الإنتفاضة الفلسطينية الثالثة Third Palestinian Intifada
Revolusi Timur Tengah

Mungkin resapan revolusi Arab di Timur Tengah khususnya Mesir(مصر) mampu membantu Palestin? Sempena Nakbah(detik malang) tahun ke-63, Palestin masih seperti ketikamana dijanjikan sebuah 'Negara', namun tanah-tanah Palestin yang dirompak tersergam dengan binaan rumah perompak dan perampas. Tidak melampau jika menyebut ini adalah simbol keganasan moden rejim zionis. Waktu ini, penjajah sedang menari kegirangan kerana dapat berdiri teguh setelah melanyakkan Palestin dan memperdayakan dunia.


Laporan menarik:

Photobucket

√ Perjalanan Fahima(wanita Israel) mencari Islam

√ Barat runtuh dengan keruntuhan Israel - Aznar

√ Pembebasan tahanan Palestin peringkat kedua

Catatan 'ما بعد الثورة 25 يناير':


24 Jun 2012

- Pengerusi Suruhanjaya Tertinggi Pilihanraya, hakim Farouq Sultan mengumumkan Dr. Muhammad Morsy memperolehi pungutan suara sebanyak 13,230,131 yang dinisbahkan kepada 51.7%, manakala Ahmad Shafiq pula mendapat pungutan suara sebanyak 12,347,380 nisbah kepada 48.3%.


Dengan demikian, Dr. Morsy dipilih sebagai Presiden baru Mesir selepas revolusi 25 Januari.


29 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar.

- Dr. Muhammad Morsy menyampaikan ucapan rasmi kepada rakyat Mesir di Dataran Tahrir(Tahrir Square) sempena himpunan juta yang dinamakan 'Penyerahan Kuasa'. Di hadapan himpunan, Dr. Muhammad Morsy turut mengangkat sumpah.


30 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy mengangkat sumpah di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah yang terdiri daripada 18 orang hakim besar. Secara rasminya, Dr. Muhammad Morsy ditabalkan jawatan Presiden Republik Arab Mesir selepas memperolehi kemenangan dalam pemilihan(pilihanraya) Presiden peringkat ulangan.

- Presiden menyampaikan ucapan di Universiti Kaherah. Beliau turut mengangkat sumpah di hadapan para hadirin yang dijemput khas.

Tentangan dan serang balas, 20 Jun 2012:


- [Kemaskini] Pejuang menghentam lagi lokasi-lokasi Israel

- Dua cedera, pesawat zionis mengebom Bayt Lahiya

- [Kemaskini] Empat cedera dua buah lokasi AL-QASSAM dibom F-16

- Anak syahid, ayah dan beberapa orang lagi cedera

- Kebakaran, tiga dilanda histeria dalam pengeboman pejuang Palestin

- [Kemaskini] Syahid, dua cedera sasaran serangan udara zionis di Rafah

- Cedera, zionis lancar lagi serangan di Gaza

- 4 tentera zionis cedera akibat serangan roket di Ashkelon

Memaparkan catatan dengan label Negara Palestin merdeka. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Negara Palestin merdeka. Papar semua catatan

Ashton ke Timur Tengah hidupkan proses damai

12 Ogos 2011

Laporan jam 02:47 pagi, waktu Mekah/Palestin
Jam 01:47 pagi, waktu Mesir

Sumber dari ahli diplomatik Kesatuan Eropah(EU) memaklumkan pada hari Khamis bahawa Catherine Ashton, wakil Badan Tertinggi Hubungan Luar dan Polisi Keselamatan EU akan mengadakan kunjungan ke Israel dan tanah Palestin di bulan ini.

Gambar: Catherine Margaret Ashton

Sedemikian itu, kunjungan berkenaan adalah detik-detik akhir bagi mendorong usaha damai sebelum pungutan suara menentukan penubuhan negara Palestin yang dijangka berlangsung dalam Perhimpunan Agung PBB.

Ashton berharap dapat memainkan peranan yang lebih berkesan bagi pihak EU berhubung proses damai yang terhenti masa ini di Timur Tengah serta menyeru meningkatkan usaha diplomatik barat di rantau ini.

Kata diplomat berkenaan, "beliau(Ashton) mahu kembali ke Timur Tengah dalam masa terdekat ini kerana ingin meneruskan usaha memujuk kedua belah pihak(Palestin - Israel) agar kembali ke meja rundingan dan meneliti perasaan kedua belah pihak."

Sebagaimana dijadualkan, kunjungan Ashton mendahului Perhimpunan Agung PBB pada September ini, kemungkinan besar wakil-wakil Palestin akan meminta untuk pengundian penubuhan negara Palestin jika rundingan damai tidak dapat disambung semula.

Bendera Kesatuan Eropah

Secara meluas jika melihat kepada potensi untuk Palestin dan Israel kembali ke meja rundingan pada masa terdekat ini adalah sangat tipis. Diplomat-diplomat barat memberi amaran bahawa pungutan suara di PBB hanyalah meningkatkan ketegangan antara kedua belah pihak.

Ashton turut bimbang pungutan suara di PBB kelak akan mendedahkan perpecahan yang mendalam di kalangan kerajaan-kerajaan EU khususnya berkait dengan pendirian mereka di Timur Tengah. Jelas lagi, Menteri-menteri luar EU akan membincangkan mengenai pendirian EU di Polland dalam bulan September akan datang.

Kedudukan Negara-negara Kesatuan Eropah

Nyata diplomat barat, "Ashton akan pergi ke Timur Tengah sebelum diadakan pertemuan-pertemuan seterusnya dengan Menteri-menteri luar EU." Sumber 12/08/2011, web berita Al-Jazeerah.net

Read more...

Diplomat Barat: Penerimaan UN Palestin sebuah negara mendatangkan bahaya kepada hubungan US-PA

11 Ogos 2011

Kerjasama antara Amerika Syarikat(US) dan Pemerintah Palestin Ramallah(PA) berada dalam bahaya jika Palestin meneruskan hasrat untuk menuntut pengiktirafan wilayah Palestin dari PBB(UN) dalam sesi mesyuarat yang akan diadakan pada bulan September nanti, menurut seorang diplomat barat kepada pemberita Israel pada hari Rabu di Tel-Aviv.

“Jika PA pergi ke mesyuarat itu, agak susah bagi kami untuk meneruskan hubungan seperti sebelum ini terutama dalam isu bantuan dan latihan keselamatan. Kami mahu meneruskan kerjasama ini namun ianya akan menjadi lebih susah. Bagi pandangan kami,lebih senang untuk bekerjasama sebagai rakan kongsi,” kata diplomat terbabit, US cuba sedaya upaya untuk mengelakkan konfrontasi dari pihak PA dalam mesyuarat PBB di bulan September nanti.

Kata diplomat itu lagi, “kami berusaha sedaya upaya untuk meyakinkan Palestin bahawa matlamat mereka itu hanya boleh dicapai melalui rundingan," tambah beliau, "kami juga memaklumkan kepada mereka bahawa rancangan mereka itu tidak akan berjaya, mereka tidak akan memperoleh hasil sedikit pun dengan mengelakkan dari rundingan.”

Diplomat berkenaan juga merujuk kepada panggilan yang dibuat baru-baru ini oleh Menteri Luar Israel, Avigdor Liebermen kepada Israel untuk memutuskan hubungan dengan PA. Beliau juga menyeru kedua belah pihak untuk meneruskan kerjasama dari sudut keselamatan(penyelarasan keselamatan) dan mengelakkan perkara yang boleh mencetuskan sebarang kekacauan.

Demikian itu, diplomat terbabit berkata, “kami akan menyeru semua pihak untuk mengelakkan sebarang pertumpahan darah berlaku pada September nanti," jelas lagi, "kerjasama keselamatan antara kedua belah pihak amat memberangsangkan dan kami mahu ianya berterusan. Inilah yang dipersetujui antara Israel, US dan PA. Kami akan pastikan pencapaian ini tidak hilang.”

Pada hari Rabu juga(semalam), Presiden Israel, Shimon Peres bertemu dengan 26 orang tetamu yang terdiri daripada Dewan Perwakilan Amerika Syarikat(salah satu dari dua dewan dalam Kongres US) mewakili Parti Demokrat US.

Gambar(wikipedia): Presiden Israel, Shimon Peres.

Kata Peres, “untuk mencapai kesepakatan dalam hal ini adalah amat sukar, namun saya percaya bahawa ia mampu dicapai,” tambah Peres, "PA mahu meneruskan rancangan mereka tetapi mereka sendiri tidak pasti jika ini adalah jalan yang terbaik."

"PBB tidak mampu memberikan jawapan tentang bagaimana untuk menghentikan keganasan antarabangsa, terutama yang berlaku di Iran. Pengiktirafan Palestin dari PBB tidak memberi makna apa pun, bahkan ia cuma akan memanjangkan konflik yang sedia ada. Saya berharap kedua belah pihak akan berunding sebelum menjelangnya September,” kata Peres lagi.

Laporan berita ini telah disiarkan oleh sebuah web berita Israel versi english 'Haaretz' pada 10/08/2011.

Read more...

Al-Risheq: hubungi untuk temukan HAMAS dan FATAH

31 Julai 2011

Laporan jam 08:12 malam, waktu Palestin/Mekah
Jam 07:12 malam, waktu Mesir

DAMSHIK - Seorang dari anggota Biro Politik HAMAS, Izzat AlRisheq(gambar, seperti termaktub dalam facebook) telah mendedahkan gerakan HAMAS dan FATAH telah beberapa kali menghubungi antara satu sama lain pada waktu ini bagi mengadakan pertemuan dalam terdekat.

Pertemuan tersebut demi untuk memantau dan meneliti perkembangan dokumen-dokumen baik pulih hubungan dalaman Palestin yang telah ditandatangani di Kaherah.

Menukil kenyataan Al-Risheq dari 'Pusat Media Palestin' hari ini, kata beliau, "pertemuan kedua-dua pihak ini akan memfokuskan perbincangan berhubung dokumen PLO serta struktur pimpinan, dokumen badan keselamatan dan tahanan politik, dokumen pilihanraya, dan begitu juga dokumen penyelesaian faktor-faktor perpecahan."

Berhubung dokumen pembentukan kerajaan sementara, beliau berkata, "sehingga sekarang ini, tidak ada perkembangan terbaru dalam dokumen bentuk kerajaan," tambah beliau, hal sedemikian disebabkan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas masih nekad mencalonkan satu-satunya pilihan bagi mengetuai kerajaan iaitu Salam Fayyad. Tambah Al-Risheq, "perkara inilah yang menggagalkan perlaksanaan hasil dari persepakatan Kaherah antara dua gerakan ini."

Susulan itu, kata beliau, "tidak dapat dipastikan lagi hingga saat ini berhubung jadual pertemuan ini, sama ada tempat dan masanya."

Seperti yang dinyatakan, delegasi gerakan HAMAS yang telah berkunjung ke Beirut pada 25 dan 26 Julai 2011(Isnin dan Selasa) mendedahkan mengenai pertemuan-pertemuan terdekat ini antara kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin di Kaherah untuk menyempurnakan usaha baik pulih hubungan dalaman Palestin, namun mereka mempamerkan tindakan berjaga-jaga ekoran wujudnya suasana yang membantutkan usaha baik pulih sebelum tercapainya pengumuman negara Palestin pada September ini. Sumber 31/07/2011, web berita Safa.ps dan hamasinfo

Read more...

[Karikatur] Zionis ancam batalkan Perjanjian Oslo

Sumber karikatur, web berita Al-Jazeerah

"Pilihan pertama, kedua dan ketiga .. kita akan terus di meja rundingan, jika gagal, kita akan beralih ke PBB pada September akan datang untuk mengadu permasalahan dan bagi menuntut hak kita, iaitu mendapatkan pengiktirafan 'Palestin' sebuah negara merdeka ," kata Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.

Negara Palestin merdeka sebagaimana yang dituntut oleh Palestin adalah mengikut garis sempadan tahun 1967 yang meliputi Tebing Barat dan Semenanjung Gaza(media lain menyebut Tebing Gaza, Genting Gaza, Jalur Gaza). Sehingga kini, menurut Presiden Abbas, 122 buah negara telah menyatakan bersedia mengiktiraf Negara Palestin, namun Amerika Syarikat(AS) dan Negara Eropah, antaranya Britain tidak bersedia memberi pengiktirafan tersebut. AS dan negara-negara Eropah yang berkenaan terus menekan Palestin agar tidak bertindak sebelah pihak tanpa mendapat restu dari rejim penjajah untuk menubuhkan negara Palestin. Malahan AS juga mengancam untuk tidak memperuntukkan lagi pembiayaan kepada PBB, pada masa yang sama Pemerintah Palestin di Ramallah bergelumang dengan krisis ekonomi/kewangan sehingga menjejaskan pembayaran gaji kepada para pekerja ekoran bantuan kewangan luar yang terbantut.

Keadaan ini terus ditekan oleh rejim zionis supaya Palestin tidak bertindak sebelah pihak sambil menyeru untuk adakan semula rundingan damai, namun tanpa syarat. Bagaimanapun, Palestin memberi jawab balas supaya hentikan terlebih dahulu pembinaan perumahan dan penempatan warga zionis di Tebing Barat dan di Baitul Maqdis Timur. Melihat kepada nekad Palestin, rejim zionis mengancam lagi dengan pembatalan perjanjian damai Oslo. Pun begitu, wujud suara-suara lain yang meminta agar mengutamakan prioriti, iaitu melaksanakan terlebih dahulu perjanjian baik pulih hubungan dalaman Palestin, antara gerakan HAMAS dan FATAH sebelum menuntut penubuhan sebuah negara merdeka kerana melihat penting kepada paduan kekuatan dalaman.

Peta Palestin

Tanah-tanah yang berbaki kepada Palestin

Read more...

PBB: Konflik Israel-Palestin dalam 'kebuntuan yang mendalam'

26 Julai 2011

Laporan jam 08:37 malam, waktu Palestin/Mekah
Jam 07:37 malam, waktu Mesir

Oleh: DPA

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) mengakui hari ini bahawa proses dari sudut politik untuk menyelesaikan konflik Israel-Palestin berada dalam 'kebuntuan yang mendalam dan berterusan'. Hal ini yang telah mendorong pihak Palestin mencari jalan alternatif beralih ke PBB.

Penyelaras khas PBB bagi proses keamanan Timur Tengah, Robert Serry memberitahu Majlis Keselamatan PBB, "Usaha-usaha untuk memaksa kedua belah pihak untuk meneruskan rundingan juga adalah "amat sukar".

Kata Serry lagi, "dalam ketiadaan rangka kerja untuk perbincangan yang mendatangkan hasil serta aktiviti bina penempatan Israel yang berterusan telah memaksa rakyat Palestin bertindak aktif menerokai dan mendekati(mengangkat aduan) PBB.

Beliau merujuk kepada perancangan Palestin yang menuntut PBB memberikan pengiktirafan sebuah negara kepada Palestin ketika berlangsung Perhimpunan Agung PBB dalam sesi pembukaan mesyuarat tahunannya pada pertengahan bulan September.

Pasa hari Selasa yang lepas, Duta Israel ke PBB, Ron Prosor telah memberitahu Majlis Keselamatan bahawa tindakan sebelah pihak Palestin ke arah pembentukan negara sendiri pada bulan September "ini tidak akan membawa keamanan ke rantau kita."

Bercakap dalam perdebatan bulanan mengenai keadaan di Timur Tengah, Prosor berkata bahawa "inisiatif Palestin di PBB boleh menarik pandangan bagi sesetengah orang, namun mereka mengalihkan perhatian dari jalan keamanan yang sebenar." Sumber 26/07/2011, web berita Haaretz.com

Read more...

Netanyahu: Tidak boleh jadikan penempatan halang rundingan

22 Julai 2011

Laporan jam 01:32 pagi, waktu Palestin/Mekah
Jam 12:30 pagi, waktu Mesir

BAITULMAQDIS - Perdana Menteri rejim zionis(Israel), Benjamin Netanyahu(gambar) mengulangi lagi pelawaan kepada Mahmoud Abbas, Presiden Palestin agar kembali ke meja rundingan bersama rejimnya. Dakwa Netanyahu, kerajaannya benar-benar mengimpikan tercapainya persetujuan damai.

Netanyahu menyifatkan bahawa penempatan hanyalah masalah sampingan yang tidak boleh dijadikan batu penghalang kepada rundingan. Menurut kata Netanyahu lagi, masalah itu juga tidak boleh membantutkan rundingan berhubung permasalahan utama.

Jelas Netanyahu bahawa keseluruhan penempatan-penempatan zionis tidak melebihi langsung dari 2% keluasan Tebing Barat, malah penempatan ini tidak akan menggagalkan penubuhan Negara Palestin.

Tambahan lagi, kesemua permasalahan dan isu boleh dibawa berbincang dalam meja rundingan sekiranya rundingan damai diadakan semula. Sambil itu, Netanyahu mendakwa pihaknya bersedia untuk berkompromi semata-mata demi perdamaian.

Hubungan Israel dengan ideologi Islam

Dari sudut lain, Netanyahu berkata ketika diwawancara siaran Al-Arabiah yang disiarkan petang Khamis semalam bahawa tidak menolak kemungkinan boleh bentuk hubungan antara rejim zionis dengan kumpulan-kumpulan ideologi Islam yang menonjol semasa meletusnya revolusi-revolusi Arab, sedemikian itu termasuklah Jamaah Ikhwan Al-Muslimun di Mesir.

Bagaimanapun, Perdana Menteri zionis menjelaskan kesediaannya untuk bertemu dan berdialog dengan mana-mana pihak yang setuju memberi penghormatan ke atas hak kewujudan masyarakat Yahudi dan Negara Israel.

Menyentuh program nuklear Iran, Netanyahu berkata, penyelesaian secara ketenteraan semestinya juga sesuai, di samping hukuman dari sudut ekonomi. Berikutan itu, Iran tidak menghentikan pemprograman nuklearnya melainkan seperti pada tahun 2003 ketikamana Amerika Syarikat mengancam akan melancarkan serangan ketenteraan bagi menentang Iran. Sumber 22/07/2011, web berita Safa.ps

Read more...

Washington bangkang desakan Arab iktiraf Negara Palestin

15 Julai 2011

Laporan jam 02:24 petang, waktu Palestin/Mekah
Jam 01:24 petang, waktu Mesir
(Kemaskini jam 09:00 malam, waktu Mesir)

GAZA - Washington membangkang ketetapan Liga Arab yang mendesak PBB(United Nations) supaya mengiktiraf Negara Palestin bebas merdeka mengikut garisan sempadan tahun 1967. Kata Amerika, pengiktirafan tersebut tidak merangsang usaha damai.

Sedemikian itu, jurucakap Kementerian Luar Amerika Syarikat, Mark Toner berkata dalam laporan yang diterbitkan media Israel 'Jerusalem Post' hari ini, "Kecaman dari Washington memang telah jelas terhadap mana-mana tindakan sebelah pihak tidak akan berakhir dengan penyelesaian yang komprehensif."

Tambah Toner, "penyelesaian konflik dengan tertubuhnya dua buah negara tidak mungkin berlaku melainkan melalui jalan rundingan serta persetujuan antara dua belah pihak," beliau menegaskan, negaranya berjanji memberi bekerjasama dengan semua pihak agar tujuan itu(penubuhan Negara Palestin) tercapai melalui rundingan.

Kenyataan Toner menjawab kenyataan rasmi yang dikeluarkan Liga Arab dalam persidangannya semalam berhubung keputusan Liga Arab mendesak PBB mengiktiraf negara Palestin dan BaitulMaqdis Timur sebagai ibunegara. Tambahan lagi, Liga Arab juga meminta pengiktirafan ke atas negara Palestin sebagai negara anggota dalam Badan Antarabangsa, PBB.

Jerusalem Post menjelaskan, walaupun Palestin telah mendapat persetujuan pengiktirafan negara merdeka dari hampir 115 buah negara di dunia, namun Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian besar negara anggota Kesatuan Eropah masih tidak memberi pengiktirafan kepada Palestin.

Perarakan kemerdekaan

Buat kali pertama sejak dari 20 tahun yang lalu, para aktivis Palestin yang turut disertai kumpulan-kumpulan aktivis Israel keluar beramai-ramai dalam satu perarakan di BaitulMaqdis hari ini bagi menuntut penubuhan negara Palestin merdeka.

Kumpulan-kumpulan aktivis menamakan perarakan mereka 'perarakan kemerdekaan'.

Gambar: Perarakan kemerdekaan di BaitulMaqdis. Lihat laporan media Israel: Thousands march for Palestine in Jerusalem.

Menurut radio penjajah, lebih dari 1000 anggota aktivis Israel berhaluan kiri dan penduduk Palestin di BaitulMaqdis keluar berarak menuntut negara Palestin.

Perarakan ini bermula dari Bab Al-Amoud menuju ke Hayyu Syeikh Jarrah. Turut memberikan ucapan adalah para aktivis Palestin dan Israel yang meminta kerajaan rejim penjajah(Israel) mengiktiraf pembebasan Palestin.

Perjalanan perarakan ini mengikut sepanjang tembok-tembok dinding di bandar BaitulMaqdis, kemudian berarak mengikut arah yang bertentangan terhadap perarakan yang diadakan oleh agamawan Yahudi pada awal bulan Jun lalu meraikan 'hari penyatuan BaitulMaqdis'.

Negara baru Afrika

Sementara itu, Perhimpunan Agung PBB semalam telah menerima keanggotaan sebuah negara baru dari benua Afrika, iaitu Republik Sudan Selatan yang berpecah dari Republik Sudan. Beberapa hari yang lalu, Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri rejim zionis(Israel) telah mengeluarkan kenyataan berhubung bantuan kepada negara baru tersebut.

Gambar: Bendera negara baru. Konflik Sudan ternyata pantas diselesaikan, kesannya lahir Republik Sudan Selatan.

Menurut laporan dari berita Al-Jazeerah, matawang baru Republik Sudan Selatan akan mula digunakan pada 18 Julai ini. Sumber 15/07/2011, web berita Safa.ps, web berita Jerusalem Post dan berita Al-Jazeerah

Read more...

Knesset bunuh draf undang-undang Nakbah

05 Julai 2011

Laporan jam 07:55 malam, Palestin/Mekah
Jam 06:55 malam, Mesir

Speaker parlimen Knesset tidak membenarkan Pengerusi gerakan Perubahan Arab(حركة العربية للتغيير), Dr.Ahmad Tibi mengusulkan draf undang-undang yang menetapkan hukuman kepada mana-mana pertubuhan atau badan-badan yang mengingkari Nakbah Palestin.

Gambar: Ruang persidangan parlimen Knesset Israel.

Keputusan sebulat suara yang diambil mendakwa draf tersebut bertembung dengan pengenalan Israel yang diiktibarkan sebuah Negara kepada Yahudi.

Dr.Ahmad Tibi yang juga merupakan ahli parlimen Knesset Israel dalam pertemuan dengan pemberita Al-Jazeerah berkata, pembatalan undang-undang dari sudut asal-usulnya bermakna memadam riwayat sejarah Palestin. Tambah beliau, tindakan Knesset ini mencampakkan demokrasi yang dilaungkan oleh Israel di hadapan kongres Amerika dan juga di dalam Negaranya.

Gambar: Dr.Ahmad Tibi, seorang ahli politik Arab Palestin dalam jajahan 1948. Beliau terpilih menganggotai parlimen Knesset bagi menyuarakan hak Arab.

Sedemikian itu, beliau mengemukakan usul draf Nakbah dari hak perundangan sebagai membalas undang-undang yang diusulkan oleh Avigdor Lieberman(Menteri Luar penjajah), pemimpin parti Yisrael Beiteinu baru-baru ini dan ia telah diperakui.

Undang-undang tersebut menetapkan mana-mana badan atau pertubuhan yang turut serta dalam aktiviti menyambut peringatan Nakbah Palestin tidak boleh mendapat apa-apa pembiayaan dari kerajaan Israel.

Gambar: Pelarian Palestin dihalau dari tanah mereka sendiri pada tahun 1948. Sehingga hari ini, negara Palestin belum wujud meskipun Israel telah menubuhkan Negaranya yang telah mencakupi usia 61 tahun.


Beliau mengungkapkan pembatalan undang-undang dari Knesset berhubung draf tersebut sebelum ia dibentangkan adalah yang pertama.

Gambar: Avigdor Lieberman, pemimpin parti Israel berhaluan kanan 'Yisrael Beiteinu'. Avigdor menjawat Menteri Luar Israel sekarang ini.

Disebutkan, Nakbah adalah julukan nama diberi oleh Palestin sempena perang 1948 ketikamana Israel menghalau penduduk Palestin keluar dari kampung mereka, mengusir dari bandar-bandar serta menghapuskan kesan-kesan politik, perekonomian dan kebudayaan. Sumber 05/07/2011, web berita Al-Jazeerah

Read more...

Ketua pembangkang Knesset bidas Netanyahu

24 Mei 2011

Laporan jam 01.38 pagi, Palestin/Mekah
Jam 12.38 pagi, Mesir

WASHINGTON - Ketua pembangkang parlimen Knesset rejim zionis, Tzipi Livni telah membidas sikap Perdana Menteri rejim zionis, Benjamin Netanyahu dalam ucapan malam tadi serta menggesa sambung semula rundingan dengan Palestin. Nyata Livni, apapun langsung tidak dapat diterima jika hanya berdiri tanpa bertindak.

Gambar(arkib): Tzipi Livni, bekas Menteri Luar rejim zionis selaku ketua pembangkang di Knesset mengetuai parti Kadima, haluan kiri.

Ketika menyampaikan ucapan di hadapan para peserta persidangan pelobi Israel, American Israel Public Affairs Committee(AIPAC) di Washington malam tadi, kata Livni, "sekiranya rundingan dengan Palestin disambung semula, sudah pasti perbincangan yang diusahakan oleh Palestin di Perhimpunan Agung PBB nanti untuk mendapatkan pengiktirafan Negara Palestin akan ditangguhkan."

Livni berkata lagi, "seharusnya Israel dan Amerika Syarikat telah mencapai persetujuan yang disepakati bersama dari balik tabir lagi dan bukannya ketika membuat ucapan di khalayak ramai."

Gambar: Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri rejim zionis selaku Presiden parti Likud, haluan kanan.

Bekas Menteri Luar rejim zionis itu menyatakan, "waktu ini adanya pihak pelampau yang sedang berusaha mengambil peluang ke atas situasi yang berlaku di rantau ini demi dapat menyingkirkan kewujudan Negara Israel," lantaran sedemikian, tambah Livni, bahawa Israel tetap kuat dengan hanya memadai menetapkan keputusan-keputusan yang diperlukan.

Web rasmi AIPAC, sila klik di banner.

Tema AIPAC pada tahun ini, menurut web rasminya, 'U.S. and Israel: Better Together' disertai lebih 10,000 pro Israel dari 50 buah Negara. Sumber 24/05/2011, web berita safa.ps

Read more...

Kami mahu ke PBB kerana kami mahu Negara Palestin

05 Mei 2011

Laporan jam 10.54 malam, Palestin/Mekah
Jam 09.54 malam, Mesir

BERLIN - "Kami mahu bawa hal ini ke Persidangan Agung PBB kerana kami mahu hak kami, iaitu Negara Palestin," kata Presiden Mahmoud Abbas sewaktu dalam sidang akhbar yang berlangsung petang tadi(Khamis) bersama Canselor Jerman, Angela Dorothea Merkel.

Gambar(Safa): Abbas di kiri, dan kanan, Canselor Jerman, Angela.

Tambah Abbas lagi, "kami membawa hal ini ke PBB bertujuan untuk bertanya kepada dunia(Negara-negara Bersatu) mengenai pandangan terhadap Negara Palestin kerana PBB menjadi sandaran seluruh dunia, juga kami mahu berkata mengenai perkara yang tidak dapat diselesaikan melalui jalan rundingan, apakah yang kamu mahu(Negara-negara Bersatu) jawab?".

Sambung Abbas, "kami tidak akan pergi ke PBB untuk mengumumkan penubuhan Negara, tetapi kami mahu soal, apakah yang Negara-negara Bersatu melihat hal yang sedang berlaku di Timur Tengah dan bagaimana kamu menggambarkan keadaan ini, adakah dunia mahu membiarkan masyarakat Palestin hidup di bawah jajahan?".

Sambil membetulkan katanya, Abbas menjelaskan, "kami tidak akan pergi ke PBB untuk mengumumkan apa yang kamu beri pada kami, hal ini tidak benar, kami mahu katakan kepada dunia bahawa inilah keadaan kami, kami mahu kami seperti sebuah Negara yang merdeka, maka, apakah pendapat kamu semua? Adakah kamu semua dapat terima masyarakat Palestin selama-lamanya di bawah jajahan?". Sumber 05/05/2011, web berita safa.ps

Read more...
widgeo.net

anjung pavilion

Free counter and web stats Politics Top Blogs Politics Blogs - Blog Top Sites
Journalist Blogs - Blog Catalog Blog Directory

 Subscribe in a reader

download juice, the cross-platform podcast receiver

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates .com 2008

Kembali ke ATAS