Al-Jazeerah

Read more...

HAMAS tingkat keupayaan serangan roket - Media Israel

31 Ogos 2010

AL-QUDS, - Sebuah media Israel 'Yediot Ahronot' melaporkan hari ini bahawa gerakan HAMAS di Semenanjung Gaza telah meningkatkan keupayaan roket buatan tempatan yang mampu menjangkau hampir 80 kilometer(km) jarak serangan.

Gambar(arkib safa): Sekatan Israel ke atas Gaza juga didakwa untuk mengekang pembuatan senjata di Gaza.

Jelas akhbar tersebut, sejak akhir-akhir ini HAMAS telah melakukan beberapa siri ujian peluru roketnya, iaitu FAJAR sejauh hampir 80 km dan ia merupakan roket yang lebih terkini.

Alex Feshman, seorang penganalisis ketenteraan Israel menyebut kepada media Israel, 'ujian yang dijalankan HAMAS berjaya dan menunjukkan beberapa bulan akan datang, tiba pula peringkat untuk penghasilan dan pengeluaran peluru roket jarak jauh sehingga mencecah ke Kafar Saba, Ra'anana, Hertzeliya, atau Kafar Shamarayaho.'

Peta di sebelah menunjukkan kedudukan bandar utama rejim zionis, Tel-Aviv.

Jelas Alex lagi, "pada dekad ini, perkembangan kemajuan yang ketara dicapai oleh HAMAS dalam sektor roket telah menimbulkan kebimbangan kepada Israel malah ia menjadi ancaman yang cukup nyata, mungkin dalam waktu terdekat ini, peluru roket HAMAS akan mengancam Tel-Aviv serta keseluruhan bandar-bandar besar yang berada di sekitarnya."

Yediot Ahronot menyebut, "jika kita melihat realiti sebenar, pada permulaan kemunculan roket Al-Qassam yang digunakan HAMAS pada 10 tahun yang lalu, jaraknya tidak pun mencecah 1.5 kilometer, tetapi hari ini apa yang kita lihat adalah lonjakan teknologi yang semakin berkembang serta nampak perubahan yang berlaku."

Menurut Yediot lagi, "sekiranya perkembangan roket HAMAS ini terus berterusan seperti yang ditunjukkan sekarang, maka tidaklah ia mengambil waktu yang lama sehingga HAMAS dapat mensasarkan lokasi serangannya yang terletak di kawasan utara Tel-Aviv."

Media Israel tersebut turut menyatakan, ketika ini, peluru roket yang dimiliki HAMAS iaitu model FAJAR-5 dapat menjangkau jarak serangan sejauh 70 km.

Lakaran peta(arkib): Peta sebelah menunjukkan anggaran kemampuan serangan roket pejuang Palestin ketika perang lalu - akhir Disember 2008, awal Januari 2009 - yang mampu mencecah sejauh 45 km. Ada penganalisis perang yang membuat bacaan bahawa barangkali pejuang Palestin di Gaza ada memiliki roket jarak jauh dari anggaran yang dibuat, dan sudah tentu akan mengancam tempat dan lokasi utama di Israel.

Sesungguhnya roket-roket HAMAS yang lebih terkini serta jarak jauh adalah hasil kemajuan cemerlang saintis yang berkhidmat dengan HAMAS. Malah, kemajuan itu turut dibantu Pusat-pusat kajian Arab dari berbagai Negara di Timur Tengah, dakwa Yediot Ahronot. Sumber 31/08/2010, web berita safa.ps

[MAP] Pihak MAP tidak berniat untuk menimbulkan apa-apa tanggapan berdasarkan laporan dari media Israel yang melaporkan tentang perkembangan roket pejuang Palestin di Gaza, sinonim dengan gerakan HAMAS. Tetapi, memandangkan situasi yang berlaku, maka MAP rasa perlu lampirkan juga untuk merancakkan bacaan politik kerana ia menyentuh 'sekatan Israel ke atas Gaza'. Kami menyimpulkan, laporan media Israel ini kepada beberapa isu yang berkait:

1. Sekatan Israel ke atas Gaza

Setelah tragedi buruk serangan berdarah yang menimpa freedom flotilla pada 31 Mei 2010, maka seluruh dunia menyergah Israel serta memaksa Israel mengambil tindakan dengan mengeluarkan ketetapan untuk melonggarkan sekatan, meskipun dia tidak bertindak sebagaimana yang dia perkatakan. Dalam masa yang sama, Mesir turut membuka sempadan Rafah. Namun, untuk memperketatkan semula sekatan, maka Israel perlukan alasan dan sebab. Lalu, Israel kemukakan laporan-laporan mengenai perkembangan serangan roket dan ancaman pejuang Palestin ke atasnya. Dalam hal ini, rejim zionis membuat perencanaan supaya apa-apa yang timbul memberikan keuntungan kepadanya. Kemungkinan selepas ini, rejim zionis akan menghadkan semula barangan-barangan ke Gaza atau mengurangkan kemasukan trak, treler atau lori membawa bantuan ke Gaza. Di samping itu, bekalan elektrik Gaza juga akan berkurangan walaupun pada sediakala telah berkurangan kerana alasan Israel terancam.

Begitu juga, terowong-terowong bawah tanah yang kini terus diburu Pihak Keselamatan Mesir dari semasa ke semasa. Laporan terkini, kempen pengoperasian terus rancak bagi melenyapkan jalan-jalan masuk ke Gaza melalui bawah tanah kononnya mengekang penyeludupan senjata ke Gaza. Apabila menyentuh keamanan Israel, maka pengoperasian ini akan lebih digiatkan walaupun pada hakikat kebanyakan terowong digunakan untuk menyalurkan barang-barang keperluan penduduk Gaza. Tambahan pula, apa yang membimbangkan adalah tembok keluli yang diharapkan menjadi benteng menghalang aktiviti terowong bawah tanah telah ditembusi.

2. Kelemahan sistem pertahanan udara Israel

Tidak dapat dinafikan, walaupun Israel mempunyai kelengkapan logistik peperangan yang canggih, namun ruang udaranya masih terdedah kepada serangan roket pejuang Palestin. Dalam analisis yang dibuat oleh Safwat Zayyad, seorang penganalisis ketenteraan membuat penilaian kemampuan ketenteraan pejuang Palestin Gaza. Lebih menonjol adalah serangan roket yang begitu menakutkan Israel. Rejim zionis telah berkali-kali menjalankan eksperimen dan ujian-ujian bagi menentang serangan yang datang dari arah Gaza, tetapi kos belanja terlalu tinggi sehinggakan memaksa Presiden Amerika Syarikat memohon peruntukan dari kongres Amerika untuk menampung belanja sistem pertahanan, sama ada tembakan laser atau peluru penangkis roket. Berikutan itu, rejim zionis juga menerima tekanan dalaman kerana tidak mampu mempertahankan keamanannya. Maka, dengan laporan sedemikian boleh menjadi bantuan tambahan(+ sokongan) mengalihkan isu sebenar serta pihak antarabangsa akan terus menyokong Israel zionis. Kesannya, sekatan akan terus meningkat ke atas Palestin di Gaza. Lebih-lebih lagi dari sudut politik.

Namun, jika laporan Israel itu hampir tepat atau memang HAMAS telah berupaya meningkatkan keupayaan roketnya, barangkali Safwat Zayyad turut menyokong laporan itu kerana berdasarkan kemampuan HAMAS ketika perang tahun lalu yang memiliki roket jenis grad jarak jauh dan sehingga kini pun, HAMAS mampu mempertahankan Semenanjung Gaza dari ancaman-ancaman zionis.

3. Keselamatan serantau

Sekatan laut, sempadan-sempadan Negara yang berjiran, laut teluk dan udara terus tertakluk kepada perjanjian keselamatan yang dimeterai oleh bekas Menteri Luar Israel, Tsipi Livni dan Condolezza Rice, bekas Menteri Luar US semasa di akhir Israel zionis menyerang Gaza tahun lepas. Perjanjian tersebut mengawal semua laluan masuk ke Gaza dengan peruntukan undang-undang yang menyulitkan. Tidak mustahil, jika barat akan mengawal pergerakan NGO-ngo yang dianggap kumpulan sokongan kepada Gaza dan juga disebut oleh zionis Israel kumpulan sokongan yang membantu HAMAS.

Read more...

Persidangan Yahudi menjelang rundingan damai

Sumber melaporkan, Persidangan Yahudi Antarabangsa ke 14 telah diadakan hari ini di Al-Quds. Persidangan yang diadakan itu menggabungkan pertubuhan-pertubuhan pro-zionis menjelang rundingan damai secara langsung antara perunding Palestin dengan Israel 2 September akan datang.

Dari sudut penyertaan, sumber menyebut hampir 200 wakil-wakil Yahudi seluruh dunia hadir ke persidangan ini yang berlangsung selama dua hari.

Sementara itu, tokoh-tokoh penting Yahudi, termasuk yang dikatakan terselamat dari kejadian 'holocaust', iaitu Elie Wiesel seorang penulis dan turut serta bekas Perdana Menteri Sepanyol, José María Alfredo Aznar López(gambar) dan beberapa lagi ahli politik Israel.
_____________________________________________
Baca lagi:

_____________________________________________

Persidangan tersebut akan membincangkan mengenai "mempertahankan Israel dalam jaringan internet" dan cara berhadapan "serangan ke atas hak kewujudan Israel".

Seperti yang disebutkan, Persidangan Yahudi Antarabangsa itu dianjurkan oleh Kesatuan Pertubuhan-pertubuhan Yahudi yang menggabungkan lebih 70 buah pertubuhan Yahudi dari lebih 70 buah Negara. Kesatuan tersebut yang menjadi penyokong perencanaan gerakan zionis sehingga tertubuhnya Negara Israel(Negara haram Israel). Sumber 31/08/2010, web berita Al-Jazeerah

Read more...

Pakar Mesir sokong perunding Palestin

KAHERAH - Sumber diplomasi dan keselamatan Mesir mendedahkan pada hari ini bahawa Pemerintah Palestin Ramallah meminta bantuan dari sudut kepakaran Mesir untuk berunding dengan Israel. Berikutan itu, sebuah panel penasihat Mesir akan dibentuk bagi membantu perunding Palestin ketika rundingan damai bersemuka antara perunding Palestin dengan Israel berlangsung.

Seperti yang dijadualkan, 2 September pada hari Khamis ini, bermulanya rundingan damai secara langsung antara kedua belah pihak di Washington.

Akhbar-akhbar Mesir yang menukilkan dari sumber tersebut menyatakan bahawa beberapa buah jabatan dalam Kerajaan Mesir sedang sibuk berusaha memilih anggota delegasi Mesir yang memiliki bidang penkhususan dalam setiap ruang rundingan dalam permasalahan-permasalahan yang bakal diperbincangkan ketika rundingan.

Akhbar Mesir(tidak dinyatakan) menjelaskan bahawa ada sekumpulan yang terdiri dari ahli-ahli akademik Mesir, Palestin yang menetap di Eropah dan Amerika Syarikat(US) akan mengemukakan perbincangan secara khusus kepada perunding Palestin ketikamana rundingan itu berlangsung antara perunding Palestin dengan Israel.

Sebagaimana dinyatakan lagi, Mesir dan Jordan bertekad memberikan beberapa cadangan dan pelan tindakan ketika pertemuan pendahuluan rundingan secara bersemuka.

Cadangan tersebut pada awal pendahuluannya mengemukakan pandangan Arab kepada pentadbiran US, Barrack Obama. Pandangan itu yang mengkhususkan kepada permasalahan Al-Quds, pelarian, air dan sempadan agar diambil perhatian ketika membuat ikrar mengenai usaha penyelesaian yang menyamakan isu.

Disebutkan bahawa Kaherah beranggapan pandangannya seumpama rujukan sandaran kepada delegasi Palestin yang tidak boleh diundurkan. Lebih-lebih lagi yang berkait dengan Al-quds dan pelarian meskipun pada awalnya ada cambahan ketetapan yang fleksibel mengenai permasalahan pelarian, namun ketetapan itu merasa cukup dengan kembalinya pelarian Palestin dari Lubnan. Sumber 31/08/2010, web berita safa.ps

Read more...

Mashaal bincang dengan Amir Qatar

29 Ogos 2010

DOHA - Ketua Biro Politik HAMAS, Khaled Mashaal mengadakan lawatan rasmi ke Negara Qatar bagi mendapatkan penelitian berhubung perkembangan terkini isu-isu Palestin bersama pemimpin politik Doha.

Gambar(arkib): Amir Qatar, kanan dan Khaled Mashaal, kiri ketika pertemuan yang lalu.

Kunjungan Mashaal ke Doha adalah ketikamana pengumuman mengenai pelancaran rundingan damai secara bersemuka antara perunding Palestin dengan Israel pada 2 September akan datang di Washington, Amerika Syarikat(US).

Sumber media rasmi Qatar menyebut sebagaimana yang dilaporkan oleh akhbar 'Al-Sharq' Qatar bahawa Amir Negara Qatar, Syeikh Hamad Bin Khalifah II telah mengadakan pertemuan dengan Khaled Mashaal semalam.

Dalam pertemuan tersebut, Mashaal mengemukakan kepada Amir Qatar beberapa isu dan perkembangan terkini dalam arena politik Palestin. Namun, media rasmi Qatar tidak memperincikan perbincangan antara kedua belah pihak. Sumber 29/08/2010, web berita safa.ps

Read more...

Karikatur: Ragam rundingan damai

28 Ogos 2010

Sama ada hidup atau mati, Arab dipaksa hadir ke pelancaran rundingan damai
secara bersemuka antara perunding Palestin -Israel di Washington pada 2 September ini.

Sumber karikatur, web berita Palestine 1948(Pls48)

Kanan, rundingan sulit. Tengah rundingan secara tidak langsung dan
kiri rundingan secara langsung(bersemuka).

Read more...

Parah ditembak zionis

GAZA - Seorang penduduk Palestin mengalami luka parah di kawasan pagar keselamatan di Bet Hanoun yang terletak di utara Semenanjung Gaza.

Menurut penjelasan dari Pengerusi Bantuan Cemas, Dr.Muawiyah Husnain kepada agensi berita 'Safa', berkata, "pasukan penyelamat telah membawa seorang pemuda, Sharif Said Gabn dalam linkungan umur 20-an yang parah ke hospital Kamal Udhwan, utara Gaza."

Sehingga kini, keadaannya disifatkan pertengahan.

Menurut saksi, "tentera rejim zionis yang menembak pemuda itu ketika sedang mengumpul kepingan besi."

Sumber berita melaporkan, sejumlah penduduk Gaza menjalankan rutin harian yang bekerja mengumpul kepingan besi di kawasan yang berdekatan dengan garisan sempadan. Walaupun kerap kali menjadi sasaran tembakan dari tentera zionis, mereka tetap menjalankan kerja pengumpulan kepingan besi dan memecahkan batu batu sebagai sumber rezeki menyara keluarga. Sumber 28/08/2010, web berita safa.ps

Read more...
widgeo.net

anjung pavilion

Free counter and web stats Politics Top Blogs Politics Blogs - Blog Top Sites
Journalist Blogs - Blog Catalog Blog Directory

 Subscribe in a reader

download juice, the cross-platform podcast receiver

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates .com 2008

Kembali ke ATAS