الإنتفاضة الفلسطينية الثالثة Third Palestinian Intifada
Revolusi Timur Tengah

Mungkin resapan revolusi Arab di Timur Tengah khususnya Mesir(مصر) mampu membantu Palestin? Sempena Nakbah(detik malang) tahun ke-63, Palestin masih seperti ketikamana dijanjikan sebuah 'Negara', namun tanah-tanah Palestin yang dirompak tersergam dengan binaan rumah perompak dan perampas. Tidak melampau jika menyebut ini adalah simbol keganasan moden rejim zionis. Waktu ini, penjajah sedang menari kegirangan kerana dapat berdiri teguh setelah melanyakkan Palestin dan memperdayakan dunia.


Laporan menarik:

Photobucket

Perjalanan Fahima(wanita Israel) mencari Islam

Barat runtuh dengan keruntuhan Israel - Aznar

Pembebasan tahanan Palestin peringkat kedua

Catatan 'ما بعد الثورة 25 يناير':


24 Jun 2012

- Pengerusi Suruhanjaya Tertinggi Pilihanraya, hakim Farouq Sultan mengumumkan Dr. Muhammad Morsy memperolehi pungutan suara sebanyak 13,230,131 yang dinisbahkan kepada 51.7%, manakala Ahmad Shafiq pula mendapat pungutan suara sebanyak 12,347,380 nisbah kepada 48.3%.


Dengan demikian, Dr. Morsy dipilih sebagai Presiden baru Mesir selepas revolusi 25 Januari.


29 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Azhar.

- Dr. Muhammad Morsy menyampaikan ucapan rasmi kepada rakyat Mesir di Dataran Tahrir(Tahrir Square) sempena himpunan juta yang dinamakan 'Penyerahan Kuasa'. Di hadapan himpunan, Dr. Muhammad Morsy turut mengangkat sumpah.


30 Jun 2012

- Dr. Muhammad Morsy mengangkat sumpah di hadapan Perhimpunan Agung Mahkamah yang terdiri daripada 18 orang hakim besar. Secara rasminya, Dr. Muhammad Morsy ditabalkan jawatan Presiden Republik Arab Mesir selepas memperolehi kemenangan dalam pemilihan(pilihanraya) Presiden peringkat ulangan.

- Presiden menyampaikan ucapan di Universiti Kaherah. Beliau turut mengangkat sumpah di hadapan para hadirin yang dijemput khas.

Tentangan dan serang balas, 20 Jun 2012:


- [Kemaskini] Pejuang menghentam lagi lokasi-lokasi Israel

- Dua cedera, pesawat zionis mengebom Bayt Lahiya

- [Kemaskini] Empat cedera dua buah lokasi AL-QASSAM dibom F-16

- Anak syahid, ayah dan beberapa orang lagi cedera

- Kebakaran, tiga dilanda histeria dalam pengeboman pejuang Palestin

- [Kemaskini] Syahid, dua cedera sasaran serangan udara zionis di Rafah

- Cedera, zionis lancar lagi serangan di Gaza

- 4 tentera zionis cedera akibat serangan roket di Ashkelon

3 syahid dibom Israel

28 September 2010

Kronologi serangan zionis di Gaza malam ini.


10.41 malam, Palestin: Pesawat pengintip zionis membedil sebuah rumah di Nusairat, pertengahan Gaza. 27/09/2010

10.52 malam, Palestin: Pesawat pengintip zionis meninjau kerap di ruang udara Gaza dalam ketinggian yang separa rendah. 27/09/2010


11.16 malam, Palestin: Sebuah rumah milik keluarga Abu Shamalah yang dibedil rejim zionis meletup, tetapi tiada luka parah. 27/09/2010

11.31 malam, Palestin: Serangan rejim zionis di timur El-Buraij mensasarkan sekumpulan pejuang Palestin. Akibatnya, 3 pejuang Palestin syahid. 27/09/2010


Berita Penuh:

GAZA - Kejadian dilaporkan malam tadi, satu bedilan serangan dari sebuah pesawat pengintip tentera zionis tanpa pemandu mensasarkan sekumpuan pejuang Palestin, lalu mengakibatkan 3 pejuang syahid. Lokasi sasaran serangan itu berhampiran pos kawalan 'Maqbulah', timur Mukhayyam El-Buraij di pertengahan Semenanjung Gaza yang merupakan garisan pemisah antara Semenanjung Gaza dengan tanah jajahan 1948, Israel.

Jurucakap Media Perubatan di Semenanjung Gaza, Adham Abu Salamiah yang menyampaikan kepada agensi berita 'Safa' bahawa pejuang yang syahid dari SARAYA AL-QUDS(sayap tentera gerakan JIHAD ISLAMI); 'Ala Abu Zubaidah, 25, Auni Rafiq Abdul Hadi, 19 dan seorang lagi pejuang dalam lingkungan umur 20 an, Muhammad Aid.

Seiring serangan tersebut, sebuah rumah penduduk di pintu masuk ke Mukhayyam Nusairat pula dibom.

Menurut saksi kejadian yang dilaporkan 'Safa', mereka(saksi) melihat satu peluru gugur di atas sebuah rumah penduduk ketikamana pesawat pengintip zionis yang dikenali 'Zanana' terus meninjau di ruang udara pada ketinggian separa rendah. Akibat serangan itu, rumah berkenaan mengalami kerosakan teruk dan tidak ada laporan mengenai luka parah.

Sumber dari berita Al-Jazeerah berkata, suasana tegang menyelubungi dua buah tempat yang menjadi sasaran serangan. Sumber 27/09/2010, berita Al-Jazeerah, web berita safa.ps dan 28/09/2010, web berita Al-Jazeerah

Read more...

Tentera rejim zionis belasah seorang remaja Palestin

27 September 2010

KHALIL - Seorang remaja Palestin telah ditangkap oleh tentera rejim zionis hari ini. Menurut sumber, remaja Palestin itu sebaik ditangkap turut dibelasah dengan teruk berhampiran rumahnya di Hayyu Ra's, kawasan perumahan selatan di bandar Khalil, Tebing Barat.

Sumber tempatan yang menyampaikan maklumat kepada agensi berita 'Safa' berkata, tentera rejim zionis telah menangkap seorang remaja Palestin, So'el Rabhi Abu Quweidar, 13, kemudian beberapa orang tentera rejim zionis memukulnya dengan teruk.

Saksi menyatakan, dia melihat, darah meleleh turun dari mulut remaja itu ketika ditangkap dan dibawa ke tempat yang tidak diketahui. Sumber 27/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Tangkap 5 Palestin, 7 HAMAS

NABLUS - Seramai 5 penduduk Palestin dari kampung Talfit di Wilayah Nablus, utara Tebing Barat telah ditangkap tentera rejim zionis awal pagi tadi.

Sumber tempat menjelaskan, sepasukan tentera rejim zionis yang merempuh masuk ke kampung Talfit pada malam semalam turut menggeledah beberapa buah rumah serta merosakkan perkakasan. Menjelang beberapa jam sebelum subuh, rejim zionis berundur keluar dari kampung berkenaan setelah menangkap penduduk Palestin, Hasan Farj, Aisar Shahin, Ayub Muslim, Yunus Mahmoud, dan Rasma Shahin.

Sehingga kini, lebih 7000 penduduk Palestin meringkuk dalam penjara zionis setelahmana operasi penangkapan dilancarkan tanpa henti di Tebing Barat.

7 HAMAS ditangkap

Sementara itu, gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية) dalam keterangan yang disampaikan kepada aegnsi 'Safa' hari ini, mendakwa Pihak Keselamatan Palestin di Tebing Barat telah menaangkap 7 anggotanya di beberapa buah wilayah; Khalil, Nablus, Qalqiliah dan Bet Lehem. Sumber 27/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Ceroboh dan operasi 'mengesan' di Gaza

KHAN YUNUS - Sumber melaporkan, jentera perang rejim zionis telah menceroboh ke dalam kawasan tanah penduduk Palestin pagi tadi di kawasan Al-Qararah dan menuju ke kawasan Al-Farahain, timur bandar Khan Yunus, selatan Semenanjung Gaza.

Jelas wartawan agensi berita 'Safa' yang menukilkan dari saksi kejadian berkata, sebanyak empat buah kereta kebal dan dua buah jentolak zionis menceroboh sejauh 250 meter ke dalam kawasan tanah penduduk Gaza yang berhadapan dengan garisan sempadan.

Ketika menceroboh, jentolak zionis meratakan tanah pertanian dari garisan sempadan dengan jarak yang lebih meluas, bermula dari pintu gerbang As-Suraij, tenggara bandar Khan Yunus melewati Al-Farahain di daerah Bani Suheila. Sambil itu, tentera rejim zionis turut menjalankan operasi mengesan di kawasan terbabit.

Tembak ke arah rumah penduduk

Kejadian lain yang dilaporkan, saksi berkata, tentera rejim zionis yang berpengkalan di pos tentera Abu sofiah melepaskan tembakan secara rambang ke arah beberapa buah penduduk Gaza di Mukhayyam Al-Maghazi, pertengahan Semenanjung Gaza.

Sumber menyebut, tiada laporan mengenai luka parah atau kecederaan yang diterima dari pihak hospital.

Sejak dari akhir perang yang lepas, tentera rejim zionis memberi peringatan kepada penduduk Palestin di Gaza agar tidak mendekati 300 meter dari garisan sempadan. Kawasan tersebut dikatakan sebagai zon tentera, malah sesiapa yang melanggar peringatan itu akan diancam. Sumber 27/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Pendatang Israel siap sedia, Abbas terus mesyuarat

26 September 2010

Beberapa jam sebelum berakhirnya tempoh pembekuan kerja bina di penempatan Israel di Tebing Barat, Presiden Palestin, Mahmoud Abbas mengumumkan bahawa beliau akan mengadakan mesyuarat dengan Menteri-menteri Luar Arab pada 4 Oktober akan datang. Mesyuarat tersebut bagi menentukan nasib rundingan damai, sementara itu, pendatang-pendatang Israel di Tebing Barat sedang bersiap sedia untuk memulakan kerja pembinaan.

Jelas Abbas, atas permintaannya, Jawatankuasa Arab akan mengadakan satu pertemuan di ibu pejabat Liga Arab di Kaherah pada 4 Oktober ini bagi membincangkan permasalahan penempatan Israel ketika rundingan damai yang masih berterusan.

Abbas menyatakan, sebaik sahaja mesyuarat dengan Menteri-menteri Luar Arab, beliau akan mengadakan pula pertemuan dengan Badan-badan gerakan FATAH bagi menetapkan keputusan mengenai masa depan rundingan.

Kenyataan Abbas yang dinukilkan dari agensi berita Perancis, berkata, beliau akan membincangkan masalah yang berterusan dalam rundingan, iaitu mengenai keputusan yang diputuskan oleh Israel berhubung pembekuan penempatan sama ada secara positif atau negatif.

Sebelum ini, Abbas menegaskan bahawa beliau membantah sebarang penyelesaian menurut persamaan yang tidak menghentikan kesemua kerja bina penempatan malah, Abbas menyatakan, beliau menolak penyelesaian dalam bentuk yang sebahagian.

"Sesungguhnya Israel hanya ada dua pilihan, sama ada pilih untuk damai atau meneruskan penempatannya," Kata Abbas ketika menyampaikan ucapan dalam Perhimpunan Agung PBB.

Memetik dari media 'Al-Hayat' London, Abbas berkata, beliau tidak mahu menghentikan rundingan damai dengan Israel secara tergesa-gesa sekalipun tidak dilanjutkan tempoh pembekuan ke atas sebahagian kerja bina di penempatan Israel di Tebing Barat.

US terus hubungi

Sedemikian itu, Amerika Syarikat(US) terus menghubungi Israel secara kerap untuk menyelamatkan rundingan damai sebelum tempoh pembekuan berakhir.

Gambar(haaretz): Pendatang Israel ketika upacara pembukaan kerja bina di penempatan kelihatan terlalu gembira kerana tanah Palestin yang dianggap tanah Yahudi di Tebing Barat.

Sementara itu, Jurucakap bagi nama Presiden Abbas, Nabil Abu Radinah, berkata, US masih meneruskan usahanya sehingga sekarang supaya tidak berlaku sebarang perlanggaran.

Jelas wakil berjawat tinggi White House, US amat berharap kedua-dua pihak meneruskan rundingan damai secara bersemuka meskipun tempoh pembekuan penempatan selesai.

David Axelrod, salah seorang, penasihat Presiden Amerika, Barrack Obama berkata kepada sebuah rangkaian berita 'ABC' Amerika, "sepanjang hari, kami terus mendesak dan menekan demi tercapainya penyelesaian dalam masalah penempatan Israel."

Beliau menyatakan, Menteri Luar US, Hillary Clinton telah berusaha keras bagi mengadakan perbincangan secara terbuka antara kedua belah pihak, Israel dan Palestin.

Menjawab kenyataan yang sedemikian, Israel mempamerkan sikapnya yang bersedia untuk mencapai penyelesaian dengan persamaan yang disepakati semua pihak. Namun, dalam masa yang sama, Israel mengulangi keputusannya, "tidak boleh menghentikan keseluruhan kerja-kerja pembinaan" di penempatan-penempatan.

Pendatang siap sedia

Gambar(haaretz): Pendatang Israel ketika upacara pembukaan menjalankan semula kerja bina penempatan di Tebing Barat.

Ketika ini, Netanyahu telah menyarankan kepada pendatang-pendatang Yahudi agar menenangkan diri. Malah, Netanyahu berharap mereka dapat sama-sama bertanggungjawab sepertimana yang telah dilalui selama 10 bulan ketika penggantungan kerja bina penempatan.

Susulan ketika hampir tempoh berakhirnya pembekuan, pendatang-pendatang Israel telah menyediakan berpuluh-puluh buah kapal korek(case), termasuk jentolak yang memastikan lagi kerja bina di penempatan-penempatan Israel akan bermula.

Menurut radio Israel, lebih dari 1,500 buah perumahan telah mendapat kelulusan yang membolehkan kerja bina dijalankan dengan segera.

Berikutan itu,langkah permulaan yang ditunjukkan oleh para pendatang Israel yang disokong sayap kanan parti politik Israel, Likud telah meletakkan batu asas di sebuah perumahan Israel yang baru di penempatan 'Kiryat Netafim'. Kedudukan penempatan tersebut terletak di bahagian utara Tebing Barat.
______________________________________________
Parti Likud Israel

Presiden: Benjamin Netanyahu

______________________________________________

Dani Dayan, seorang pemimpin Badan penempatan Israel, Yesha yang terkemuka di Tebing Barat, berkata, "kerja bina penempatan mesti dijalankan menyeluruh seperti yang telah dijanjikan oleh Kerajaan."

Setiausaha Agung sebuah NGO Israel "Damai Sekarang" yang menentang penempatan, Yariv Oppenheimer mengungkapkan bahawa pembekuan kerja bina penempatan separa menyeluruh amat boleh dilakukan kerana Kerajaan mempunyai berbagai-bagai perantaraan bagi menghentikan pembinaan di penempatan.

Gambar(ynet): Gerakan "damai sekarang" Israel mengadakan demontrasi di hadapan kediaman Netanyahu.

Sebuah pertubuhan antarabangsa yang beribu pejabat di Us, Human Right Watch turut menggesa tempoh pembekuan kerja bina di penempatan-penempatan dilanjutkan lagi ke tempoh yang lebih panjang dan menyeluruh. Sumber 26/09/2010, web berita Al-Jazeerah

Pautan lain:

1. Despite Netanyahu's plea for restraint, thousands of settlers celebrate end of building freeze
2. Leftists: Building will destroy Israel

Read more...

Liputan kerja-kerja pembinaan di penempatan Israel

Beberapa hari yang lalu, lensa kamera Al-Jazeerah terus meneropong pergerakan pendatang-pendatang Israel yang bersiap sedia memulakan kerja-kerja pembinaan di beberapa buah penempatan Israel di Tebing Barat. Sambil itu, banyak gesaan yang meminta supaya tempoh pembekuan yang berakhir menjelang pertengahan malam, hari ini dilanjutkan lagi.

Peta, sumber google map.

Al-Jazeerah yakin kewujudan rumah siap bina yang dipasang oleh Israel beberapa hari yang lalu di penempatan 'Revava' berhampiran kampung Dayr Istiya, selatan bandar Nablus adalah persediaan bagi memulakan kerja bina sebaik sahaja tempoh pembekuan berakhir.

Liputan lain turut mengintai kerja bina perumahan di penempatan 'Hargilo' yang terletak di barat bandar Bet Lehem.

Dibawah: peta, sumber google map.

Walid Al-Umari, Pengerusi pejabat Al-Jazeerah di Ramallah menukilkan dari sumber Israel bahawa sebanyak 2000 unit perumahan Israel yang tidak perlu kepada lesen baru sedia untuk dilaksanakan. Manakala, 17,000 unit perumahan Israel yang lain masih bergantung kepada kelulusan dan jumlah sebanyak ini meliputi penempatan Israel di Al-Quds.

Melihat kepada senario semasa, Walid Al-Umari menyatakan, kerja-kerja bina penempatan akan bermula selepas dari hari ini.

Pendatang-pendatang Israel di penempatan Revava, utara Tebing Barat telah mendapatkan bungkusan-bungkusan simen yang baru, malah kapal korek(case) kelihatan bersedia untuk memulakan kerja bina di penempatan Israel selepas selesai tempoh pembekuan.

Agensi berita 'Safa' pula melaporkan dari Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Menentang Tembok Pemisah dan Penempatan di Bet Lehem, Hassan Buraijiah petang semalam, berkata, pendatang Israel memasang 3 buah rumah pasang siap di sebuah tanah yang dirampas dari kawasan Ummu Nadhur.

Buraijiah menyatakan, kerja-kerja bina unit perumahan masih berterusan di dua buah penempatan Israel, Efratah dan El'azar yang terletak di selatan Bet Lehem pada dua hari yang lalu meskipun perayaan Yahudi dan hari terakhir dari tempoh pembekuan bina penempatan.

Netanyahu tidak benar cakap mengenai beku penempatan

Menurut radio Israel, Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel meminta kepada anggota kabinet menteri dan Kerajaannya agar tidak membicarkan mengenai masalah pembekuan penempatan Israel menerusi media massa hari ini.

Sumber terdekat Netanyahu berkata, beliau meyakini usaha penyelesaian yang masih diteruskan itu adalah perkara yang teramat penting. Sedemikian itu, Netanyahu meminta semua pihak yang berkenaan tenangkan diri di saat-saat akhir tempoh pembekuan selesai.

Seperti yang dijadualkan, ketetapan Israel yang mengumumkan 10 bulan sebelum ini adalah tempoh pembekuan kerja bina penempatan Israel di Tebing Barat tetapi Al-Quds dikecualikan. Berikutan itu, rundingan damai secara bersemuka antara Palestin dan Israel diambang bahaya jikalau Israel tidak bertekad melanjutkan lagi ketetapan tempoh pembekuan, seperti yang didesak Pemerintah Palestin Ramallah.

Perayaan memulakan kerja bina penempatan

Berita Al-Jazeerah melaporkan lagi, pada waktu petang tadi, pendatang Israel di penempatan Revava meraikan perayaan bagi memulakan kerja bina penempatan di Tebing Barat. Sumber 26/09/2010, web berita Al-Jazeerah, web berita safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Read more...

Rejim zionis arah kosongkan sekolah

KHALIL - Tentera rejim zionis mengarahkan Sekolah Ibrahimiah di bandar Khalil, selatan Tebing Barat dikosongkan selama dua jam, pada hari ini dan esok. Arahan tersebut bertujuan bagi membolehkan pendatang-pendatang haram Israel merayakan hari perayaan Yahudi.

Agensi berita 'Safa' menjelaskan, Sekolah Ibrahimiah yang berdekatan dengan Masjid Nabi Ibrahim terpaksa menangguhkan pengajian disebabkan ketetapan rejim zionis. Beberapa hari sebelum ini, pengajian turut terganggu berikutan upacara keagamaan yang begitu kerap dijalankan pendatang haram Israel berhampiran sekolah.

Seramai 400 pelajar mengikuti pengajian di Sekolah Ibrahimiah. Sumber menyebut, kerap kali sekolah tersebut dicengkam pendatang-pendatang haram Israel. Terbaru, pada minggu lepas, pendatang-pendatang haram Israel mengepung Sekolah Ibrahimiah kerana mendakwa salah seorang anak dari pendatang haram Israel dipukul. Sumber 26/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Pertempuran di Al-Quds meletus lagi

25 September 2010

AL-QUDS, - Pertempuran sengit antara pemuda-pemuda Palestin meletus lagi malam ini dengan tentera rejim zionis di beberapa buah lokasi di bandar Al-Quds. Sehingga kini, pertempuran itu mengakibatkan beberapa penduduk Palestin mengalami kecederaan setelah tentera zionis menghujani tembakan dan bom gas pemedih mata.

Pengerusi Media Al-Quds, Muhammad Sadiq berkata, pertempuran yang meletus tertumpu di Silwan, Isawiyah, perumahan Rasul Amud, Thur, Sowanah, Thauri dan Mukhayyam Shu'fat.

Sadiq menjelaskan, pemuda-pemuda Palestin menghadang kemaraan tentera rejim zionis dengan batu dan botol kaca, sementara itu, pasukan perubatan mengalami kesulitan untuk tiba di lokasi pertempuran.

Seperti yang dimaklumkan, antara mangsa dikalangan penduduk Palestin yang mengalami luka parah adalah Haniyyeh Audah dalam lingkungan 70an. Mangsa disifatkan kritikal setelahmana tentera rejim zionis melempar sound-bom yang meletup dihadapannya. Haniyyeh Audah adalah ibu mertua kepada As-syahid Samir Sarhan yang menjadi mangsa tembakan pendatang haram Israel pagi Jumaat lalu.

Tambah Sadiq, beratus-ratus tentera rejim zionis yang disokong beberapa buah helikopter sedang mengepung Silwan masa ini. Beliau mengingatkan, hal sedemikian adalah permulaan untuk merempuh masuk ke perumahan Palestin yang menggunakan kekerasan dan tidak dapat jangka kesannya.

Sebagaimana yang dijelaskan, tentera rejim zionis berundur dari keseluruhan perumahan Palestin di Al-Quds awal pagi secara mengejut. Selepas itu, keadaan kembali pulih. Sumber 25/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Washington bantah pembaikan Palestin

Presiden Palestin yang telah tamat tempoh menurut HAMAS, Mahmoud Abbas mengakui bahawa Amerika Syarikat(US) membantah pihak Palestin menurunkan tandatangan ke atas dokumen pembaikan dalaman Palestin yang dikemukakan oleh Mesir. Jelas Abbas, US sendiri mempertikaikan gerakan FATAH(حركة التحرير الوطني الفلسطيني) yang telah menurunkan tandangan untuk bersama-sama dengan gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية).

Abbas berkata sedemikian ketika menyampaikan ucapan dalam satu pertemuan dengan komuniti penduduk Palestin di New York, US.

Agensi berita rasmi Pemerintah Palestin Ramallah iaitu 'Wafa' menerbitkan laporan mengenai gerakan FATAH yang telah menandatangani dokumen Mesir meskipun dibantah oleh US.

Kenyataan Abbas itu serentak dengan pertemuan pemimpin FATAH dan HAMAS di Damshik, Syria malam semalam.

"Jikalau HAMAS telah tandatangani dokumen pembaikan Mesir, sudah pasti kami telah membentuk Kerajaan Perpaduan. Dengan itu, kami telah dapat melaksanakan dua tindakan, iaitu memperolehi sejumlah bantuan yang diperakui dalam Persidangan Sharm El-Sheikh, kemudian Kerajaan Perpaduan ini akan mengadakan pilihanraya parlimen dan Presiden bahkan perselisihan yang berlaku seperti sekarang dapat diselesaikan," kata Abbas.

FATAH bertemu HAMAS di Damshik

Gambar(safa): Anggota-anggota Biro Politik HAMAS di sebelah kanan dan delegasi FATAH di kiri.

Semalam, gerakan HAMAS yang diketuai Ketua Biro Politiknya, Khaled Mashal telah mengadakan pertemuan ramah mesra dengan delegasi FATAH diketuai Azzam Ahmad. Kedua-dua pihak telah bersetuju pertemuan sebegitu untuk menyelesaikan beberapa permasalahan yang masih tergantung antara keduanya. Setelah pertemuan, kedua-dua pihak juga mengumumkan tercapainya beberapa langkah ke arah pembaikan dalaman Palestin.

Menurut pengumuman yang disampaikan Musa Abu Marzouk, Timbalan Ketua Biro Politik HAMAS bahawa kedua-dua gerakan itu telah bersepakat dari beberapa titik pertelingkahan yang menimbulkan perselisihan antara HAMAS dan FATAH. Dalam pertemuan yang terdekat pada masa akan datang, kedua-dua pihak akan membincangkan lagi permasalahan yang masih berbaki untuk mencapai persefahaman bersama sehingga menemui penyelesaian akhir dengan kesemua kumpulan-kumpulan pembebasan Palestin serta parti-parti politik.

Abu Marzouk menyebut lagi, pihaknya turut bersetuju untuk ke Kaherah bagi menanda tangani dokumen Mesir sambil mengungkapkan persefahaman ini adalah sebahagian dari komitmen yang tidak boleh dipisahkan perlaksanaannya dari dokumen Mesir serta mengakhiri persengketaan.

Sementara itu, laporan dari berita Al-Jazeerah yang menukilkan kata-kata Azzam Ahmad bahawa pertemuan ini adalah langkah permulaan bagi menyelesaikan pertikaian antara kedua-dua belah pihak. Beliau menolak dari menerangkan terperinci mengenai perbincangan yang mencapai persefahaman antara delegasinya dengan gerakan HAMAS.

Lapor dari agensi berita 'Safa' bahawa salah seorang pemimpin gerakan HAMAS di Gaza, Salah Bardawil mendedahkan pertemuan selanjutnya akan diadakan pada minggu akan datang.

Beliau menjelaskan, pertemuan tersebut adalah untuk membincangkan persefahaman yang dicapai antara kedua belah pihak dalam pertemuan semalam di Syria.

Pertemuan HAMAS dan FATAH berikutan dari pertemuan yang telah diadakan antara Omar Sulaiman, Ketua Bahagian Perisikan Mesir dengan Khaled Mashal di Arab Saudi. Sumber 25/09/2010, web berita Al-Jazeerah, web berita safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Read more...

Seorang tentera AL-QASSAM syahid

GAZA - Seorang dari anggota KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM(sayap tentera gerakan HAMAS), Mahmud Al-Ammarain dalam lingkungan 20an telah menemui syahid kesan dari luka akibat pengeboman rejim zionis pada 14 September lalu.
______________________________________________________
Baca lagi:

______________________________________________________

Menurut sumber perubatan, Al-Ammarain berasal dari Hayyu Zaitun dalam keadaan kritikal dan telah dipindahkan ke salah sebuah hospital di Mesir untuk lanjutan rawatannya, namun tentera AL-QASSAM itu menghembuskan nafas terakhirnya pagi ini.

Al-Ammarain ditimpa luka parah akibat bedilan artileri rejim zionis di kawasan Jahr El-Deik, tenggara bandar Gaza. Sumber 25/09/2010, web berita safa.ps

Pautan lain:

Read more...

Seorang bayi susuan syahid akibat gas beracun zionis

24 September 2010

AL-QUDS, - Sumber Palestin melaporkan malam ini bahawa seorang bayi berumur setahun dua bulan dari Isawiyah, selatan bandar Al-Quds telah syahid.

Bayi tersebut, Muhammad Ahmad Abu Sarah syahid akibat terkena bom gas yang ditembak tentera rejim zionis ke rumah-rumah penduduk Palestin ketika tercetusnya perempuran sengit di lokasi yang sama pada hari Khamis, semalam.

Seperti yang dinyatakan, Bayi Abu Sarah dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal, namun bayi tersebut meninggal dunia setelah doktor perubatan gagal menyelamatkan nyawanya.

Isawiyah kembali diselubungi ketegangan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai kanak-kanak kecil Abu Sarah syahid. Sumber 24/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Mesir bebaskan wakil keamanan HAMAS

Gerakan HAMAS(حركة المقاومة الإسلامية) hari ini mengesahkan bahawa Kerajaan Republik Arab Mesir telah membebaskan seorang pimpinan gerakannya, Muhammad Dababesh(Abu Ridhwan, gambar) setelah ditahan hampir dua minggu dalam penjara Mesir.

Abu Ridhwan yang juga merupakan anggota Jawatankuasa Dialog Pembaikanlan Palestin tiba di sempadan Rafah Gaza pada waktu tengahari tadi. Beberapa dari pemimpin HAMAS dan ahli keluarga serta sejumlah penduduk Gaza menyambut ketibaan beliau yang baru dibebaskan Mesir.

Keamanan Mesir menangkap Abu Ridhwan ketika beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah sewaktu dalam perjalanan pulang ke Gaza dari menunaikan umrah. Penahanan tersebut tanpa dikemukakan sebarang sebab, malahan meningkatkan lagi ketegangan hubungan antara HAMAS dengan Kerajaan Mesir.

Semasa beliau ditangkap Keamanan Mesir, timbul bermacam-macam kenyataan yang mengaitkan beliau dengan menggugat keamanan Mesir. Antaranya, media Mesir, Al-Ahram menyebut beliau ditahan atas sebab terjebak dalam penyeludupan walkie-talkie dan dikaitkan juga dengan seorang tentera Mesir yang terbunuh di sempadan Mesir. Sumber dari media asing melaporkan Abu Ridhwan ditahan atas sebab pemalsuan dokumen perjalanannya menunaikan umrah.
__________________________________________________
Baca lagi:

__________________________________________________

Sebaik beliau ditangkap, Jurucakap rasmi HAMAS, Fauzi Barhoum dalam sidang akhbar mendesak Kerajaan Mesir membebaskan Abu Ridhwan. Jurucakap rasmi HAMAS menilai penahanan tanpa sebab itu merosakkan hubungan Mesir dengan Palestin, bahkan menimbulkan

Sehingga kini, Kerajaan Mesir masih menahan 25 Palestin dalam penjaranya. Antara yang utama adalah Aiman Naufal, komander KATAIB SYAHID IZZUDDIN AL-QASSAM, sayap tentera gerakan HAMAS yang ditahan sejak 3 tahun yang lalu dan seorang lagi Palestin yang ditangkap tanpa bicara masih meringkuk dalam penjara Mesir lebih dari 7 tahun.

Dari sudut lain, Sami Abu Zuhri, jurucakap rasmi gerakan HAMAS menyatakan, Mesir membebaskan Abu Ridhwan setelahmana dua menjalani soal jawab. Beliau berharap dengan pembebasan ini adalah permulaan bagi menyelesaikan isu tahanan Palestin dalam penjara Mesir, dan ia juga merupakan langkah untuk menjernihkan hubungan antara Kaherah dengan gerakan HAMAS. Sumber 24/09/2010, berita Al-Jazeerah dan web berita Al-Jazeerah

Read more...

Nelayan Gaza ditembak syahid

GAZA - Seorang nelayan Palestin, Muhammad Mansur Bakar, 20 telah menemui syahid apabila ditembak oleh bot laju tentera rejim zionis di perairan laut, utara Semenanjung Gaza pagi tadi.

Menurut Penyelaras Media Perubatan, Adham Abu Salamiah, berkata, "Bakar mengalami luka parah di bahagian dada akibat terkena tembakan dan syahid serta-merta di tempat kejadian."

Gambar(safa): Jenazah Muhammad Mansur Abu Bakar ketika diiringi penduduk Gaza.

Sumber melaorkan, jenazah as-syahid dibawa ke Hospital Kamal Udwan, utara Gaza, kemudian dipindahkan ke hospital As-Shifa' untuk menyerahkan jenazah kepada ahli keluarganya. Sumber 24/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Al-Quds diselubungi saat genting

AL-QUDS, - Saat-saat genting menyelubungi bandar Al-Quds setelah sehari dilandar ribut pertempuran sengit yang berakhir pada pertengahan malam tadi. Berpuluh penduduk asal Al-Quds mengalami luka parah dan cedera dalam pertempuran dengan tentera rejim zionis.

Pengerusi Pusat Media Al-Quds, Muhammad Sadiq berkata kepada agensi berita 'Safa', jumlah penduduk Palestin yang parah dan cedera akibat tembakan peluru getah rejim zionis mencecah 25 orang. Tambahan lagi, berpuluh-puluh Palestin yang lain mengalami sesak nafas akibat gas beracun.

Sumber menyatakan, tentera rejim zionis melepaskan tembakan gas beracun ke dalam rumah as-syahid Samir Sarhan, lantas mengakibatkan beberapa penduduk Palestin yang melawat keluarga Samir turut mengalami sesak nafas.

Sementara itu, pasukan perubatan berhadapan dengan kesukaran untuk tiba di lokasi pertempuran kerana keadaan yang teramat sengit. Tentera rejim zionis menghalang ambulan mara ke Silwan, Isawiyah, Hayyu Thur, Hayyu Rasul Amud dan beberapa kawasan di Kota Lama.

Gambar(AFP): Lokasi pertempuran di sebelah pemuda Palestin, Isawiyah, Al-Quds.

Ketika pertempuran, pemuda-pemuda Palestin bertindak melontar batu dan botol berisikan minyak. Dalam masa yang sama, kelihatan berpuluh-puluh dari anggota penembat tepat rejim zionis bertebaran di puncak atas flat-flat rumah.

Sadiq yang menukilkan laporan dari beberapa saksi kejadian turut mengesahkan bahawa 2 anggota tentera rejim zionis tercedera ketika pertempuran meletus di Silwan, seorang darinya cedera di bahagian kepala dan seorang lagi polis rejim zionis cedera di bahagian kaki. Bagaimanapun, radio Israel hanya mengakui seorang anggota polis rejim zionis yang mengalami cedera ringan.

Sumber melaporkan, helikopter dan pesawat pengintip zionis turut meninjau di lokasi berlakunya pertempuran. Ketika itu, kelihatan tentera-tentera rejim dan polis zionis dikerahkan di persimpangan jalan utama di seluruh tempat di bahagian timur bandar Al-Quds.

Rejim zionis umum kawalan ketat

Semalam, Pihak Berkuasa rejim zionis mengumumkan bahawa pihaknya akan mengenakan kawalan ketat ke atas setiap penduduk Palestin yang mahu memasuki Masjid Al-Aqsa untuk solat Jumaat. Kawalan tersebut berikutan pertempuran sengit yang meletus di bandar Al-Quds sejak dua hari yang lalu.

Radio Israel melaporkan, rejim zionis tidak membenarkan golongan lelaki Palestin memasuki Majid Al-Aqsa melainkan yang berumur 50 tahun ke atas dan memegang pengenalan diri berwarna biru. Dan bagi wanita tidak dikenakan apa-apa kawalan.

Komander rejim zionis di Al-Quds, Mejar Jeneral Aharon Franko memutuskan pihak polis yang disokong pasukan bantuan agar mengambil sikap berjaga-jaga ketika dikerahkan mengawal di timur bandar Al-Quds, termasuklah pelusuk dalam Kota Lama dan di sekeliling kawasan Masjid Al-Aqsa.

Pertempuran sengit yang meletus sejak hari rabu lalu berterusan sehingga pertengahan malam semalam. Pertempuran sengit meletus antara rejim zionis dengan ratusan pemuda Palestin yang memprotes kematian seorang pemuda Palestin, Samir Sarhan akibat ditembak pendatang haram Israel di Hayyu Silwan, selatan Masjid Al-Aqsa. Sumber 24/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Gaza bongkar jaringan perisikan Israel

23 September 2010

GAZA - Kementerian Dalam Negeri(KDN) dan Keselamatan Negara di Gaza telah mendedahkan pengakuan talibarut yang bertujuan menimbulkan gempa keamanan di Gaza. Individu yang menjadi talibarut rejim zionis dibekalkan peralatan canggih dan modus operandi mensasarkan tempat-tempat dan bangunan Pihak Keamanan, lokasi latihan ketenteraan pejuang-pejuang Palestin dan anggota-anggota kumpulan pejuang Palestin.

Berita Al-Jazeerah menyebut, sejak penubuhan kerajaan Palestin yang ditadbir gerakan HAMAS di Semenanjung Gaza, jaringan ejen ataupun talibarut zionis telah diburu habis-habisan.

Sidang akhbar yang berlangsung(gambar atas) antara Ihab Ghasin, jurucakap rasmi Kementerian Dalam Negeri Gaza dan wakil Pihak Keamanan Negeri, Kolonel Leftenan Muhammad Lafi di Gaza hari ini mendedahkan isu tersebut.

Gambar(safa): Sebahagian dari peralatan talibarut yang dirampas.

Kedua-dua pihak menyatakan bahawa Pihak Keamanan telah berjaya memperolehi beberapa pengakuan bahaya yang mendedahkan mengenai talibarut yang menjadi dalang di sebalik pembunuhan para pemimpin kumpulan pejuang Palestin dan menjalankan pengintipan ke atas kedudukan masyarakat awam serta kumpulan-kumpulan pejuang. Turut didedahkan, wanita yang menjadi talibarut turut ditangkap tetapi jumlahnya sedikit.

Seperti yang dinyatakan, misi talibarut menumpukan intipan ke atas sejarah penentangan perjuangan Palestin dan mengikuti keadaan lokasi serta tempat latihan pejuang, kediaman pemimpin Palestin dan pejuang Palestin demi untuk melancarkan sebarang serangan.

Gambar(safa): Kolonel Leftenan, Muhammad Lafi menunjukkan peralatan komunikasi yang dibekalkan perisikan zionis kepada talibarutnya.

Talibarut zionis menerangkan bahawa selalunya mereka diarahkan secara langsung dari pihak perisikan zionis bagi menanam peledak di kawasan-kawasan yang berdekatan dengan lokasi latikan pejuang Palestin. Demikian itu adalah untuk membunuh pejuang. Namun, beberapa peledak tersebut meletup ketikamana penduduk awam melalui lokasi dan mengakibatkan kematian dan ramai yang luka parah.

Selain itu, talibarut zionis turut menyebut rangkaian-rangkaian dari gerakan FATAH mengambil peluang ketika konflik persengketaan dalaman bagi mengumpulkan maklumat yang berhubung dengan keselamatan pemimpin-pemimpin Kerajaan Palestin Gaza dan kumpulan pembebasan Palestin yang bergiat cergas di Gaza. Malah, para talibarut juga melakukan misi intipan ke atas pejuang-pejuang Palestin dan lokasinya.

Misi penting

Ihab Ghasin menjelaskan secara terperinci mengenai misi-misi penting yang dijalankan oleh talibarut. Misi tersebut mengumpulkan dan menyampaikan maklumat kepada perisikan zionis.

"Tentera rejim zionis bergantung kepada kepada 'bank maklumat' yang dibekalkan oleh talibarut bagi menentukan lokasi serangan ketika waktu perang dan operasi lain," ujar Ghasin.

Ihab Ghasin turut menjelaskan misi jenayah yang dilakukan talibarut dengan arahan secara langsung dari perisikan zionis. Sebahagian dari talibarut menanam peledak dan turut bekerjasama dalam beberapa misi pencerobohan dan operasi khas tentera rejim zionis ke dalam Semenanjung Gaza.

Sudut yang ketiga, Ghasin menyentuh usaha percubaan yang dilakukan oleh sebahagian dari talibarut zionis iaitu menyelinap masuk ke dalam kumpulan pejuang. Sebelum ini, talibarut yang bertindak sedemikian telah ditangkap ketikamana mereka menganggotai kumpulan pejuang yang berperanan untuk mendapatkan kepercayaan komander tentera.

Jurucakap rasmi KDN Gaza mengesahkan bahawa permasalahan ini amat bahaya tetapi hanya sebilangan yang melakukan kerja sedemikian dalam tanah Gaza.

"Masyarakat kita adalah masyarakat yang saling bertaut untuk pembebasan tanah ini malah dengan kekuatan yang kita memerangi musuh-musuh dengan penuh berani, sehingga kini, puluhan ribu telah syahid dan mereka ini menjadi contoh perwira yang boleh dibanggakan," kata Ghasin.

Sambil itu, beliau menegaskan, rejim zionis ternyata lemah untuk mengubah Semenanjung Gaza kepada sebuah paya yang ditakungi para talibarut dan pengkhianat. Rejim zionis juga gagal merekrut sebilangan yang boleh dibanggakan untuk menjaga rahsia keselamatan para talibarut.

Ihab Ghasin menyatakan, Pihak Keamanan Palestin Gaza berjaya membuktikan kemampuannya dengan kejayaan yang besar, iaitu membalas pukulan pedih kepada pihak luar.

Peralatan komunikasi

Dari sudut lain, Leftenan Kolonel Muhammad Lafi menunjukkan sebahagian peralatan canggih yang dirampas(gambar). Antaranya, alat penetapan lokasi, pengawasan dan kamera lintas langsung yang digunakan ketika mengintip pergerakan pejuang Palestin yang menjadi sasaran.

Lafi mendedahkan peralatan kamera dibekalkan dalam bentuk kotak kertas tipis yang dilengkapi kamera lintas langsung. Kamera tersebut dikawal jauh oleh pegawai perisikan zionis dan diletakkan dalam kereta talibarut, kemudian dibawa ke kawasan-kawasan yang diminta.

Selain itu, Lafi menunjukkan alat yang lain dalam bentuk pengecas bateri mengandungi alatan terkini untuk memintas komunikasi wayarles pejuang-pejuang Palestin, kemudian ianya disalurkan secara terus kepada pegawai perisikan zionis dan kedudukan pejuang dapat dikesan.

Peralatan lain, alat komunikasi paling canggih untuk merakam 3 lokasi serentak dari jarak jauh yang akan disampaikan secara langsung kepada perisikan zionis. Peralatan tersebut seperti yang diceritakan, unit khas tentera zionis meletakkan peralatan tersebut dalam kotak yang tersembunyi berdekatan kawisan sempadan, lalu ejen(talibarut) akan diminta mengambilnya.

Ketika sidang akhbar, turut ditayangkan seorang talibarut yang menyelinap masuk dalam kumpulan pejuang Palestin. Tugasnya adalah merosakkan senjata para para pejuang dan selalunya menggunakan peledak yang memiliki kapasiti letupan kecil.

Jelas Lafi, sejak akhir-akhir ini, perisik zionis mendapati kesukaran untuk menghubungi talibarutnya melalui alat ini di Gaza. Berikutan itu, ada beberapa peralatan yang dirampas tetapi tidak ditunjukkan atas sebab keselamatan. 23/09/2010, web berita safa.ps dan berita Al-Jazeerah

Read more...

Letup terowong, zionis tembak bot nelayan

21 September 2010

RAFAH - Sumber melaporkan, Pihak Keamanan Mesir telah meletupkan sebuah terowong bawah tanah yang terletak di kawasan 'الجرادات', timur laluan perlintasan di selatan Semenanjung Gaza, Rafah.

Menurut agensi 'Safa' di Rafah, letupan pada waktu tengahari tadi mengakibatkan terowong berkenaan hancur musnah dan runtuh. Bagaimanapun, tiada laporan mengenai luka parah di kalangan pekerja terowong berikutan ketika operasi, terowong tersebut telah dikosongkan.

Seperti yang dinyatakan, terowong berkenaan telah dikepung beberapa hari yang lalu dalam operasi ketat di sepanjang garisan sempadan bagi mengawasi barang dagangan ke El-Arish.

Jelas dari sumber, sejumlah puluhan penduduk Gaza terpaksa bekerja di dalam terowong bawah tanah yang berada di sepanjang garisan sempadan antara Gaza dengan Mesir. Sedemikian itu, adalah untuk mendapatkan sumber rezeki disebabkan aktiviti perekonomian yang sukar sejak 4 tahun Gaza dikenakan sekatan rejim zionis.

Dalam tahun ini sahaja, Pihak Keamanan Mesir telah menyita 570 buah terowong bawah tanah.

Sementara itu, satu kejadian pada petang Selasa(hari ini), bot perang rejim zionis yang mengawal di perairan laut bandar Rafah, selatan Gaza melepaskan bedilan machine-gun dan misil ke arah bot-bot nelayan Gaza. Sehingga kini, tiada laporan mengenai kecederaan di kalangan nelayan Gaza.

Bot-bot nelayan Gaza kerap diancam bot-bot laju tentera laut zionis yang bertebaran di sepanjang garisan perairan laut Semenanjung Gaza. Seperti yang dilaporkan, kekangan zionis ke atas nelayan Gaza turut mengakibatkan kerosakan bot mahupun sampan, dan sebahagian nelayan ada yang turut ditangkap. Sumber 21/09/2010, web berita safa.ps

Read more...

Lanjut beku 3 bulan bebas perisik Israel

Menurut radio tentera Israel, salah satu cadangan yang sedang ditimbal-balas dalam ruang rundingan pihak rejim zionis mengenai permasalahan pembekuan kerja bina penempatan haram iaitu dengan tindakan Amerika Syarikat(US) membebaskan seorang perisik Israel, Jonathan Bullard yang dituduh mengintip untuk kepentingan Israel. Dengan sedemikian, tempoh pembekuan kerja binaan penempatan haram akan dilanjutkan 3 bulan lagi dari tempoh asal yang berakhir pada 26 September akan datang.

Radio tentera rejim zionis menjelaskan, seorang individu yang hampir dengan Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri penjajah telah meminta dari seorang individu yang ada hubungan baik dengan pihak Palestin dan US supaya mendedahkan cadangan tersebut kepada Pentadbiran US, namun belum diketahui sama ada Washington memberikan jawab balas atau tidak.

Jabatan Perdana Menteri Israel yang mengulas berita ini, katanya, Netanyahu tidak tahu mengenai sebarang permintaan yang disampaikan kepada US, sambil itu, Jabatan Perdana Menteri menyatakan, Netanyahu tidak akan mengubah keputusannya yang telah menetapkan tempoh pembekuan berakhir pada 26 September ini.

Abbas jumpa Presiden Israel

Gambar(safa): Kiri, Perez dan Abbas, kanan.

Sementara itu, laporan berita agensi 'Safa' mendedahkan pertemuan antara Presiden Palestin yang tamat tempoh menurut HAMAS, iaitu Mahmoud Abbas dengan Presiden rejim zionis(Israel), Simon Perez petang semalam di New York.

Menurut sumber rasmi Palestin Ramallah, agensi berita 'Wafa', berkata, kedua-dua presiden membincangkan kedudukan dan perkembangan hasil rundingan damai secara aman.

Abbas yang berada di New York juga akan turut serta dalam persidangan Perhimpunan Agung PBB, kali yang ke-65. Sebagaimana yang dijadualkan, Abbas akan menyampaikan ucapan mewakili Palestin pada 25 September ini di dalam persidangan tersebut.

Gambar(wikipedia): Lokasi Persidangan Agung PBB.

Sumber menyebut, pihak yang mengiringi Abbas ke New York, Penasihat Sulit Pertubuhan Pembebasan Palestin(PLO), Yaseer Abdurrabbuh, Ketua Badan Hal-Ehwal Perundingan PLO, Saeb Arekat, Menteri Luar Pemerintah Palestin Ramallah, Riadh Al-Maliki, dua orang anggota Lajnah Pusat Gerakan FATAH, Muhammad Ashtiah dan Nabil Sha'at, jurucakap rasmi Pemerintah Palestin Ramallah, Nabil abu Radinah serta Akram Haniah, Penasihat Presiden dan Majdi Al-Khalidi, Penasihat Diplomatik Presiden.

Agar tidak perjalanan rundingan tergugat

Media Mesir 'Shorouk' dimaklumkan bahawa Mahmoud Abbas telah mengarahkan pasukan rundingan Palestin agar tidak membuat sebarang kenyataan media berhubung perjalanan rundingan sehinggalah akhir bulan ini. Sedemikian itu, adalah permintaan daripada George Mitchell, Utusan Damai US di Timur Tengah yang merasa khuatir hal tersebut akan mempengaruhi perjalanan rundingan.

Sumber Palestin yang enggan namanya didedahkan berkata kepada agensi berita 'Shourouk' berkata, pusingan ketiga rundingan damai bersemuka antara Palestin-Israel akan ditentukan waktunya menjelang Persidangan Agung PBB. Sumber 21/09/2010, suratkhabar Misril-Youm(Mesir), suratkhabar Shourouk(Mesir) dan web berita safa.ps

Read more...

Karikatur: Harga sebuah rundingan

Harga sebuah rundingan ..
Mana isu yang lebih utama?

Sumber karikatur, web berita Al-Jazeerah

Read more...

Mesir terus siasat wakil keamanan HAMAS

20 September 2010

KAHERAH - Pihak Keamanan Mesir terus menjalankan siasatan ke atas Ketua Umum Badan Keamanan, Kerajaan Palestin Gaza, Muhammad Khamis Dababesh(Abu Ridhwan) kerana disyaki terlibat dalam beberapa kegiatan yang mengancam keamanan Mesir.

Menurut sumber keamanan Mesir kepada wakil pemberita 'Al-Ahram', pihak keamanan Mesir menahan Abu Ridhwan sebaik sahaja beliau tiba dari Damshik, Syria ke Kaherah di akhir minggu yang lalu.

Jelas sumber itu lagi, setelahmana pengumpulan maklumat dilakukan, didapati Abu Ridhwan terlibat dan menjadi dalang di sebalik penyeludupan sejumlah besar peralatan walkie-talkie yang tercanggih bernilai jutaan pound Mesir.

Sebagaimana diperincikan lagi, hasil pengakuan individu-individu yang terlibat dalam penyeludupan yang telah ditumpaskan oleh Pihak Keamanan Mesir menunjukkan Abu Ridhwan turut terlibat. Sehingga kini, beliau masih disiasat berhubung dengan kes penyeludupan walkie-talkie.

Kes lain yang dijalankan siasatan ke atas Abu Ridhwan kerana disyaki bersangkut-paut dalam pembunuhan yang dilakukan oleh penembak tepat HAMAS ke atas seorang tentera Mesir, Ahmad Sya'ban di sempadan Rafah Mesir pada 6 Januari yang lalu. Berikutan itu, Abu Ridhwan selaku Ketua Umum yang memimpin Pasukan Keamanan Palestin di Gaza dan salah satu tugas pentingnya mengawasi sempadan Gaza-Mesir. Sumber 20/09/2010, surat khabar Al-Ahram(Mesir)

Baca lagi:

_____________________________________________________

Bacaan semasa berhubung petikan berita di atas, kami menilai secara umum bahawa isu ini berkait dengan perjanjian keamanan serantau yang meliputi sempadan-sempadan Timur Tengah yang berkonflik, terutamanya sempadan Gaza, Mesir dan tanah-tanah Palestin yang dirampas Israel yang bersempadan dengan Syria dan Lubnan.

Namun, secara khususnya isu ini, setelah diamati, ia melibatkan keamanan Mesir seperti yang didakwa. Mengapa?

Pertama, Mesir masih dalam keadaan 'dharurat' dan pernah didesak oleh parti-parti politik untuk membuang status 'dharurat' berikutan kekangan-kekangan yang terlalu keras dikenakan ke atas pihak yang cuba mengingkari apa yang dibawa oleh pemerintah. Bila-bila masa sahaja, tidak kira mengenali mana-mana pihak, kesemuanya akan dicekup sekiranya terlibat dalam apa jua aktiviti yang disifatkan menimbulkan ancaman terhadap keamanan Mesir menurut tafsiran pihak pemerintah.

Kedua, sebarang penyeludupan ke seberang sempadan, khususnya Gaza yang dilabelkan Wilayah bergolak dan masih dicengkam sekatan zalim Israel amat bersalahan dengan undang-undang Mesir, menurut laporan-laporan media Mesir yang pro Kerajaan. Namun, kami melihat secara jauh bahawa ia tertakluk di bawah perjanjian sempadan 2005 antara Mesir, Israel, Wakil Eropah dan Palestin Ramallah. Apa jua 'hajat' yang mahu dibawa masuk ke Gaza mesti melalui saluran yang disepakati antara pihak-pihak ini. Tambahan pula, Mesir amat keras dengan sikapnya jika melibatkan isu yang didakwa, iaitu keamanannya dan jaminan Mesir untuk keamanan semua pihak di rantau ini.

Tulisan ini tidak berniat untuk mempertahankan gerakan HAMAS tetapi ada sesuatu yang menarik untuk dikongsi bersama. Berhubung dengan isu yang dibangkitkan oleh Mesir bahawa penangkapan di atas kerana mengancam keamanan Mesir, dan disebutkan aktiviti tersebut:

1. Seludup walkie-talkie
2. Isu tembak tepat ke atas seorang tentera Mesir

Jika dilihat secara kasar, pada hakikatnya isu seludup walkie-talkie tidak memberi 'mudharat' kepada keamanan Mesir kerana ianya bukan bertujuan untuk digunakan di Mesir tetapi untuk mengawal keselamatan di Gaza. Hitungan nilai jutaan pound Mesir mengisyaratkan, walkie-talkie ini amat diperlukan di Gaza berikutan Wilayah yang bergolak dan bila-bila masa sahaja akan berlaku serangan yang tidak dijangka dari pihak rejim zionis. Maka, sistem perhubungan secara pantas diperlukan.

Permasalahan yang timbul hanyalah 'seludup' walkie-talkie dari Mesir ke Gaza. Bagaimana jika Palestin Gaza membuat pesanan kepada pembekal walkie-talkie dan dihantar melalui muatan kargo barangan yang akan dibawa masuk ke Gaza melalui laluan perlintasan yang menghubungkan Gaza dengan tanah rampasan 1948, Israel?

Sekalipun walkie-talkie tidak disenaraikan secara terang dalam senarai barang-barang yang ditegah ke Gaza oleh Israel, tetapi ia tetap tertakluk bawah keselamatan. Bilamana menyentuh keselamatan, maka ia berkait dengan logistik peperangan. Mustahil, Israel akan membenarkan kemasukan walkie-talkie ke Gaza.

Apabila hanya satu-satunya laluan bagi membawa masuk walkie-talkie ke Gaza , hanyalah Mesir, maka penggunaan walkie-talkie di Gaza bererti ia menjadi perantaraan yang mengancam keamanan Israel. Mungkin Mesir pihak yang akan dipertanggungjawabkan jika penyeludupan ini berjaya.

Isu kedua, gerakan HAMAS telah menjawab dan menyerahkan laporannya berkaitan siasatan yang dilakukan bersendirian setelah Mesir menolak untuk memberi kerjasama, tetapi apakah kesudahannya?

Sewajarnya, untuk 'merawat' cuaca yang sekejap panas, dan sekejap dingin amat perlu kepada kerjasama antara kedua belah pihak, iaitu rundingan. Jika Mesir dikatakan berpengalaman dalam rundingan damai dengan rejim zionis termasuk Amerika Syarikat, malah beberapa hari yang lalu, media pro Kerajaan Mesir menyiarkan potongan gambar yang telah diubah suai, pada asalnya Obama memimpin perjanjian damai, namun sengaja gambar Presiden Mesir diletakkan di barisan utama bagi menggambarkan Mesir yang memimpin usaha damai. Kenapa tidak mampu untuk berunding dengan gerakan HAMAS? Adakah isu ini berfungsi untuk memberi tekanan kepada HAMAS supaya menandatangani dokumen pembaikan Mesir yang telah ditandatangani gerakan FATAH?

Read more...
widgeo.net

anjung pavilion

Free counter and web stats Politics Top Blogs Politics Blogs - Blog Top Sites
Journalist Blogs - Blog Catalog Blog Directory

 Subscribe in a reader

download juice, the cross-platform podcast receiver

  © Blogger templates Newspaper by Ourblogtemplates .com 2008

Kembali ke ATAS